Hanipa kena boo, petanda profesional PAS bakal tumbang KiniTV KiniTV



lebai tak tau cara dan undang undang....tu la pasal

live: Hari Pertama : Sesi Petang Muktamar Tahunan PAS kali ke 61 [4 Jun 2015]


Putus hubungan dengan DAP: Secara teknikal PAS keluar PR?

Putus hubungan dengan DAP: Secara teknikal PAS keluar PR?

Putus hubungan dengan DAP: Secara teknikal PAS keluar PR?

Walaupun muktamar penuh ke 61 belum bersidang dan pertandingan jawatan utama PAS belum berlaku namun keputusan pertandingan boleh diramal.

Rata-rata rakyat Malaysia sebaik sahaja melihat kejutan yang berlaku dalam pemilihan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat merasakan pasti kejutan yang sama juga akan berlaku dalam perebutan jawatan utama parti. Puak Hadi dan Unity Government tidak dapat dihalang menguasai semua posisi penting, daripada presiden sampailah kepada AJK PAS Pusat.

PAS selepas Jun ini adalah parti yang mempunyai idea satu hala dan bersikap ego terhadap rakan-rakan Pakatan Rakyat demi menunjukkan mereka ada maruah dan ada pengaruh.

Nada marah kepada DAP amat jelas dalam Muktamar Dewan Ulama. Usul dikeluarkan untuk memutuskan hubungan sama sekali dengan DAP. Usul Dewan Ulama itu pasti akan diluluskan oleh Muktamar kerana prinsip walak ahli perwakilan terhadap para ulama.

PR berkubur

Maka PAS secara teknikalnya telah pun menghancurkan Pakatan Rakyat. PR dibentuk oleh tiga parti teras, apabila salah satu parti meninggalkan gabungan itu maka tidak wujud lagi apa yang dinamakan sebagai gabungan.

Dewan Ulama tidak perlu berselindung dan bermain hujah kononnya akan meneruskan kerjasama dengan PKR dan Pakatan Rakyat. Kalau hierarki paling berpengaruh dalam PAS telah memutuskan hubungan dan menerima endorsement daripada Mursyidul Am Haron Din maka ustaz-ustaz di bawah tentunya akan mengeluarkan pelbagai fatwa.

Lihat sahaja PRK Permatang Pauh, tanpa fatwa dari Dewan Ulama pun ustaz berhingus di bawah berfatwa haram mengundi PKR. Selepas ini tentulah setiap Urusan Ulama di setiap kawasan akan mengeluarkan fatwa haram mengundi DAP.

Apakah gunanya terus bersama dalam PR kalau kerjasama itu untuk berfatwa mengharamkan DAP. Dari situ dapat dilihat niat tidak baik PAS yang cuba mensabotaj komponen PR yang masih tinggal. Mereka tidak mahu menarik diri kerana jika berasingan maka seribu fatwa haram pun tidak akan memberi kesan kepada PKR dan DAP. Tetapi apabila masih kekal ‘dalam perkahwinan’ apabila mereka mengharamkan ahli menyokong, berkempen atau mengundi maka kerosakannya amat mendalam kepada komponen PR.

Gantung tak bertali

Sebagai parti yang melaksanakan perintah Allah dan Rasul lebih baiklah PAS segera meninggalkan PR dan jangan membuat aniaya dan perangai hodoh mensabotaj dari dalam. Apa yang dilakukan PAS ini seperti ‘gantung tidak bertali’. Kaedah meninggalkan isteri tanpa nafkah, memburuk-burukkan isteri tetapi enggan menjatuhkan talak.

Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah PAS mahu meneruskan perjuangannya selepas ini tanpa kerjasama dengan PR. Kekuatan parti itu sebelum ini adalah dengan kerjasama. Apabila timbul haram-mengharam dan kafir-mengkafir maka ahli akan porak peranda.
Hanya satu cara sahaja yang bolkeh diusahakan, iaitu berunding dengan Umno dan bertahaluf siyasi dengan parti sarat penyelewengan itu. Namun Umno bukanlah bodoh. Mereka jauh lebih pintar daripada ustaz PAS.

Najib perdaya Hindraf

Kalau Umno berjaya menipu PAS untuk meluluskan Hudud di peringkat parlimen maka tidak ada masalah mereka menipu lebih jauh lagi. PAS tidak mahu belajar daripada pengalaman Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy yang diperdaya Najib untuk meluluskan peruntukan kepada kaum India menjelang PRU 13 lalu. Sehingga ke hari ini tiada satu pun persetujuan dalam memorandum bersama itu yang ditunaikan.

Sama seperti Hudud yang kononnya akan mendapat bantuan Umno di parlimen. Pada sesi Mac Umno memberi alasan tidak sempat untuk dibahaskan. Sesi Jun pula hampir berakhir dan usul Hudud tidak juga diterima untuk dibahaskan.

Tak keruan pasal Hudud

Tiga tahun lagi pun Hudud tidak akan dibahaskan dan perwakilan yang bertakbir dan bersorak kerana UG berjaya dalam muktamar kali ini akan berputih mata sampailah ke PRU 14. Menjelang PRU Najib akan datang ke Kelantan dan berjanji untuk membenarkan Hudud dilaksanakan jika Umno BN mengambil alih negeri itu.

Umno tidak akan menerima PAS sebagai sekutu kerana pengaruh PAS hanya kuat di Kelantan dan Terengganu sahaja. Terengganu telah ditawan dan mustahil PAS mendapatkannya semula setelah MB Mat Said diganti. Kelantan pula negeri miskin dan Umno hanya perlu gunakan bantuan banjir untuk meraih undi, tidak perlukan kerjasama dari PAS.

Percayalah, menjelang PRU 14 PAS akan termanggu-manggu. Rakan baharu tidak memberi kerusi dan PR telah mempunyai parti baharu yang menggantikan PAS.

Akar umbi bersama PR

Sekiranya melihat apa yang berlaku di Permatang Pauh, walaupun ustaz muda PAS mengeluarkan pelbagai fatwa haram mengundi PKR dan berkempen dari rumah ke rumah, Dr Wan Azizah tetap menang dengan majoriti besar. Sebahagiannya disumbangkan oleh kawasan kubu kuat PAS di DUN Permatang Pasir.

Bermakna, walaupun PAS meninggalkan PR sekali pun, ahli akar umbi dan penyokong parti itu tetap tidak akan meninggalkan PR. Hal yang sama juga dibuktikan oleh penyokong PAS di Pantai Barat. Mereka turun beramai-ramai dalam demonstrasi 1 Mei lalu walaupun ulama PAS memboikot himpunan dipimpin Mat Sabu itu.

Penyokong PAS tidak akan memberi undi kepada PAS yang telah menyeleweng perjuangannya. Apatah lagi jika jelas Hadi dan puaknya telah ditipu hidup-hidup oleh Umno.

Ustaz muda ambil alih

Dewan Ulama dan PAS keseluruhannya terlalu terikut-ikut dengan pemikiran ustaz muda yang baru pulang dari Timur Tengah walaupun mereka tidak arif tentang situasi politik negara. Mereka syok sendiri menganggap PAS parti yang besar dan disokong rakyat di mana-mana sahaja. PAS tidak memerlukan sekutu kerana rakyat amat meyakini perjuangan mereka.

Ustaz muda ini tidak sedar parti pembangkang tidak pernah menikmati status istimewa, glamour dan menjadi pujaan ramai tanpa bersusah payah melawan BN. Hanya Umno dan BN yang menikmati status sedemikian kerana mempunyai jentera kempen berkesan; sama ada jentera kerajaan mahu pun media massa arus perdana. Pembangkang adalah budak belasahan pada bila-bila masa.

Pembangkang yang bersendirian pula sangat mudah diterkam dan dikoyak rabakkan oleh jentera BN apabila masanya telah tiba. Demikian pesanan yang selalu dibawakan oleh Fadzil Noor dan Nik Aziz dalam kias ‘kambing yang dikepung serigala’ pada ceramah mereka di era Reformasi lalu. 15 tahun kemudian perwakilan PAS dengan senang hati ingin mengambil watak kambing, kononnya kambing generasi baru ini mempunyai senjata sulit berhadapan serigala BN.

Perbahasan Dewan Pemuda PAS tidak berkualiti

SUARA PAKATAN DAILY




Perbahasan Dewan Pemuda PAS tidak berkualiti

Perbahasan Dewan Pemuda PAS tidak berkualiti

ANALISIS: Perbahasan Dewan Pemuda PAS bermula 2  Jun lalu kelihatan tidak mengambil situasi politik semasa sebagai arah tuju. Begitu banyak isu melibatkan Umno BN seperti penyelewengan 1MDB, hutang negara, pencerobohan sempadan, cukai GST dan sebagainya yang boleh dijadikan tajuk utama, Pemuda sebaliknya berkisar kepada isu taat kepada presiden, syurga, neraka dan hal-hal lain yang tiada kena mengena dengan politik sebagai perkara pokok.

Perwakilan Pemuda PAS Terengganu misalnya memilih untuk menegur bacaan al-Quran Suhaizan yang perlu diperbetulkan sebelum melaungkan slogan perjuangan.
“Perbetulkan bacaan al-Quran sebelum melaungkan perjuangan. Jangan ambil mudah bacaan al-Quran. Bacaan al-Quran ini pun tidak diperhalusi jadi di mana wawasan rabbani, fakih dan haraki yang diutarakan?” kata Raja Arizal.

Parti para ustaz

Perlu diingat, pada era 1980an lalu, seluruh hierarki kepimpinan parti itu adalah ulama dan ustaz yang pandai membaca al Quran tetapi malangnya satu negeri pun tidak diperintah PAS.

Ketika itu masyarakat memandang ustaz PAS tidak mampu untuk membina jalan raya, longkang, bangunan malah kata mereka, masjid pun dibina oleh BN dan kontraktor Cina. Jadi masyarakat terutamanya Melayu memandang sinis kepada ustaz PAS. Entah dari mana, muncul pula slogan mengubah akronim PAS kepada ‘Parti Angan-angan Sahaja’. Slogan itu popular di bibir pengundi Melayu menjelang pilihan raya.

Profesional mengubah tanggapan

Semuanya berubah pada 1990an apabila berlaku kemasukan golongan profesional seperti doktor, profesor, jurutera dan sebagainya ke dalam PAS selepas Umno bergolak pada 1987. Himpunan profesional itu menyebabkan masyarakat membuka mata dan kagum. Golongan koporat pula mula masuk PAS pada era Reformasi 1998.

Ketika inilah masyarakat percaya PAS boleh memerintah, boleh membina bangunan, jambatan dan seterusnya mentadbir jabatan kerajaan. PAS berubah arah hanya setelah kemasukan golongan profesional, bukannya daripada penyertaan ustaz yang mengaji di Timur Tengah dan telah mendominasi parti itu sejak penubuhannya.

Kecetekan ilmu Pemuda lebih terserlah lewat perbahasan perwakilan Pemuda PAS Perak, Mohd Syakirin Hussein yang berkata matlamat menuju Putrajaya tidak sepatutnya menjauhkan ahli PAS dari syurga

“Kita sampai ke Putrajaya tetapi bukan matlamat perjuangan ini untuk sampai ke Putrajaya sahaja. Kalau sampai ke Putrajaya terlalu singkat. Perjuangan kita untuk sampai ke syurga Allah

“Apa gunanya Putrajaya kalau Putrajaya itu jauhkan kita dari syurga Allah,” katanya.  

Tukar kepada gerakan dakwah

Hujah itu menampakkan PAS bukanlah parti politik, sebaliknya lebih kepada pertubuhan dakwah yang tidak memerlukan kuasa politik. Sekiranya mentaliti ini mewakili keseluruhan perwakilan PAS maka lebih baik PAS membuat usul tergempar agar parti itu ditukar kepada gerakan dakwah sahaja.

Tidak ada guna melabur duit menyertai pilihan raya dan bermati-matian kempen jika mempersoalkan matlamat politik. Kononnya kemenangan menjauhkan seseorang dari syurga. Kononnya menawan Putrajaya bukan matlamat dan sebagainya.

Ahli politik yang tidak ada matlamat sebaik sahaja diberi kuasa akan hilang punca. Mereka akan makan rasuah, tiada visi untuk membangunkan masyarakat dan tidak mahu mendengar kritikan rakyat.

Maka ada baiknya saranan Prof Dr Latif Ibrahim baru-baru ini agar PAS mencontohi gerakan politik di Turki, Mesir dan lain-lain yang memisahkan antara parti politik dan gerakan dahwah. Setiap gerakan perlu fokus. Tidak boleh wujud gerakan politik yang fokus menawan Putrajaya tetapi dalam masa sama berfikir kemenangan akan merosakkan parti, jemaah dan sebagainya.

Pemuda PAS adalah pemimpin generasi akan datang. Sekiranya kualiti perbahasan yang tidak melepasi tahap lulus sebagaimana ditunjukkan dua hari lalu menjadi tanda aras PAS maka parti itu tidak akan menarik minat rakyat untuk menyokongnya.

Mampukah PAS mentadbir?

PAS tidak ada tokoh seperti Rafizi Ramli, Azmin Ali, Tian Chua, Tony Pua, Liew Chin Tong dan sebagainya yang mencetuskan idea besar. Namun dalam PR mereka mahu jadi ketua dan berkeras agar semua komponen taat kepada kehendak mereka.

Rakyat tidak perlu berubah mengundi PAS sekiranya kualiti kepimpinan Pemuda setaraf Khairy Jamaluddin atau kualiti kepimpinan utama setaraf Najib dan Muhyiddin Yassin. Apakah yang PAS mahu tawarkan dengan menghasilkan kepimpinan pengekor dan bukan pemuka.

Jelas generasi Fadzil Noor dan Nik Aziz tidak akan dikecapi lagi. Apatah lagi dengan tekad PAS membuang semua profesional daripada jawatan utama. Sangat ketara selepas ini PAS akan menjadi pasti para ustaz dan lebai. Akan timbul semula pertanyaan rakyat ‘mampukah, mampukah dan mampukah?’.

Dan jawapannya: Lebih baik mengundi Umno yang telah terbukti mampu membawa kemajuan!

Dr Mahathir & kroni punca MAS lingkup


Dr Mahathir & kroni punca MAS lingkup

Dr Mahathir & kroni punca MAS lingkup

ULASAN: Tersentap juga hati saya bila membaca berita mengenai pekerja ‪#‎MAS‬. MAS sangat dekat dengan hati saya memandangkan saya pernah berkhidmat di syarikat yang berlogokan imej wau ini. Saya juga merupakan produk Akademi Penerbangan Malaysia.

Singkap sejarah lama, sebelum tahun 1993, MAS tidak menghadapi masalah kewangan. MAS mempunyai rizab tunai sekitar RM 600 juta. Namun segala keindahan itu berubah wajah apabila Tajuddin Ramli menguasai MAS.

Tahun 1993, Kerajaan waktu itu diketuai oleh‪#‎Mahathir‬ Mohammad telah menyerahkan MAS kepada kroninya, Tajuddin Ramli melalui syarikat‪#‎Malaysia‬ Helicopter Service yang kemudiannya ditukar kepada Naluri. Kerana “kehandalan” dan “kepintaran” kroni Mahathir ini, MAS telah mewarisi kerugian terkumpul sebanyak RM 9.4 bilion sebaik sahaja Tajuddin menjual semula kepada Kerajaan pada tahun 2001.

Mahathir ketika itu masih bergelar Perdana Menteri dan Daim Zainuddin adalah Menteri Kewangan telah membuat keputusan untuk membeli semula saham MAS seperti harga yang dibeli oleh Tajuddin dahulu iaitu RM 8.00 sedangkan harga pasaran ketika itu adalah RM 3.68. Kononnya untuk menyelamatkan MAS daripada menjadi milikan asing. Tajuddin meraih untung RM 1.8 billion tetapi MAS mewarisi hutang.

Hari ini MAS sudah diisytiharkan muflis dari segi teknikal. 6,000 pekerja telah ditamatkan kontrak. 14,000 lagi pekerja telah diberikan kontrak dengan terma dan syarat baru. Tiada lagi kesatuan sekerja untuk mempertahankan hak dan kebajikan mereka. Tiada lagi Malaysia Airlines yang original. Sebaliknya telah menjadi Malaysia Airlines baharu sepertimana UMNO menjadi UMNO baharu hasil kerja tangan Mahathir.

Saya amat mengagumi pekerja MAS selama ini atas usaha mereka yang penuh dedikasi, yang telah menumpahkan usaha gigih mereka dan, tetap kekal setia walaupun ketika syarikat sedang berhadapan komplikasi serius. Sememangnya bekerja di bawah jenama “Malaysian Hospitality” adalah satu kebanggaan. Saya akui itu kerana sehingga hari ini masih terselit rasa bangga pernah menjadi pekerja MAS.

Akan tetapi demi memberikan keuntungan berbillion kepada kroni, Mahathir dan Daim telah menghancurkan kebanggaan ini. Mahathir dan Daim punca segala musibah ke atas MAS hari ini. Mahathir bukan sahaja gagal dalam memilih pengganti beliau sebagai Perdana Menteri, malah Mahathir termasuklah Daim dan Tajuddin telah melakukan dosa yang amat besar terhadap 6,000 orang yang kehilangan pekerjaan.

Saya berdoa agar sahabat-sahabat satu “batch” dengan saya tidak menjadi mangsa kezaliman trio ini. Andainya ada, saya mengharapkan kalian tabah dan dipermudahkan untuk mendapat pekerjaan baru.

#SudahlahMahathir


Ahmad Anwar Asyraf adalah Pengarah Pemikir Kaum Muda SAMM

PAS kembali kecil, terpencil selepas Muktamar 2015?

PAS kembali kecil, terpencil selepas Muktamar 2015?

PAS kembali kecil, terpencil selepas Muktamar 2015?

Selepas pertembungan paling sengit dalam sejarah antara kumpulan profesional dan konservatif dalam muktamar ke-61 tahun ini, PAS yang sudah berjaya menukar watak menjadi sebuah parti nasional selepas lebih 60 tahun ditubuhkan bakal kembali menjadi “parti Pantai Timur”.

Segala usaha yang dilakukan secara intensif selama 30 tahun untuk melonjakkan PAS menjadi parti nasional semenjak zaman Yusof Rawa, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terkubur minggu ini apabila perwakilan parti Islam itu dari seluruh negara memilih kepimpinan baharu.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang, tunggak utama kumpulan konservatif yang pertama kali dicabar untuk jawatan presiden sudah hampir pasti akan mempertahankan kerusinya daripada dirampas Ahmad Awang, seorang ulama bertaraf antarabangsa dan orang di belakang kejayaan PAS mendapat kerusi menteri besar di Perak pada 2008, walaupun hanya mempunyai enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jauh lebih rendah berbanding DAP dan PKR.

Sementara Mohamad Sabu yang dilihat sebagai tunggak kepada kumpulan profesional dan hubungan PAS bersama Pakatan Rakyat (PR), pernah ditahan dua kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan berkali-kali masuk lokap kerana perjuangan parti Islam itu bakal dikalahkan bekas penceramah “Forum Perdana” anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Manakala Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang cuba bersungguh-sungguh menyelamatkan PR daripada berpecah dan diterima luas pengundi bukan Islam bakal dikalahkan Nik Abduh Nik Abdul Aziz, seorang pemimpin pro-kerjasama dengan Umno.
Hampir kesemua wakil kumpulan profesional pula akan terkeluar daripada perebutan naib presiden dan ahli jawatankuasa PAS Pusat selepas doktrin “kepimpinan ulama” yang ditanamkan kumpulan konservatif berjaya mengusai majoriti perwakilan.

Lebih menyedihkan lagi, majoriti perwakilan PAS akan memilih ketiga-tiga presiden, timbalan dan ketua pemuda baharu PAS selepas muktamar 2015 berasal dari negeri Pantai Timur yang majoriti penduduknya Melayu dan beragama Islam dan tidak mencerminkan komposisi penduduk Malaysia.

Maka tidak hairanlah jika kenyataan yang keluar daripada ketiga-tiga pemimpin ini langsung tidak mencerminkan sikap seorang pemimpin nasional, tetapi lebih kepada pemimpin di negeri-negeri Pantai Timur.

Mereka sendiri tidak pernah dibesarkan dan hidup dalam “suasana Malaysia” yang berbilang kaum dan agama. Sudah pasti mereka juga akan “terkejut” dengan kehidupan masyarakat Malaysia seperti di Bangsar Telawi dan Bukit Kiara.

Namun itulah keindahan demokrasi, majoriti ahli berkuasa menentukan sama ada mahu sesebuah pertubuhan itu terus menjadi kuat atau rebah masuk ke dalam “tong sampah sejarah”.
Hilang kuasa di kerusi campuran.

Musuh tradisi PAS, Umno akan menjadi paling gembira hujung minggu ini selepas perwakilan memilih barisan kepimpinan baharu. Usaha keras melagakan PAS dengan DAP dan PKR selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 akhirnya membuahkan hasil.

Kempen Umno untuk memenangkan Hadi dan kumpulannya melalui media arus perdana dan akhbar milik mereka Utusan Malaysia akhirnya direalisasikan minggu ini dan PAS akan kembali kepada asal-usulnya menjadi parti Pantai Timur.

Ini sekali gus akan mengekalkan kedudukan Umno sebagai parti Melayu terkuat selepas PAS kembali seperti dahulu, sebuah parti yang hanya kuat di Kelantan.

Pengundi bukan Islam yang kuat menyokong di negeri-negeri seperti Kedah, Perak, Selangor dan Johor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu kerana slogan “PAS untuk semua” tidak akan mengundi mereka lagi selepas muktamar 2015 ini.

Namun inilah pengorbanan yang akan dibayar ahli PAS kerana mereka tidak mahu kuasa politik dan menawan Putrajaya, akan tetapi “keredhaan Allah” seperti dikatakan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

PAS tidak kisah jika kehilangan jawatan exco kerajaan negeri, kerusi Parlimen, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor dan negeri-negeri mempunyai komposisi campuran lain.

Bagi orang-orang seperti Exco Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad, sokongan bukan Islam yang memenangkannya di DUN Chempaka tidaklah begitu penting berbanding usaha menggembalikan PAS menjadi parti Pantai Timur.

Ini kerana Hadi sendiri sudah membuktikan sanggup kehilangan Terengganu pada 2004 selepas sepenggal memerintah kerana tidak mahu bertolak ansur dengan sekutunya bukan Islam mereka DAP dalam Barisan Alternatif (BA).

Pada 2013, Hadi sekali lagi mengorbankan Kedah selepas mempertahankan Tan Sri Azizan Razak untuk kekal memimpin PAS negeri walaupun berkali-kali diberitahu pimpinan parti, jelapang padi negara itu akan tumbang sekiranya bekas menteri besar itu terus memimpin kerana tidak disenangi pengundi bukan Islam.
Rakyat Malaysia seharusnya menghormati keputusan perwakilan PAS dalam memilih barisan kepimpinan baharu dan kembali menjadi parti Pantai Timur kerana itulah hak demokratik mereka.

Isa Samad punca kejatuhan FELDA


Isa Samad punca kejatuhan FELDA
Chairman of Felda and Felda Global Ventures (FGV) Mohd Isa Abdul Samad adjusts his tie during a media briefing at its headquarters in Kuala Lumpur on October 3, 2013. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Isa Samad punca kejatuhan FELDA

KENYATAAN MEDIA: Felda Global Ventures (FGV) kembali menjadi topik hangat apabila harga sahamnya menjunam teruk kepada RM 1.93 berbanding harga IPO. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendesak Perdana Menteri, Najib Razak untuk segera menamatkan perkhidmatan Isa Samad sebagai Pengerusi FELDA dan FGV di atas kegagalan ini.

Singkap kembali sebelum penyenaraian FGV, Boston Consulting Group (BCG) telah melakukan kajian ke atas kakitangan pengurusan FGVH pada Jun 2012. Hasil kajian merumuskan :-
1. 65% daripada kakitangan pengurusan FGVH mempercayai bahawa IPO ini akan gagal.

2. 55% pula melihat bahawa FGVH tidak bersedia untuk pelan penyenaraian di KLCI.

3. Hanya 20% daripada Pengurusan Tertinggi FGVH menyokong pelan penyenaraian ini.

SAMM berpandangan tragedi yang berlaku kepada FGV hari ini adalah berpunca daripada keengganan Kerajaan mendengar suara kelompok 65% dan 55% ini selain daripada pertubuhan dan NGO pro-peneroka sedari awal lagi. Disusuli pula dengan kegagalan Isa Samad menguruskan FELDA dan FGV.

Najib perlu sedar FELDA telah dua kali menukar Pengurus Besar iaitu Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan Datuk Faizoull Ahmad tetapi kedua-dua entiti yang melambangkan maruah peneroka ini masih tetap bermasalah. Sudah sampai masanya Najib memberhentikan Isa Samad.

Isa Samad juga perlu menjelaskan mengapakah FGV berniat untuk menjualkan FELDA Prodata System, FELDA Travel dan FELDA Property sedangkan ketiga-tiga entiti ini meraih keuntungan setiap tahun? Adakah ini jalan singkat untuk menunjukkan FGV untung selepas menjual aset-aset berharga ini?

Zuraidi Abdullah Penyelaras SAMM Kebangsaan