SEORANG Penganalisis politik meramalkan kerajaan persekutuan tidak akan stabil tanpa KEADILAN ataupun Presidennya DatuK Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim dipetik laporan FMT berkata, KEADILAN dibina atas semangat reformasi dan ia tonggak kepada pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menumbangkan UmnoBN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

“KEADILAN adalah roh yang menghidupkan gabungan itu, tanpa KEADILAN, HARAPAN akan hilang seri dan hilang populariti.

"Tanpa Anwar, HARAPAN juga akan hilang salah satu elemen relevan mereka yang penting," jelasnya.

Tambah Yusri lagi, secara matematiknya, HARAPAN juga tidak mampu berdiri kukuh dan stabil tanpa sokongan Ahli Parlimen KEADILAN kerana parti itu sendiri mewakili manifestasi dan aspirasi rakyat.

Beliau sebelumnya mengulas pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku susulan pergolakan kepimpinan dalaman parti itu antara Anwar dan Mohamed Azmin Ali.

Sebelum ini terlihat seolah-olah ada satu gerakan bagi memastikan Anwar tidak dilantik ke jawatan Perdana Menteri, ia dipercayai bermula dari dalam parti itu sendiri. Minggu lalu, penyokong pro Azmin yang berhimpun dalam satu Majlis Makan Malam mengkritik serta membuat kenyataan mencabar supaya mereka dipecat.

Mengulas perkara itu,  Yusri menjangkakan kem Azmin tetap akan bertahan dan memastikan proses transisi jawatan perdana menteri kepada Anwar ditangguhkan sekurang-kurangnya sehingga Kongres Nasional PKR 2021, bagi membolehkan menteri hal ehwal ekonomi itu mencabar jawatan presiden PKR.

Sementara itu, Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berkata jika parti itu berpecah dua, HARAPAN perlu memutuskan untuk menerima kedua-duanya atau sebaliknya.

Prof. Agus Yusoff
“HARAPAN perlu putuskan nak terima siapa. Kumpulan Azmin atau Anwar.

"HARAPAN tak boleh teruskan gabungan kerajaan tanpa KEADILAN kecuali boleh buat gabungan baru,” katanya.

Tambahnya, sekiranya pergeseran Anwar dan Azmin tidak diatasi segera, ia bukan memberi kesan kepada parti sebaliknya kepada negara.

“Tak boleh heret lama sangat. Rakyat tak yakin malah pelabur pun takut. Kalau boleh jumpa jalan berdamai, jika tidak KEADILAN perlu pecat atau Azmin perlu keluar bawa haluan politik sendiri.” jelasnya.