LTAT DAN JENIS-JENIS KEBODOHAN- RAFIZI RAMLI



LTAT DAN JENIS-JENIS KEBODOHAN

Sejak pengumuman dividen 2% oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), ada pelbagai pihak yang berlumba-lumba menunjukkan kebodohan. 

Ada yang ke depan dari kalangan penyokong dan pemimpin UMNO yang mahu menunjukkan kebodohan kerana ingin membandingkan prestasi dividen 2% ini dengan dividen yang lebih tinggi (kononnya) semasa Najib menjadi Perdana Menteri dulu.

Tidak kurang juga juak-juak dari PAS yang tidak mahu kalah menunjukkan kebodohan dan memuji kehebatan (kononnya) keuntungan LTAT semasa Najib.

Saya kata mereka ini berlumba menunjukkan kebodohan kerana jelas sama ada mereka tidak faham laporan juru audit dari Ernst & Young. Kebanyakannya tidak mahu membaca pun laporan juru audit mengenai kedudukan kewangan LTAT setelah dijarah (perkataan yang suka diguna Najib) oleh Najib.

Sebelum saya huraikan bentuk-bentuk kebodohan yang timbul, sila hadam rumusan laporan juru audit Ernst & Young mengenai pembohongan kewangan di LTAT di zaman Najib (sumber: laporan The Edge https://www.theedgemarkets.com/article/investigative-audit-reveals-7-financial-irregularities-and-weaknesses-ltat):

“.......
Menurut juru audit Tetuan Ernst & Young, terdapat tujuh penemuan utama yang berlaku akibat penyelewengan dan kelemahan kewangan:

1. Pendapatan terkumpul (retained earnings) telah terjejas berikutan bayaran berlebihan dividen
Pulangan aset lima tahun LTAT dari TK2014 hingga TK2018 (selepas diasingkan keuntungan sekali atau one-off gains) adalah lebih rendah daripada kadar dividen yang diisytiharkan. Ini telah menyebabkan dividen LTAT membayar pada kadar yang lebih tinggi daripada yang mampu. Untuk menguruskan keadaan ini, LTAT akan membangunkan dasar dividen yang munasabah, yang termasuk menentukan kadar pulangan minimum pelaburannya. LTAT kemudiannya akan mewujudkan rangka kerja peruntukan aset strategik untuk memenuhi kadar dividen yang dijangka minimum.

2. Pembohongan nilai aset LTAT antara tahun 2015 dan 2017
Ini disebabkan kegagalan untuk menunjukkan nilai aset sebenar (impairment) salah satu pelaburannya yang besar apabila nilai sebenar (recoverability) dana itu terjejas selepas penjual yang menjamin pembelian semula saham itu diisytiharkan muflis di Malaysia pada tahun 2015. Kegagalan untuk menunjukkan penurunan pelaburan itu telah menyebabkan aset LTAT dinyatakan pada nilai yang lebih tinggi dari nilai sebenar antara 2015 dan 2017. Hasilnya, penurunan nilai sebanyak RM55 juta perlu dibuat dalam keputusan kewangan TK2018.

3. Semakan kewangan (due diligence) tidak dilaksanakan dengan betul
Proses semakan kewangan (due diligence) dan semakan teknikal tidak dilakukan oleh LTAT sebelum melabur dalam syarikat di atas. Ia bukan berdasarkan dasar dan prosedur pelaburan yang baik.

4. Aset harta tidak terjual
Audit itu juga menemui beberapa masalah dengan aset hartanah tidak terjual bernilai RM45 juta. Ia berkaitan dengan 88 unit kondominium yang tidak terjual pada Disember 2018, walaupun telah siap pada TK2015. LTAT sedang berusaha untuk mempercepat penjualan unit-unit yang belum dijual. Melangkah ke hadapan, LTAT dengan berhati-hati mempertimbangkan potensi pulangan dan kepakarannya sendiri dalam pembangunan hartanah.

5. Risiko isu pendedahan kewangan yang berlebihan di dalam beberapa syarikat tertentu dan kecairan sejak tahun 2014
LTAT banyak menjual saham-saham yang baik untuk mendapat keuntungan segera. Juga ada peningkatan ketara dalam pemegangan saham LTAT Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya yang disenaraikan (di dalam Kumpulan BHB). Ini menyebabkan terlalu banyak tumpuan dana LTAT dalam segelintir syarikat di bawah Kumpulan BHB. Pendedahan kewangan LTAT kepada BHB Group meningkat hampir 50% daripada RM2.1 bilion kepada RM3.1 bilion manakala bilangan saham berkaitan meningkat sebanyak 83% daripada 833 juta saham dalam TK2014 kepada 1.525 bilion saham dalam TK2018. Untuk tujuan ini, LTAT akan melaksanakan inisiatif peruntukan aset strategik seperti yang dinyatakan di atas.

6. Dividen tertunggak daripada anak-anak syarikat yang sebenarnya tidak dibayar
Dividen yang tinggi yang diisytiharkan untuk TK2017 oleh beberapa syarikat subsidiari tidak dibayar sepenuhnya dan masih tertunggak sehingga tarikh ini. Dalam menangani ini, LTAT menilai semula keupayaan anak-anak syarikatnya untuk membayar dividen, dengan mengambil kira prestasi dan kedudukan tunai masing-masing.

7. Kurang kawalan dalam unit amanah
Amalan membeli unit amanah agar ahli menerima bonus istimewa didapati merugikan kerana LTAT kurang kemampuan untuk mengawal dan menguruskan dana secara aktif. LTAT mahupun ahli-ahli tidak dapat menguruskan pegangan unit amanah sehingga persaraan. Melangkah ke hadapan, LTAT mungkin mempertimbangkan saluran pelaburan lain yang akan membolehkan lembaga LTAT memenuhi objektif utamanya dengan lebih baik....” 

Ringkasnya, kedudukan kewangan LTAT terjejas teruk gara-gara pentadbiran korporat ala Najib-Rosmah (boleh dipendekkan sebagai JARAH) seperti berikut:

a) Mengumumkan dividen untuk menyedapkan hati rakyat sedangkan syarikat-syarikat LTAT rugi

b) Untuk menutup kedudukan kewangan sebenar LTAT, anak-anak syarikat dipaksa mengumumkan dividen sedangkan anak-anak syarikat itu tiada wang pun untuk membayar dividen. Akhirnya dividen atas kertas tetapi wang tiada

c) Saham-saham dalam syarikat yang untung dijual untuk mendapatkan keuntungan sementara bagi menutup lubang rugi keseluruhan

d) LTAT rugi besar apabila membeli syarikat pada harga yang tinggi dan dijamin boleh dijual kembali kepada tuan punyai sekiranya nilai jatuh. Akhirnya nilai jatuh dan tidak boleh dijual kepada tuan punya kerana tuan punya jatuh muflis. LTAT tutup pula kerugian ini dengan tidak menunjukkan nilai sebenar walaupun syarikat itu sudah tiada nilai

e) Unit kondominium yang belum dijual sepenuhnya diumumkan telah dijual untuk menunjukkan ada jualan dan ada untung, sedangkan wangnya tiada kerana belum dijual sepenuhnya

Najib dan sepupunya Hishamuddin boleh membodohkan rakyat yang mahu dibodohkan kerana taksub dengan kepartian dan perkauman.

Sebab itu timbul beberapa jenis bodoh baru ekoran pendedahan kedudukan kewangan LTAT ini.

Satu: 
Orang menyeleweng yang menggunakan kebodohan untuk selamat. Contohnya Najib dan Hishamuddin. Pelbagai harta rakyat di bawah LTAT hilang dibawah pentadbiran sepupu sepapat ini tetapi mereka tahu mereka boleh membodohkan segelintir orang untuk selamat.

Kedua:
Orang yang dibodohkan kerana taksub dengan kepartian sehingga tidak mahu menerima segala fakta dan laporan audit bebas. Contohnya orang-orang Umno yang masih rindukan Najib dan Rosmah. Bukan saja laporan, malah dalam tahun 2016 dahulu pencen dan gratuiti pesara tentera pun lambat dibayar kerana masalah aliran wang tunai LTAT sehingga saya terpaksa bersuara dan ditahan. Bukti sudah dirasai sendiri oleh pesara tentera tetapi ramai juga jenis bodoh yang sebegini.

Ketiga:

Orang yang menjadi bodoh selepas mengikut orang bodoh dalam kumpulan satu dan dua. Contohnya orang PAS yang lebih sudu dari kuah kerana rindu hebatnya zaman Najib memerintah.

Soal PH popular atau tidak adalah hak rakyat untuk menentukan. 

Anda boleh menolak PH sementara menerima hakikat yang Najib telah menjarah LTAT, Tabung Haji dan harta rakyat yang lain kerana anda mahukan prestasi yang lebih baik dari PH. Itu hak anda.

Namun, menolak fakta yang hakiki dan memutar belit keadaan dengan harapan orang lain menjadi bodoh seperti anda (sama ada bodoh nombor 1, 2 atau 3) adalah satu kebodohan.

Rafizi Ramli

TRAGEDI 1998 - KEKALAHAN TUN MAHATHIR, KEMENANGAN ANWAR



TRAGEDI 1998 - KEKALAHAN TUN MAHATHIR, KEMENANGAN ANWAR

Khairuddin Abu Hassan, seorang pengampu dan pembodek Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini telah memberi amaran kemungkinan akan berulangnya Peristiwa 1998 berikutan desakan yang berterusan agar Perdana Menteri segera meletakkan jawatan untuk Anwar Ibrahim menggantikannya.

Katanya, tindakan keterlaluan dan kurang ajar terhadap Tun Mahathir itu mungkin mendorongnya turun berkempen memberitahu tentang ketidaklayakan Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Jangan sampai Peristiwa 1998 berulang lagi,” tambahnya yang tewas bertanding di Parlimen Jasin dalam PRU14 lalu.

Untuk rekod, Peristiwa 1998 adalah peritiwa di mana Tun Mahathir memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, menyingkirkannya sebagai ahli UMNO dan kemudiannya memenjarakannya atas pertuduhan rasuah dan liwat.

Meskipun Anwar sempat menghabiskan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah kuasa, tetapi beliau dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 berhubung sabitan kesalahan liwat.

Jika diimbas kembali, walaupun Peristiwa 1998 itu menampakkan kejayaan Tun Mahathir dalam menyingkirkan Anwar yang merupakan ancamannya ketika itu, hakikatnya selepas itu Anwarlah yang dianggap pemenang sebenarnya.

Selepas menyingkirkan Anwar dan meletakkannya ke dalam penjara, Tun Mahathir kemudiannya bebas berkuasa untuk beberapa tahun sebelum memilih untuk bersara dengan tenang dengan menyerahkan kuasa kepada pengganti yang paling dipercayainya, Tun Abdullah Badawi pada 2003.

Tetapi, jiwa Tun Mahathir ternyata tidak pernah tenang di mana beliau kemudian berbalah dengan penggantinya itu sehingga mengumumkan keluar UMNO dan berkempen secara terbuka untuk menjatuhkan Pak Lah.

Apabila Najib Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir kembali menyertai UMNO semula, namun beberapa tahun kemudian berbalah juga dengan Perdana Menteri pilihannya itu dengan kali ini sekali lagi keluar UMNO, menubuhkan Bersatu serta berusaha mahu menjatuhkannya.

Sementara turun naik mahkamah dan dipenjarakan, Anwar telah menubuhkan PKR dan menggembleng kerjasama yang mantap antara parti-parti pembangkang selepas dipecat sehingga berjaya buat pertama kalinya menafikan majoriti dua pertiga BN serta merampas lima negeri pada PRU 2008, Tun Mahathir sebaliknya sentiasa dibelanggu jiwa kacau dan tidak tenteram jiwa selepas bersara.

Di bawah Pak Lah beliau tidak tenang jiwanya dan semasa Najib jadi Perdana Menteri, jiwa kacaunya bertambah-tambah lagi, walhal tujuannya bersara pada 2003 adalah untuk berehat dan menghabiskan sisa-sisa usia dengan tenang.

Dengan keluar UMNO sebanyak dua kali, Tun Mahathir barangkali mencatat rekod sebagai satu-satunya ahli UMNO yang paling tidak setia kepada parti, walaupun ketika menjadi Presiden UMNO beliau berkali-kali memberi nasihat agar semua orang setia kepada parti dan pemimpin.

Dalam usaha untuk menyingkirkan Najib, Tun Mahathir jelas telah hilang upaya sehingga tidak nampak pilihan lain melainkan sanggup berbaik dan bertemu kembali dengan Anwar yang pernah dipecatnya dahulu.

Mujur ketika itu Anwar ada perbicaraan di mahkamah, maka berdamailah mereka berdua pada 2016 di mahkamah.

Jika tidak, tentu Tun Mahathir sanggup menapak ke penjara mencari Anwar, sedangkan tempat itulah beliau menghumbankan Anwar demi untuk mengekalkan kuasanya pada 1998 sebelum ini.

Pada PRU14, semua calon PH, termasuk Tun Mahathir telah bertanding dengan menggunakan logo PKR, parti yang ditubuh dan diasaskan oleh Anwar berikutan PH tidak diluluskan pendaftarannya.

Jika sebelum ini Tun Mahathir yang selalu memberi surat watikah kepada calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya, tetapi pada PRU14 lalu, kelayakan beliau dan semua calon PH untuk bertanding adalah atas watikah isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR.

Selepas PH berjaya menumbangkan BN pada 2018, walaupun Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, namun beliau terpaksa akur dengan konsensus di mana Dr. Wan Azizah adalah timbalannya serta Anwar sebagai penggantinya.

Jika pada 1998, Tun Mahathir telah memecat Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri serta dilihat sebagai bakal penggantinya, 20 tahun kemudian iaitu pada 2018 beliau terpaksa menerima hakikat Anwar adalah bakal penggantinya sekali lagi di samping isteri Anwar sebagai timbalannya dalam menguruskan kerajaan semasa.

Jika pada 1998, Tun Mahathir yang menghantar Anwar ke penjara, pada 2018 beliau jugalah yang mengeluarkan Anwar daripada penjara dan memohon pengampunannya.

Bermakna, sejak Peristiwa 1998, di sebaliknya jalan yang panjang dan berliku-liku, Anwar sentiasa meraih kemenangan di penghujungnya.

Bagaimanapun, kemenangan mutlak buat Anwar akan tercatat tidak lama lagi apabila beliau sah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir sebagaimana konsensus yang telah dipersetujui.

Sebaliknya, selama 20 tahun bermula daripada 1998, usaha Tun Mahathir “membunuh” karier politik Anwar tidak pernah berjaya sehingga akhirnya beliau akur untuk berbaik semula, mengguna tiket PKR serta menumpang kekuatan parti-parti pembangkang yang dimulakan oleh bekas musuhnya itu untuk menjatuhkan Najib.

Realitinya, tanpa nama Anwar dan segala usaha yang digerakhkannya sejak 1998, Tun Mahathir tidak mungkin mampu menumbangkan Najib dan barangkali akan mengakhiri hidupnya dengan penuh kegagalan, kesedihan serta kekecewaan.

Anwar dan segala usahanyalah yang menukar kegagalan Tun Mahathir kepada kejayaan bersama.

Maka, jika Khairuddin memberi amaran mungkin berulangnya sekali lagi Peristiwa 1998, sesuatu yang harus difikirkannya ialah bukan apa jadi kepada Anwar selepas itu, tetapi apa sudahnya kepada Tun Mahathir dan legasinya kemudian nanti.

Bagi Anwar, dipenjara, diaib, dipukul dan dimalukan seluruh keluarganya telah terbukti tidak mampu “mematikannya”, malah jika sekali lagi semua itu terpaksa dilaluinya, ia bukanlah masalah besar baginya.

Soalnya, sanggupkah Tun Mahathir, dalam usia 94 tahun sekarang ini sekali lagi “berkelahi” dengan Anwar? (Shahbudindotcom 03/10/2019)


GAGAL BENTUK KERAJAAN CAMPURAN, TIADA MAKNA KERJASAMA UMNO-PAS

PRK TANJUNG PIAI TIADA KENA MENGENA NIAT SUSAHKAN UMNO

CALON SETANDING DR RAFIK BOLEH MENANG DI TANJUNG PIAI – PKR