Saya sangat memandang tinggi kerja lapangan Dr Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA.
Tapi mungkin keterujaan semasa berkempen buatkan beliau terlepas cakap tanpa menyemak fakta.
Ramai mungkin tak tahu yang setiap negeri di Malaysia ada Perlembagaan Negeri.
Sebab itu, syarat pelantikan Menteri Besar atau Ketua Menteri juga tak sama.
Mari kita belajar tentang sejarah Perlembagaan Negeri.
#Pertama
Untuk Negeri Sembilan, kita perlu rujuk Perkara 36(1).
“Yang di-Pertuan Besar hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti Dewan sebagai Menteri Besar.”
Tapi Perkara 36(2) menetapkan syarat tambahan bahawa calon Menteri Besar mestilah:
• seorang Melayu;
• beragama Islam; dan
• seorang warganegara melalui kuat kuasa undang-undang,
selain terdapat peruntukan pengecualian tertentu yang dinyatakan dalam Perlembagaan Negeri.
Ini bermaksud, mendapat sokongan majoriti saja tak cukup. Calon juga perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri Sembilan.
#Kedua
Negeri Sembilan bukan satu-satunya negeri yang mempunyai syarat ini.
Kesemua negeri yang ada Raja Melayu turut menetapkan syarat yang hampir sama dalam Perlembagaan Negeri masing-masing.
“Ye ke? Negeri mana je yang ada tu?”
• Johor
• Kedah
• Kelantan
• Pahang
• Perak
• Perlis
• Selangor
• Terengganu
“Eh! Semua negeri yang ada Raja rupanya.”
Walaupun ada sedikit perbezaan dari segi frasa atau pengecualian dalam setiap Perlembagaan Negeri, prinsip asasnya hampir sama, iaitu jawatan Menteri Besar diperuntukkan kepada seorang Melayu yang beragama Islam.
#Ketiga
“Kenapa Melaka dan Pulau Pinang tak ada syarat yang sama?”
Melaka dan Pulau Pinang merupakan bekas Negeri Selat (Straits Settlements) yang tidak mempunyai institusi Raja Melayu.
Ketua negeri ialah Yang di-Pertua Negeri, bukannya Sultan atau Yang di-Pertuan Besar.
Begitu juga dengan Sabah dan Sarawak.
Kedua-dua negeri ini turut diketuai oleh Yang di-Pertua Negeri, bukannya Raja atau Sultan.
Oleh sebab itu, Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak menetapkan bahawa Ketua Menteri atau Premier mestilah seorang Melayu atau beragama Islam.
Sebaliknya, syarat utama ialah seseorang itu merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat kepercayaan majoriti Dewan.
Sebab itulah Pulau Pinang pernah mempunyai Ketua Menteri bukan Melayu seperti Lim Chong Eu, Koh Tsu Koon dan Chow Kon Yeow.
Di Sabah pula, negeri itu pernah dipimpin oleh tokoh daripada pelbagai latar belakang etnik seperti Tun Fuad Stephens dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Manakala di Sarawak pula pernah dipimpin oleh Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebelum menggunakan gelaran Premier pada masa kini.
Ini menunjukkan bahawa syarat pelantikan ketua kerajaan negeri bukanlah seragam di seluruh negara. Ia bergantung kepada Perlembagaan Negeri masing-masing, yang dibentuk berdasarkan sejarah dan struktur pemerintahan setiap negeri.
#Keempat
Jadi tak perlu sebenarnya timbul kenyataan seperti ini lagi-lagi sebelum ini BN pun pernah kerjasama dengan PH masa PRN 2023 yang mana masa tu pun mereka secara tak langsung berkempen untuk DAP.
Sama juga dengan Bersatu masa PRU 2018, dan buat Pas pada tahun sebelum itu lagi.
Tapi sekarang semua asyik meratib DAP. Hairan sungguh.
“Mungkin masa tu mereka tak perasan barangkali.” Bisik Mocking Bird saya.

No comments:
Post a Comment