Taktik Keji Umno Hanya Mengundang Benci Rakyat


SHAH ALAM 29 MAC: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan yang dilemparkan kepada dirinya sebagai langkah terakhir Umno menghalang kemaraan Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Berucap kepada lebih 20,000 orang di Stadium Malawati di Shah Alam malam tadi, Anwar berkata taktik licik dan keji UMNO hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap parti itu.

"Isu dia apa?Isunya adalah kesediaan Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan. Justeru ini adalah langkah terakhir Barisan Nasional menggunakan apa juga cara yang mungkin...tipu helah, jijik untuk menghalang kemaraan rakyat Malaysia."katanya.

Sebelum itu Anwar bersama pimpinan Pakatan Rakyat dan masyarakat Islam di sekitar Lembah Kelang menunaikan solat hajat susulan pusingan terbaru Umno melemparkan fitnah terhadap Ketua Pembangkang itu dalam bentuk video lucah.

Antara dalang video itu adalah bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay yang dikatakan menemui Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen Selasa lalu setelah identiti mereka dibongkarkan oleh PKR.

Selain membuat laporan polis, Pejabat Anwar mengemukakan bukti catitan Twitter dan Facebook Anwar sebagai bukti beliau berada di rumah ketika video lucah itu dirakamkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Febuari lalu.

Polis setakat ini hanya mengambil keterangan daripada Rahim, Shazryl serta Bendahari Perkasa Shuib Lazim walaupun ketiga-tiga mereka mengaku mendalangi penayangan video itu kepada media di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu.

Perbuatan itu adalah jenayah yang membawa hukuman penjara tiga tahun.

Anwar merujuk kepada Rahim sebagai 'tokoh akhlak baru' Umno, meskipun terpalit dengan tuduhan merogol seorang gadis sekolah sehingga terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994.

Anwar juga membuat perbandingan tindakan polis menangani video lucah membabitkan Presiden MCA Chua Soi Lek dan fitnah video yang dibawa oleh Rahim untuk menjatuhkannya kali ini. .

"Dalam kes Chua Soi Lek siapa yang edar video itu ditangkap. Tapi dalam kes ini, siapa yang edar diraikan. Kebetulan orang yang diraikan Rahim Thamby Chik. Ini tokoh akhlak baru yang didokong oleh UMNO-BN sebagai pejuang moral baru." katanya.

Anwar turut meminta penyokong Pakatan Rakyat tidak terpesong daripada perjuangan gagasan itu untuk menerangkan 'Buku Jingga' kepada rakyat dengan mengutamakan isu tata kelola pentadbiran negara supaya berjalan betul.

Buku Jingga menggariskan program-program Pakatan Rakyat untuk memastikan penyelwengan kuasa dan rasuah dibendung, kronisme dihapuskan, subisidi untuk rakyat ditambah dan undang-undang zalim dimansuhkan sekiranya gagasan itu diberi mandat menawan Putrajaya.