Kerajaan perlu kaji kenapa rakyat susah, bukan suka hati hentam Mydin


Kenyataan balas menteri UMNO terhadap kritikan seorang ahli perniagaan berhubung realiti sebenar rakyat terbawah menyerlahkan lagi wajah sebenar kerajaan UMNO yang tidak mempedulikan nasib golongan miskin di negara ini.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin sebelum ini dilaporkan berkata rakyat tidak mempunyai wang yang cukup untuk dibelanjakan walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia kukuh.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahman Dahlan tidak senang dengan kenyataan tersebut, sekaligus memberikan alasan dangkal bagi mempertahankan kerajaan UMNO.
“Prestasi ekonomi dan keadaan sesebuah negara, tidak boleh dinilai hanya daripada satu sub-sektor, seperti industri pasaraya besar sahaja.
“Penggunaan swasta terus menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dengan peratusan sumbangan kepada KDNK sejumlah 53.2%, atau RM589.7 bilion,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Pun begitu bagi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kadar pertumbuhan KDNK yang tinggi tidak memberi apa-apa makna jika golongan miskin negara ini terus berdepan tekanan ekoran peningkatan kos sara hidup.
“Rahman Dahlan bercakap mengenai angka mikro, ia tidak penting, apa yang penting adalah harga makanan yang harus dimakan setiap hari untuk terus hidup telah meningkat secara mendadak,” ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.
Beliau memberi contoh sayur kobis yang harganya meningkat 29 peratus dan ikan kembung hitam yang meningkat 20 peratus sejak lima tahun lepas.
“Ini adalah makanan yang sering dibeli orang golongan miskin dan harganya naik begitu mendadak,” tambahnya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata kerajaan UMNO tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat miskin di negara ini apabila berterusan menafikan hakikat itu.
“Itu sebabnya kami (pembangkang) kata GST (cukai barangan dan perkhidmatan) beri impak yang besar kepada perbelanjaan rakyat biasa.
“Jika kita mahu kualiti hidup rakyat biasa ditingkatkan, GST perlu dihapuskan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menggesa kerajaan melaksanakan kajian mendalam mengenai realiti sebenar rakyat terbawah.
“Dia (Ameer) menyatakan fakta. (Kerajaan) Buatlah kajian. Jangan hanya tahu hentam beliau sahaja, kerana yang terkesan adalah rakyat biasa. (lakukan kajian) Bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh negara,” ujarnya.