
Baik Hamzah, Ahmad Samsuri mahu pun Abdul Hadi, atau mereka digabungkan sekali kebijakan mereka mampu mencari RM40 bilion setahun bagi menampung subsidi bahan api untuk rakyat setahun? Foto Janaan AI
KUALA LUMPUR, 6 Nov – Adakah mana-mana pemimpin pembangkang seperti Hamzah Zainudin, Ahmad Samsuri Mokhtar, Abdul Hadi Awang malah Ahmad Zahid Hamidi sekali pun mampu mencari peruntukan sebesar RM40 bilion setahun bagi menampung subsidi bahan api, seperti dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang?
Menurut pembentangan Belanjawan 2027, Kerajaan MADANI sebenarnya memperuntukkan lebih RM80 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif dengan subsidi bahan api dijangka kekal sekitar RM40 bilion susulan krisis geopolitik di Asia Barat yang masih belum berakhir.

Ini kerana, Anwar menegaskan kerajaan perlu mencari sekurang-kurangnya RM40 bilion setahun, supaya rakyat terus membayar RM1.99 seliter bagi petrol RON95 walaupun harga sebenar di pasaran jauh lebih tinggi yang sudah pasti membebankan semua rakyat.
“Anda bayar RM1.99 (seliter bagi petrol RON95 bersubsidi). Satu tahun saya kena cari RM40 bilion tampung belanja (subsidi) minyak. Sebab itu (harga) minyak di Malaysia itu, paling rendah di dunia.

“(Dibandingkan Malaysia dengan) Brunei sikit sahaja rendah tetapi yang lain Arab Saudi, Qatar (negara pengeluar minyak dunia) semua (harga) lebih tinggi daripada kita,” katanya pada program Malam Harapan di Dewan Sekolah Tinggi Pay Fong di sini, malam tadi.
Ia juga disokong kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah, harga pasaran sebenar RON95 ialah RM4.42, manakala diesel bersubsidi RM2.10 berbanding RM5.27 sekiranya diapungkan pada harga pasaran tanpa subsidi.
Jelas sekali, komitmen dan tanggungan sebesar itu menuntut kawalan perbelanjaan, kutipan hasil yang stabil dan keberanian membuat pilihan sukar sama ada terus membantu rakyat mengikut kelayakan warganegara atau pun menarik subsidi perlahan-lahan mengikut pendapatan dan lokasi mereka.
Namun persoalan lebih besar ialah adakah pembangkang yang terlalu kepingin hingga sanggup bersekongkol dan mahu menggantikan kerajaan perlu menjawab secara logik, dari mana RM40 bilion datang, program apa yang dipotong, atau cukai mana yang dinaikkan, tanpa membebankan rakyat.

Hujah menyokong kerajaan ialah hanya pihak yang mentadbir dapat melihat gambaran sebenar kewangan negara, dan pelan subsidi bersasar seperti BUDI95 bertujuan membendung ketirisan.
Walaupun IMF mencadangkan harga bahan api dijual mengikut pasaran dengan menambah bantuan tunai kepada golongan miskin, atas alasan subsidi menyeluruh turut dinikmati golongan kaya dan menyebabkan beban fiskal berpanjangan, ia belum boleh dilaksanakan setakat ini.

Sekurang-kurangnya, inisiatif yang dilakukan Anwar dan Kerajaan MADANI mampu menangani kos sara hidup, di samping mengelak sebarang kejutan kenaikan harga barang yang sebenarnya meningkat dalam kadar amat perlahan iaitu kira-kira 1.9 peratus.

No comments:
Post a Comment