Buku Jingga: Anak agih borang tanah 28 Mei ini Hazayani Zakaria

Buku Jingga: Anak agih borang tanah 28 Mei ini
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 20 April: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan mengagihkan borang permohonan tanah kepada seluruh generasi kedua dan ketiga Felda.

Pengagihan borang ini akan dilakukan dalam satu himpunan besar-besaran melibatkan warga Felda seluruh negara yang akan diadakan pada 28 Mei ini di Pahang.

Menurut pengerusinya, Mazlan Aliman terdapat tiga kategori penerima borang tersebut iaitu anak-anak peneroka, kakitangan Felda iaitu pegawai yang berpendapatan rendah dan bekas tentera.

Katanya, bekas tentera termasuk dalam kategori yang layak menerima kerana antara insentif yang ditawarkan kerajaan untuk menarik minat rakyat Malaysia menyertai angkatan tentera ialah jaminan masa depan iaitu pemberian tanah.

Anak akan menggunakan cawangannya di seluruh negara termasuk agensi-agensi dalam parti dan bersedia bekerjasama dengan agensi dalam Felda sendiri bagi menyemak permohonan yang dibuat.

"Apabila Pakatan Rakyat memerintah nanti, kita akan tapis semua permohonan yang dibuat dan borang ini akan diguna pakai untuk menyemak kriteria yang layak menerima tanah," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Langkah ini tegas Mazlan sebagai persediaan awal Pakatan Rakyat melaksanakan tawaran 100 hari mereka yang terkandung dalam Buku Jingga.

Janji tersebut adalah untuk membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

"Apa yang disebut (Datuk) Ahmad Maslan kononnya janji untuk menghapuskan Felda Plantation ini gimik politik, saya nak ulangi ini bukan gimik politik.

"Ramai yang bertanya apa persediaan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Jadi saya tegaskan, inilah buktinya kita serius meningkatkan taraf sosio ekonomi 1.6 warga Felda," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Mazlan juga berkata, dalam himpunan tersebut akan ditayangkan montaj perancangan untuk mewujudkan Universiti Felda.

Katanya, perkara ini telah banyak kali dibincangkan dengan kerajaan dan Felda bagi menjimatkan peruntukan Felda yang terpaksa membayar geran kepada universiti swasta lain setiap tahun untuk program kerjasama.

"Kalau syarikat lain ada universiti sendiri, kenapa Felda tidak boleh ada universiti?

"Ahmad Maslan sendiri bercakap di Parlimen bahawa Felda membayar RM25 juta setiap tahun untuk bayar geran kepada Universiti Lim Kok Wing untuk program kerjasama.

"Felda boleh wujudkan Universiti Teknologi Perladangan yang boleh memberi manfaat kepada anak-anak Felda," katanya.


No comments: