KENYATAAN MEDIA Perdana Menteri Harus Dedahkan Hasil Siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Berhubung Isu Tabung Haji

 


KENYATAAN MEDIA







Perdana Menteri Harus Dedahkan Hasil Siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Berhubung Isu Tabung Haji
1. Pertama, Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang menguruskan kepentingan 100 peratus umat Islam di Malaysia. Justeru, institusi ini perlu dipelihara dengan sebaik-baiknya serta menggalas amanah yang diberikan oleh rakyat bagi memastikan pengurusannya berjalan dengan penuh integriti dan terus membawa manfaat kepada umat Islam di negara ini.
2. Tabung Haji ditubuhkan pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak dengan tujuan menjaga kepentingan umat Islam di negara ini. Oleh sebab itu, Tabung Haji merupakan sebuah institusi yang amat dekat di hati masyarakat Islam di Malaysia.
3. Memandangkan Tabung Haji merupakan sebuah badan yang berkepentingan kepada umat Islam dan majoriti orang Melayu, saya mendesak Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya mendedahkan kepada umum hasil siasatan RCI berhubung Tabung Haji agar rakyat, khususnya umat Islam dan orang Melayu, memperoleh maklumat yang tepat mengenai apa yang telah berlaku dalam pengurusan Tabung Haji pada masa lalu.
4. Saya melihat pendedahan hasil siasatan RCI ini amat penting kerana ia mampu menjelaskan kedudukan sebenar berhubung apa yang berlaku dalam pengurusan Tabung Haji sehingga sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan untuk menyiasat perkara tersebut. Sehingga kini, perkara itu masih belum dijelaskan secara terbuka oleh pihak kerajaan kepada rakyat.
5. Oleh yang demikian, atas nama kepentingan umat Islam, orang Melayu dan negara Malaysia, saya sekali lagi mendesak Kerajaan serta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri agar mendedahkan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji kepada umum. Laporan tersebut seharusnya dinyahkan daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA) bagi membolehkan perjalanan pengurusan institusi yang mengurus kepentingan umat Islam di negara ini diketahui umum.
6. Perlu diingat bahawa agama Islam berada di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, segala yang berlaku kepada Tabung Haji wajar diberikan penjelasan kepada rakyat. Hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja inilah yang akan menjelaskan perkara sebenar yang berlaku, sebagaimana yang telah diketahui umum mengenai kelemahan pengurusan Tabung Haji pada suatu ketika dahulu.
YB Abbas Azmi
Ahli Dewan Negeri Seri Serdang
Pengarah Mobilisasi
Parti AMANAH Negara

No comments: