PUNYA HEBAT...50 JUTA MACAM 50 HINGGIT...TAPI.....
WALAUPUN denda RM50 juta sudah dibayar, bermakna hukuman penjara (kes SRC) Najib SUDAH SELESAI dan dapat tahanan rumah..tapi Najib belum boleh pulang rumah, kenapa?
Pelaburan Daiso RM1.2 Bilion Perkukuh Malaysia Sebagai Hab Bekalan, Logistik Serantau

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan perasmian Pusat Pengedaran Global baharu Daiso Malaysia Group Sdn. Bhd. bernilai RM1.2 bilion di Pulau Indah, Klang pada 5 November 2026. Foto PMO
PELABUHAN KLANG, 6 Nov – Pembukaan Pusat Pengedaran Global (GDC) bernilai RM1.2 bilion di Taman Perindustrian Samudera, Pulau Indah sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kesiapsiagaan infrastruktur Malaysia dan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab rantaian bekalan serta logistik serantau.
Manakala pemilihan Malaysia sebagai lokasi pengedaran terbesar di luar Jepun oleh rangkaian peruncitan Jepun, Daiso Malaysia Group Sdn. Bhd. (Daiso), melambangkan keyakinan syarikat global itu terhadap kemampuan negara menguruskan hal logistik yang kompleks.
Kemudahan seluas 133,666 meter persegi (kira-kira 1.33 juta kaki persegi) itu merupakan gudang terbesar Daiso di seluruh dunia, mengatasi saiz fasilitinya sendiri di Hiroshima, Jepun.

Pusat berkenaan akan menjadi pangkalan utama operasi logistik kumpulan itu bagi 27 negara di Asia dan Asia Barat, dengan keupayaan mengendalikan lebih 1,000 kontena barangan keperluan rumah, alat tulis dan gaya hidup pada satu-satu masa.
Komitmen pelaburan Daiso bersama keputusan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Google untuk melabur AS$15 bilion (RM61 bilion) di Petaling Jaya yang diumumkan sehari sebelumnya, membuktikan keupayaan Malaysia berkembang sebagai pangkalan serantau bernilai tinggi dalam sektor teknologi, perdagangan dan logistik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan Daiso membangunkan hab logistik terbesarnya di Pulau Indah memberi isyarat jelas kepada pelabur antarabangsa mengenai kesiapsiagaan infrastruktur Malaysia.

Katanya, Kementerian Pengangkutan sedang mempercepat pendigitalan dokumentasi perdagangan dan proses pelepasan kargo menerusi Malaysia Maritime Single Window (MMSW) bagi memendekkan tempoh pengendalian kapal di pelabuhan.
“Pembangunan pelabuhan termasuk peluasan Westports 2 yang akan meningkatkan kapasiti daripada 14 juta kepada 28 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), selain perancangan pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, akan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara 10 hab pemindahan kontena paling sibuk di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pembukaan Pusat Pengedaran Global (GDC) Daiso baharu di Pulau Indah, di sini, semalam.

Pusat berkenaan akan berfungsi sebagai hab logistik utama Daiso bagi urusan penerimaan dan penghantaran barangan, menghubungkan operasi pembuatan di Jepun, China serta pembekal global lain dengan 27 negara di seluruh Asia dan Asia Barat..
Pada majlis sama, Daiso turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PKT Logistics (M) Sdn. Bhd. bagi kerjasama pengurusan gudang bersepadu dan perkhidmatan penghantaran kargo serantau.
Kerjasama itu dijangka memperkukuh integrasi pengangkutan domestik serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam bidang khusus kejuruteraan rantaian bekalan.
Oleh Zakkina Wati Ahmad Tarmizi
MP PAS INI AKUI PARTINYA TIDAK PUNYA ORANG SEHEBAT ANWAR

Paling menarik, Ahmad Fadhli Shaari sendiri mengakui cabaran untuk menampilkan tokoh setanding PMX sangat besar.
PENDAPAT, 6 Nov – Menarik betul sembang Shahril Hamdan dalam podcast Keluar Sekejap. Bekas Ketua Penerangan UMNO itu membedah kelebihan Anwar Ibrahim yang nampaknya masih sukar ditandingi oleh pemimpin pembangkang.
Kata Shahril, kelebihan Anwar bukan sekadar fasih berbahasa Inggeris. Hubungan antarabangsa, seni diplomasi dan cara beliau membawa diri bersama pemimpin dunia ada kelas tersendiri.
Dengan Erdogan, Modi, Prabowo, boleh bergurau, berpeluk, tepuk belakang macam kawan lama. Bukan sekadar datang bersalam, ambil gambar, kemudian balik.
Sampai senyuman dan gelak Anwar pun Shahril perhatikan. Katanya, semua itu membina persepsi kepimpinan yang membuatkan rakyat rasa bangga.
Persoalannya, siapa dalam kalangan pemimpin pembangkang yang boleh memberikan aura dan keyakinan sama? Nak cari yang hebat berceramah memang berlambak. Nak cari yang boleh duduk semeja dengan pemimpin dunia tanpa nampak kekok, itu cerita lain.
Bab ekonomi pun Shahril sentuh. Pertumbuhan KDNK dan kemasukan pelaburan asing menjadi modal kekuatan PMX yang pembangkang belum mampu jawab dengan tuntas.

Memang bukan semua kejayaan ekonomi hasil kerja Anwar seorang. Tetapi pelik juga, kalau ekonomi merosot semuanya salah PMX. Bila ekonomi berkembang, tiba-tiba PMX tak ada jasa pula.
Paling menarik, Ahmad Fadhli Shaari sendiri mengakui cabaran untuk menampilkan tokoh setanding PMX sangat besar. PN perlu mencari calon yang mampu menandingi Anwar.
Habis tu, selama ini bukan main beria nak tukar kerajaan, calon pengganti yang setanding pun masih tercari-cari?

Jadi PAS sebenarnya nak bawa negara kita kemana sebenarnya?
Itulah masalahnya. Menghentam Anwar setiap hari bukan bukti seseorang itu layak menjadi Perdana Menteri.
Rakyat nak tahu siapa alternatifnya, apa kebolehannya, bagaimana nak urus ekonomi dan sejauh mana pengaruhnya di pentas dunia. Bukan setakat pandai berkuliah, menjerit dalam ceramah dan mengeluarkan fatwa politik.

Oleh Ahmad Mursi
Adakah Pembangkang Mampu Cari RM40 Bilion Setahun Untuk Subsidi Bahan Api?

Baik Hamzah, Ahmad Samsuri mahu pun Abdul Hadi, atau mereka digabungkan sekali kebijakan mereka mampu mencari RM40 bilion setahun bagi menampung subsidi bahan api untuk rakyat setahun? Foto Janaan AI
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Adakah mana-mana pemimpin pembangkang seperti Hamzah Zainudin, Ahmad Samsuri Mokhtar, Abdul Hadi Awang malah Ahmad Zahid Hamidi sekali pun mampu mencari peruntukan sebesar RM40 bilion setahun bagi menampung subsidi bahan api, seperti dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang?
Menurut pembentangan Belanjawan 2027, Kerajaan MADANI sebenarnya memperuntukkan lebih RM80 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif dengan subsidi bahan api dijangka kekal sekitar RM40 bilion susulan krisis geopolitik di Asia Barat yang masih belum berakhir.

Ini kerana, Anwar menegaskan kerajaan perlu mencari sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun, supaya rakyat terus membayar RM1.99 seliter bagi petrol RON95 walaupun harga sebenar di pasaran jauh lebih tinggi yang sudah pasti membebankan semua rakyat.
“Anda bayar RM1.99 (seliter bagi petrol RON95 bersubsidi). Satu tahun saya kena cari RM40 bilion tampung belanja (subsidi) minyak. Sebab itu (harga) minyak di Malaysia itu, paling rendah di dunia.

“(Dibandingkan Malaysia dengan) Brunei sikit sahaja rendah tetapi yang lain Arab Saudi, Qatar (negara pengeluar minyak dunia) semua (harga) lebih tinggi daripada kita,” katanya pada program Malam Harapan di Dewan Sekolah Tinggi Pay Fong di sini, malam tadi.
Ia juga disokong kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, harga pasaran sebenar RON95 ialah RM4.42, manakala diesel bersubsidi RM2.10 berbanding RM5.27 sekiranya diapungkan pada harga pasaran tanpa subsidi.
Jelas sekali, komitmen dan tanggungan sebesar itu menuntut kawalan perbelanjaan, kutipan hasil yang stabil dan keberanian membuat pilihan sukar sama ada terus membantu rakyat mengikut kelayakan warganegara atau pun menarik subsidi perlahan-lahan mengikut pendapatan dan lokasi mereka.
Namun persoalan lebih besar ialah adakah pembangkang yang terlalu kepingin hingga sanggup bersekongkol dan mahu menggantikan kerajaan perlu menjawab secara logik, dari mana RM40 bilion datang, program apa yang dipotong, atau cukai mana yang dinaikkan, tanpa membebankan rakyat.

Hujah menyokong kerajaan ialah hanya pihak yang mentadbir dapat melihat gambaran sebenar kewangan negara, dan pelan subsidi bersasar seperti BUDI95 bertujuan membendung ketirisan.
Walaupun IMF mencadangkan harga bahan api dijual mengikut pasaran dengan menambah bantuan tunai kepada golongan miskin, atas alasan subsidi menyeluruh turut dinikmati golongan kaya dan menyebabkan beban fiskal berpanjangan, ia belum boleh dilaksanakan setakat ini.

Sekurang-kurangnya, inisiatif yang dilakukan Anwar dan Kerajaan MADANI mampu menangani kos sara hidup, di samping mengelak sebarang kejutan kenaikan harga barang yang sebenarnya meningkat dalam kadar amat perlahan iaitu kira-kira 1.9 peratus.
PRN Melaka: Mesej Tok Man Selari Pendekatan PM Anwar Di DUN Paya Rumput

Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin menyantuni pengunjung warung Medan Selera Kampung Ladang, Krubong pada 6 November 2026. Foto Azman Abidin
MELAKA, 6 Nov – Calon Pakatan Harapan (PH) DUN Paya Rumput, Datuk Azman Abidin menekankan mesej jelas yang selari dengan pendekatan dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di media sosial, beliau menegaskan bahawa politik mesti membawa manfaat kepada rakyat manakala pembangunan pula harus membuka peluang kepada generasi muda menguasai teknologi masa depan demi kesejahteraan bersama.

Beliau yang juga Pengerusi MPN KEADILAN Wilayah Persekutuan berkata, pembangunan yang membawa manfaat juga memberi harapan kepada semua tanpa mengira latar belakang.
“Inilah komitmen saya untuk Paya Rumput – pembangunan yang membawa manfaat, peluang dan harapan kepada semua,” jelasnya.
Terdahulu, beliau mengiringi Perdana Menteri yang hadir pada Ceramah Perdana Melaka Rumah Kita di Krubong, dekat sini, semalam.

Beliau juga menitik beratkan soal kebajikan, pendidikan, kemanusiaan dan infrastruktur dalam setiap sesi kempen yang bermula Sabtu lepas.
Azman ditentang calon Perikatan Nasional (PN) dan calon parti ‘kancil’ dalam saingan tiga penjuru setelah penyandang kerusi daripada Barisan Nasional (BN) ‘melarikan diri’ ke DUN Sungai Udang.
Pelaksanaan Tahanan Rumah Najib Wajar Ditangguh Sementara – AGC

AGC berkata, dalam tempoh tersebut status penahanan Najib 4 Razak hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
PUTRAJAYA, 6 Nov – Pelaksanaan tahanan rumah Najib Razak wajar ditangguhkan buat sementara waktu sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi perintah pengampunan bersyarat serta kesan ‘order of discharge’ diselesaikan, kata Jabatan Peguam Negara (AGC).
Katanya AGC, dalam tempoh tersebut status penahanan bekas perdana menteri hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan.
“Persoalan ini turut melibatkan kesan undang-undang Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah pembayaran denda RM50 juta direkodkan.

“Perintah tersebut mengarahkan supaya Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dilepaskan serta-merta, namun pada masa yang sama menyatakan bahawa baki hukuman hendaklah dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat.
AGC menambah, persoalan mengenai status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara ke atas Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak bagi kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan bahawa hukuman bagi kes 1MDB hendaklah bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.

“Perkara ini juga perlu diteliti mengambil kira permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) bagi kes 1MDB yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026.
Memandangkan isu-isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan perundangan yang kompleks, mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah, serta merupakan suatu keadaan yang belum perah dihadapi sebelum ini, Jabatan Peguam Negara berpandangan bahawa penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil,” katanya lagi.
Impian Penyokong Umno Musnah, Najib Kembali Ke Penjara Kajang

Kenderaan membawa bekas Presiden UMNO, Najib Razak tiba semula di Kompleks Penjara Kajang dengan kenderaan pengiring Jabatan Penjara Malaysia pada jam 7.15 malam 6 November 2026.
KAJANG, 6 Nov – Impian seluruh penyokong Umno untuk melihat pemimpin kesayangan mereka kembali ke kediamannya di ibu negara, musnah sama sekali setelah Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan pelaksanannya petang tadi.
Ini setelah Najib Razak yang dilihat keluar dari Penjara Kajang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) petang tadi, dilihat kembali semula ke tempat asalnya di sini, malam ini.
Konvoi termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 kelabu yang membawa bekas Presiden UMNO itu tiba di kompleks penjara berkenaan dengan kenderaan pengiring Jabatan Penjara Malaysia pada jam 7.15 malam.

Terdahulu, AGC mengeluarkan kenyataan yang berpendirian pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib wajar ditangguhkan sementara.
AGC berkata, persoalan perundangan timbul berhubung tafsiran perintah bertarikh 18 September 2026, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.
“Terdapat dua interpretasi yang perlu diberikan penelitian lanjut, pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
“Dalam keadaan itu, tahanan di rumah adalah kaedah atau tempat alternatif untuk menjalani baki hukuman penjara dan bukannya penamatan hukuman berkenaan,” kata kenyataan itu.
Audit Segera Dari Mana Datangnya Wang Bayar Denda Najib – Tony Pua

Tony Pua antara pemimpin yang berjaya membongkar skandal SRC dan 1MDB hingga menyebabkan Najib Razak meringkuk dalam Penjara Kajang sejak 2025.
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Pihak berkuasa digesa mengaudit setiap sen sumbangan yang dikutip bagi membantu membayar denda RM50 juta, bagi membolehkan bekas Presiden UMNO, Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya atas kesalahan rasuah di bawah tahanan rumah.
Pua berkata, audit oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu penting bagi memastikan dana yang dikumpulkan itu diperoleh secara sah dan bukan hasil daripada sebarang aktiviti pengubahan wang haram.
Beliau mengulas tindakan Umno yang telah membayar denda RM50 juta selepas mengumpulkan dana mencukupi menerusi kempen kutipan derma yang dilancarkannya pada September.

Pua mempersoalkan keputusan Umno untuk melunaskan denda itu dengan berkata lebih baik wang berkenaan digunakan untuk membantu rakyat biasa.
“Dengan memilih untuk membolehkan Najib menjalani tahanan rumah, ‘warna sebenar Umno terserlah dengan begitu jelas,” tambahnya dalam satu hantaran di Facebook.



