KENYATAAN MEDIA
KENYATAAN MEDIA
Satu posting dimuat naik laman Facebook Perikatan Nasional (PN) untuk “mendidik” rakyat mengenai kepentingan mengundi parti yang tepat menerusi komik ‘Political Education’ nampaknya tidak menjadi, malah memakan diri sendiri.
PN memuat naik komik yang bercakap tentang harga telur yang “naik gila” dan harga barang melambung tinggi.
Hantaran itu dengan cepat menjadi plaftom orang ramai membangkitkan isu kos sara hidup yang berlaku ketika gabungan itu mentadbir.
Pengguna media sosial membanjiri ruangan komen dengan mengingatkan bahawa isu harga telur dan bekalan barangan asas yang dipaparkan dalam komik itu kebanyakan berlaku ketika PN menjadi kerajaan.

“Poster harga telur tu zaman PN perintah kan. Sekarang harga telur gred A RM13 saja,” tulis seorang pengguna Facebook.
Seorang lagi netizen secara sinis bertanya, “Zaman kau kan tu?” manakala seorang lagi menulis ringkas, “Zaman PN telur naik tu.”
Seorang lagi pula berkata: “Nak buat propaganda pun pada benda yang real lah. Bila masa telur jadi RM24.50? Banyak lagi barang asas lain yang memang betul-betul ada kenaikan drastik.”
Ada juga netizen yang mengimbau keadaan bekalan barangan ketika pandemik dengan menulis, “Dulu minyak masak hilang, telur hilang.”
Malah, seorang pengguna turut menyindir, “Nampak sangat rindu zaman dia perintah, harga telur macam ni lah. Sekarang gred A RM12 je. Tak sabar nak naikkan harga ke,” balas mereka.

Hantaran di media sosial Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengucapkan selamat maju jaya kepad wira negara di temasya Sukan Komanwel 2026 pada 23 Julai 2026.
KUALA LUMPUR, 23 Jul – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 yang bermula hari ini.
Anwar berharap atlet negara akan berjuang dengan semangat tinggi, menjunjung nilai disiplin, integriti dan kesukanan sepanjang temasya berlangsung pada 23 Julai hingga 2 Ogos, menerusi hantaran di media sosial.
“Berjuanglah dengan semangat tinggi, menjunjung nilai disiplin, integriti dan kesukanan kerana kemenangan paling bermakna ialah apabila kita memberikan yang terbaik dengan penuh kejujuran dan maruah,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar segala usaha kontinjen negara dipermudah, dikurniakan kejayaan yang membanggakan serta mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Kontinjen negara antara atlet profesional di kalangan lebih 50 buah negara yang menyertai temasya empat tahun sekali itu.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 akan berlangsung di empat venue utama dalam lingkungan 12.8 kilometer di sekitar bandar raya tuan rumah, membabitkan Stadium Scotstoun, Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Arena Antarabangsa Glasgow dan Scottish Event Campus.
Upacara pembukaan temasya itu akan berlangsung The Hydro, hari ini.

Anthony Loke berkata, kelangsungan sesebuah parti politik bergantung kepada sokongan pengundi, jadi DAP perlu menilai semula hala tujunya selepas kalah.
KUALA LUMPUR, 23 Jul – Walaupun DAP akan menilai sama ada pemimpinnya perlu kekal dalam kerajaan perpaduan tidak lama lagi, parti itu tetap komited menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook.
DAP akan mengadakan kongres pada 16 Ogos ini untuk memutuskan sama ada pemimpinnya perlu melepaskan jawatan mereka dalam kerajaan susulan prestasi buruk parti itu dalam PRU Sabah November lalu.
Bercakap dalam audio siar malam tadi, Loke berkata, DAP tidak boleh mengabaikan kekalahannya di Sabah, yang kecundang di semua lapan kerusi ditandinginya, termasuk enam kepada Warisan.
Menurutnya, kelangsungan sesebuah parti politik bergantung kepada sokongan pengundi, jadi DAP perlu menilai semula hala tujunya selepas kalah.
“Sebagai sebuah parti politik, survival kita bergantung kepada pengundi. Kalau pengundi menolak kita, kita tidak ada kuasa, tidak ada keabsahan dan tidak ada nilai dalam politik.
“Jadi, survival kita bergantung kepada pengundi. Jadi apabila berlaku keputusan seperti di Sabah, sudah tentu kita perlu mengambil ikhtibar, perlu ada respons.
“Tetapi, bukan bermaksud kita keluar (daripada kerajaan) atau meninggalkan perdana menteri. Tidak,” katanya dalam audio siar Tiger Show oleh Astro Awani.
Menteri pengangkutan itu sebelum ini menekankan Ahli Parlimen DAP akan terus menyokong kerajaan sehingga PRU akan datang, tanpa mengira keputusan kongres.
Tegasnya, DAP tidak akan menarik balik sokongannya terhadap kerajaan perpaduan atau mengambil bahagian dalam sebarang percubaan menggulingkan kerajaan.
Bercakap dalam audio siar itu, Loke mengakui penyertaan DAP dalam kerajaan melibatkan pertukaran dan menyebabkan parti itu diteliti secara berterusan oleh orang ramai.
Walaupun mengakui DAP dikritik kerana “kurang lantang” sejak berada dalam kerajaan, jelasnya, parti itu yang mempunyai lima menteri terus membangkitkan isu penting dalam Jemaah Menteri.
“Kita bersuara melalui Kabinet, bukannya bersuara melalui media. Tetapi orang politik kita tahulah, kalau tak bersuara melalui media, orang tidak tahu, orang tak dengar, sebab Kabinet ini mesyuarat tertutup, mesyuarat sulit.
“Kita kalau hendak berada dalam kerajaan, kena pertahankan kerajaan. Kita kena cari pendekatan bagaimana kita dapat membantu mendapatkan sokongan rakyat, melalui pentas atau platform dalam kerajaan.
“Kalau kita hanya nak mengkritik atau bersuara lantang saja, jadi kita terpaksa berundur daripada kerajaan.”
Datuk Seri Rafizi Ramli mengalu-alukan keputusan Kerajaan Malaysia untuk mendedahkan kepada umum laporan akhir Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.
Beliau berkata, laporan itu akhirnya akan mendedahkan penyelewengan yang berlaku di dalam Tabung Haji sepanjang lebih sedekad akibat kelemahan tadbir urus di bawah Barisan Nasional, dan disucikan oleh Pas atas nama perpaduan ummah.
Menurut beliau, walaupun Tabung Haji telah diselamatkan oleh pentadbiran Pakatan Harapan pada tahun 2019, namun harga yang dibayar oleh rakyat adalah sangat tinggi.
“Ia melibatkan puluhan bilion duit cukai rakyat untuk menanggung kerugian dari pelaburan-pelaburan Tabung Haji selama lebih sedekad.
“Tabung Haji juga akan mengambil masa berdekad lagi untuk kukuh semula, sementara hutang berpuluh bilion itu perlu ditanggung oleh rakyat sekurang-kurangnya sedekad lagi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyatakan keyakinan bahawa laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji yang terperinci akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran Umno.
Dakwa Rafizi, laporan itu sepatutnya didedahkan lebih awal pada 2023, namun ketika itu Datuk Seri Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati Umno.
“Laporan Suruhanjaya Diraja Tabung Haji adalah terperinci dan saya yakin ia akan menunjukkan bagaimana institusi itu rosak di bawah pentadbiran Umno.
“Ia juga membantu rakyat menghadam bagaimana sepak terajang politik, melalui tindakan suci mensuci terutamanya oleh Pas, membawa kekeliruan dalam kalangan rakyat mengenai apa yang telah terjadi di Tabung Haji.
“Sepatutnya, laporan RCI Tabung Haji itu didedahkan seawal 2023 lagi apabila laporan itu mula-mula siap. Tetapi pada ketika itu, Datuk Seri Anwar sangat berhati-hati untuk menjaga hati Umno, maka keputusan dibuat untuk menanam laporan itu,” katanya.
Rafizi berkata, beliau adalah orang yang paling gembira apabila laporan RCI Tabung Haji didedahkan kerana ia membuktikan semua pendedahan yang telah dibuat beliau antara 2015 hingga 2018 mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji adalah benar.
Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menantikan pendedahan laporan akhir Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, selepas bertahun-tahun beliau berdepan fitnah ketika usaha penstrukturan semula institusi itu antara 2018 hingga 2020.
Beliau berkata, sejak 2023 lagi beliau telah beberapa kali bertanya di Dewan Negara bilakah laporan RCI TH akan didedahkan kepada awam, namun pada waktu itu jawapan yang diperoleh adalah laporan tersebut masih di bawah Akta Dokumen Rahsia (OSA)
Beliau mengimbas kembali bagaimana operasi penstrukturan semula Tabung Haji yang berada dalam keadaan defisit, dijadikan kesempatan untuk Pas dan Umno sebagai pembangkang waktu itu menyerang beliau kononnya aset TH telah dijual oleh beliay dan Lim Guan Eng.
“Sehingga hari ini fitnah terhadap TH memburukkan PH dan diri saya digunakan dalam kempen-kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk yang terkini di Johor dan sekarang di Negeri Sembilan.
“Tibalah masanya kemuncak kebenaran didedahkan siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada keruntuhan TH dan siapa sebenarnya yang berusaha menyelamatkan TH
“Saya sendiri tidak sabar untuk melihat laporan tersebut supaya rakyat didedahkan apa sebenarnya yang berlaku pada TH dari tahun 2014-2020 dan siapa yang telah bertanggungjawab merosakkan TH dan apa peranan saya untuk memulihkan kembali TH dari 2018-2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada masa sama mengimbas kembali bagaimana reputasi beliay dipertaruhkan dengan fitnah yang berlegar di media sosial kononnya sebagai orang yang bertanggungjawab menjual aset TH kepada bukan Islam.
Beliau juga dituduh sebagai menteri yang merosakkan TH dan pelbagai tohmahan lain.
Pun begitu, Mujahid telah memenangi banyak siri saman fitnah terhadap pemimpin-pemimpin politik yang menyebarkan fitnah tidak berasas terhadap beliau.
Beliau pernah mengemukakan tuntutan saman fitnah kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki berhubung fitnah terhadap saham TH dalam TNB yang dikatakan dilepaskan.
Asyraf Wajdi kemudian meminta maaf secara terbuka sebagai syarat penyelesaian di luar mahkamah.
Mujahid juga disaman bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Shah Alam, Ahmad Dusuki Rani berhubung fitnah aset TH telah dijual kepada bukan Islam. Hasilnya pemimpin Pas itu kalah dalam samannya sendiri dan diarahkan membayar ganti rugi kepada Mujahid.
“Hanya Allah tempat saya mengadu selama beberapa tahun ini agar fakta dan bukan auta yang akan menjadi penilaian umat Islam terhadap usaha PH sebelum ini yang berusaha memenuhi janji membela institusi terbesar umat Islam dan siapa yang sebenarnya merosakkan Tabung Haji. Wahai PMX segeralah dedahkan laporan RCI TH,” ujarnya
Presiden Putra, Datuk Dr Ibrahim Ali melabel kerjasama Barisan Nasional (BN)-Pas dalam pilihan raya Negeri Sembilan sebagai penyatuan haprak.
Beliau melihat kerjasama dua parti itu sebagai sukar diterima kerana Pas sebelum ini lantang mengkritik Umno berhubung isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa, namun kini kembali bekerjasama demi meraih sokongan pengundi.
Beliau mempersoal, bagaimana Pas yang sudah meletakkan cop “perasuah” di dahi Umno, akhirnya boleh saling bekerjasama.
“Bila masa mereka bertunang, akad nikah saya tak tahu. BN ni dah terkenal dengan cop rasuah dekat atas dahi. Cop (atas dahi) penyalahgunaan kuasa.
“Daripada dulu kita tengok rekod dia macam-macam. Pas pun duk kempen Umno rasuah. Umno salah guna kuasa. Lepas itu puak-puak orang agama ini menjilat rasuah. Malu!.
“Sekarang ini dua golongan ini dah bergabung nak tipu orang Melayu lagi. Menang sorak, kampung tergadai. Penyatuan UmPas. Penyatuan haprak. Bila nak dapat sokongan orang Melayu dan undi, maka bercakaplah tolak DAP.
“Kononnya mereka ini pejuang Melayu Islam. Tolak apa? Podah. Ini golongan hipokrit dan munafik,” katanya dalam satu rakaman temu bual dikongsikan di media sosial.
Beliau berkata, tindakan Pas kini seolah-olah membersihkan imej Umno yang dahulu dikritik kerana isu rasuah, penyalahgunaan kuasa dan integriti
“Sekarang ini, orang tak sokong Umno-BN adalah kerana isu rasuah, salah guna kuasa dan integriti. Lepas itu Pas pula dah pergi sucikan Umno. Makna dulu rasuah, tapi sekarang Umno boleh dah masuk syurga. Inilah dia.
“Saya tak fahamlah politik dia orang ini. Dia maki hamun, ejek, kutuk, lepas itu dia pergi peluk balik,” ujarnya lagi.
Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Seri Hamzah Zainudin akhirnya mengakui tindakannya meninggalkan Umno pada 2018 bukan bertujuan mengkhianati parti itu, sebaliknya didakwa dibuat untuk membantu Umno.
Hamzah mengaku berbuat demikian dalam satu ceramah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang kemudian tular di media sosial.

“Saya dulu orang Umno. Saya bukan khianat kepada Umno.
“Saya keluar Umno adalah kerana nak membantu Umno ketika itu,” katanya menerusi klip rakaman video dalam program ceramah berlatar belakangkan bendera Barisan Nasional (BN) itu.
Malah, Hamzah mendakwa keputusan meninggalkan Umno yang disertainya sejak puluhan tahun itu dibuat selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang dipecat Bersatu berkuat kuasa 13 Februari lalu itu turut mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pertemuan tersebut.
“Saya keluar Umno selepas bertemu dengan Presiden (Umno), Datuk Zahid.
“Saya keluar Umno selepas bertemu dengan Datuk Zahid bersama dengan Datuk Najib,” katanya sekaligus memberi gambaran bahawa keputusannya keluar parti adalah dengan pengetahuan pemimpin tertinggi Umno ketika itu.
Hamzah, 69, mengumumkan keluar dari Umno pada 14 Disember 2018 kemudian secara rasmi menyertai Bersatu pada 12 Februari 2019 bersama beberapa bekas Ahli Parlimen Umno yang lain.
Mereka menerima kad keahlian daripada pengerusi Bersatu ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Larut sejak 2008 itu kemudiannya pernah menjadi Setiausaha Agung Bersatu, Menteri Dalam Negeri dan akhirnya Timbalan Presiden Bersatu.
Bagaimanapun, perjalanan itu berakhir apabila dia dipecat daripada Bersatu berkuat kuasa 13 Februari lalu kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.
Selepas dipecat, Hamzah menolak pelawaan untuk kembali menyertai Umno dan memilih untuk meneruskan perjuangan melalui sebuah entiti politik baharu.
Dia kemudiannya mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara pada 13 Jun sebelum dilantik sebagai presidennya.
Percubaan Setiausaha Agung Umno, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengaitkan kemungkinan calon DAP dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan mengundang kritikan lantaran bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.
Pemerhati politik, Afiq Noordin berkata, beliau menghargai dan memandang tinggi kerja lapangan Asyraf selaku Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Bagaimanapun, menurutnya, keterujaan ketika berkempen mungkin menyebabkan pemimpin Umno itu membuat kenyataan tanpa menyemak keseluruhan fakta terlebih dahulu.
“Saya sangat memandang tinggi kerja lapangan Dr Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA.
“Tapi mungkin keterujaan semasa berkempen buatkan beliau terlepas cakap tanpa menyemak fakta,” katanya, menerusi perkongsian di Facebook.
Terdahulu, Asyraf mendakwa Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min sebagai calon Menteri Besar.
Beliau kemudian mendakwa PH tidak mempunyai pilihan selain mengangkat calon DAP sebagai Menteri Besar sekiranya sesuatu berlaku kepada Aminuddin.
Mengulas lanjut, Afiq berkata, kenyataan Asyraf itu seolah-olah cuba memainkan sentimen terhadap DAP tanpa menerangkan kepada pengundi bahawa syarat pelantikan ketua kerajaan tidak sama bagi setiap negeri.
Jelasnya, Malaysia bukan sahaja mempunyai Perlembagaan Persekutuan, malah setiap negeri turut mempunyai perlembagaan masing-masing yang menentukan struktur pentadbiran serta kaedah pelantikan Menteri Besar, Ketua Menteri atau Premier.
“Ramai mungkin tak tahu yang setiap negeri di Malaysia ada Perlembagaan Negeri.
“Sebab itu, syarat pelantikan Menteri Besar atau Ketua Menteri juga tak sama,” jelasnya.
Bagi Negeri Sembilan, Afiq merujuk Perkara 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 berhubung proses pelantikan Menteri Besar.
Menurut penjelasannya, Yang di-Pertuan Besar perlu melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan sebagai Menteri Besar.
Namun, katanya, perlembagaan negeri turut mengandungi syarat tambahan berkaitan bangsa, agama dan taraf kewarganegaraan calon tersebut, di samping peruntukan pengecualian tertentu.
Teks Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 merupakan dokumen asas yang menetapkan struktur kerajaan negeri, termasuk pembentukan badan eksekutif dan pelantikan Menteri Besar.
Afiq berkata, ini bermakna isu pelantikan Menteri Besar tidak boleh disederhanakan seolah-olah mana-mana calon boleh terus diangkat hanya kerana datang dari parti tertentu.
Selain mendapat kepercayaan majoriti Dewan, proses itu mesti dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri serta budi bicara pihak berkuasa negeri yang diperuntukkan undang-undang.
“Ini bermaksud, mendapat sokongan majoriti saja tak cukup. Calon juga perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.
Afiq turut menegaskan bahawa Negeri Sembilan bukan satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan khusus berkaitan pelantikan Menteri Besar.
Menurutnya, negeri-negeri yang mempunyai institusi Raja Melayu seperti Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu turut mempunyai peruntukan yang hampir sama dalam perlembagaan negeri masing-masing.
Walaupun terdapat perbezaan pada frasa, syarat dan pengecualian, katanya, prinsip asas pelantikan Menteri Besar di negeri-negeri beraja perlu dibaca bersama sejarah dan struktur pemerintahan negeri tersebut.
Justeru, beliau menyifatkan gambaran bahawa calon DAP akan dilantik secara automatik sebagai Menteri Besar sebagai terlalu mudah dan tidak menerangkan keseluruhan proses perlembagaan kepada pengundi.
Dalam pada itu, Afiq menjelaskan bahawa Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak mempunyai struktur yang berbeza kerana negeri-negeri berkenaan diketuai Yang di-Pertua Negeri, bukannya Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar.
Oleh itu, ketua kerajaan bagi negeri berkenaan menggunakan gelaran Ketua Menteri, kecuali Sarawak yang kini menggunakan gelaran Premier.
Syarat utama pelantikan lazimnya tertumpu kepada seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat kepercayaan majoriti Dewan, tertakluk kepada perlembagaan negeri berkenaan.
Beliau memberi contoh Pulau Pinang yang pernah dipimpin Lim Chong Eu, Koh Tsu Koon dan Chow Kon Yeow.
Sabah pula pernah dipimpin tokoh daripada pelbagai latar belakang etnik, termasuk Tun Fuad Stephens dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, manakala Sarawak pernah dipimpin Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.
Menurut Afiq, sejarah tersebut menunjukkan syarat pelantikan ketua kerajaan negeri tidak seragam di seluruh negara dan tidak wajar dicampuradukkan untuk membangkitkan ketakutan pengundi.
Afiq turut mempersoalkan tindakan memainkan sentimen DAP sedangkan BN pernah bekerjasama dengan PH dalam PRN Negeri Sembilan pada 2023.
Katanya, kerjasama tersebut menyaksikan kedua-dua gabungan saling membantu calon masing-masing, termasuk di kawasan yang ditandingi DAP.
Situasi hampir sama, katanya, pernah berlaku apabila Bersatu bekerjasama dengan DAP menerusi PH pada Pilihan Raya Umum 2018, manakala Pas juga pernah bersama parti itu dalam Pakatan Rakyat sebelum kerjasama berkenaan berakhir.
“Jadi, tak perlu sebenarnya timbul kenyataan seperti ini, lagi-lagi sebelum ini BN pun pernah kerjasama dengan PH masa PRN 2023 yang mana masa itu pun mereka secara tidak langsung berkempen untuk DAP.
“Sama juga dengan Bersatu masa PRU 2018 dan buat PAS pada tahun sebelum itu lagi.
“Tapi sekarang semua asyik meratib DAP. Hairan sungguh,” sindirnya.
Menurut Afiq, kempen PRN sepatutnya memberi tumpuan kepada prestasi pentadbiran, tawaran kepada rakyat dan kemampuan calon menyelesaikan masalah negeri.
Sebaliknya, cubaan membangkitkan kemungkinan calon DAP menjadi Menteri Besar tanpa menerangkan proses sebenar pelantikan hanya dilihat sebagai usaha memainkan sentimen politik lama.
“Mungkin masa itu mereka tak perasan barangkali,” katanya secara sinis.