HENTAM DUIT RAKYAT......KERAJAAN TAK BERHATI PERUT

Akta JPJ: Mohon pada Agong jalan terakhir

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Pakatan Rakyat hari ini memohon Yang di-Pertuan Agong menangguhkan kelulusan Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang diluluskan Dewan Negara baru-baru ini.

Permohonan itu dibuat dalam memorandum yang diserahkan kepada Tuanku melalui Setiausaha Sulit Kanan, Datuk Mohd Zuki Ali pagi tadi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, memorandum itu merupakan jalan terakhir setelah usaha mereka menghalang kelulusan rang undang-undang itu sehingga ke peringkat Dewan Negara tidak berhasil.

"Tidak ada jalan lain lagi, jalan terakhir memohon kepada Tuanku sahaja. Saya sudah hantar surat kepada Dewan Negara minta ia ditolak, tapi diluluskan juga," kata beliau kepada pemberita selepas penyerahan itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena juga memohon Tuanku menitahkan rang undang-undang berkenaan dibahas semula di Parlimen kerana ianya dibuat secara tergesa-gesa.

"Jadi kita pohon Tuanku mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana ini melibatkan kepentingan rakyat, bukan isu politik.

"Saya sedia bertemu Tuanku memberi penjelasan lanjut bersama pegawai undang-undang kita", kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Anti Saman Ekor (Kase).

Tidak selesai masalah

Menurut Mahfuz juga, pindaan-pindaan terhadap akta ini hanya bersifat teknikal dan bertujuan memperkenalkan sistem penguatkuasaan automatik (Automated Enforcement System-AES).

Beliau mempersoal tindakan kerajaan memberikan kontrak kepada dua syarikat iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd sebelum rang undang-undang itu diluluskan.

"Timbalan Menteri menyatakan letter of award belum dikeluarkan tetapi letter of intent telah diberikan sedangkan pindaan rang undang-undang belum diluluskan, nampaknya Kementerian telah mendahului Parlimen dalam hal ini," katanya.

Pindaan ini juga didakwa tidak menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit seperti masalah kemalangan maut yang semakin meningkat, masalah senarai hitam pemilik kenderaan dan juga masalah saman ekor.

"Persoalannya bagaimana kedudukan saman-saman ekor yang dikuatkuasakan sebelum pindaan ini kerana imej yang dirakam yang digunakan sebelum pindaan tidak boleh diguna di mahkamah," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai pengkhianatan kepada rakyat.

"Sekarang ini saman pun nak diswastakan. Ini satu pengkhianatan kepada rakyat. Rakyat sudah terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, bila diswastakan saman, ianya satu tindakan yang membebankan rakyat.

"Sudah pasti syarikat yang diberi kontrak ini mahukan keuntungan sebab dia akan dapat habuan untuk setiap saman yang dikeluarkan," katanya.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin pula berkata, kerajaan tidak memikirkan kesan jangka panjang terhadap sesuatu rang undang-undang yang diluluskan.

"Penswastaan JPJ ini satu konsep yang salah. Umno BN hanya memikirkan kepentingan mereka dan menguntungkan sesetengah pihak. Pengurusan kerajaan tidak bijak dan tidak mengkaji kesan jangka panjang sebaliknya membuat sesuatu secara tergesa-tergesa.Itulah BN," katanya.

Dalam pada itu, ahli jawatankuasa Kase , Taufek Abdul Ghani memberitahu, Kase akan bermesyuarat pada 27 Disember ini untuk merangka tindakan seterusnya bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat berkenaan perkara ini.

Turut mengingiringi Mahfuz ialah bendahari PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai dan AJK PAS Pusat, Taib Azamuddin yang juga ahli Parlimen Baling selain dua peguam Kase.


WikiLeaks: Anwar tuntut Mahathir, Utusan tarik balik komen fitnah

WikiLeaks: Anwar tuntut Mahathir, Utusan tarik balik komen fitnah

December , 2010

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar surat tuntutan meminta bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Utusan Malaysia menarik balik komen-komen, didakwa bersifat fitnah, susulan pendedahan WkiLeaks menyentuh kes liwat beliau.

Peguam Anwar (gambar), Sankara Nair berkata, tindakan seumpama itu membabitkan individu-individu tertentu dan organisasi media yang lain akan menyusul dalam beberapa hari lagi.

“Ini adalah dua notis pertama dikeluarkan dan beberapa lagi akan dihantar kepada individu tertentu dan organisasi media lain dalam beberapa hari lagi,” kata Sankara dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Notis tuntutan itu meminta agar kenyataan berunsur fitnah itu ditarik dan memohon maaf secara terbuka.

Kedua-dua pihak diberikan tempoh 14 hari, kata notis tuntutan itu.

Laporan Utusan Malaysia memetik Dr Mahathir sebagai berkata, “aktiviti liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya sudah diketahui umum tetapi ada kalangan parti politik yang ‘buat-buat tidak tahu’ akan hal tersebut.”

Kenyataan notis tuntutan itu berkata, “sambil mengakui yakin menteri mentor Singapura Lee Kuan Yew mengetahui mengenai pembabitan Anwar dalam aktiviti liwat, Dr Mahathir berkata ‘memang saya pun fikir dia tahu... tapi parti politik yang buat tak tahu’.”

Dr Mahathir dipetik mengulas laporan WikiLeaks mengenai pendedaghan agensi perisikan Singapura terhadap kegiatan liwat Anwar.

Notis tuntutan itu menambah, perkataan-perkataan itu menggambarkan bahawa Anwar seorang yang tidak jujur dalam kapasiti peribadi dan rasmi, pembohong, tidak boleh dipercayai dan tidak layak jadi ahli politik, tidak layak memegang jawatan awam, tidak berprinsip dan korup, melakukan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan dan kesalahan-kesalahan lain dan tidak beretika.

Selain meminta agar menarik balik dan memohon maaf, notis tuntutan itu juga mahu Utusan Malaysia dan Dr Mahathir berjanji tidak akan mengulangi dakwaan dan komen-komen bersandarkan perkataan-perkataan berunsur fitnah itu dan membayar sejumlah ganti rugi kepada Anwar.

Sankara berkata, pihaknya akan mengambil prosiding perundangan jika kedua-dua Utusan Malaysia dan Dr Mahathir tidak memenuhi tuntutan Anwar dalam tempoh 14 hari.

Pada 14 Disember lalu, Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada penasihat Parti Keadilan Rakyat itu.

Malah beliau menganggap, tindakan Ketua Pembangkang itu menyaman dirinya bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sebelum ini pun Anwar pernah melakukan perkara yang serupa.

“Tak apalah... samanlah. Dia dah saman saya RM100 juta. Kalau dia nak saman, saya masuk jellah. Tak apalah...,” katanya.

Anwar sebelum ini pernah memfailkan saman fitnah bernilai RM100 juta terhadap Dr. Mahathir pada 2006 kerana mendakwa bekas Perdana Menteri itu menuduhnya sebagai seorang homoseksual.

Bagaimanapun, tahun lepas, Mahkamah Rayuan membatalkan rayuan saman fitnah tersebut dan mengarahkan Anwar membayar kos kepada bekas Perdana Menteri itu.

Dr. Mahathir berkata, Anwar boleh menyaman sesiapa sahaja termasuk akhbar-akhbar yang melaporkan pendedahan yang dibuat oleh laman web tersebut namun tegas beliau, ia tidak akan berkesudahan.

Ini kerana, laman web seperti WikiLeaks akan terus menyiarkan apa sahaja bahan dan penyiaran pendedahan itu hanya akan mengundang masalah kepada seluruh dunia.

Ia menjadi isu kontroversi susulan laporan The Sun-Herald dua minggu lalu yang membawa pendedahan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat, menunujukkan pegawai-pegawai risikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu.

“Jabatan Risikan Kebangsaan Australia juga mengatakan bahawa kelakuan itu adalah akibat perangkap oleh musuh-musuh Dr Anwar,” lapor akhbar itu.

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.

Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan ahli-ahli politiknya tidak kompeten.

Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.

Ia menyebut, “Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau dikenakan tuduhan sekarang.”

Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.

“ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat,” kata kabel itu.

Tuntutan melampau: Pakatan Pahang lapor SPRM

Tuntutan melampau: Pakatan Pahang lapor SPRM
Khairil Abdul Rahim
TEMERLOH, 22 Dis: Pakatan Rakyat Negeri Pahang hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung perbelanjaan melampau dan amat meragukan dalam projek pengubahsuaian Rumah Rehat Bentong sehingga disyaki berlaku penyelewengan dana kerajaan.

Laporan tersebut dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Negara bagi Negeri Pahang yang dikeluarkan baru-baru ini, di mana didapati terlalu banyak item-item tuntutan yang tidak munasabah kerana harga yang terlalu tinggi berbanding di pasaran.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang, Roslan Zainal yang mewakili Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah menyerahkan laporan memohon diadakan siasatan segera itu kepada Penolong pengarah SPRM Pahang Cawangan Temerloh Abdul Malik Mohd Yusof.

Turut mengiringi ialah Penasihat Undang-undang PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid, Setiausaha Penerangan PAS Pahang Hashim Abdullah, Timbalan Ketua Cabang PKR Temerloh Abdul Kadir Abdul Manap serta kira-kira 30 orang penyokong.

Roslan yang juga Pengerusi Sekretariat Pakatan Pahang dalam sidang medianya selepas itu berkata, Abdul Malik telah berjanji untuk membawa laporan tersebut ke atas untuk disiasat.

“Dalam laporan Ketua Audit Negara menyebutkan tentang pemasangan papan tanda tandas di Rumah Rehat Bentong dituntut dengan jumlah RM871 sedangkan audit menjelaskan pada harga pasaran barang tersebut hanya berharga RM65.

“Begitu juga dengan tuntutan set sofa yang pada nilaian pasaran cuma berharga RM990 telah dituntut sebanyak RM3,530. Lebih mengejutkan dalam laporan itu ialah tuntutan set lampu yang pada harga pasarannya cuma RM9,200 tetapi telah dituntut terlalu tinggi sehingga berjumlah RM38,700. Dan banyak lagi item lain,” jelasnya.

Roslan juga dalam laporannya menggesa SPRM menyiasat bagaimana kerajaan negeri membuat syarat perjanjian pinjaman yang tidak menjamin kepentingan kerajaan melalui terma perjanjian pinjaman kepada syarikat-syarikat kerajaan negeri seperti Aspa dan PKNP.

“Kelemahan ini telah mendapat teguran keras Ketua Audit Negara. Bayangkan tidak ada syarat yang melindungi kepentingan kerajaan negeri sedangkan itu amanah rakyat. Bagi kami, apa yang berlaku merupakan kelemahan pengurusan mega yang boleh menjerumuskan kerajaan negeri kepada suatu keadaan yang terdedah kepada penyelewengan dan kebankrapan,” tambahnya.

Roslan juga turut membangkit bahawa betapa perlunya SPRM bertindak demi memulihara persepsi umum terhadap agensi tersebut.

Katanya, sebelum ini banyak laporan telah dibuat tetapi hasil siasatannya tidak kedengaran termasuk isu penyelewengan balak oleh bekas Menteri Besar Pahang Tun Khalil Yaakub yang telah dilaporkan oleh Datuk Fauzi Abdul Rahman 10 tahun lalu.