1Malaysia email: Tricubes Berhad dimiliki secara tidak langsung adik Najib


Neo Chee Hua | Apr 20, 2011 11:54:31 am

Syarikat Tricubes Berhad yang diberikan kontrak 1Malaysia email bernilai RM50 juta kini berdepan dengan masalah kewangan, dan disenaraikan Bursa Malaysia sebagai status GN3. Seandainya syarikat ini gagal mengetengahkan program menstruktur semula kewangannya pada hujung Oktober 2011, maka ia mungkin berdepan dengan nasib untuk ditarik dari penyenaraian (delist).

Apa yang menarik, pemegang saham kedua terbesar Tricubes Berhad adalah Commerce Technology Ventures Sdn Bhd, iaitu Private Equity Fund yang ditubuhkan Bank Negara bersama Commerce Group (atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group).

Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group kini telah dinamakan sebagai CIMB Group, diterajui oleh adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Nazir Razak (gambar kanan). Nazir Razak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah memberikan satu projek baru bernilai RM50 juta kepada Tricubes Bhd untuk mendirikan satu laman internet, dan setiap warga negara berumur 18 tahun ke atas akan dibuka satu akaun email - "1Malaysia email" untuk kegunaan rasmi; sementara mendirikan pusat perkhidmatan e-kerajaan, termasuk laman sosial, pembayaran hutang melalui internet dan sebagainya.

Namun demikian, menurut maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist".

Dalam satu kenyataan Tricubes pada 29 Oktober 2010, lantaran daripada kebimbangan oleh juruaudit terhadap laporan kewangan Tricubes sehingga 31 Mac 2010, ditambah pula shareholders' equity yang lebih rendah daripada 50% modal sehingga Jun 2010, maka ia telah melanggar peraturan penyenaraian, lantas dimasukkan ke adalam status GN3.

Selain itu, menurut laporan kewangan 2010 Tricubes, syarikat ini telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.35 juta (RM3,346,752). Meskipun Tricubes memohon agar Bursa Malaysia mengecualikan dirinya daripada peraturan GN3, namun Bursa Malaysia enggan meluluskan permintaannya.

Menurut peraturan GN3 di Bursa Malaysia, Tricubes perlu mengemukakan satu rancangan penstrukturan semula kewangannya dalam tempoh 12 bulan, bermula 29 Oktober 2010 (tarikh dimasukkan ke status GN3). Malah, rancangan tersebut perlu diluluskan Bursa, malah dilantik penajanya dalam masa tiga bulan, dan menghabiskan program penstrukturan semula dalam masa enam bulan selepas diluluskan Bursa.

Jikalau Tricubes gagal mematuhi mana-mana peraturan, maka Bursa Malaysia boleh menghentikan sementara jual-beli saham syarikatnya, dan kemudian menarik penyenaraiannya (delist).

Menurut kenyataan terbaru Tricubes pada 1 April 2011, tiada perkembangan yang besar dalam rancangan penstrukturan semula kewangan syarikat tersebut. Menurut had tempoh, Tricubes harus menghantar laporan penstrukturan kewangannya sebelum 29 Oktober 2011, dan mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia - untuk mengelakkan dirinya daripada ditarik penyenaraiannya (delist).

Sebagaimana yang diketahui, Tricubes cuba membida 32.2% saham Pos Malaysia daripada Khazanah Nasional Berhad, tetapi gagal.

Pada saat-saat yang genting ini, Najib membawa cahaya harapan kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek 1Malaysia email bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober.

Apa yang dipertikaikan, PEMANDU yang mendakwa diri mengutamakan meritokrasi dan ketelusan itu, melantik sebuah syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan ini.

Menurut maklumat rasmi, pemegang saham kedua terbesar Tricubes adalah Commerce Technology Ventures, ditubuhkan pada Julai 2000, dengan fungsi utamanya membekalkan modal untuk pembangunan teknologi. Sehingga hari ini, syarikat ini telah melabur di 22 buah syarikat, termasuk 10 buah syarikat telekomunikasi, enam syarikat advanced manufacturing, lima syarikat life science dan satu lain-lain.

Modal Commerce Technology Ventures dikendalikan CAV Private Equity Management Sdn Bhd, syarikat ini adalah salah satu syarikat di bawah CIMB Group. Menurut laporan kewangan Tricubes 2010, Commerce Technology Ventures merupakan pemegang saham kedua terbesar yang memegang 15.63% saham. Pemegang saham terbesar Tricubes adalah Khairun bin Zainal Mokhtar - selain memiliki 15.72% saham secara langsung, juga memiliki 14.17% saham melalui Ambank.

Baca: E-Mel 1Malaysia: Projek kerajaan atau projek swasta?

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal.

Khir Toyo: BLR, Inflasi dan Risiko Politik

1. Pada bulan hadapan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan satu lagi mesyuarat membabitkan isu Overnight Policy Rate (OPR). Sebelum ini pada bulan Mac lalu BNM tidak membuat sebarang kenaikan OPR. Pada tahun 2010 sebanyak tiga kali kenaikan OPR diumumkan pada Mac, Mei dan Julai yang menyebabkan kenaikan dari 2.0 kepada 2.75.

2. Kenaikan OPR ini akan berkait langsung dengan kenaikan Base Lending Rate (BLR) atau Kadar Pinjaman Asas. BLR turut meningkat sebanyak tiga kali dari 5.55% pada 2009 kepada 6.30 pada Julai 2010.

3. Salah satu tujuan kenaikan OPR dan BLR ialah untuk membendung inflasi. Kebanyakan kita bukan pakar ekonomi jadi kita sendiri tentu sukar untuk memahami bagaimana menaikan kadar pinjaman asas boleh membantu mengurangkan inflasi. Hakikatnya kita terpaksa mengeluarkan lebih banyak wang untuk membayar hutang.

4. Apa yang saya faham secara mudah (mungkin betul atau salah pemahaman ini) ialah kenaikan OPR dan BLR akan menaikkan kadar faedah bagi simpanan. Secara teorinya ini akan menggalakkan orang ramai menabung bagi mendapat faedah yang tinggi. Dengan penabungan iaitu menyimpan di bank, orang ramai akan kurang berbelanja. Ini akan mengurangkan permintaan (teori penawaran dan permintaan) sekaligus menurunkan harga barangan. Penurunan harga barangan akan menurunkan inflasi.

5. Namun persoalan yang jarang dijawab oleh pengamal ekonomi yang mahu mengawal inflasi melalui kaedah ini ialah apakah inflasi hari ini disebabkan permintaan yang lebih daripada penawaran atau kerana peningkatan harga barangan keperluan di luar kuasa pembeli?

6. Tanda-tanda BNM hendak menaikkan kadar OPR tampak jelas apabila beberapa penganlisis ekonomi yang "mesra" kerajaan meramalkan kenaikan ini bagi mengawal inflasi.

7. Pada tahun lalu BNM menaikkan OPR sebanyak tiga kali apabila negara mengalami inflasi. Malangnya kenaikan sebanyak tiga kali tersebut gagal mengawal inflasi apabila inflasi terus meningkat pada bulan Disember lalu sehingga kini.

8. Mengapa ia gagal? Ini kerana kenaikan kadar inflasi di Malaysia pada masa kini berkait rapat dengan kenaikan harga barangan asas dan keperluan utama yang sebahagiannya dikawal oleh kerajaan.

9. Misalnya pada tahun 2010 sebelum kenaikan OPR, kadar inflasi negara naik akibat kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi seperti makanan dan minuman bukan alkohol (1.6%); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0%); dan pengangkutan (0.7%). Kenaikan-kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 2.9%; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan 2.7%; pendidikan 1.8%; restoran dan hotel 1.6%; kesihatan 1.5%; dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah 0.7%.

10. Selepas kenaikan BLR pun, inflasi masih meningkat. Kenaikan kadar inflasi sejak beberapa bulan lalu dilaporkan oleh FOMCA. Menurut Fomca,

"Kadar inflasi Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2%, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan. Kenaikan kadar inflasi ini berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010. Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9%, Thailand 3%, Korea 3.5% dan India 8.4%."

11. Jelas sekali sebahagian besar punca kenaikan harga barang adalah kerana kerajaan memotong subsidi. Jadi kadar inflasi yang tinggi ini ialah akibat pemotongan subsidi. Justeru kenaikan OPR dan BLR tidak memberi kesan apa-apa kepada inflasi kerana majoriti rakyat membayar barangan ini bukan untuk kemewahan tetapi untuk keperluan.

12. Lihat kenaikan-kenaikan harga barangan yang mengakibatkan inflasi melonjak tinggi adalah akibat daripada pemotongan subsidi dan kenaikan harga bahan tenaga bukannya kerana lebihan permintaan berbanding penawaran.

13. Dengan menaikkan OPR dan BLR, rakyat bukan sahaja terpaksa membayar barangan harian yang tinggi tetapi perlu menjelaskan hutang pinjaman perumahan dan peribadi yang lebih tinggi. Ini bermakna rakyat akan terus dibeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

14. Kenaikan BLR hanya menguntungkan sekumpulan kecil rakyat Malaysia yang mempunyai wang berjuta ringgit dalam simpanan tetap tetapi menindas majoriti rakyat. Saya berharap kerajaan tidak membenarkan polisi ekonomi negara yang membabitkan BLR ini ditentukan oleh birokrat ekonomi BNM sahaja.

Risiko Politik

15. Setiap kali kenaikan OPR dan BLR yang ketara dari tahun sebelumnya, Barisan Nasional akan berhadapan dengan keputusan pilihan raya yang tidak memberangsangkan. Walaupun terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi keputusan pilihan raya, namun kenaikan BLR turut memberi kesan negatif kepada BN.

16. Keputusan pilihan raya 2008 dan 1999 berbanding 2004 dan 1995 kepada BN boleh dihubungkan dengan naik turun BLR. Pada 2008, BLR ialah sebanyak 6.75 berbanding pada 2004, 6%. BLR 6% kekal sehingga 2006 sebelum dinaikkan pada 2007 dan 2008. Akibatnya kita tahu apa yang berlaku pada tahun tersebut kepada BN.

16. Pada 1999, BLR ialah pada 8% dan kita juga tahu nasib BN ketika itu. Memang benar ada faktor lain yang lebih besar. Namun himpitan terhadap majoriti rakyat yang mempunyai pinjaman ini menyebabkan pembangkang mengambil kesempatan membakar kemarahan rakyat terhadap isu Anwar Ibrahim. Pada 1995 BN mencapai kemenangan cemerlang, BLR ketika itu ialah 6.6 (berbanding 1994 sebanyak 8.25% dan 1993 sebanyak 9.5%).

17. Jadi fikir-fikirkanlah sebelum menggunakan taktik OPR dan BLR ini untuk mengawal inflasi. Inflasi tak terkawal, rakyat makin susah. Bukankah tujuan mengawal inflasi untuk membantu rakyat. Tapi jika ia lebih menyusahkan rakyat apa perlu dikawal dengan kaedah ini?

18. Dalam usaha mengatasi kadar inflasi yang tinggi jangan pula kita menjadi seperti tikus membaiki labu.

*Khir Toyo (gambar kiri) ialah bekas Menteri Besar Selangor, dipetik dari blog-nya.

Buku Jingga: Anak agih borang tanah 28 Mei ini Hazayani Zakaria

Buku Jingga: Anak agih borang tanah 28 Mei ini
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 April: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengagihkan borang permohonan tanah kepada seluruh generasi kedua dan ketiga Felda.

Pengagihan borang ini akan dilakukan dalam satu himpunan besar-besaran melibatkan warga Felda seluruh negara yang akan diadakan pada 28 Mei ini di Pahang.

Menurut pengerusinya, Mazlan Aliman terdapat tiga kategori penerima borang tersebut iaitu anak-anak peneroka, kakitangan Felda iaitu pegawai yang berpendapatan rendah dan bekas tentera.

Katanya, bekas tentera termasuk dalam kategori yang layak menerima kerana antara insentif yang ditawarkan kerajaan untuk menarik minat rakyat Malaysia menyertai angkatan tentera ialah jaminan masa depan iaitu pemberian tanah.

Anak akan menggunakan cawangannya di seluruh negara termasuk agensi-agensi dalam parti dan bersedia bekerjasama dengan agensi dalam Felda sendiri bagi menyemak permohonan yang dibuat.

"Apabila Pakatan Rakyat memerintah nanti, kita akan tapis semua permohonan yang dibuat dan borang ini akan diguna pakai untuk menyemak kriteria yang layak menerima tanah," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Langkah ini tegas Mazlan sebagai persediaan awal Pakatan Rakyat melaksanakan tawaran 100 hari mereka yang terkandung dalam Buku Jingga.

Janji tersebut adalah untuk membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

"Apa yang disebut (Datuk) Ahmad Maslan kononnya janji untuk menghapuskan Felda Plantation ini gimik politik, saya nak ulangi ini bukan gimik politik.

"Ramai yang bertanya apa persediaan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Jadi saya tegaskan, inilah buktinya kita serius meningkatkan taraf sosio ekonomi 1.6 warga Felda," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Mazlan juga berkata, dalam himpunan tersebut akan ditayangkan montaj perancangan untuk mewujudkan Universiti Felda.

Katanya, perkara ini telah banyak kali dibincangkan dengan kerajaan dan Felda bagi menjimatkan peruntukan Felda yang terpaksa membayar geran kepada universiti swasta lain setiap tahun untuk program kerjasama.

"Kalau syarikat lain ada universiti sendiri, kenapa Felda tidak boleh ada universiti?

"Ahmad Maslan sendiri bercakap di Parlimen bahawa Felda membayar RM25 juta setiap tahun untuk bayar geran kepada Universiti Lim Kok Wing untuk program kerjasama.

"Felda boleh wujudkan Universiti Teknologi Perladangan yang boleh memberi manfaat kepada anak-anak Felda," katanya.


Soi Lek Pembohong Dan Hipokrit, Kata Tee Keat




SHAH ALAM 20 APRIL : Bekas Presiden MCA Ong Tee Keat menyifatkan Dr Chua Soi Lek sebagai “pembohong dan hipokrit yang menjijikan” bersabit keputusan MCA menerima jawatan dalam Kabinet meskipun parti itu kalah teruk pada PRU 2008.

Soi Lek yang kini menerajui MCA mendakwa bahawa Tee Keat dan bukan beliau, bertanggungjawab membenarkan MCA menerima pelantikan jawatan Kabinet dan kedudukan lain dalam kerajaan BN walaupun parti itu kalah teruk pada pilihanraya lalu, khususnya pada DAP.

Dalam satu kenyataan, Tee Keat berkata tuduhan Soi Lek itu mengandungi kesilapan fakta memandangkan beliau(Tee Keat ) hanya menjadi Presiden MCA pada 18 Oktober 2010.

Presiden parti ketika PRU lalu adalah Ong Ka Ting.

Tee Keat berkata setelah dipilih menjadi Timbalan Presiden MCA pada tahun lalu, Soi Lek sendiri tidak pernah mengumumkan hasrat untuk menolak sebarang perlantikan menganggotai kerajaan.

“Majlis Presiden yang turut dianggotai oleh beliau, memberikan mandat kepada saya untuk menguruskan perkara itu dengan Perdana Menteri baru (Datuk Seri Najib Tun Razak),” kata Tee Keat.

Tee Keat berkata tindakan Soi Lek untuk bingkas menuduhnya menunjukkan Presiden MCA itu masih mempunyai “prejudis politik” terhadap beliau.

Beliau turut menyifatkan Soi Lek sebagai hipokrit kerana menerima pelbagai jawatan dalam kerajaan sebaik sahaja diangkat menjadi Presiden MCA tahun lalu iaitu pada Mac.

Ini termasuk Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan Majlis Ekonomi Kerajaan yang ditubuhkan oleh Najib.

Selain itu, Soi Lek tidak membantah, malah “menguruskan’ perlantikan anaknya Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam Kabinet Najib, kata Ong,

Isnin lalu, Soi Lek menunding jari kepada Tee Keat apabila dibidas kerana mencadangkan SUPP menolak sebarang jawatan dalam kerajaan negeri Sarawak ekoran kekalahan terbesar parti itu pada pilihanraya negeri yang lalu.

DAP yang menumbangkan SUPP berkata, Soi Lek terlebih dahulu harus mengambil langkah itu dengan menolak jawatan kabinet kerana parti itu sendiri kalah teruk pada PRU 2008.

Atas faktor sama, Soi Lek juga patut menolak jawatan yang diberikan kepada MCA dalam kerajaan negeri Perak,” kata Tee Keat. Soi Lek adalah Pengerusi MCA Perak.

ISA : Kadir Hashim Dibebaskan 20/04/2011

KUALA LUMPUR 20 APRIL : Seorang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri, Kadir Hashim dibebaskan hari ini setelah merengkok selama hampir tiga minggu dalam tahanan.


Seorang abangnya, Muda Hashim, berkata Kadir telah dihantar ke rumahnya di Kerinchi, Kuala Lumpur pada kira-kira jam 4 petang ini oleh anggota polis.

Muda berkata, polis tidak menyatakan apa-apa berhubung penahanan berkenaan walaupun beliau telah bertanya berhubung perkara itu.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Muda berkata polis hanya memberitahu beliau supaya tidak membuat sebarang masalah.

Kadir ditahan pada 1 April lalu kerana disyaki terlibat dalam keganasan dan dibebaskan pada kira-kira jam 3 petang ini.

Peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri berkata lelaki berusia 43 tahun itu dibebaskan tanpa syarat.-Malaysiakini

Pakatan mula tunai Buku Jingga, Anak tawar skim baru pikat peneroka Felda

April 20, 2011

KUALA LUMPUR, 20 April — Pakatan Rakyat (PR), bagi membuktikan ia serius dengan janji Buku Jingga, mula mengotakan janjinya - mengedarkan borang permohonan tanah Felda Plantations, seluas 150,000 hektar kepada golongan yang memerlukannya mulai hujung bulan depan.

Borang permohonan akan diedar sebagai langkah awal untuk membuat persiapan mengagihkan proses pengurniaan tanah, yang dijangka akan memanfaatkan 80,000 hingga 160,000 orang, dalam tempoh 100 hari jika PR mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Pengedaran borang akan dilakukan sempena satu perhimpunan peneroka Felda di Pahang 28 Mei ini.

Mengumumkan langkah PR itu di sini hari ini, Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman berkata, pihaknya juga bercadang untuk memasukkan insentif memansuhkan hutang peneroka - yang berkaitan dengan elaun saraan dan kos tanaman semula - yang dianggarkan RM500 juta sekarang.

“Inisiatif penghapusan hutang ini, Anak akan syorkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat agar dimasukkan ke dalam manifesto pilihan raya umum ke-13,” kata beliau yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka PAS pusat pada sidang media di sini hari ini.

“Kami hendak tunjukkan bahawa kami, saya bagi pihak Anak, sangat serius dalam menyelesaikan masalah dan membantu peneroka dan generasi kedua Felda,” kata beliau.

PR yang melancarkan Buku Jingga Disember lalu menggariskan janji mengagihkan tanah Felda Plantations kepada mereka yang memerlukan khususnya anak-anak peneroka Felda dalam masa 100 hari jika berjaya mengambil alih kerajaan persekutuan.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, pihaknya akan mengeluarkan borang-borang bagi tujuan tersebut akhir bulan depan bagi membolehkan pihaknya menapis setiap permohonan agar pengurniaan dapat dilakukan dalam tempoh 100 hari pertama jika PR memerintah.

“Sebelum ini ramai pihak mempertikaikan sama ada perkara ini boleh dilakukan. Saya yakin boleh, sebab itu kami mengambil langkah awal dengan mengedarkan borang-borang untuk maksud itu.

“Permohonan ini akan diteliti dan ditapis supaya tanah dapat diagihkan sebaik sahaja Pakatan Rakyat memerintah selepas pilihan raya umum ke-13... perkara ini sudah dipersetujui oleh kepimpinan Pakatan Rakyat,” katanya lagi.

Ketika ditanya apakah Felda akan muflis jika tanah itu diserahkan kepada pihak yang memohon, Mazlan menafikan andaian sedemikian.

Katanya, Felda mempunyai aset dan boleh menjana pulangan yang disasarkan dan oleh itu, andaian bahawa ia akan muflis tidak boleh diterima.

Januari lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata Felda akan bankrap jika tanah Felda Plantations diserahkan kepada anak-anak peneroka.

Beliau berkata, ini kerana Felda Plantations memberi sumbangan besar kepada keuntungan dan menyalurkan dana untuk pembangunan di kawasan Felda di seluruh negara.

Ahmad berkata tanah Felda Plantations di seluruh negara seluas 330,000 hektar termasuk 87,000 hektar adalah di Sabah.

“Kalau kita bahagikan 330,000 hektar kepada kira-kira 1.6 juta peneroka, setiap orang hanya dapat satu ekar (0.4 hektar).

“Kalau kita nak bahagikan juga seluruh tanah Felda Plantations termasuk di Sabah kepada orang Semenanjung, tentu orang Sabah marah,” katanya.

Felda ditubuhkan untuk membasmi kemiskinan dengan memberi empat hektar (10 ekar) tanah kebun dan sebidang tanah (suku ekar) untuk rumah.

Mengenai kumpulan sasaran yang akan dikurniakan tanah Felda Plantations, pihaknya menyasarkan generasi kedua dan ketiga anak peneroka yang berpendapatan rendah, kakitangan syarikat itu yang berada dalam kategori menerima gaji rendah dan bekas anggota angkatan tentera.

Kata Mazlan, jika seseorang pemohon diberikan empat hektar bermakna ia akan memanfaatkan 79,000 pemohon.

“Mungkin kita tidak boleh memberikan empat hektar, tetapi katakan kita berikan dua hektar (lima ekar), jumlah pemohon yang akan menikmati manfaat boleh mencapai dua kali ganda,” katanya lagi.

Mengenai skim penghapusan hutang pula, Mazlan berkata, pihaknya mahu membantu peneroka-peneroka yang mempunyai hutang dengan Felda.

“Hutang disebabkan kos tanaman semula dan elaun saraan sahaja dipercayai antara RM30,000 hingga lebih RM100,000 seorang, ada yang mempunyai hutang sampai RM120,000... sebahagian ini sudah berusia, jadi kami hendak membebaskan mereka daripada beban hutang, mahu merdekakan mereka daripada hutang,” kata beliau.

“Kes terbaru di Negeri Sembilan, ada seorang peneroka yang berusia 80 tahun, hutangnya hampir RM95,000... maklumat ini saya terima dua bulan lalu,” katanya lagi.

Peneroka-peneroka dibayar elaun saraan antara RM1,200 hingga RM1,500 sementara menunggu tempoh menuai selepas proses penanaman semula.

“Mereka dikenakan faedah 6.25 peratus. Anak pernah mengesyorkan kadar faedah ini dihapuskan tetapi tidak diterima kerajaan, jadi kami bercadang meminta Pakatan Rakyat menghapuskannya jika memerintah... Anak akan mengesyorkan kepada Pakatan Rakyat agar menghapuskan hutang mereka ini,” katanya lagi.

Kata beliau, penghapusan yang akan melibatkan RM500 juta bukan satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan ketirisan dalam perbelajaan kerajaan.

“Ini satu hadiah kerajaan kepada peneroka, bukan satu jumlah besar... hadiah menghargai peranan peneroka,” katanya.

Jangan anggap PRU ke-13 lama lagi

Jangan anggap PRU ke-13 lama lagi
Abd Shukur Harun

shukurharun@yahoo.comThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it

Ada beberapa hal penting yang perlu difikirkan oleh PAS selepas meneliti keputusan pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu. Bukan semata-mata kerana kekalahan semua calonnya di sana, tetapi lebih kepada memikirkan bagaimana PAS membuat persediaan secukupnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 nanti.

Yang penting difikirkan ialah:

1. Mempelajari sungguh-sungguh keputusan pilihan raya Sarawak itu dan siri kekalahannya dalam pilihan raya kecil yang lain sebelum ini. Apakah aktibar yang dapat diambil dari kekalahan berterusan itu?

2. Bagaimana dengan keupayaan penerangan PAS untuk menghadapi PRU Ke13 nanti. Ini kerana penerangan ialah urat nadi untuk mencapai kemenangan.

3. Bagaimana strategi PAS selepas ini - dengan mempelajari senario pilihan raya di Sarawak minggu lalu – di mana PAS bertanding tanpa strategi dan terlambat pula datang ke negeri tersebut untuk membuat persiapan.

Tentu saja kita telah mendengar dan membaca pelbagai ulasan mengenai keputusan pilihan raya tersebut dan mengetahui sebab-sebab PAS kalah di sana. Bahkah PAS juga sudah mengetahui benar faktor kekalahannya dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

Oleh itu PAS wajar secara sungguh-sungguh dan terbuka memikirkan mengenai kekalahan tersebut, justeru kalah menang adalah gerak nafas PAS untuk masa depan. Oleh itu ia hendaklah berusaha sungguh-sungguh memperbaiki kelemahannya?

Dalam pengalaman di Sarawak, PAS - khususnya pemimpin – lambat datang untuk mengatur kempen dan segalanya. Sementara PAS bertanding pula tanpa strategi, bekerja secara ad-hoc dan tidak terancang, sedangkan DAP jauh lebih lama membuat persediaan dan strategi, demikian juga PKR.

Memikirkan semuanya ini bagaimana kiranya tanpa strategi dan persiapan secukupnya kita dengan tiba-tiba dihadapkan dengan PRU Ke-13. Jika ini berlaku sudah tentu PAS menghadapi masalah yang sangat besar.

Dalam hal ini PAS mestilah dilihat sentiasa berpadu erat dalam Pakatan Rakyat justru gabungan ini sedang dilihat oleh rakyat sama ada mampu atau tidak mampu menjadi alternatif kepada BN di masa depan.

Kempen PAS yang nyaring ‘PAS ganti Umno’ mestilah diisi maknanya sebagai gagasan yang mampu direalisasikan. Dalam ini PAS mestilah berwatak nasional, melampaui batas kaum dan dilihat sentiasa peka dengan masalah rakyat. Ia mestilah menjadi badan politik moden, yang melaksanakan kepentingan masyarakat tetapi dalam masa yang sama juga bergerak di bidang dakwah.

Janganlah ada sebarang tanggapan, yang bersifat ‘memujuk hati’, bahawa jika PAS kalahpun, namun kita menang dalam berdakwah iaitu berjaya menyampaikan risalah Islam. PAS perlukan kemenangan kedua-duanya sekali, iaitu menang dalam pilihan raya dan berjaya dalam dakwah. Ini penting.

Kemenangan politik boleh menghantar PAS kepada kuasa dan dengan kuasa akan membuka peluang PAS seluas-luasnya untuk berdakwah dan menjalankan tuntutan Islam tanpa sebarang gangguan. Ini sewajarnya difahami benar-benar oleh pendukung PAS akan maksud politik dakwah, iaitu mengaplikasikan tuntutan syarak bersama tuntutan masyarakat. Semuanya ini seiring dengan kehendak demokrasi dan tidak bercanggah dengan Islam.

Inilah keperluan yang dinamakan siasah syariah dan dengan pemahaman inilah sewajarnya kita berada dalam Pakatan Rakyat.

Dalam suasana dan keadaan masyarakat majmuk di Malaysia, tidak memungkinkan PAS bersendirian menghadapi pilihan raya. Maknanya dengan kekuatan tiga parti dalam Pakatan Rakyat inilah kita mampu menghadapi Barisan Nasional dan jika berjaya boleh memerintah.

Kemengan DAP dan PKR mestilah dirasakan oleh PAS sebagai kemenangan bersama, demikian juga kemenangan PAS dirasakan kemenangan bersama oleh PKR dan DAP.

Kemenangan DAP dan PKR di Sarawak minggu lalu mestilah juga dirasakan seabagi kemenangan bersama Pakatan Rakyat. Semangat setiakawan dan perpaduan dalam Pakatan Rakyat ini mestilah diperlihat dan direalisasikan dalam semua gerak kerja Pakatan Rakyat untuk menghadapi PRU Ke13 nanti.

Sementara itu media baru, malah yang terbaru – twitter dan facebook akan mengambil peranan center stage – peranan utama – dalam PRU Ke-13 akan datang. Dulu melalui internet, kita hanya menerima maklumat melalui blog dan wabe-site selain sms, tetapi kini dunia maklumat ditambah lagi dengan laman sosial yang baru twitter dan facebook, meninggalkan jauh maklumat dari media cetak dan tv.

Ini semua akan tambah rancak dalam menyambut kedatangan PRU Ke-13 nanti. Pengalaman dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru membuktikan pengaruh twitter dan facebook, yang sangat kuat dalam mengalirkan maklumat segera dan terus menerus kepada pengundi di kawasan yang ada akses internet. Malah maklumat ini berkembang dalam masyarakat.

Justeru, PAS mestilah memikirkan persoalan ini dan bagaimana memanfaatkan secara maksima lama sosial yang baru ini. Semuanya ini adalah antara cabaran yang dihadapi oleh PAS untuk menghadapi PRU ke-13.

Sekali lagi ditegaskan, PAS mestilah membuat persiapan dari sekarang walaupun ada pihak yang mengatakan BN tidak mungkin akan mengadakan pilihan raya umum segera berdasarkan keputusan di Sarawak itu di mana undi popular BN merosot lapan peratus.

Sudah pastilah bahawa BN sedang merancang dan akan melakukan pelbagai cara untuk menang dalam PRU ke-13 nanti, di mana ahli-ahli Pakatan Rakyat sangat mengetahui hal ini. Dari itu jangan ada sebarang kelalaian dan jangan juga merasa ‘sedap hati’ kerana kononnya PRU Ke-13 lambat lagi maka bolehlah membuat persiapan secara perlahan.

Untuk menghadapi PRU Ke-13 ini, PAS mestilah dilihat berada di dalam keadaan yang kuat dan terkini dalam Pakatan Rakyat, bersedia menangkis tuduhan berterusan dari komponan BN kononnya PAS menjadi alat DAP dan begitu sebaliknya.

Isu perkauman pula tentunya akan berlanjutan dimainkan menjelang PRU Ke-13. Justeru PAS yang sudah dapat diterima oleh pelbagai kaum dan agama sewajarnya mengambil peranan penting menyerlahkan sebagai parti Islam yang sederhana, sangat seimbang, memancarkan keadilan, kesaksamaan dalam jalur demokrasi di mana dalam semua keadaan ia tidak berkompromi dengan prinsip Islam yang menjadi dasarnya.


Utusan Cabar Najib Tubuhkan Gerakan 1 Melayu, 1 Bumi





SHAH ALAM 20 APRIL : Gentar dengan kemenangan besar DAP di Sarawak, akhbar Utusan Malaysia hari ini mencadangkan Umno melancarkan gerakan 1Melayu, 1Bumi untuk mempertahankan kuasa politik orang Melayu.

Dalam membuat cadangan berkenaan yang memperlekehkan gagasan 1Malaysia Datuk Seri Najib Razak, akhbar kawalan Umno itu berkata kemenangan DAP di 12 daripada 15 kerusi di Sarawak membuktikan “orang Cina telah bersatu, malah orang Cina telah pun bersatu sejak dulu lagi".

“Apa yang Umno harus lakukan sekarang, di masa yang amat terdesak sekarang, ialah melancarkan gelombang perpaduan bangsa – 1 Melayu, 1 Bumi,” kata Timbalan Ketua Pengarang Utusan, Zaini Hassan.

“Tiada makna adanya 1 Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah,” kata Zaini.

Zaini membuat saranan itu sehari selepas Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein mempertahankan tindakan Utusan menggesa Barisan Nasional mengabaikan pengundi Cina berikutan keputusan PRN Sarawak yang memihak DAP.

Walaupun Utusan dibidas oleh pelbagai pihak kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman itu, Hishamuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata cadangan akhbar itu tidak keterlaluan.

Dalam serangan terbaru terhadap keputusan pengundi Sarawak memilih DAP dan bukannya SUPP sebagai wakil rakyat mereka, Utusan berkata masa sudah sampai untuk orang Melayu mempertahankan kuasa politik mereka.

“Hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuh oleh orang Cina, yang lain semua sudah. Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia,” kata Zaini.

“Sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru,” kata Zaini dalam cubaan untuk membakar sentiment perkauman orang Melayu.

“Orang Cina sebenarnya amat beruntung sekali berada di bumi Malaysia ini. Mereka telah menguasai segala-galanya. Sepuluh teratas orang mereka adalah bilionaire Malaysia. Sebahagian besar kedai yang ada di atas muka bumi Malaysia ini milik mereka. Hampir semua pelajar yang belajar di universiti swasta dan IPTS ternama dan mahal-mahal di negara ini rata-ratanya orang mereka.” tambah beliau

“DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina. MCA gagal dan SUPP pun gagal. Itu hakikat atas kertas,’ Pilihan Raya Umum Ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka (pengundi Cina),” tambah beliau.

Zaini berkata Umno perlu melancarkan gerakan 1Melayu, IBumi dan bergabung dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini.

“Perlu diingat NGO-NGO itu wujud kerana mereka dahagakan wadah perjuangan untung nasib bangsa semakin ditinggalkan. Umno harus tarik pertubuhan sukarela ini ke hadapan dan menjadi juara semula dalam soal ini,” kata beliau.

Akhbar itu berkata gerakan 1Melayu harus diwujudkan sekali pun jika tidak disokong oleh PAS.

Menurut Utusan, keperluan menubuhkan gerakan 1Melayu harus menjadi keutamaan berbanding 1Malaysia yang lebih merupakan dasar jangka panjang negara.

Zaini mendakwa parti komponen Cina dalam BN pun tidak akan marah jika Umno melancarkan gagasan 1 Melayu, 1 Bumi kerana bagi mereka “orang Cina telah pun bersatu” (dengan DAP).

Menurut beliau Umno harus meniupkan gagasan 1 Melayu, 1 Bumi ini segera bagi memastikan kaum Melayu “menguasai semula politik yang semakin terhakis daripada tangan mereka.”

”Oleh itu menjadi kewajipan Umno…lancarkan segera slogan 1 Melayu, 1 Bumi bagi menggerakkan semula gelombang kebangsaan bangsa itu.” kata Zaini.

Susulan keputusan pilihanraya negeri Sarawak, Zaini berkata “kini terletak dalam tangan Umno untuk menentukan hidup atau mati bangsa (Melayu) ini," tambah beliau.

Tak Ada Istilah Demokrasi Dalam Umno-Chua Jui Meng


SHAH ALAM 20 APRIL : Umno-Barisan Nasional sejak dahulu lagi tidak mempercayai akan prinsip demokrasi, dan oleh itu, menjadi satu kesukaran kepada mereka untuk menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat pada satu-satu pilihanraya.

Demikian pandangan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Chua Jui Meng berhubung gesaan akhbar Kumpulan Utusan agar Barisan Nasional 'menghukum' pengundi Cina yang tidak menyokong perikatan itu.

Katanya, jika Utusan yang dikenali sebagai 'lidah rasmi' Umno dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan komentar sedemikian rupa, tidak mustahil falsafah sama digunakan oleh pucuk pimpinan Umno dalam menilai keputusan rakyat di Sarawak.

"Rakyat Cina sudah tolak mereka di Sarawak, oleh kerana tidak puas dengan dasar-dasar Umno yang menindaskan mereka dan mereka buat bantahan cara yang demokratik. Mereka gunakan saluran undi bukan berperang dengan Barisan Nasional,"jelas Jui Meng.

"Kita hendak bezakan antara kerajaaan dan parti, kalau mereka tolak parti itulah sahaja. Kerja kuat, ubah polisi lebih prihatin terhadap masyarakat Tiong Hua yang anggap mereka dipinggirkan di dalam aspek-aspek polisi kerajaan Barisan Nasional.

Mingguan Malaysia pada Ahad menggesa perikatan tidak terlalu "pemurah" dengan melayan kedudukan masyarakat Cina dalam kabinet negeri yang bakal dibentuk ekoran keputusan pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

Mingguan Malaysia berkata majoriti pengundi Cina memihak kepada kempen Pakatan Rakyat yang membawa seruan “mengubah kerajaan negeri” sedangkan masyarakat Bumiputera tetap teguh bersama BN.

BN Sarawak pimpinan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud memperoleh 55 kerusi manakala Pakatan Rakyat pula 15 dan Bebas satu.

Satu lagi akhbar milik Umno, Berita Harian dalam ruangan editorial berkata “sudah tiba masa BN meneliti senario kenapa pengundi Cina menolak BN, bukan saja di Sarawak, malah di kebanyakan pilihan raya kecil lalu".

Melihat kepada keadaan ini, menurut Jui Meng, media milikan Umno kini semakin berani menyiarkan berita-berita berunsur hasutan kerana dilindungi oleh tuan mereka.

Bagaimanapun katanya, Pakatan Rakyat tidak akan membiarkan senario sama berlaku andai gagasan itu mentadbir negara kelak.

Pakatan Kota Janji Buku Jingga


KUALA LUMPUR 20 APRIL : Pakatan Rakyat hari ini mengotakan janjinya yang digariskan dalam Buku Jingga apabila bakal mengedarkan borang permohonan tanah Felda Plantations seluas 150,000 hektar kepada golongan yang memerlukan hujung bulan ini.

Ia sebagai langkah awal sebagai persiapan untuk mengagihkan proses pengurniaan tanah, yang dijangka akan memberi manfaat kepada 80,000 hingga 160,000 orang dalam tempoh 100 hari Pakatan selepas mendapat mandat rakyat.

Pengedaran borang akan dilakukan sempena satu perhimpunan peneroka Felda di Pahang 28 Mei ini.

Menurut Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman, pihaknya juga bercadang untuk memasukkan insentif memansuhkan hutang peneroka, yang berkaitan dengan elaun saraan dan kos tanaman semula yang dianggarkan RM500 juta sekarang.