Bercanggah kenyataan dengan Menteri Kewangan II, Speaker beri Zahid tempoh hingga Khamis depan jelaskan isu projek KKDW

 


Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) untuk menjelaskan kenyataannya di Dewan Rakyat bahawa “tiada projek pembangunan luar bandar yang dikorbankan” bagi membiayai peruntukan projek lain di bawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKDW).

Arahan itu dikeluarkan menerusi satu surat bertarikh 4 November yang meminta Ahmad Zahid sebagai menteri berbuat demikian selewat-lewatnya pada Khamis depan.

Ia susulan usul dibangkitkan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang mendapati berlaku percanggahan kenyataan dibuat Ahmad Zahid dengan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Zhemin berkata, ketika sesi penggulungan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 26 Oktober lalu, beliau bertanya kepada Ahmad Zahid mengenai projek yang ‘dikorbankan’ sekiranya Notis Perubahan (NOC) digunakan bagi mendapatkan dana.

Katanya, berdasarkan penyata rasmi persidangan (Hansard) yang dibacanya, Ahmad Zahid ketika itu menjawab tiada sebarang projek dikorbankan.

“Tidak ada satu projek pun dikorbankan, tiada, tiada,” katanya memetik jawapan menteri berkenaan.

Zhemin mendakwa jawapan itu bercanggah dengan kenyataan Amir Hamzah ketika sesi penggulungan Kementerian Kewangan, Khamis lalu.

“Menteri Kewangan menjelaskan tatacara pengurusan kewangan membolehkan pengagihan semula dibuat menerusi NOC bagi memenuhi keperluan projek, namun penambahan peruntukan bagi Program Jalan Luar Bandar (JALB) menyebabkan pengurangan peruntukan kepada program lain.

“Jelas daripada jawapan Menteri Kewangan bahawa memang ada projek yang dikorbankan,” katanya





No comments: