Kerjasama Air Asia-MAS Cermin Kegagalan ETP


PETALING JAYA 23 OGOS : Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli menyatakan perjanjian kerjasama Air Asia dan MAS memberi isyarat dan ramalan awal kegagalan Pelan Transformasi EKonomi (ETP) buah fikiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Rafizi, kegagalan dua Pelan Pemulihan Perniagaan (BTP) MAS sebelum ini boleh dikaitkan dengan keghairahan Najib yang galak menggunakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memacu ETP dan pelbagai program lain.

Malah, Rafizi menambah perjanjian tersebut memperakui kenyataan tersirat pihak Khazanah Nasional Berhad bahawa kedua-dua Pelan Pemulihan Perniagaan (BTP) yang dilaksanakan sejak tahun 2006 di bawah pengawasan dua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) telah gagal.

Isu yang lebih penting adalah sama ada ini merupakan petunjuk awal bahawa Program Transformasi GLC juga gagal memandangkan pemulihan MAS dianggap sebagai petunjuk utama usaha berkaitan.

"Jika GLC amat penting kepada negara kita tapi pada masa sama Program Transformasi GLC juga gagal, itu satu petanda yang cukup tidak baik kepada polisi ekonomi kerajaan Najib," kata beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Awal bulan ini, Khazanah atas restu kerajaan telah menukar sebanyak 20.5% pegangan saham dalam MAS dengan 10% saham dalam AirAsia.

Bagaimanapun langkah ini menimbulkan kebimbangan kerana ia bakal mewujudkan 'kartel' yang memonopoli sektor penerbangan negara.

Pakatan rakyat sebelum ini telahpun membantah hal ini kerana ia berpotensi memangsakan rakyat jelata akibat tiada lagi persaingan dalam penerbangan domestik negara seperti sebelum ini.

Rafizi bagaimanapun mengutarakan perkara pokok dalam hal ini bahawa Malaysia, yang telah mempunyai sektor penerbangan sejak lebih 4 dekad masih tiada Dasar Pengangkutan Udara bagi memberi garis panduan sebenar berkenaan sistem ini.

"Yang membimbangkan kerajaan Malaysia tidak pernah ada dasar khusus yang mengamal dan menjalankan pengankutan udara seperti negara lain. Ini yang menyebabkan kebanyakan keputusan yang melibatkan ini dibuat secara sementara.

"Saya bagi contoh pada 2005-07 MAS tidak boleh menurunkan tambang mereka kerana tiada polisi. Kena tanya menteri...Sebab itu kita bimbang dengan perjanjian ini akan timbulkan monopoli," tegas beliau.

Justeru Rafizi mewakili PKR mahu hal ini dikaji semula bagi memastikan kepentingan negara terjamin kerana seperti yang diketahui Air Asia sebelum ini merupakan pesaing MAS dan ia bakal mendatangkan kesan berat sebelah selepas ini.

"Pendapat PKR dalam isu ini adalah MAS tak perlukan Air Asia dan Tony Fernandes. Apa yang MAS perlukan ialah kepimpinan yang kuat dengan pengetahuan mendalam
mengenai industri penerbangan dan bukan akauntan..sebaliknya kerajaan tubuhkan jawatankuasa interim dan COO sementara,"katanya lagi.

Lebih 70 Peratus Bumiputera Hadapi "Masalah" Ekonomi

PETALING JAYA 23 OGOS : Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat mengalu-alukan kerajaan pemerintah mencontohi polisi ekonomi yang dibawa gagasan itu bagi membantu golongan yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Menerusi satu kenyataan media bersama Ahli Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat, Dr Dzulkefly Ahmad, Liew Chin Tong dan Tian Chua menyifatkan kerajaan pemerintah selama ini hanya berselindung di sebalik projek-projek mega walhal pencapaian negara amat sederhana pada waktu ini.

Menurut mereka, di sebalik keghairahan Najib dan pimpinannya membelanjakan ratusan bilion ringgit untuk projek-projek mega, masih ramai rakyat Malaysia yang menderita untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Untuk rekod, lebih daripada separuh iaitu 60 peratus daripada isirumah rakyat Malaysia mempunyai pendapatan kurang dari RM3,000 sebulan.

Daripada jumlah itu, 43 peratus daripadanya berhempas-pulas meneruskan kehidupan dengan pendapatan RM1,500 ke bawah setiap bulan dan 3/4 atau 73 peratus ialah dari kalangan Bumiputera.

Oleh itu, Pakatan Rakyat menerusi Bajet Alternatif 2012 menumpukan kepada aspek kebajikan rakyat yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan pemerintah demi projek-projek yang menguntungkan para kroni.

Dengan motto, Kesejahteraan Untuk Semua, bajet ini memberi penekanan yang khusus kepada kerja-kerja yang mengangkat martabat manusia, penggajian yang adil dan saksama serta peluang-peluang mencari rezeki untuk semua golongan rakyat terbanyak dan bukan hanya untuk golongan elit yang mempunyai jaringan pengaruh meluas.

"Ini secara langsungnya akan meningkatkan penggunaan domestik dalam satu cara yang mampan seperti pepatah Inggeris iaitu “air yang pasang akan mengangkat
kedudukan semua bot".

Semalam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengumumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan, Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) telah ditugaskan untuk mengkaji langkah baru membantu meringankan kos sara hidup meningkat bagi yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 setiap bulan.

Ini ialah kali ketiga dalam satu bulan, kerajaan Barisan Nasional telah terpaksa memberi reaksi kepada pengumuman-pengumuman ekonomi oleh Pakatan Rakyat
dengan meniru cadangan-cadangan yang diutarakan.

Sehubungan itu, pengakuan oleh Husni dan kerajaan Barisan Nasional berhubung golongan pendapatan di bawah RM3,000 memerlukan bantuan adalah satu kenyataan yang mencerminkan kegagalan Barisan Nasional mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi selain gagal memikirkan nasib 60 peratus rakyat Malaysia dalam merangka polisi ekonomi mereka.

Pakatan Rakyat antara lain turut mengesa pemerintahan Umno-BN menghentikan amalan ekonomi berpaksikan kroni BN dengan menggantikannya kepada satu rangka kerja ekonomi berpaksikan rakyat.

Rangka kerja Bajet Pakatan Rakyat ini juga termasuklah mengurus cabaran-cabaran dasar berikut:

- Meningkatkan pendapatan dan produktiviti dengan memperkenalkan satu gaji minimum agar memecahkan lingkaran ganas produktiviti rendah, gaji rendah dan
kemahiran rendah.
- Meningkatkan pendapatan bolehguna dalam meningkatkan pendapatan melalui penyampaian perkhidmatan awam lebih efektif dan efisien dalam aspek kesihatan,
pengangkutan, perumahan dan beban hutang.
- Mengehadkan monopoli, oligopoli dan kartel dengan menggalakkan persaingan di sektor-sektor yang kini dikuasai oleh monopoli, oligopoli dan kartel.



Pakar : Integriti Spesimen DNA Meragukan



KUALA LUMPUR 23 OGOS: Pakar forensik dan patalogis Australia, Dr David Wells menyifatkan integriti spesimen yang diambil daripada pengadu Saiful Bukhari Azlan dalam kes fitnah liwat II ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat kritikal.

Hal ini jelasnya kerana, sampel DNA yang sudah diletakkan di dalam balang kedap udara hendaklah diserahkan kepada jabatan kimia serta merta ataupun disimpan di dalam peti sejuk.

Tiada mana-mana pihak baik polis dibenarkan untuk membuka dan menandakan spesimen DNA tersebut tanpa pemantauan daripada ahli kimia, ujar beliau lagi.

Pegawai penyiasat (IO) DSP Jude Blacious Periera dalam kenyataannya kepada mahkamah sebelum ini mengakui bahawa beliau memotong bahagian luar plastik spesimen DNA untuk tujuan penandaan.

Malah Jude turut memberitahu bahawa beliau menyimpan spesimen tersebut di dalam almari tidak berhawa dingin lebih daripada 40 jam.

"Saya rasa polis itu sepatutnya cari kerja lain. Integriti spesimen amat penting. Beliau (Jude) sepatutnya memaklumkan kepada makmal," kata David ketika disoal peguam Sankara Nair.

David menyifatkan sekiranya bekas menyimpan spesimen telah terdedah kepada udara maka kualiti DNA tersebut tidak mampu bertahan.

Sankara kemudian bertanya pendapat pakar forensik itu tentang laporan perubatan dan borang 'proforma' yang dijadikan rujukan mahkamah.

"Saya perlu akui sejarah, proforma, laporan, saya tidak yakin mereka (doktor) tahu apa yang mereka buat.

"Anda boleh bayangkan orang ini kurang pengalaman dan mungkin baru," kata beliau sebelum mengakhiri sesi memberi keterangan.

Dalam pada Sankara yang ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkata, pasukan peguambela hari ini berjaya menimbulkan kesangsian tentang cara pengendalian sampel DNA yang diambil oleh doktor dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke atas Saiful.

Katanya Jude sendiri telah melanggar prosedur analisis kimia dengan memotong bekas plastik yang mengandungi sampel DNA pengadu.

"Pakar mengatakan IO telah potong beg. Ini memberi peluang kepada kontaminasi dan perkara ini memang berlaku. Kononya untuk buat penandaan baru dan pakar cakap prosedur ini tidak betul. Itu menujukkan kejayaan pihak pembela hari ini," kata beliau.

Pakar : Laporan Perubatan Dan Borang Proforma Tidak Konsisten



KUALA LUMPUR 23 OGOS: Saksi ke tiga pakar forensik dan patologis dari Australia, Dr David Wells memberitahu mahkamah bahawa terdapat kecacatan pada laporan perubatan dan borang 'proforma' yang dikeluarkan Hospital Kuala Lumpur terhadap pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Dalam keterangannya di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah hari ini, David menyatakan tiada kesan pendarahan pada dubur dicatatkan dalam laporan perubatan oleh Dr Siew Sheue Feng yang memeriksa Saiful.

Namun apa yang meragukan, nota mengenai kesan pendarahan tercatat pada borang 'proforma' yang digunakan untuk memeriksa si pengadu.

Selain itu, David turut mempersoalkan catatan doktor yang menyebut 'tiada penemuan konklusif' sedangkan menurut pengalaman beliau ianya harus ditulis 'tiada sebarang penemuan".

Katanya perkataan "konklusif" bermaksud doktor yang memeriksa Saiful kurang pasti akan penemuannya sendiri.

Perkara tersebut turut dipertikai peguambela Sankara Nair.

Beliau yang ditemui media selepas mahkamah berehat sebentar berkata perkara tersebut mempertikai kredibiliti saksi yang ditugaskan untuk memeriksa Saiful pada hari tersebut.

Beliau turut membidas saksi pakar kimia dari Jabatan Kimia Malaysia, Dr Seah Lay Hong yang memberi keterangan berdasarkan pendapat beliau tentang spesimen DNA "lelaki Y" yang diuji untuk mengaitkan Anwar.

Dr Seah sebelum ini menerima 12 sampel dari HKL dengan dua daripadanya ditanda dengan tarikh yang sangat berbeza.

Seah mengakui tidak berbuat apa-apa untuk mendapatkan penjelasan daripada Dr Siew mengenai hal itu.

Oleh itu, Anwar sebelum ini berpendapat telah berlakunya pelanggaran peraturan asas dalam protokal makmal antarabangsa Jabatan Kimia Malaysia.

Jelas beliau, walaupun pendedahan itu dibuat secara terang-terangan dengan kegagalan penguatkuasaan peraturan yang ketat, bukti yang dibawa oleh Dr Seah masih tetap diterima, sedangkan ia sepatutnya dibuang atas sebab-sebab ketidakcekapan dan kecuaian melampau.

Hal sama turut dinyatakan oleh David.

"Ahli kimia tidak harusnya menyatakan pendapat, beliau sepatutnya memberitahu apa yang ditemui. Saya akan bawa perkara itu petang ini," katanya.

Mengapa Anwar Ibrahim Membuat Kenyataan Dari Kandang Tertuduh?




KUALA LUMPUR 23 OGOS : Di sebalik ramai yang terkejut di atas tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih untuk membacakan keterangan dari kandang tertuduh, peguam N. Surendran menjelaskan relevan tindakan Anwar itu.

Surendran yang juga naib presiden PKR berkata, Anwar membuat pilihan itu ekoran mengetahui sistem keadilan negara yang jarang berpihak padanya membuatkan beliau tidak memilih untuk berada di kandang saksi yang membolehkan dirinya disoal balas.

"Keputusan tidak memberi keterangan dari kandang saksi sekaligus menujukkan protes terhadap sistem perundangan dan politik yang tidak adil.

"Apa yang mereka pentingkan adalah politik mereka sahaja. Mereka juga mengabaikan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada orang ramai dan negara,"katanya dalam satu salinan kenyataan media yang diberikan kepada TV Selangor.

Anwar dalam keterangannya sebelum ini berkata, walaupun beliau bersedia untuk memberi keterangan secara bersumpah (pendakwaan boleh menyoal balas), namun katanya cara pengendalian perbicaraan oleh hakim dan pendakwaan mewujudkan keadaan yang menyebabkannya tidak boleh berbuat demikian.

Kata Anwar, hakim tidak sepatutnya memberi cadangan kepada saksi berpotensi yang ditawarkan kepada peguamnya bahawa mereka boleh menolak untuk ditemubual.

Malah menurut Surendran, melalui kuasa-kuasa dan akta tertentu, sistem keadilan di negara ini telah dikurangkan untuk dijadikan alat demi kepentingan regim pemerintah.

Katanya lagi, sejarah juga membuktikan perkara yang sama berlaku kepada bekas Presiden Afrika Selatan yang ke 11, Nelson Mandela juga memilih untuk memberi kenyataan dari kandang tertuduh semasa perbicaraan politiknya.

"Mandela menggunakan pendekatan yang sama seperti Anwar (kandang tertuduh) dalam perbicaraan Rivonia Sham untuk mendedahkan kejahatan regim Apartheid kepada dunia," katanya lagi.

Malah kata Surendran, Anwar turut merasai bahawa keputusan perbicaraan kes liwatnya merupakan satu kesimpulan yang sudah diketepikan dari awal lagi.

"Sekarang dia (Anwar) menganggap ini satu penganiayaan kehakiman dan menjadikannya senjata untuk membuat perubahan asas dalam sistem pentadbiran negara ini," kata N Surendran lagi.



Dr Osman : Saiful Memang Ada Beritahu Plastik Dimasukkan Ke Dalam Duburnya




KUALA LUMPUR 23 OGOS : Pengadu dalam kes fitnah liwat ke II ke atas Ketua Pembangkang, Saiful Bukhari Azlan ada memberitahu bahawa objek seperti plastik dimasukkan ke dalam duburnya sama seperti yang tertera dalam laporan perubatan, kata bekas doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman Abdul Hamid.

Dr Osman juga setuju dengan Ketua Pendakwaraya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bahawa Saiful ada memaklumkan padanya bahawa beliau diliwat oleh seorang VIP namun bertegas bahawa Saiful ada mengakui objek plastik dimasukkan ke dalam duburnya.

Saiful datang ke Pusrawi pada 28 Jun 2008, dua hari selepas beliau didakwa diliwat oleh Anwar.

Dia mengadu kepada Dr Osman bahawa beliau mengalami kesakitan pada duburnya.

Dr Osman yang menjalani pemeriksaan pada dubur Saiful bagaimanapun mendapati tiada kesan koyakan atau berdarah di kawasan berkenaan dan ketika itu katanya, Saiful memberitahunya dia diliwat dengan objek plastik dimasukkan ke duburnya.

"Saya ada catatkan ini selepas Saiful beritahu saya selepas pemeriksaan dijalankan dan ada masukkan sebuah protoskop," katanya.

Menjawap soalan Yusof, Osman berkata memasukkan plastik bukan meliwat.

Beliau juga menafikan bahawa nota perubatan itu ditambah kemudiannya.


Tiada Kecederaan Pada Dubur Saiful-Pakar



KUALA LUMPUR 23 OGOS: Bekas doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamed Osman Abd Hamid hari ini mengesahkan bahawa tiada kecederaan pada dubur pengadu Saiful Bukhari Azlan ketika beliau hadir ke hospital itu pada 28 Jun 2008.

Osman yang mengambil tempat di kandang saksi sesi pembelaan memberitahu mahkamah bahawa sewaktu memeriksa Saiful, beliau mendapati keadaan dubur adalah normal tanpa sebarang kecederaan.

Namun katanya Saiful bertegas menyatakan bahawa beliau diliwat.

"Dia (Saiful) terus bercakap kepada saya dan katanya melibatkan VIP dan dia berada berasa takut," kata Osman di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Justeru Osman berkata pihaknya mencadangkan supaya Saiful merujuk kepada hospital kerajaan dan membuat laporan polis.

Osman walau bagaimanapun berkata beliau memasukkan protoskop ke dalam dubur Saiful untuk memeriksa kecederaan.

Timbalan Pendakwaraya Datuk Yusof Zainal Abiden mengambil giliran menyoalbalas Osman dengan bertanyakan adakah sodomi berlaku sekiranya plastik dimasukkan ke dalam dubur, Osman berkata tidak.

Terdahulu Dr Osman ada memberitahu, Saiful telah mengadu kepadanya bahawa beliau merasa sakit di dalam lubang duburnya selama beberapa hari dan kelihatannya seperti ada bahan "plastik" dimasukkan.

Oleh itu, Yusof mendakwa Osman tidak bertanyakan soalan spesifik kepada Saiful tentang kejadian diliwat memandangkan beliau tidak berpengalaman tentang hal tersebut.

"Saya tanya sekiranya dia buasir, pendarahan dubur. Tapi saya tidak tanya apa telah terjadi," ujar beliau.

Kini giliran pakar forensik dan ahli patologi, Dr David Wells disoalbalas oleh peguambela Sankara Nair.

David berkata sepanjang kariernya beliau telah mengendalikan banyak kes tentang serangan seksual, penderaan kanak-kanak dan sebagainya.

Mahkamah Tinggi di sini hari ini akan mendengar keterangan daripada Osman dan dua pakar patologi forensik, Dr David Wells dan pakar DNA Dr Brian McDonald.

Perbicaraan kes fitnah liwat dua ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memasuki hari kedua, akan menyaksikan ketiga-tiga mereka memberikan keterangan masing-masing.

Mereka sebelum ini telah bersama-sama pihak pembelaan sejak awal perbicaraan dan telah mendengar keterangan daripada pihak polis, doktor Hospital Kuala Lumpur dan ahli kimia.

Anwar semalam yang memilih untuk untuk membaca satu kenyataan dalam kandang tertuduh, mungkin juga terpaksa berhadapan pemeriksaan balas.

Lazimnya, keterangan dari kandang tertuduh oleh seseorang tertuduh tidak boleh diperiksa balas.

Walau bagaimanapun, Yusof memberitahu mahkamah, bahawa beliau "teringin sangat untuk memeriksa balas Anwar".

"Saya perlu mengkaji kes-kes yang lalu kerana saya teringin sangat untuk memeriksa balas Anwar, yang dalam pembelaannya semata-mata memberi kenyataan politik," kata Yusof.

Anwar, dalam kenyataan sepanjang 32 halaman semalam menafikan bahawa beliau mempunyai hubungan seks dengan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominimum Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukumaan penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Fitnah Liwat II : Najib dan Isteri Disepina



KUALA LUMPUR 22 OGOS : Pasukan peguambela perbicaraan kes fitnah liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil keputusan mengemukakan notis sepina kepada tujuh orang saksi termasuk Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Antara lain termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Mohd Rodhwan Mohd Yusof.

Peguambela Karpal Singh memaklumkan kepada media bahawa perintah mahkamah itu telah dikeluarkan Jumaat lalu.

Katanya pihaknya turut memohon sepina dikeluarkan kepada doktor Hospital Pusrawi, Dr Mohamad Osman Abdul Hamid, jururawat Yazihan Jusoh dan seorang pembantu rumah dari Indonesia yang dikenali sebagai 'Suliati'.

Najib dan Rosmah sebelum ini hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk ditemuramah pasukan pegumabela.

Pada sesi tersebut mereka menyatakan keengganan untuk memberi keterangan sebagai saksi dan perkara yang sama dilakukan oleh Musa dan Mohd Rodwan.

Karpal yakin kesemua mereka akan hadir ke mahkamah dan sekiranya enggan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap mereka.

Sementara itu, Anwar menyatakan keputusannya untuk memberi keterangan dari kandang tertuduh adalah disebabkan ketidakyakinan beliau terhadap proses undang- undang akan berlangsung secara adil.

Katanya, integriti perbicaraan yang kini masuk ke peringkat membela diri masih dipertikaikan termasuk keputusan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah yang sering dilihat mengabaikan prosiding mahkamah.
"Saya harap hakim mempertimbangkan kerana ianya kenyataan utama. Saya melihat tidak ada sebab untuk berserah kepada sistem melainkan dikeluarkan secara paksa.

"Pandangan saya pada prosiding mahkamah, konspirasi oleh Perdana Menteri dan isteri, bukti yang diubahsuai dan penaklukan media. Jadi ianya jelas merupakan kelemahan warganegara terhadap kuasa pemerintah," ujar beliau kepada media.

Pada tahun 1998, peguam Anwar pernah membuat cubaan untuk membawa Tun Mahathir Mohamed yang memegang jawatan sebagai perdana menteri pada ketika itu ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Walau bagaimanapun permintaan tersebut diketepikan oleh hakim sendiri dengan alasan bahawa Mahathir bukan seorang saksi yang penting.

Dalam pada itu, Pakar forensik dan ahli patologi, Dr David Wells dan pakar DNA, Dr Brian Mc Donald akan mengambil tempat di kandang saksi esok, memberi keterangan diikuti dengan doktor Hospital Pusrawi, Mohd Osman Abdul Hamid.

Mahkamah bersambung jam 9 pagi ini.


(function() { var d = document, w = window; w

GILA TALAK KA NIH ?

Hamzah Rie Na Sekarang korang tahulah kan? Kerja pas siang mlm ratip salah DAP. Punya gila essim dengan dap, Tak ada ribut Tak ada petir nak...