Walau Lama Perintah, BN Masih Gagal Tangani Isu Agama


SERIAN 2 APRIL : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik kegagalan Barisan Nasional menyelesaikan masalah hubungan antara agama terutamanya dalam isu kalimah Allah dan Al-Kitab walaupun berpengalaman mentadbir negara lebih 50 tahun.

Anwar berkata Barisan Nasional masuk campur dalam hal ehwal masyarakat Kristian disebabkan sikap sombong dan bongkak mereka.

"Tak perlu gaduh soal ini, itu hak masing-masing, dalam 'Al Kitab' pakai Allah, (itu) hak orang Kristian, Bidayuh , jangan gaduh, yang gaduh ini sebab dia tak faham, yang tak faham ini Barisan Nasional, kalau tak faham tak boleh perintah, kita kena ubah pemerintah bagi yang faham perintah," tegas Anwar ketika bertemu dengan masyarakat Bidayah di Kampung Paon Sungai Rimu, Serian semalam,

Beliau juga sempat menjawab secara jelas kepada masyarakat Bidayuh yang kebanyakannya beragama Kristian mengenai isu penggunaan kalimah Allah.

"Nabi orang Islam Nabi Muhammad, bapa Muhammad namanya Abdullah, nama Abdullah itu sebelum Islam, sebab Nabi belum ada nama sudah ada Abdullah, maknanya hamba Allah, 60-70 tahun sebelum Islam, jadi macam mana kita boleh kata orang Kristian tidak boleh pakai nama Allah, dia (BN) tak pakai otak sebab dia tak faham sejarah," terang Anwar.

Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat turut menjelaskan dasar Pakatan Rakyat adalah saling hormat-menghormati di antara penganut agama lain.

"Saya dapat surat dari Mufti Mesir dan Uskup Agung (Archbishop), Washington untuk saya ada bersama dalam peringkat tertinggi dua dialog dan kerjasama antara Muslim dan Kristian, kalau saya dipanggil untuk mesyuarat kerjasama Muslim-Kristian sedunia, takkan saya tak boleh ajak kerjasama Muslim-Kristian sarawak, ini yang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN tak faham sebab dia tak dipanggil. siapa nak panggil dia," kata Anwar lagi.

Justeru itu beliau menegaskan Pakatan Rakyat akan memperkenalkan barisan calon yang benar-benar menjiwai hasrat dan memikul amanah rakyat.

"Kita bawa barisan pimpinan, ada DAP, PAS, KEADILAN. siapa pun pimpin rakyat Sarawak, jaga kepentingan semua orang, ini bukan nak jaga Bidayuh saja, Iban saja, Melayu saja, dia kena angkat martabat rakyat, Insya-Allah kita lakukan bersama di Sarawak ubah pemerintah Sarawak," tegas beliau

Anwar Ingatkan Rakyat Sarawak Usah Terpedaya Politik Pembangunan BN




ASAJAYA 2 APRIL : Rakyat Sarawak diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kempen politik pembangunan yang dibawa oleh Barisan Nasional kerana golongan yang
menikmatinya di negeri ini hanyalah segelintir elit yang sememangnya kaya raya, sementara rakyat bawahan terus dibelit kemiskinan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mana-mana kerajaan di dunia pasti akan membawa pembangunan tetapi yang menjadi persoalan ialah golongan manakah yang menjadi sasaran kepada pembangunan itu dan kelompok mana yang boleh mengaut keuntungan melaluinya.

" Syukur ini kepada siapa? Kepada Allah bukan kepada manusia, Mubarak pun buat jalan, Indonesia lagi ada jalan, England ada jalan, negera China ada jalan, India ada jalan, Bangladesh yang miskin pun ada pun jalan, sekolah ada.

" Soalnya sekarang kalau kita tidak kufur nikmat Allah, Tuhan bagi, saya ada elaun sebagai ahli parlimen tapi sekarang kena gantung sebab saya dedahkan hubungan Umno dengan Apco, sentuh sikit Israel gantung enam bulan, berkuasa betul Yahudi Israel, orang lain boleh sentuh. Orang ambil tanah kita, kita tak tau, balak habis kita tak tau, itu pun syukur, syukur apa balak habis?,"soal Anwar.

Bercakap kepada sekumpulan jemaah selepas mengerjakan solat Jumaat di Masjid Daaru As Solihin, Kampung Sambir, Asajaya semalam, beliau menegaskan walaupun Sarawak dilihat membangun, namun sejumlah besar rakyat di Bumi Kenyalang itu terpinggir dalam arus pembangunan yang dibawa BN.

" Apa kita cemburukan dengan orang kaya, jangan! Orang kerja dia kaya hak dia, tetapi kalau dia jadi menteri, saya Menteri Kewangan lapan tahun.. saya datang disambut permaidani merah, satu balak saya tak ambil, kita kena ingat hasil bumi milik kita, bagi lah syarikat untung sikit, (yang lain) agihlah kepada rakyat.

" Minyak hasil negeri tetapi harga minyak naik. Periksa masa saya Menteri Kewangan minyak naik ke tidak,"katanya lagi.

Seterusnya Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat berkata, layanan yang diberikan oleh kerajaan BN terhadap rakyat miskin dan golongan berada juga amat berbeza sekali.

" Mereka berani dengan orang kampung, marah orang kampung, nak buat majlis sikit datang ugut, ada bendera (Pakatan) minta diturunkan kerana mereka orang kampung. Orang besar yang kaya buatlah apa pun, curilah sebanyak mana mungkin pun, kes apa pun, kes bunuh kalau melibatkan orang atas tutup semua, yang kita nak bawa perubahan, dari sudut inilah,"jelas Anwar lagi.

Justeru itu beliau menyeru rakyat Sarawak supaya menyokong Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN pada pilihanraya negeri 16 April nanti supaya negeri ini juga
dapat menikmati dasar pro rakyat seperti di negeri-negeri yang diperintah gagasan itu.

" Kita bawalah perubahan dengan baik, tak usah bermusuh, saya tidak pernah berkelahi dengan orang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), saya bukan musuh, dia nak maki saya pun, saya tak kenal.. biar je lah, tak payah jawab, saya mahu guna kuasa bagi lah sikit mesej, cukup cukuplah ambil harta.

" Bagilah peluang kita belajar daripada pengalaman. Rakyat Kelantan dan Selangor boleh buat, orang Melayu, Melanau, Iban, kita boleh jaga semua,"katanya lagi.

Video Lucah : Pemuda PAS Tolak Kenyataan Ketua Polis Negara




SHAH ALAM 2 APRIL : Pengumuman Ketua Polis Negara bahawa video lucah yang ditayangkan di sebuah hotel terkemuka di Ibu Negara pada 21 Mac lalu adalah tulen, tidak bermakna kerana ia gagal menangani isu fitnah terhadap individu yang dikaitkan dengan rakaman itu.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, teknologi canggih memungkinkan pengarah menghasilkan apa sahaja bentuk filem dan lakonan yang dikehendaki.

"Sekalipun videonya disahkan tulen tetapi pelakunya [watak pelakonnya] masih terdedah kepada manipulasi dan kepalsuan. Justeru dunia moden hari ini, tidak hairan video sedemikian boleh dihasilkan tambahan pula dalam bentuk filem hitam putih.

"Saya masih ingat sebuah filem yang pernah saya saksikan di atas kapal terbang dalam perjalanan saya ke Mesir pada satu ketika dahulu, iaitu filem lakonan John Travolta dan Nicholas Cage yang berjudul Face Off. Saya tidak mengingati keseluruhan jalan cerita filem ini, tetapi apa yang saya masih ingat ialah bagaimana mereka menukar wajah antara dua watak [John Travolta menjadi Nicholas Cage dan Nicholas Cage pula berwajah John Travolta] sehingga isteri mereka sendiri tidak dapat membezakan antara keduanya," ulas beliau dalam satu kenyataan media.

Selain mendedahkan video berkenaan adalah tulen, Ismail semalam turut mendedahkan bahawa penyiasatan polis kini di peringkat akhir.

Walau bagaimanapun, individu penting dalam kes ini termasuk yang dituduh melakukan zina, langsung tidak dipanggil untuk memberi sebarang kenyataan.

Ismail juga mendedahkan tiga individu ditahan bersabit kes video seks ini, namun dibebaskan dengan jaminan polis.

Trio "Datuk T" yang membuat tayangan video lucah secara terbuka juga masih lepas bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan perundangan.

Menurut Nasrudin lagi, paling penting dalam konotasi agama, ia bukanlah tentang ketulenan video yang didedahkan "Datuk T", sebaliknya kaedah tuduhan yang tidak menepati syarak dan perlakukan menyebar serta mempertontonkan video lucah kepada umum jelas bertentangan dengan undang-undang dan hukum Qazaf.

"Sepatutnya pihak polis segera bertindak ke atas mereka yang memiliki dan menyebarkan video lucah tersebut. Bukan hanya berusaha meneliti ketulenan videonya
sahaja. Kalaupun benar video itu tulen, pelakon tidak semestinya sama dengan individu yang difitnah.

"Pastinya kita tidak boleh menuduh seseorang dalam keadaan tidak pasti, keliru dan sangsi,"katanya lagi.

Dalam konteks ini, agama Islam masih memerlukan empat orang saksi seperti yang disyariatkan dalam Islam untuk menuduh si pelaku melakukan perbuatan zina.

" Tulen atau tidak video itu bukan asas dan pokok dalam isu ini. Kerana jika ia disahkan tulen sekalipun, ia kekal sebagai bahan yang tidak menepati piawai
untuk membuat tuduhan zina malah ia turut terdedah kepada ruang manipulasi yang ketara,"kata Nasrudin.

" Datuk T yang kononnya dikatakan saksi hanya melibatkan 3 orang, ertinya belum mencukupi bilangan 4 orang saksi yang dikehendaki oleh Islam.

" Tambahan pula syarat saksi itu, selain dari mereka mestilah saksi yang adil [tidak pernah melakukan dosa besar dan tidak mengekalkan dosa kecil], mereka juga mestilah menyaksikan perlakuan zina itu sebagaimana masuknya batang celak ke dalam botol celak," jelasnya lagi.

Malah tambah Nasrudin, tidak mustahil imej individu yang dirakam melakukan hubungan seks adalah individu lain yang wajahnya mirip Anwar.

Oleh yang demikian, Nasrudin hari ini mengingatkan umat Islam supaya menggunakan kaedah yang digariskan dalam Islam kerana agama adalah untuk memelihara maruah.

" Umat Islam sewajar menjadikan kaedah dan format Islam sebagai asas untuk menerima sesuatu tuduhan dan menerima prosuder tersebut,"katanya.

Ahli PKR OKU ditahan ISA

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 April: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditahan polis mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kampung Kerinchi di sini, petang semalam.

Kadir Hashim, 42, adalah seorang ahli PKR ditahan dalam serbuan melibatkan 20 anggota polis berpakaian preman di rumahnya kira-kira pada jam 6.50 petang, lapor KeadilanDaily.

Perkara itu disahkan Mohamad Izhar, Ketua Angkatan Muda Keadilan Lembah Pantai kepada KeadilanDaily.

Beliau menganggap penahanan itu tidak masuk akal kerana Kadir adalah seorang peniaga tomyam OKU yang memiliki sebelah tangan dan mustahil untuk terlibat dalam ‘gerakan subversif’ seperti didakwa polis ketika membuat tangkapan.

“Kami (ahli PKR dan keluarga Kadir) tidak tahu sebab sebenar beliau ditahan polis,” kata Izhar.

Beliau berkata, PKR Wilayah Persekutuan akan membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada Isnin ini.

Dalam pada itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kecewa dan mengutuk sekeras-kerasnya penahanan berkenaan.

Dalam kenyataan media hari ini, kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu mahu mengetahui sebab sebenar penahanan Kadir dan mendesak supaya peguam dan ahli keluarga dibenar melawat Kadir secepat mungkin.

Mereka juga menganggap penggunaan ISA terhadap Kadir bertentangan dengan prinsip hak asasi, keadilan dan piawasai hak asasi antarabangsa, selain terdedah kepada bahaya penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan.

Mengakui nilai keselamatan negara penting, GMI dan Suaram tetapi setiap invidu berhak memperoleh perbicaraan yang adil.

Mereka juga kecewa kerana kerajaan dari satu segi mahu mengkaji semula penggunaan ISA tetapi pada masa masa membuat tangkapan melulu mengikut akta zalim itu.

Video Seks Tulen : KPN Cuba Alih Perhatian Rakyat, Kata MB Selangor





SHAH ALAM 2 APRIL : Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengatakan video lucah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tulen, berniat memesongkan perhatian umum, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid pada satu sidang media semalam berkata, isu ketulenan klip video 21 minit yang merakamkan imej seorang lelaki didakwa Ketua Pembangkang itu sedang melakukan hubungan seks dengan pelacur Cina, tidak pernah dipersoalkan.

"Kalau tulen, tulenlah. Saya tak ada masalah kalau betul tapi jangan buat cakap sahaja, ini satu kenyataan yang mengatakan sumbernya tulen, maksudnya apa, orangnya betul atau videonya betul?" soal beliau.

Negara semalam sekali lagi dikejutkan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh polis apabila mengesahkan bahawa video lucah yang didedahkan oleh tiga individu
yang menggelarkan diri mereka sebagai "Datuk T" adalah tulen.

Kenyataan Ismail itu kemudiannya dikritik keras oleh pimpinan Pakatan Rakyat termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mendesak mahukan polis mendedahkan
siapa pelaku sebenar dalam rakaman berkenaan.

Pada 21 Mac lalu, trio "Datuk T" yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan berdahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim bertanggungjawab membuat tayangan video lucah secara terbuka di sebuah hotel terkemuka di Ibu Negara.

Walaupun Ismail semalam mendedahkan bahawa siasatan polis terhadap kes ini berada di peringkat akhir, namun individu penting termasuk Anwar masih belum dipanggil untuk direkodkan keterangan.

Sebaliknya Ismail mendakwa akan menyerahkan kertas siasatan itu ke Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.

Mengulas hal itu, Khalid menggesa rakyat untuk mengimbau kembali insiden membabitkan Presiden MCA, Chua Soi Lek dan mahu rakyat menilai sendiri apa yang berlaku terhadap Anwar.

Jika dilihat katanya, kes DVD lucah Soi Lek bukan sahaja dibuktikan tulen malahan Soi Lek juga telah mengaku terlibat dalam DVD tersebut namun tiada tindakan diambil ke atas Soi Lek.

"Kalaupun tulen, anda kena tahu akibatnya. Tapi boleh jadi juga video itu betul tetapi sama ada pelakon itu benar? Chua Soi Lek telah mengaku, dan Anwar menyatakan individu dalam video tersebut bukan beliau. Ada perbezaannya," kata beliau lagi.

Anwar sehari selepas pendedahan video seks yang didakwa adalah dirinya telah menafikan dakwaan itu sekeras-kerasnya dan membuat laporan polis bahawa dirinya telah difitnah.

Ironinya penyiasatan yang dilakukan polis bukanlah bersandarkan laporan polis Anwar, sebaliknya memeriksa ketulenan video lucah berkenaan.

Tour Jingga' Bukti Politik PR Lebih Matang






KUALA LUMPUR 2 APRIL: Pakatan Rakyat menerusi Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggerakkan ‘Tour Jingga’ dalam usaha menyebarkan maklumat kepada rakyat berhubung program 100 hari gagasan itu sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada pilihanraya umum akan datang.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, pendekatan yang digunakan Pakatan Rakyat lebih dinamik berbanding amalan tradisi Umno Barisan Nasional yang menggunakan pendekatan fitnah lucah misalnya untuk menarik perhatian rakyat.

'Tour Jingga' yang dilancarkan semalam menyaksikan kira-kira 20,000 risalah berkaitan Buku Jingga Pakatan Rakyat diedar menggunakan pengangkutan awam PUTRA LRT dan akan berlangsung sepanjang April ini.

Shamsul ketika ditemui pemberita menjelaskan, pendekatan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga lebih bertepatan dengan aliran politik semasa di
negara ini.

“Tentunya pendekatan ini berbeza dengan pendekatan Umno-Barisan Nasional yang menggunakan politik fitnah, mengedarkan filem lucah dan sebagainya, tetapi kita lebih sesuai dan relevan untuk menunjukkan cara politik yang lebih baru dan dinamik iaitu menyebarkan maklumat yang betul dan fakta supaya rakyat Malaysia kita ajak untuk berfikir memilih parti berdasarkan dasar yang diperjuangkan ataupun program yang kita cadangkan kepada rakyat.

“Kita lakukan ini kerana kita ingin menyebarkan maklumat dan risalah jingga ini yang mengandungi program 100 hari Pakatan Rakyat yang kita rasakan penting untuk rakyat Malaysia terutamanya orang muda untuk mengetahui pendirian atau program kita sekiranya kita memenangi kerajaan persekutuan pada pilihanraya akan datang,” katanya.

Buku Jingga menggariskan demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan secara adil, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh dan hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil- setara.

Menurut Shamsul lagi, 'Tour Jingga' merupakan sebahagian daripada perlaksanaan kempen yang dilakukan lebih awal bagi menghadapi pilihanraya umum yang bakal berlangsung bila-bila masa.

" Ya, ia sebahagian daripada program kita. Pakatan tidak percaya kepada kempen dalam tempoh singkat. Jadi kita lakukannya lebih awal dan akan melakukan yang sama di Sarawak,"tambah beliau.

Risalah yang diedarkan semalam turut memuatkan alamat laman sesawang, Twitter dan Facebook Buku Jingga.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat Buku Jingga boleh melayari :-

www.bukujingga.com

Twitter : @bukujingga dan

Facebook : Buku Jingga

Adegan paling tak ranjang

Aku tak tahu apa yang harus aku buat. Aku nak menangis tetapi aku rasa bersalah. Kalau aku ketawa aku juga akan merasa bersalah. Aku merasa bersalah kerana aku adalah salah seorang yang telah djemput untuk menonton tayangan perdana pembukaan sedunia, filem Tiga Mat Boroi. Aku merasa bersalah kerana orang lain tidak dijemput.

Walau apa pun aku mesti berkata benar bahawa aku merasa begitu bangga sekali apabila seorang pengarang akhbar The Star menelefon dan menjemput aku untuk datang menonton. Menggeletek anak tekak, tak sabar-sabar nak menonton Tiga Mat Boroi. Cepat-cepat aku seterika baju dan seluar.

Aku juga merasa amat amat gembira kerana dapat sama-sama merayakan kerja seni garapan Le Petit Tambi. Le Petit Tambi ini adalah pengarah filem kanak-kanak pada tahun 80-an dahulu. Dia cukup hebat dalam hal kanak-kanak dan buat anak. Dari apa yang aku difahamkan, filem terbaru ini adalah percubaan awal untuk meninggalkan genre kanak-kanak dan memasuki filem yang dianggap engaging atau filem fikrah.

Bayangkan betapa bangganya aku kerana telah dijemput untuk melihat tayangan eklusif Tiga Mat Boroi ini. Tayangan ini bukan di panggung kokak di Penang Road atau di Mid Valley. Aku dijemput ke panggung yang amat eklusif - Le Carcosa.

Tentang Carcosa ini, aku pernah diberitahu bahawa satu ketika dahulu Queen Elizebeth pernah terkencing berdiri di tandasnya. Ini terjadi sesudah Queen Elizebeth makan sup tomyam yang agak pedas di Jalan Masjid India. Drama ini berlaku ketika Queen Elizebeth datang ke Kuala Lumpur untuk merasmikan Sukan Kommonwealth pada tahun 1998 dahulu.

Berita Queen Elizebeth terkencing berdiri di Carcosa ini memang tidak dilaporkan media kerana takut akan menjadi satu trend ikutan anak-anak muda. Amat ditakuti kalau-kalau anak muda akan pergi beramai-ramai ke Carcosa hanya untuk berdiri terkencing.

Bila aku sampai ke Le Carcosa, aku telah disambut oleh lelaki gelap berpakaian serba hitam, termasuk berkaca mata hitam. Sekali pandang mereka kelihatan seperti pelakon dalam filem Man in Black. Sekali lagi pandang mereka ini semuanya seperti samseng dalam filem Tamil - bangang tapi lawak.

Liputan meluas


Kemudian aku pun dibawa masuk ke dalam panggung. Kelihatan ramai para gedebe tempatan dan wartawan yang telah datang lebih awal berada di situ. Semuanya kelihatan resah dan gelisah , duduk ternanti-nanti bilakah filem ini akan diputar.

Sebelum filem diputar, Le Petit Tambi sebagai pengarah telah mengalu-alukan kedatangan para jemputan, terutama wakil media. Le Petit Tambi berharap filem Tiga Mat Boroi ini akan mendapat liputan yang meluas. Menurut pengarah filem ini, dengan laporan media pasti orang ramai akan teringin ke panggung untuk menonton.

Filem pun diputar. Belum sampai tiga minit, mula kedengaran orang berdengkur. Pada minit ketujuh, dua orang penonton bangun untuk ke tandas. Untuk aku, ini petanda yang kurang sihat kerana filem ini tidak dapat memaku bontot penonton di kerusi.

Aku sendiri kembali untuk memberi konsentrasi dan melihat semua adegan yang sedang bergerak di hadapan mata. Aku terperanjat besar. Menurut Le Petit Tambi, filem ini adalah filem drama politik yang serius. Tetapi bila aku lihat, filem ini adalah filem komedi bodoh bergenre Senario.

Malah aku hairan kenapa tajuk filem ini diberi nama Tiga Mat Boroi. Tajuk sebegini sudah lawak. Tidak mungkin tajuk sebegini akan dilihat sebagai filem yang serius. Filem genre politik yang serius untuk aku adalah filem seperti Maria Mariana atau Sembilu. Filem-filem ini memiliki drama politik yang hebat dan tak ada tolok bandingan dalam dunia perfileman.

Sebelum filem diputar tadi, Le Petit Tambi juga berkata bahawa adegan di ranjang dalam filem ini cukup hebat. Pengarah telah menggunakan lapan buah kamera. Ini untuk memastikan semua sudut dirakam tanpa ada potongan. Penggunaan lapan buah kamera ini cukup hebat, malah lebih hebat dari Stanley Kubrick ketika membuat adegan ranjang dalam Lolita. Stanley Kubrick hanya menggunakan tujuh buah kamera sahaja. Ini betul-betul sikap Malaysia Boleh dari Le Petit Tambi!

Menurut Le Petit Tambi, filem ini mengisahkan seorang negarawan ulung yang telah digoda oleh seorang gadis Siam. Si gadis ini adalah pengintip macam Mata Hari yang dihantar khusus ke Malaysia oleh kerajaan Siam untuk mengagalkan projek Getah Negara. Jika projek Getah Negara ini berjaya, maka Siam akan kehilangan pasaran yang amat besar. Inilah jalan cerita filem ini.

Bila aku mendengar kata-kata Le Petit Tambi tentang adegan ranjang ini, air liur aku meleleh. Aku ternanti-nanti adegan ranjang ini. Malah aku telah bersedia dengan sarung tangan, jika kejantanan aku terganggu. Jika terganggu, aku tahu apa yang wajib aku lakukan.

Long shot

Tup! Tup! Apabila adegan ranjang bermula, aku terperanjat besar. Aku merasa tertipu. Walaupun lapan kamera digunakan dari pelbagai sudut, semuanya kelihatan gagal. Semua gambar kabur dan bergoyang- goyang. Tidak ada satu pun kamera yang berani menyorot dekat. Semua gambar diambil dari jarak jauh - long shot.

Malah cukup menyedihkan kerana tidak ada satu pun reverse angle untuk memperlihatkan reaksi muka negarawan yang sedang bertogel. Apa yang jelas dilihat hanyalah punggung dan bahagian belakang si negarawan ini sahaja. Macam si negarawan sedang membuat tekan tubi.

Adegan ranjang ini adalah adegan yang paling tidak ranjang, yang pernah aku lihat. Gambar yang agak kabur dan bergoyang-goyang ini bertambah buruk lagi dengan lakonan kaku watak utamanya. Pelakon yang menjadi negarawan ini kelihatan tidak kacak. Kalau tidak kacak tetapi memilik badan yang gagah perkasa, mungkin juga penonton akan berpuas hati. Tetapi ini tidak juga berlaku.

Mengikut istilah 'nyah ', badan pelakon utama ini, "cukup mak tak taste."

Biar aku berkata jujur bahawa pelakon ini kelihatan boroi. Keboroiannya kelihatan jelas apabila dia bangun untuk memakai seluar. Perutnya kelihatan gendut. Malah apabila dia bangun, aku terdengar ramai yang ketawa melihat perutnya yang boroi dan bergoyang-goyang.

Mengambil pelakon berperut boroi adakah kesilapan yang amat besar. Dalam pembikinan filem, amat penting pemegang watak utama dilihat kacak dan bergaya. Kalau pun bukan bermuka Brad Pitt, sekurang kurangnya pilihlah muka kacak seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apabila wira filem ini mula berjalan, aku hampir terbarai ketawa. Tetapi kerana hormat kepada penonton yang lain aku terpaksa mengigit jari untuk menahannya. Sakit perut aku menekan ketawa masuk ke perut.

Pesta filem di Cannes

Bayangkan, siapa pun akan ketawa apabila melihat imej negarawan ini, bukan sahaja boroi, pungungnya tonggek pula. Oh la la... di mana silapnya tuan pengarah ini? Mata aku mencari-cari dalam gelap, di manakah Le Petit Tambi? Pada ketika itu, aku rasa nak memberi satu penampar kepada tuan pengarah.

Kemudian si negarawan bangun untuk memakai baju. Nah, sekali lagi aku teperanjat. Kelihatan jelas tangannya yang memegang baju itu kelihatan berbulu lebat. Memang betul, bukanlah berbulu macam King Kong. Tetapi aku amat yakin pelakon ini cukup sesuai untuk berlakon dalam iklan Gillette. Tangannya yang berbulu itu akan kelihatan licin jika dicukur dengan Gillette.

Bila lampu dibuka, aku terperanjat sekali lagi. Hanya tinggal lima kerat dalam panggung Carcosa ini. Penonton yang lain telah senyap-senyap cabut pulang. Aku diperkenalkan oleh Le Petit Tambi dengan dua orang lagi yang menjadi pembantu pengarah. Bila aku lihat muka pembantu pengarah ini, aku rasa nak menempeleng kepala mereka. Muka mereka kelihatan 'poyo' walau pun mereka kelihatan bangga menjayakan filem ini.

Le Petit Tambi tanpa malu dan segan telah berkata bahawa filem ini akan di bawa ke pesta filem di Cannes. Sedih bila aku mendengar kata-kata Le Petit Tambi ini. Aku merasa sedih kerana kebodohan mereka. Aku rasa filem ini, kalau YouTube adakan syarat piawaian, sudah pasti filem ini tidak akan lepas.

Bila sampai ke rumah, aku termenung dan langsung membuka internet. Aku terperanjat beruk apabila membaca tentang Ummi Ufilada yang telah membuat sidang akhbar untuk mengumumkan bahawa dia memiliki 18 buah lagi filem yang akan menandingi kehebatan filem Tiga Mat Boroi. Aku hampir pengsan apabila membaca berita ini. Nampaknya si Ummi ini ingin bertempur dengan Le Petit Tambi.

Lalu aku terfikir, apa sudah jadi? Lalu aku bertanya, ke mana arahnya perkembangan filem Melayu hari ini? Apakah peranan Finas telah gagal? Apakah desas-desus yang aku dengar tentang Finas kini betul?

Untuk para pembaca yang teringin menonton filem Tiga Mat Boroi ini, lupakan sahaja. Tetapi kalau nak melihat orang boroi tak susah. Yang agak susah ialah bertemu orang boroi yang tonggek dan tangan bebulu. Orang jenis ini hanya berada di Siam. Tetapi kepada anak muda, kalau hendak pergi terkencing berdiri di paggung Le Carcosa seperti Queen Elizebeth dipersilakan.

Video Seks : Motif Politik Amat Jelas




EDITORIAL : Sekurang-kurangnya kes video seks yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sahih.

Soal kesahihan ini bukan sahaja membabitkan pembikinan video seperti yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar Ismail tetapi apa yang lebih sahih ialah isu siapa yang mengusahakannya.

Berbeda dengan dua kes konspirasi yang juga berbaur seks yang cuba dipalitkan ke atas Anwar sebelum ini, kes kali ini jelas digerakkan oleh orang politik.

Dalam kes pertama Anwar dihukum bersalah kerana “salah guna kuasa” untuk lindungi apa yang dikatakan perbuatan seks sumbangnya. Beliau dipenjara enam tahun.

Namun Mahkamah Persekutuan yang merupakan badan kehakiman tertinggi Negara kemudian mendapati kes itu tidak benar dan membebaskan Anwar.

Yang jelasnya, walaupun dapat dihidu umum kes itu adalah satu konspirasi politik untuk menjatuhkan wibawa kepemimpinan Anwar, tangan-tangan politik yang terbabit cuba disorokkan oleh pelbagai institusi – polis, mahkamah dan juga media – daripada dikenalpasti umum.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berselindung di sebalik kedudukan politiknya dan enggan memberi keterangan di mahkamah tetapi tidak pernah lelah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Anwar (termasuk yang terbaru dalam Memoir yang bercambah kesalahan fakta).

Begitu juga kes tuduhan liwat kedua. Berhempas pulas institusi yang sama cuba melindungi perancang-perancang di sebalik tuduhan terhadap Anwar.

Seberapa boleh biarlah Anwar terpaksa berhadapan dengan pihak kehakiman, media dan juga polis sahaja. Sehingga kes bersambung semula pertengahan bulan ini, akan dapat disaksikan pula betapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan bersilat enggan ke mahkamah.

Kes ketiga ini lain sedikit. Mungkin kerana silap langkah dan disergah oleh beberapa pihak yang pada mulanya menjadi sasaran untuk mengukuhkan rencana jahat mereka – Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ketua Solidariti Anak Muda, Badrul Hisham Shaharin -- pihak penganjur drama politik video seks ini tidak sempat dan dapat mengelak diri.

Ketiga-tiga mereka terpaksa mengaku pembabitan dalam kisah video seks ini. Mereka menggelarkan diri kumpulan Datuk T (satu nama pelik yang terpaksa direkacipta setelah tembelang mereka diketahui umum) dan, mendapat nasihat Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Maka oleh kerana ketiga-tiga Datuk T ini orang politik dan mempunyai rekod yang kurang cemerlang dalam soal keluhuran amalan politik mereka, maka sahih ada unsur politik dalam konspirasi ini.

Lebih penting lagi amat mudah sekali kes ini dikaitkan dengan motif politik – jatuhkan Anwar.

Hakikat ini apabila ditokok dengan musim pilihanraya Sarawak, maka suluhan terhadap motif politik yang digerakkan orang-orang politik Umno yang masih enggan pencen ini amat ketara.

Bahawasanya mereka ini dipacu oleh dendam kesumat politik peribadi dan kepartaian adalah amat jelas.

Soal adakah dendam kesumat Rahim, Shuib dan Eskay Abdullah sahaja yang menjadi pendorong kepada usaha menggunakan perencah seks untuk menjatuhkan Anwar? Tentu tidak. Ada pihak lain yang lebih berkepentingan yang yakin bahawa hanya fiksyen seks yang boleh meranapkan kerjaya politik Anwar.

Sudah tentu entiti pendengki dan bacul ini adalah Umno.

Sebagai gerakan politik yang sudah hampir lumpuh dan yang hanya mampu mengatur langkah bila disogok wang ringgit, Umno nampaknya makin ketandusan idea untuk menang dalam persaingan politik.

Betapa tidaknya, tema untuk menjatuhkan musuh hanya mampu dikaitkan dengan seks. Memang benar pepatah orang dahulu kala, “alah bisa tegal biasa” dan “turutkan nafsu lesu.”

Kelesuan politik Umno ini nampaknya juga membawa kesuraman kepada daya pemikiran dan tindakan institusi lain yang memang sebelum ini juga bertolak-tolak tidak mahu dikenalpasti rakyat sebagai tangan-tangan yang terbabit dalam konspirasi skala besar ini terhadap Anwar ini.

Cara laporan media misalnya, jelas tidak berdaya lari daripada usaha cuba mensensasikan rekayasa konspirasi.

Dengan mengulang pendekatan yang sama dari kes fitnah seks satu hingga tiga, ia sekaligus mengisytiharkan betapa dangkal dan lemahnya daya fikir pengendali media arus perdana.

Mungkin kerana mereka sendiri tidak mampu mengendali naluri seks masing-masing, maka merekapun merumuskan bahawa kisah-kisah seks mampu membantu jualan akhbar dan melonjakkan “ratings” televisyen mereka.

Begitu juga dengan cara penyiasatan polis. Yang disiasat ialah orang yang mengadu difitnah dan teraniaya.

Dengan menggunakan taktik yang condong kepada pengesahan cerita-cerita fitnah, ketiga-tiga kes disiasat menggunakan pendekatan sebegitu. Kes terakhir yang segera disiasat bukan kesalahan memiliki, menayang video lucah serta identiti pelaku adegan seks tetapi ketulenan video!

Motif Rahim jelas. Dia kehilangan kerusi Ketua Menteri Melaka pada 1994 sebab terpalit kes rogol gadis bawah umur. Motif Eskay pula adalah kerana terlepas imbuhan berjuta ringgit kerana Anwar tidak mahu menjadi saksi kes tuntutan komisyen dalam projek Jambatan Bengkok.

Motif Shuib pula adalah dendam Perkasa sebuah badan yang mahu Melayu terus Perkasa dalam politik Malaysia (hanya kerana ia mendakwa Melayu) tetapi gerun bersaing dengan orang lain kerana kurang yakin pada kebolehan sendiri.

Motif institusi yang bersengkongkol apa pula? Takut! Ya takut hilang kedudukan dan jawatan kerana kecurangan ketua-ketua silam.

Jika mengaku pemimpin institusi seperti polis, kehakiman dan media sebelum ini curang dan culas, kedudukan sendiri akan diperkecil masyarakat. Jadi atas nama untuk memelihara keluhuran institusi, mereka pun meneruskan tradisi dan politik usang dengan harapan rakyat tidak dapat membaca pembabitan mereka. Maka yang sahih, kes kali ini adalah kes konspirasi politik skala tinggi.

Dalang Video Lucah Tandus Modal Politik, Kata Ku Li







KUALA LUMPUR 2 APRIL : Tengku Razaleigh Hamzah membidas pihak yang mendalangi fitnah video lucah untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menegaskan rakyat akan menolak "politik kotor' sebegitu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada isu-isu nasional yang jauh lebih penting.

"Ini orang panggil gutter politics, politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya. Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik," tambah mantan Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno itu.

Dalam wawancara esklusif dengan TVSelangor, Tengku Razaeligh yang lebih dikenali 'Ku Li' menegaskan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, menolak cubaan mana-mana pihak menyerang keperibadian pihak lain semata-mata untuk mencari kelebihan politik.

"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah," kata beliau.

"Perkara ini tak patut didedah kepada orang ramai. Jadi itu tunjukkan orang tak faham politik pun menolak benda macam ni. Saya rasa (video seks) ini salah langkah," tambah beliau

Ku Li berkata biarpun pihak yang mendalangi video seks itu berjaya menjatuhkan Anwar dan mencapai kemenangan politik, ia tidak bermakna dalam konteks kemuliaan tamadun negara itu sendiri.

"Kenapa kita nak amalkan ini semua kerana politik? Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," tegas beliau.

Tiga individu - Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bendahari Perkasa Shuib Lazim dan ahli perniagaan Shazryl Eskay mengakumendalangi penayangan video itu kepada umum pada 21 Mac.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkkan Anwar mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan berjumpa Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak selepas identiti mereka dibongkar oleh pejabat Parti Keadilan Rakyat.

Anwar membuat laporan polis bagi membolehkan polis menyiasat siapa pelaku dalam rakaman itu.

Beliau menegaskan pada malam rakaman itu dibuat, beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitternya.

Pejabat PKR mengemukakan sembilan pesanan Twitter Anwar, bagi menyokong hujah Ketua Pembangkang itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Ismail Omar membuat pengumuman mengejutkan apabila mengisytiharkan video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.

Beliau berkata hasil siasatan sudah di fasa terakhir dan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat.

Kenyataan Ketua Polis Negara itu menimbulkan pelbagai kecurigaan kerana adalah difahamkan polis tidak mengambil keterangan daripada pihak-pihak yang relevan
untuk memperakukan keterangan Anwar sebelum ini.

Contohnya keterangan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang menghuraikan sembilan catatan Twitter Anwar yang membuktikan Ketua Pembangkang tidak terbabit dalam perlakuan sumbang yang dituduh oleh Rahim dan dua rakannya itu.

Ku Li berkata perbuatan mencantas ahli politik dengan taktik-taktik keji seperti menayangkan video seks "bukan budaya" Melayu mahupun Islam kerana ia amat keji.

"Saya tak tahu dimana kita belajar perkara ini. Di Amerika pun orang kata politiknya kotor. Saya rasa ia bergantung pada kita. Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik' kata Ku Li.

"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau.

Ku Li : Cabaran Getir Namun Pakatan Mampu Buat Kejutan Di Sarawak




KUALA LUMPUR 2 APRIL : Kekangan logistik dan sumber kewangan akan menjadi halangan terbesar kepada Pakatan Rakyat untuk menawan Sarawak. Namun gagasan itu mampu menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga pada pilihanraya negeri bulan ini, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Tokoh Umno itu yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, apa yang jelas adalah Sarawak tidak lagi boleh dianggap sebagai "simpanan tetap" Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasanya di Putrajaya.

Pilihanraya Sarawak akan diadakan pada 16 April dengan hari penamaan calon pada 6 April. Adalah dijangkakan sebilangan besar daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri akan menyaksikan pertembungan satu dengan satu antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Ku Li berkata aliran politik semasa menunjukkan BN akan mengekalkan kuasa di Sarawak, namun kemenangan selesa seperti pilihanraya negeri yang lalu tidak akan berulang.

"Kalaulah dalam keadaan biasa, kemungkinan BN akan mengekalkan kuasa tapi bukan dengan majoriti dua pertiga sepertimana sebelum dibubarkan Dewan Undangan Negeri. Sekiranya keadaan kempen dan pergerakan dijalankan seperti biasa, kemungkinan BN akan mendapat majoriti mudah untuk terus berkuasa di Sarawak," kata bekas Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno itu.

Namun tokoh politik veteran itu memberi amaran bahawa Pakatan Rakyat akan menghadapi pelbagai rintangan dalam usaha untuk menamatkan pemerintahan 30 tahun BN di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ku Li berkata BN, seperti di masa-masa lalu akan mencari kemenangan mutlak dengan "menggunakan banyak wang dan dengan logistik" untuk meraih sokongan pengundi yang bertaburan merentasi sebuah negeri yang saiznya hampir sama dengan Semenajung Malaysia.

Mantan Menteri Kewangan itu berkata BN dijangka membolot segala kemudahan pengangkutan yang ada di Sarawak untuk memberi tekanan kepada Pakatan Rakyat.

"Kalau nak kemana-mana di Sarawak kena ada bot dan kapal terbang. Kalau semua orang dah sewa bot dan kapal terbang, macam mana nak berkempen. Dan kalau semua minyak sudah dipajak atau dibeli di stesen minyak, nak bergerak pun susah. Saya rasa kalau keadaan seperti ini berlaku, sukar bagi mereka menghadapi BN di Sarawak," kata Ku Li.

Pakatan Rakyat mengharapkan sentimen pengundi yang menolak kepemimpinan Taib yang diselubungi dengan dakwaan-dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, tuduhan pemimpin BN merampas Tanah Adat Orang Asal dan kemiskinan luar bandar sebagai pemangkin untuk membuat kejutan pada pilihanraya negeri kali ini.

Ku Li berkata jika Pakatan berjaya menafikan majoriti dua pertiga kepada BN di Dewan Undangan Negeri Sarawak, ia membawa implikasi tersendiri kepada kelangsungan gabungan itu sendiri di peringkat kerusi Parlimen.

'Sudah tentu (ia mempunyai impak) kerana keadaan di bawah tentukan keadaan di atas. Oleh sebab itu, keadaan ini akan tentukan kedudukan Parlimen dan Kerajaan Pusat,' tambah beliau.

BN kini menguasai 62 daripada 71 kerusi DUN Sarawak dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pimpinan Taib memegang 35 kerusi, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempunyai 12 kerusi dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing memegang lapan kerusi.

Pakatan Rakyat memenangi tujuh kerusi pada pilihanraya negeri lalu dengan DAP merangkul enam kerusi dan PKR satu.

Ku Li menjangka jika Pakatan Rakyat berjaya menafikan BN majoriti dua pertiga di Sarawak, ia akan memberi kesan kepada sentimen pengundi di Sabah.

Negeri jiran Sarawak itu juga menghadapi masalah kemiskinan kronik, di samping pimpinan kerajaan negeri diselubungi dakwaan-dakwaan membolot kekayaan balak dan sumber asli negeri.

"Apa juga yang berlaku di Sarawak akan mempengaruhi keadaan di Sabah. Kalau keadaan BN tak baik di Sarawak ia juga akan pengaruhi keadaan tak baik di Sabah. Itu yang lazimnya,' kata Ku Li.


APA KHABAR ORANG PAHANG: Ratusan Mayat Di Zon Larangan Nuklear Jepun





JEPUN 1 April – Kira-kira 1,000 mayat mangsa gempa bumi dan tsunami masih tidak dikutip dalam kawasan zon larangan di sekitar loji nuklear kerana kebimbangan terhadap kesan radiasi, kata laporan hari ini.

Memetik sumber polis, Kyodo News berkata, pihak berkuasa berhasrat menghantar mayat keluar daripada zon larangan 20 kilometer di sekitar loji Fukushima tetapi menimbang semula rancangan berkenaan.

Mayat itu sudah “terdedah dengan kesan radiasi tinggi selepas kematian”, kata laporan itu memetik sumber.

Polis tempatan memutuskan untuk tidak mengutip mayat-mayat berkenaan kerana kebimbangan terhadap radiasi.

Kira-kira 28,000 orang disahkan mati atau disenaraikan sebagai hilang sejak gempa bumi dan tsunami melanda pada 11 Mac lalu di timur laut Jepun serta melumpuhkan operasi loji nuklear berkenaan dan berlaku kebocoran sehingga menyebabkan kesan radiasi. - AFP

(function() { var d = document, w = window; w

KERAJAAN PULAU PINANG JANGAN BAYAR KECUALI BAWA KES INI KE MAHKAMAH DENGAN FAKTOR SEJARAH DAN PERJANJIAN YANG ADA.IHSAN KERAJAAN PERSEKUTUAN BOLEH DICABAR

  Tambah 10 kali ganda – Sanusi tuntut RM100 juta setahun atas ‘pajakan’ P Pinang Predeep Nambiar  - October 27, 2021 3:37 PM 760 Shares   6...