MB Selangor bukan pilihan rakyat, tapi parti

Komen Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad yang membidas rancangan Pakatan Rakyat Selangor untuk menggantikan MB Khalid Ibrahim dengan calon yang lebih sesuai dan mencadangkan agar  pendapat rakyat diambil kira, seolah-olah memperolok-olokkan sistem pemilihan MB yang dipraktikkan di negara ini.


















Malaysia tidak pernah mempunyai sistem pemilihan ketua kerajaan secara langsung, malah Datuk Bandar pun dilantik melalui saluran politik. Apabila calon yang diyakini oleh parti politik untuk menggalas manifesto yang dipersetujui rakyat dalam pilihan raya umum atau negeri telah diragui kebolehannya, maka calon itu sewajarnya ditukar.

Kontrak sebagai pemimpin negeri mudah; rakyat setuju manifesto maka beri undi kepada parti dan parti lantik seseorang yang dapat ‘mengerjakan’ manifesto itu. Gesaan Iskandar supaya pendapat rakyat ditinjau terlebih dahulu sebelum menukar MB tentunya tidak bersesuian dengan cara kontrak tersebut dilaksanakan.


Tinjauan pendapat


Adakah Ilham Centre atau Merdeka Centre selepas ini mahu digunakan bagi menilai sokongan rakyat kepada Khalid? Sedangkan agensi tinjauan pendapat itu melakukan tinjauan dari beberapa ratus responden sahaja dan tidak mewakili semua golongan.

Namun melalui kontrak asal yang dijanjikan Pakatan dalam pilihan raya umum, Khalid memang telah lari daripada dasar PR. Salah satu dasar PR yang utama adalah kebebasan beragama yang sering diperkotak-katikkan Umno.

Di bawah pemerintahan Khalid, agensi kerajaan negeri  sangat mudah menghina agama minioriti dengan serbuan demi serbuan kepada penganut agama selain Islam tanpa kelulusan exco negeri. Begitu juga penyelesaian yang sepatutnya mudah seperti pemulangan Bible tetapi disukarkan oleh ‘tangan-tangan Umno’ di agensi negeri.

Kedua, Khalid telah menolak mentah-mentah manifesto PR mengenai lebuh raya. Kedegilannya meneruskan projek Kidex yang mendapat bantahan hampir seluruh penduduk Cina bandar di Selangor menggugat masa depan PR.

Itu belum diambil kira sifat kedekutnya meluluskan peruntukan yang sememangnya menjadi hak rakyat. Banyak jalan-jalan kecil yang berlubang di Selangor juga longkang yang tidak diselenggara. Sebelum pilihan raya dahulu, Khalid meluluskan dana RM300 juta untuk projek pembaikan dan senggaraan ini. Namun seperti biasa ADUN merungut banyak tuntutan mereka yang tidak lulus.

Akibatnya jalan dan longkang di kawasan majlis perbandaran sahaja yang agak sempurna kerana ada wang cukai pintu, sedangkan di kawasan majlis daerah keadaannya tidak memuaskan.


Langgar manifesto


Iskandar memang wajar memuji Khalid kerana banyak projek perumahan di bawah potforlionya lulus dan berjaya memenuhi hasrat rakyat. Tetapi kalau setakat meluluskan projek perumahan sesiapa pun yang jadi MB boleh melakukannya.

Iskandar harus faham keutamaan sekarang adalah memenuhi manifesto. Atau sekurang-kurangnya tidak melanggar manifesto. Sekiranya dilanggar maka suara menentang akan lebih banyak daripada menyokong. Hal ini yang dikhuatirkan di kawasan DUN campuran.

Undi Cina misalnya tidak tetap kepada satu-satu parti. Mereka boleh berpaling arah kepada parti yang lebih membela tuntutan mereka. Jangan jadi seperti BN. Mereka mempertahankan MB Khir Toyo walaupun melakukan banyak kesalahan.

Akhirnya rakyat yang tidak nampak jalan lain menggantikan MB akan mengambil jalan mudah menggantikan parti memerintah dalam pilihan raya umum.

Sekiranya pilihan raya negeri diadakan minggu ini, dengan isu Bible yang menyakiti hati penganut Kristian, isu Kidex, catuan air dan beberapa isu lagi, peluang PR untuk bertahan hanyalah 50 : 50. Tidak seperti PRU lalu menang bergaya.

PRK Teluk Intan boleh dilihat sebagai pengajaran berguna betapa rapuhnya sokongan sekiranya parti membuat kesilapan dalam politik.

Credit:

Suara Pakatan Daily

Mungkinkah PR Bakal Tumbang Di Selangor?

Kedudukan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang mula dipertikaikan oleh rakan-rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat sendiri kini mula menjurus kepada persoalan kemungkinan ia bakal kehilangan kuasa dalam pilihanraya umum akan datang jika masalah yang kian meruncing itu tidak segera diurus dengan baik.

Bermula dengan masalah dalaman PKR yang dihadapi oleh Khalid Ibrahim, terutama penentangan daripada kelompok Azmin Ali yang juga Pengerusi PKR Selangor, masalah kini bertambah rumit apabila DAP dan Pas juga mula merasakan Menteri Besar itu perlu ditukar dan sudah tidak relevan lagi.

Walaupun sejak awal lagi, Khalid memang ada stail kepimpinan sendiri ala CEO sebuah syarikat perniagaan, tetapi imejnya yang bersih, bebas dari amalan rasuah, tidak mengaut kekayaan, tiada kes menyalahgunakan kuasa dan kemampuannya meningkatkan rizab negeri kepada hampir RM3 billion telah menyebabkan beliau lebih disanjung daripada dipertikaikan.

Namun sejak ura-ura mahu menukarkannya dengan Anwar Ibrahim melalui KajangMove yang tidak menjadi kenyataan, Khalid dilihat semakin menunjukkan belangnya. Beliau makin memperlihatkan gaya kepimpinan ala CEO dengan banyak isu-isu besar hanya diuruskannya secara sendiriannya saja.

Rakan-rakan gabungan dalam PR, EXCO Kerajaan Negeri dan beberapa jawatankuasa yang ditubuhkan atas persetujuan PR tidak lagi dipedulikan suara dan kehadiran mereka. Khalid mungkin masih terbawa dah merasakan Kerajaan Selangor juga seperti PNB dan Guthrie yang pernah diketuainya dulu.

Bermula dengan tindakan menandatangani persetujuan secara tergesa-gesa dan tidak memaklumkan kepada EXCO mahupun rakan-rakan dalam PR mengenai isu air dengan Kerajaan Pusat, Khalid kemudiannya semakin berani dan terbuka menyokong pembinaan Lebuhraya Kinrara Damansara atau Kidex walaupun sebahagian penduduk yang terlibat dengannya membantah pembinaan lebuhraya itu.

Lebih dari itu, sokongan Khalid terhadap projek itu juga dianggap memalukan PR kerana diketahui umum pemegang konsesi lebuhraya itu ialah bekas peguam UMNO yang kemudian dilantik sebagai Ketua Hakim Negara, Zaki Tun Azmi bersama peguam UMNO sekarang, Hafarizam Harun.

Sokongan Khalid dianggap menyokong projek BN dan menyokong amalan kronisme UMNO walaupun Zaki Tun Azmi dan Hafarizam sentiasa bermusuh dengan PR.

Kelemahan Khalid juga agak ketara dalam isu rampasan Bible yang sudah diarahkan oleh Peguam Negara agar Jabatan Agama Islam Selangor segera memulangkan kitab itu berikutan tiada sebarang pendakwaan akan diambil terhadap Persatuan Bible Malaysia.

Dalam isu ini Khalid dilihat tidak cukup tegas dan "play safe" meskipun arahan daripada Peguam Negara sudah cukup jelas mengenainya. Beliau lebih banyak berdolak-dalik dan bermain dengan masa.

Deretan kelemahan Khalid yang semakin ketara dalam beberapa isu besar kebelangan ini telah meruntun jiwa parti-parti dalam PR mahu menukarkannya dengan segera. Mereka bukan saja pening dengan stail Khalid yang lebih mirip BN, bahkan tindakannya tidak mahu mendengar keluhan penduduk seperti dalam isu pembinaan lebuhraya Kidex, turut menyebabkan timbulnya kebimbangan tentang hayat kuasa PR di negeri paling itu sendiri.

Rekod pencapaian Khalid sejak 2008 mungkin boleh dibanggakan tetapi pujangga selalu menyebut, "yang penting bukan di mana kita bermula tetapi bagaimana kita berakhir". Dalam hal ini Khalid nampak cemerlang di permulaannya tetapi di akhir-akhir ini semakin tidak menentu dan banyak dipertikaikan.

Khalid kini bukan saja mula dipertikaikan oleh partinya sendiri iaitu PKR, tetapi DAP dan Pas juga mulai lantang mahu menukarnya. Mereka seolah-olah sepakat bahawa selagi Khalid terus dikekalkan, PR di Selangor akan berdepan lebih banyak masalah dan merumitkan lagi usaha mengekalkan kuasa dalam pilihanraya akan datang.

PR tiada pilihan lain selain menukarkan Khalid jika ingin terus menang dan berkuasa di Selangor. PR kena belajar daripada kemelut di Kedah yang melibatkan Azizan Razak sebelum pilihanraya 2013 yang dibiarkan tanpa penyelesaikan telah menyebabkan akhirnya Pas kehilangan kuasa di negeri itu.

Pedulikanlah jika Presiden Pas , Haji Hadi Awang ada kepentingan dengan Khalid kerana anak menantunya bekerja dengan sebuah GLC negeri serta mungkin ada beberapa kenalannya yang lain sedang bergayut di pinggang kuasa kerajaan negeri Selangor. Keutamaan PR bukanlah mempertahankan kepentingan peribadi mana-mana pihak tetapi memastikan parti itu terus berkuasa lagi.

Selain isu melibatkan Khalid, berlakunya pergaduhan dan pertumpahan darah dalam pemilihan PKR di bebarap cabang di Selangor yang entah bila akan berakhirnya, sebenarnya turut menambah derita PR untuk mengekalkan kuasanya. Apa yang berlaku dan dipaparkan secara meluas di media boleh menyebabkan rakyat Selangor menjadi bosan dengan kemelut pemilihan yang tidak berkesudahan.

Masalah dalam pemilihan parti, ditambah dengan kebosanan yang mula berakar mengenai kepimpinan Khalid, sebenarnya boleh menggugat pegangan kuasa PR dan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, meskipun pimpinan parti lawan itu masih belum menunjukkan prestasi yang menggembirakan rakyat.

Tempoh pilihanraya akan datang secara relatifnya masih panjang lagi dan PR punya banyak masa untuk segera memangkas segala masalah yang sedang berlaku. Selain imej parti perlu segera dipulihkan daripada persepsi buruk rakyat dan pengundi, pertikaian yang paling perlu diselesaikan ialah mengenai kedudukan Khalid sendiri.

Kalau pun kedudukan Khalid tidak dapat diubah dalam waktu yang terdekat ini kerana wujudnya halangan-halangan tertentu seperti Istana Selangor yang mempunyai hubungan rapat dengannya serta faktor Haji Hadi yang mungkin mahukan Khalid terus dikekalkan, PR sekurang-kurangnya mestilah menunjukkan tanda positif bahawa beliau bukan lagi Menteri Besar Selangor selepas pilihanraya nanti.

Khalid yang dengan wataknya berubah 180 darjah kebelakangan ini adalah liabiti kepada PR dan sesuatu mesti dilakukan untuk mengelakkan kebosanan pengundi bertambah parah.

Jika tidak, pengundi Selangor mungkin lebih rela berketuakan Noh Omar untuk memberi pengajaran kepada PR.


Credit:
Shahbudin dot com

(function() { var d = document, w = window; w

Anwar doesn’t rule out possibility of working with Umno