Zunar: Kemunculan 'kartunis pelacur' jatuhkan martabat seni budaya


|

Saya kesal kerana sejak akhir-akhir ini semakin ramai muncul kartunis-kartunis yang sanggup melukis kartun yang membawa unsur fitnah. Kartun-kartun seperti ini banyak muncul menjelang pilihan raya kecil.

Terbaru, ahli parlimen Pembah Pantai, Nurul Izzah Anwar (gambar kanan) membuat laporan polis mengenai pengedaran kartun lucah yang disebar di kawasan Parlimen Lembah Pantai. Kartunis-kartunis yang menghasilkan kartun ini tidak mempunyai tanggungjawab moral kerana tidak berani untuk meletakkan nama sendiri atau nama pena di dalam lukisan mereka. Saya mendapat maklumat mereka dibayar sejumlah wang yang banyak untuk menghasilkan lukisan mengikut arahan pihak yang membayar.

Mereka melukis apa saja yang disuruh termasuk kandungan yang mempunyai fitnah dan pembohongan. Bagi saya, kartunis-kartunis seperti ini tidak ada bezanya dengan pelacur. Saya ingin mengingatkan para kartunis bahawa selagi karya-karya mereka disebar dan dibaca, selagi itu mereka tidak terlepas dari tanggungjawab.

Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi kartunis untuk menyokong agenda mana-mana parti politik dalam kartun mereka, asalkan mereka bertanggungjawab terhadap kandungannya. Sesuatu karya yang bertanggungjawab mesti mempunyai tanda tangan pelukis. Nama pena sekiranya hendak digunakan mestilah mempunyai hubung-kait dengan kartunis dan bukan bertujuan mengelirukan identiti pelukis.

Kartunis mesti memahami sesuatu isu dari berbagai perspekstif sebelum mengambil pendirian mereka sendiri dan bukannya mengikut arahan orang lain. Kemunculan kartunis-kartunis pelacur ini telah menjatuhkan martabat seni budaya dan merendahkan kemampuan berfikir orang Malaysia.

*Kenyataan media oleh Zunar (gambar kiri), kartunis politik di Malaysia.

Azmin : Umno-JPN Bersekongkol Supaya Warga Asing Boleh Mengundi






SHAH ALAM 29 MAC : Umno dan Jabatan Pendaftaran Negara dilaporkan bersekongkol menyediakan kad pengenalan untuk pendatang asing supaya mereka mengundi parti itu pada pilihanraya umum akan datang.

ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali yang membuat pendedahan itu berkata, ketua Umno cawangan tertentu dan kakitangan JPN “membuka kaunter’ di lokasi-lokasi tertentu di luar waktu pejabat bagi mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing.

Berucap di sidang Dewan Negeri Selangor, Azmin berkata usaha-usaha licik juga sedang dilakukan untuk membawa penyokong-penyokong tegar Pakatan Rakyat keluar daripada Selangor bagi mencerahkan peluang BN merampas balik negeri ini pada PRU akan datang.

“Kita akan teliti pengundi yang dibawa keluar dari Selangor dan pengundi yang dibawa masuk ke Selangor,” kata beliau ketika menyertai perbahasan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Pada suku tahun ketiga 2010, seramai 130,097 mendaftarkan diri sebagai pengundi baru di negeri Selangor terdiri di kalangan generasi muda.

Azmin menggesa kerajaan negeri Pakatan Rakyat memantau JPN kerana agensi itu dilihat campurtangan dalam aliran politik negara.

"Kerajaan (Pakatan Rakyat) harus memantau JPN sebab terdapat sumber sahih JPN mengeluarkan kad pengenalan di luar waktu pejabat dan lokasi yang mencurigakan dan turut hadir ketua-ketua Umno cawangan mengeluarkan kad-kad pengenalan kepada warga asing mahu jamin kuasa," katanya.

Dalam pada itu, Azmin turut mengecam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mampu mengekang amalan rasuah secara terang-terangan apabila Pilihan Raya Kecil sejak tahun 2008 dan pada Pilihan Raya Negeri yang akan berlangsung di Sarawak.

Beliau berkata kecenderungan SPR memihak kepada Umno terserlah menerusi kegagalan badan itu bertindak terhadap Perdana Menteri Najib Razak kerana menawarkan sogokan secara terang-terang khususnya kepada pengundi di Sibu tahun lalu dan Merlimau baru-baru ini.

"Nyata sekali SPR bertindak bagi mewakili kepentingan UMNO dan BN bukannya rakyat. Media yang tidak adil, malahan memutarbelitkan kenyataan Pakatan Rakyat dan membakar sentimen perkauman sempit menjadi hidangan harian media milik UMNO," ujar Azmin lagi.

Kempen DNA : Polis Berat Sebelah





SHAH ALAM 29 MAC : Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad kesal dengan tindakan polis yang mengamalkan sikap berat sebelah terhadap Pakatan Rakyat dalam memberikan ruang kebebasan untuk parti itu mengadakan ceramah secara terbuka.

Idris Ahmad melalui kenyataan medianya berkata, beliau juga turut mempersoalkan keengganan polis untuk mematuhi keputusan yang dibuat mahkamah sebelum ini dimana ceramah politik yang diadakan di kawasan persendirian, tidak menyalahi undang-undang.

“PAS ingin mengingatkan polis, bertindaklah secara profesional, jangan cemar institusi ini. Jangan salahkan rakyat jika rakyat tidak hormat institusi polis, tetapi salahkan diri sendiri,”.

“Polis buat-buat tidak faham mengenai keputusan mahkamah yang memutuskan polis kalah dalam perbicaraan di Jelebu, Tampin,” katanya.

Sebelum ini, mahkamah Majistret Jelebu pada Julai 2001 memutuskan Mohamad Sabu ketika itu Ahli Parlimen Kuala Kedah, tidak bersalah kerana mengadakan ceramah tanpa permit di Markaz Pas Jelebu.

Idris berkata demikian bagi mengulas, beberapa siri ceramah di Pokok Sena Kedah dan terbaru di Taman Melawati, Gombak 25 Mac lalu di kawasan persendirian yang berakhir dengan kekecohan berikutan campur tangan polis.

Menurut Idris, beliau juga turut mendakwa polis bertindak secara bertentangan dengan undang-undang kerana mereka bersifat angkuh apabila masuk ke tempat ceramah seolah-olah satu provokasi kepada orang ramai.

“Setakat ini, jika perhimpunan atau ceramah yang dianjurkan Pakatan Rakyat jika tiada gangguan polis, akan berakhir dengan aman. Semua maklum jika perhimpunan diganggu polis, maka akan berakhir dengan kekecohan,” katanya.

Justeru, Idris mengingatkan polis betapa rakyat tertanya-tanya mengapa polis begitu agresif mengganggu ceramah Pakatan Rakyat tetapi tidak mengambil tindakan tegas dalam isu tayangan video seks palsu yang kian tersebar kepad umum kini.

Malah, polis sebaliknya tidak pula menyerbu Hotel Carcosa yang menayang video lucah pada 21 Mac 2011.

“Mungkin kerana ia melibatkan mereka yang kebal dan bebal.

“Di manakah Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Kedua-dua seksyen itu berkaitan larangan memiliki, mengedarkan dan menayangkan filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam,” tegasnya.

Operasi Kesan Alat Pengintip di Pejabat MB







Kerajaan Selangor melantik sebuah firma perunding keselamatan untuk mengesan alat perakam rahsia di pejabat menteri besar bagi menghalang kegiatan pengintipan dilakukan di premis berkenaan.

Menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, firma Akhbar Associates itu akan menjalankan operasi itu secara rawak ke atas pejabat berkenaan.

Turut terlibat dalam operasi itu ialah pejabat anggota exco kerajaan negeri yang juga terletak di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, katanya.

Operasi itu dijalankan bagi mengesan alat perakam, kamera video dan alat-alat pengintipan, katanya ketika menjawab satu soalan daripada Datuk Subahan Kamal (BN-Taman Templer) dalam sidang DUN negeri itu hari ini.

Dalam pada itu, Khalid turut menjelaskan bahawa siasatan masih berjalan ekoran penemuan sebuah kamera perakam video di pejabatnya Ogos lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati bekalan kuasa bagi kamera tersebut telah dibeli dari sebuah kedai di Subang manakala kamera itu sendiri dikeluarkan di Kulim High-Tech Park oleh sebuah syarikat tempatan.

Wanita Keadilan Lancar 'Kempen Tolak Politik Durjana'




KUALA LUMPUR 29 MAC : Wanita Keadilan hari ini melancarkan “Kempen Tolak Politik Durjana” dalam usaha memerangi politik fitnah yang dimainkan UMNO Barisan Nasional mutakhir ini.

Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin menegaskan politik berbaur fitnah yang sering dimainkan UMNO BN, akan menyumbang kepada krisis keyakinan bukan sahaja dikalangan rakyat negara ini bahkan juga dikalangan masyarakat dunia.

Terbaru, pendedahan video lucah yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh mereka yang menggelarkan diri sebagai 'Datuk T'.

Mereka dibarisi oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.

Politik fitnah ini kata Zuraida tidak membawa apa- apa kebaikan kepada pembangunan ekonomi negara malah ia bakal menyebabkan para pelabur luar negara berasa tidak yakin untuk menanam modal dinegara ini.

“Inilah bukti bahawa kelacuran Umno- BN ssudah di tahap melampau dan saya ingatkan kepada pimpnan Umno-BN bahawa Wanita Keadilan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan politik kotor sebegini,” katanya.

Justeru, Wanita Keadilan melancarkan "Kempen Tolak Politik Durjana" dalam usaha mengekang budaya politik seumpama ini semakin subur dalam minda generasi akan datang.

“Saya menjemput seluruh NGO terutama NGO wanita untuk bersama-sama dalam kempen ini kerana fitnah sebegini bukan sahaja memalukan negara

kita tetapi juga telah menghina imej wanita di negara ini.

Wanita Keadilan akan menjelajah seluruh negara bagi menjelaskan dan mendedahkan strategi licik UMNO BN dan kemudiannya menyerahkan kepada rakyat untuk menggunakan kematangan fikiran mereka menilai sesuatu maklumat sebelum dijadikan pegangan.

Zuraida berkata, tatkala rakyat negara ini bertungkus lumus melepaskan diri daripada cengkaman ekonomi yang dasyat, pemimpin politik lebih berminat berpolitik sehingga mengabaikan kebajikan rakyat.

Zuraida turut melahirkan kekesalannya terhadap media arus perdana yang agresif 'menyelak' cerita peribadi seseorang pemimpin pembangkang dan tidak membantu menjana perkembangan minda rakyat.

“Dalam krisis peningkatan haarga barang yang terus membebankan rakyat, kerajaan harus bekerja memikirkan usaha membantu rakyat dan bukan hanya membazirkan wang rakyat dengan agenda fitnah semacam ini,” ujarnya.

Taktik Keji Umno Hanya Mengundang Benci Rakyat


SHAH ALAM 29 MAC: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan yang dilemparkan kepada dirinya sebagai langkah terakhir Umno menghalang kemaraan Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Berucap kepada lebih 20,000 orang di Stadium Malawati di Shah Alam malam tadi, Anwar berkata taktik licik dan keji UMNO hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap parti itu.

"Isu dia apa?Isunya adalah kesediaan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan. Justeru ini adalah langkah terakhir Barisan Nasional menggunakan apa juga cara yang mungkin...tipu helah, jijik untuk menghalang kemaraan rakyat Malaysia."katanya.

Sebelum itu Anwar bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan masyarakat Islam di sekitar Lembah Kelang menunaikan solat hajat susulan pusingan terbaru Umno melemparkan fitnah terhadap Ketua Pembangkang itu dalam bentuk video lucah.

Antara dalang video itu adalah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay yang dikatakan menemui Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Selasa lalu setelah identiti mereka dibongkarkan oleh PKR.

Selain membuat laporan polis, Pejabat Anwar mengemukakan bukti catitan Twitter dan Facebook Anwar sebagai bukti beliau berada di rumah ketika video lucah itu dirakamkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Febuari lalu.

Polis setakat ini hanya mengambil keterangan daripada Rahim, Shazryl serta Bendahari Perkasa Shuib Lazim walaupun ketiga-tiga mereka mengaku mendalangi penayangan video itu kepada media di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu.

Perbuatan itu adalah jenayah yang membawa hukuman penjara tiga tahun.

Anwar merujuk kepada Rahim sebagai 'tokoh akhlak baru' Umno, meskipun terpalit dengan tuduhan merogol seorang gadis sekolah sehingga terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994.

Anwar juga membuat perbandingan tindakan polis menangani video lucah membabitkan Presiden MCA Chua Soi Lek dan fitnah video yang dibawa oleh Rahim untuk menjatuhkannya kali ini. .

"Dalam kes Chua Soi Lek siapa yang edar video itu ditangkap. Tapi dalam kes ini, siapa yang edar diraikan. Kebetulan orang yang diraikan Rahim Thamby Chik. Ini tokoh akhlak baru yang didokong oleh UMNO-BN sebagai pejuang moral baru." katanya.

Anwar turut meminta penyokong Pakatan Rakyat tidak terpesong daripada perjuangan gagasan itu untuk menerangkan 'Buku Jingga' kepada rakyat dengan mengutamakan isu tata kelola pentadbiran negara supaya berjalan betul.

Buku Jingga menggariskan program-program Pakatan Rakyat untuk memastikan penyelwengan kuasa dan rasuah dibendung, kronisme dihapuskan, subisidi untuk rakyat ditambah dan undang-undang zalim dimansuhkan sekiranya gagasan itu diberi mandat menawan Putrajaya.

Bukit Aman: Polis Tidak Siasat Anwar Kes Video Seks

KUALA LUMPUR 29 MAC : Polis tidak menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahan video seks didakwa menunjukkan beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur meskipun pengkritik mahukan siasatan sedemikian ke atas ketua umum Pakatan Rakyat itu.

Ketua Sekretariat Polis Bukit Aman Deputi Komisioner, Datuk Ghazali Mohd Amin berkata, Ketua Pembangkang itu tidak disiasat kerana tiada tanda menunjukkan wujudnya salah laku jenayah.

“Tidak, tidak, tidak,” kata beliau kepada The Malaysian Insider semalam apabila ditanya sama ada Anwar dikenakan sebarang tuduhan berhubung bentuk jenayah.

Ghazali enggan menjawab sebarang soalan lain kerana sedang menaiki kapal terbang ketika dihubungi.

Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, dua daripada tiga “Datuk T” menggesa agar diadakan suruhanjaya siasatan untuk menentukan ketulenan rakaman video itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat semalam, Ghazali berkata, polis kini dalam proses membuat pengesahan pakar berhubung bahan bukti yang diperoleh berkaitan kes video seks itu.

Malah semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz pula berkata, ketiga-tiga ''Datuk T'' terbabit termasuk Datuk Shuib Lazim akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi dan Akta Pemberi Maklumat sekiranya pihak berkuasa mendapati ada kes.

Rabu lepas, Abdul Rahim dan Shazryl Eskay mengakui mereka bersama Shuib adalah trio “Datuk T” yang bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video berkenaan kepada sebahagian wakil media di hotel Carcosa Seri Negara.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR telah tampil membuat penafian beliau individu di dalam video tersebut dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Berikutan pendedahan itu, ketiga-tiga individu terbabit telah disoal siasat polis di Bukit Aman pada Khamis dan Jumaat lalu, dan menyerahkan pita video dan seutas jam tangan jenama Omega sebagai bahan bukti.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain termasuk Perkasa juga meminta suruhanjaya siasatan diadakan bagi meneliti pendedahan rakaman video seks.

Ini kali ketiga Anwar berhadapan dengan dakwaan berkaitan dengan moral dan seks.

Pada akhir 1990-an beliau disiasat dan didakwa berhubung kes liwat dan salah guna dan kemudian kes liwat kedua pada 2008.


Rundingan Meja Bulat Tamatkan Permainan Politik Fitnah






SHAH ALAM 29 MAC : Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang mencadangkan satu perbincangan meja bulat melibatkan Parti Politik dan wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) dibuat bagi menamatkan permainan politik fitnah dan adu domba yang berleluasa di negara ini.

Lim menyatakan kes video lucah 'Datuk T' yang menggemparkan negara ini sepanjang minggu lalu mendatangkan rasa jijik mereka dan mahu tindakan segera diambil pihak polis terhadap mereka.

"Apa yang kita mahu ialah ambil tindakan akhiri politik kotor sebegini. Kita bercadang adakan perbincangan meja bulat. Semua parti bolitik BN, PR, NGO untuk tamatkan politik kotor dan jijik sebegini. Dan langkah pertama ialah tangkap Datuk T.," kata beliau dalam Pidato Khas tolak Fitnah ke 3, semalam.

Hampir 20 ribu hadirin hadir di Stadium Melawati, Shah Alam bagi memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang didakwa terlibat dalam pembikinan video tersebut.

Video yang didalangi oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Shazryl Eskay menunjukkan satu watak lelaki melakukan hubungan seks dengan wanita dipercayai warga asing.

Menurut Lim lagi, walaupun tujuan Rahim dan UMNO BN untuk memporak-porandakan perhubungan Pakatan Rakyat, Lim berikrar memberi sokongan tidak berbelah bahagi.

"Malam ini kita di sini, DAP PAS dan PKR menunjukkan komitmen kita, iltizam kita untuk terus berjuang dibawah pimpinan Datuk Seri Anwar untuk bersihkan politik di negara kita, kata beliau lagi.

Lim yang juga Ketua Parlimen DAP mahu rakyat menuntut perubahan dan memperjuangkan hal keadilan sosial dan tidak berharap kepada 'sistem kerajaan yang telahpun rosak.

"Dalam keadaan sebegini, bolehkah rakyat percaya bahawa bila kes ini disiasat oleh Polis dan dikemuakakan oleh Peguam Negara bahawa kita akan melihat keadilan. Boleh kah? tegas beliau.

PERKASA ADA MASAALAH, TAK PERKASA LAGI?

Perkasa: Ketua Wiranita Berundur, Ketua Wira Ikut Langkah?
29/03/2011 Share

KUALA LUMPUR 29 MAC : Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah, antara pemimpin yang dilihat lantang bersuara selepas Presiden mereka Datuk Ibrahim Ali, disebut-sebut akan melepaskan jawatan tersebut dalam waktu terdekat ini.

Jika ia disahkan, Perkasa dilihat berhadapan dengan satu lagi keputusan mengejutkan selepas keputusan Ketua Wiranita Raihan Sulaiman Palestine memutuskan untuk meletakkan jawatan beliau bulan lalu.

Bagaimanapun keputusan Raihan itu belum diterima oleh Ibrahim sehingga kini.

The Malaysian Insider difahamkan Arman Azha, yang seringkali berada di barisan depan dalam perhimpunan dan perarakan berkaitan usaha membela orang Melayu, memutuskan demikian ekoran perkembangan dalaman Perkasa.

Arman Azha ketika dihubungi The Malaysian insider enggan menafikan ataupun mengiayakan dakwaan tersebut.

Sebaliknya kata beliau, tunggu sehingga penjelasan petang ini.

“Esok pukul 4 petang (ada) sidang media,” kata beliau ringkas kepada The Malaysian Insider menerusi satu e-mel semalam.

The Malaysian Insider tidak dapat mengesahkan sama ada ia petanda wujudnya pergolakan dalam Perkasa, diterajui Ibrahim yang juga Ahli Parimen Bebas Pasir Mas.

Selain Ibrahim, Arman Azha merupakan salah seorang pemimpin Perkasa yang begitu lantang bersuara terutamanya dalam isu-isu yang membabitkan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Perkasa atau Pertubuhan Pribumi Perkasa adalah sebuah pertubuhan ditubuhkan tiga tahun lalu bagi menyediakan landasan bagi kaum pribumi untuk menegakkan hak-hak mereka tanpa mengira fahaman politik.

Perkasa juga akan bertindak sebagai badan berkecuali untuk menangani isu-isu semasa yang membabitkan kaum pribumi termasuk soal kontrak sosial dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Beberapa pemimpin Perkasa yang dihubungi menafikan adanya masalah atau perselisihan dalam pertubuhan bukan kerajaan itu membabitkan Arman Azha.

“Tiada apa-apa masalah. Kami tidak dengar apa-apa, lagipun Arman Azha tidak kata apa-apa setakat ini,” kata seorang pemimpin kanan sambil merujuk kepada kehadiran Ketua Wira Perkasa itu pada konvensyen ekonomi Bumiputera anjuran pihaknya di PWTC kelmarin.

Dalam pada itu, Raihan ketika dihubungi lewat semalam mengesahkan beliau telah memutuskan untuk berundur daripada jawatan tersebut.

“Saya sudah meletakkan jawatan tetapi Presiden belum terima keputusan saya lagi,” kata beliau sambil menolak keputusan itu ada kaitan dengan andaian bahawa wujud masalah dalam pertubuhan tersebut.

“Tidak, tidak. Keputusan saya ini kerana sebab peribadi saya, saya tidak dapat memberi tumpuan penuh . . . Perkasa bergerak dengan baik, tiada masalah,” katanya yang dilantik ke jawatan itu dua tahun lalu.

“Walaupun saya letak jawatan, saya masih ahli Perkasa,” kata Raihan lagi.

Kedudukan sayap-sayap Perkasa adalah jawatan lantikan.


Pakatan: Daim Tak Layak Cakap Pasal Rasuah






KUALA LUMPUR 28 MAC: Kenyataan Tun Daim Zainuddin bahawa negara dalam landasan yang betul dalam mengatasi masalah rasuah hanya satu percubaan menyelamatkan diri bekas Menteri Kewangan itu dari dakwaan-dakwaan rasuah yang membelenggui beliau sepanjang masa beliau menganggotai Kabinet.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Daim pernah dikaitkan dengan penyelewengan dalam penswastaan lebuhraya Plus dan syarikat penerbangan negara, Malaysian Airlines (MAS) jelas meremehkan isu rasuah di negara ini, khususnya di Sarawak di bawah pemerintahan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Saya melihat kenyataan Tun Daim itu sebagai satu percubaan untuk menyelamatkan penekanan isu rasuah besar di Sarawak kerana Tun Daimlah orang paling terlibat dan berkepentingan sejak penswastaan tol PLUS, dan juga MAS, memperkayakan bini dan keluarga hingga berbillion ringgit. Maka sebab itu dia gunakan kesempatan untuk mempertahankan rasuah yang berlaku dan mmebicarakan soal negara yang bebas rasuah," tegas beliau.

Daim, dalam wawancara dengan Utusan Malaysia semalam, memuji Perdana Menteri Najib Razak dan mendakwa usaha membendung rasuah semakin terhasil di bawah pemerintahan Umno-Barisan Nasional.

Secara sinis, Anwar berkata cubaan Tun Daim untuk memperlihatkan dirinya sebagai tokoh anti-rasuah serta Tan Sri Rahim Tamby Chik sebagai tokoh melawan salah laku lucah adalah satu kombinasi yang 'mantap'.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyifatkan Daim sebagai ndividu yang tidak layak bercakap isu rasuah dan penyelewengan.

"Saya berpendapat Tun Daim bukanlah orang yang terbaik untuk bercakap berkenaan menentang penyelewengan. Tun Dr Mahathir (Mohamad) dalam bukunya ada menyatakan bahawa terdapat khabar angin pada masa itu yang mempersoalkan integriti TunDaim dan itulah sebab utama beliau digugurkan dari Kabinet," kata beliau.

Katanya lagi, sekiranya benar BN serius dalam membanterass rasuah, mereka patut memulakannya dengan membersihkan Sarawak dari rasuah dan penyelewengan yang semakin buruk.

"Contoh terbaik adalah Sarawak, tetapi adakah SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berani memasuki Sarawak untuk membersihkan negeri tersebut dari penyelewengan kronik yang melibatkan Ketua Menteri sendiri," tegas beliau.

HAJI HADI: JANGAN JADI SYAITAN BISU

Pemimpin Agama Tidak Harus Jadi 'Syaitan Bisu', Kata Hadi



SHAH ALAM 29 MAC : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin agama tertentu sebagai “syaitan bisu” kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak bersuara dalam isu fitnah moral terbaru yang ditujukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap kepada lebih 20,000 orang di Stadium Malawati malam tadi, Hadi, menegur pemimpin agama yang enggan tampil menyatakan pendirian terhadap fitnah video seks awal minggu lalu.

Setakat ini hanya bekas Mufti Dr Mohd Asri Zainu Abidin menyatakan rasa keji beliau atas taktik kotor yang digunakan untuk menjatuhkan musuh politik dan menggesa rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk menolak perbuatan seumpama itu.

Namun Mufti-mufti yang lain khusus Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang selama ini banyak memberikan pendapat atau komen menyentuh pembangkang berdiam diri atas serangan peribadi terbaru ke atas Anwar Ibrahim.

“Di mana kalangan yang suka bercakap selama ini, jangan jadi syaitan bisu. Siapa yang diarahkan untuk berkata benar tapi tidak melakukannya adalah syaitan bisu,” kata Hadi lagi.

Semalam, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab terhadap pendedahan rakaman video seks minggu lalu.

Presidennya Rev. Dr Thomas Philips berkata, menyifatkan penayangan video lucah itu sebagai perkembangan politik yang menjijikan.

Abdul Hadi menegaskan pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu adalah i “permainan politik” kotor dan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kita sedang mengalami satu peristiwa permainan politik yang sangat kotor bukan sahaja mengikut ajaran Islam yang sepatutnya umat Islam menjadi contoh kepada umat lain bahkan bercanggah dengan amalan-amalan demokrasi yang diamalkan oleh masyarakat sejagat,” katanya.

Abdul Hadi meminta Umno supaya bertaubat dan berhenti menggunakan taktik keji untuk kelangsungan politiknya.

“Jangan kita anggap kezaliman itu adalah kekuatan kepada sesuatu kerajaan. Kezaliman menandakan kerajaan sudah nyanyuk, mengalami kelemahan dan meraba-raba serta membuat apa sahaja untuk mengekalkan pemerintahan,” katanya.

Beliau mengingatkan Barisan Nasional bahawa bahawa setiap fitnah dan penyelewengan yang berlaku merupakan tanda-tanda perubahan bakal disaksikan.

“Percayalah wahai pemimpin-pemimpin Barisan Nasional kamu tidak boleh kekal selama-lamanya dan percayalah kita semua bahawa fitnah-fitnah, kezaliman yang disebar, penyelewengan yang berlaku adalah tanda-tanda awal perubahan akan berlaku,” ujar beliau sambil disambut dengan laungan Takbir.