Anwar : 1MDB Soal negara, perlu bahas di parlimen

Anwar : 1MDB Soal negara, perlu bahas di parlimen


KUALA LUMPUR 13 NOV : Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia digesa membenarkan isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibahaskan secara terbuka di Parlimen.
Gesaan ini dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana jelasnya ia perlu kerana isu 1MDB merupakan isu besar yang melibatkan kepentingan negara.
anwar_ibrahim“Kita bawa usul banyak kali, tapi isu 1MDB ini tak dijawab, pada pendapat saya sementara sidang parlimen masih berterusan dan debat belanjawan masih terus harus ada ruang (berhujah).

“Ini bukan soal parti pembangkang atau kerajaan, ia soal negara.
“Saya akan gesa supaya speaker bagi ruang untuk kita debat,” katanya kepada media dalam satu sidang media di lobi parlimen.

Anwar sementara itu turut mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan untuk tampil menjelaskan isu berkaitan 1MDB.

“Sekarang pandangan ramai pemerhati dan penganalisis kewangan, 1MDB adalah tanggungan dan beban yang besar.

“Wajar menteri kewangan sendiri datang dan bentangkan, janganlah suruh timbalan menteri jawab,”tegasnya.

Anwar: Surat sokongan mesti melalui kabinet

Anwar: Surat sokongan mesti melalui kabinet

KUALA LUMPUR 13 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu sebarang surat sokongan yang dikeluarkan Menteri Kewangan mesti melalui kabinet.
IMG_6481“Ia dianggap sebagai satu “jaminan berdaulat,” kata Ketua Pembangkang itu dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

“Ia perlu diserahkan untuk perhatian kabinet. Prosedur sebegini tidak boleh dimanipulasi.
“Jika ia (prosedur ini) dipertikaikan oleh kerajaan, maka ia perlu dirujuk kepada pakar perundangan.
“Sebarang surat sokongan ke atas sebarang projek dianggap sebagai satu surat jaminan – satu jaminan oleh kerajaan,” kata Anwar.

Jelasnya, surat itu sedemikian juga hanya boleh dikeluarkan oleh menteri kewangan.

“Sebab itu dalam kes PKFZ, apabila ia ditandatangani oleh menteri pengangkutan ia dianggap menyalahi kaedah yang sedia ada,” katanya.

Sebagai rekod Anwar merupakan menteri kewangan di antara tahun 1992 hingga 1998.
Isnin lalu, Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli mendedahkan satu “surat sokongan” yang ditandatangai menteri kewangan dikatakan bagi tujuan mempertingkatkan bon 1MDB.

Kandungan surat tersebut dakwanya menyatakan Malaysia akan membayar balik wang yang dipinjam 1MDB sekiranya syarikat itu tidak mampu membayar.

Ahmad Maslan didalam Dewan Rakyat didakwa menafikan kewujudan sebarang surat demikian sehingga beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bertindak untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah peraturan mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana mengeluar kenyataan mengelirukan dewan.

Isu 1MDB : Kad kuning atau penjara saya sudah sedia – Anwar

Isu 1MDB : Kad kuning atau penjara saya sudah sedia – Anwar

(Ermizi Muhamad)
KUALA LUMPUR 13 NOV : Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk dirujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36 (12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan berkenaan isu Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen memaklumkan bahawa, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berhasrat untuk membawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kepada Jawatankuasa Dewan.

Selain Anwar, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua juga akan dibawa kepada jawatankuasa itu kerana kerap membangkitkan isu 1MDB ketika Dewan bersidang.

Menurut Anwar yang juga Ketua Pembangkang itu, beliau tidak bimbang dengan segala kemungkinan yang akan dikenakan terhadap beliau sekaligus bersedia untuk dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan.

IMG_6471

“Saya sedia dah. Kad kuning atau penjara itu sudah sebati dengan saya,” sindirnya ringkas ketika mengadakan sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, bagi Tony Pua, beliau mengingatkan Ahmad Maslan bahawa, tindakan mengemukakan usul untuk merujuk beliau kepada sidang Dewan itu akan digunakannya untuk membentangkan bukti relevan berkenaan skandal 1MDB.

“Saya mengalu-alukan sebarang usaha dari wakil BN untuk memfailkan usul ke atas saya dengan dakwaan bahawa saya mengelirukan Dewan.

“Usul itu adalah usaha untuk mendiamkan saya dalam
isu hutang 1MDB,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=64058