Umno BN gandakan fitnah agama menjelang PRU 13 – Anwar

Umno BN gandakan fitnah agama menjelang PRU 13 – Anwar

KOTA KINABALU 24 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya Umno BN akan menggandakan fitnah menggunakan sentimen agama bagi menutup penyelewengan mereka sekali gus cuba menghalang perubahan politik.
Ketua Umum KEADILAN itu memperingat ahli dan pimpinan KEADILAN untuk bersiap sedia menghadapi tohmahan menjelang pilihan raya umum ke-13.
“Dalam dua tiga bulan terakhir, serangan Umno BN macam orang gila. Macam orang sasau. Sebab dah habis modal.
“Kejap saya penyokong Yahudi, kemudian itu saman Rafizi. Sebelum itu video Azmin, kemudian tuduh Nurul Izzah sokong orang murtad. Sebab nak tutup skandal sebenar.
“Skandal ini bukan rekayasa. Tak boleh dicipta kerana berdasarkan fakta. AES, tak boleh jawab. Kes lembu, tak boleh jawab. Akhirnya dia serang, ‘tanduk’ merata,” katanya disambut ketawa.
Beliau berucap demikian depan 2,000 perwakilan pada Konvensyen KEADILAN Sabah di Star City Convention Hall, Asia City, semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali; Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, Ahmad Thamrin.
Anwar berkata, perbezaan kepercayaan agama da bukan penghalang perpaduan bagi membentuk perubahan sosio-politik di negara ini.
“Saya didakwa hormat  orang Kristian, orang Hindu dan agama yang lain. Saya tanya, apa pasal tak boleh hormat?” katanya yang terkenal di peringkat antarabangsa sebagai pemimpin Islam yang dihormati pemimpin agama lain.
Sabah terdiri dari pelbagai etnik dengan pecahan komposisi penganut agama yang pelbagai.
Penduduk beragama Islam merangkumi 65.4 peratus, Kristian (23.6 peratus) Buddha (6 peratus), Hindu 0.1 (peratus) manakala lain-lain (1.9 peratus).
*** Gambar ihsan Media Rakyat
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=40049

Wan Azizah, ribuan aktivis Himpunan Hijau berarak ke Dataran

Wan Azizah, ribuan aktivis Himpunan Hijau berarak ke Dataran

KUALA LUMPUR 25 November: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail antara 20,000 aktivis himpunan Hijau yang berarak ke Dataran Merdeka bagi membantah operasi kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.
Perarakan sejauh 42 kilometer itu bermula dari Markas Pas Taman Melewar di Gombak dan tiba di Dataran kira-kira jam 5.30 petang tadi.
Sebahagian peserta telah berjalan sejauh 300 kilometer dari Kuantan, sejak 13 November lalu.
Wan Azizah memulakan perjalanannya dari Maju Junction, sementara beberapa kumpulan lagi bergerak daripada beberapa lokasi sekitar laluan perarakan.
Mereka yang berpakaian dan bertopi hijau, dilihat turut mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan melaungkan slogan “Hentikan Lynas” sepanjang perjalanan.
Peserta berkenaan antaranya melalui Lebuhraya DUKE, Kampung Railway dan Sentul Pasar,  turut mendapat sokongan daripada pemandu kenderaan yang membunyikan hon.
Menurut ketua kumpulan itu, Wong Tack, mereka akan bermalam di Dataran Merdeka malam ini.
“Kita akan bermalam di sana dan menunggu matahari terbit esok,” katanya di petik dari Malaysiakini.
Turut dilihat dalam perarakan itu ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan pimpinan Pakatan Rakyat lain.
Sementara itu, Dataran Merdeka ditutup sejak pagi tadi atas alasan kerja-kerja menaik taraf kawasan berkenaan.
Media melaporkan, hampir 100  pegawai DBKL termasuk anggota polis dilihat mengawasi kawasan bersejarah dan tumpuan warganegara itu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib turut mengeluarkan notis larangan kepada orang awam berkumpul di lokasi tersebut.