TRAGEDI 1998 - KEKALAHAN TUN MAHATHIR, KEMENANGAN ANWAR



TRAGEDI 1998 - KEKALAHAN TUN MAHATHIR, KEMENANGAN ANWAR

Khairuddin Abu Hassan, seorang pengampu dan pembodek Tun Mahathir Mohamad baru-baru ini telah memberi amaran kemungkinan akan berulangnya Peristiwa 1998 berikutan desakan yang berterusan agar Perdana Menteri segera meletakkan jawatan untuk Anwar Ibrahim menggantikannya.

Katanya, tindakan keterlaluan dan kurang ajar terhadap Tun Mahathir itu mungkin mendorongnya turun berkempen memberitahu tentang ketidaklayakan Anwar menjadi Perdana Menteri.

“Jangan sampai Peristiwa 1998 berulang lagi,” tambahnya yang tewas bertanding di Parlimen Jasin dalam PRU14 lalu.

Untuk rekod, Peristiwa 1998 adalah peritiwa di mana Tun Mahathir memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, menyingkirkannya sebagai ahli UMNO dan kemudiannya memenjarakannya atas pertuduhan rasuah dan liwat.

Meskipun Anwar sempat menghabiskan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah kuasa, tetapi beliau dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 berhubung sabitan kesalahan liwat.

Jika diimbas kembali, walaupun Peristiwa 1998 itu menampakkan kejayaan Tun Mahathir dalam menyingkirkan Anwar yang merupakan ancamannya ketika itu, hakikatnya selepas itu Anwarlah yang dianggap pemenang sebenarnya.

Selepas menyingkirkan Anwar dan meletakkannya ke dalam penjara, Tun Mahathir kemudiannya bebas berkuasa untuk beberapa tahun sebelum memilih untuk bersara dengan tenang dengan menyerahkan kuasa kepada pengganti yang paling dipercayainya, Tun Abdullah Badawi pada 2003.

Tetapi, jiwa Tun Mahathir ternyata tidak pernah tenang di mana beliau kemudian berbalah dengan penggantinya itu sehingga mengumumkan keluar UMNO dan berkempen secara terbuka untuk menjatuhkan Pak Lah.

Apabila Najib Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir kembali menyertai UMNO semula, namun beberapa tahun kemudian berbalah juga dengan Perdana Menteri pilihannya itu dengan kali ini sekali lagi keluar UMNO, menubuhkan Bersatu serta berusaha mahu menjatuhkannya.

Sementara turun naik mahkamah dan dipenjarakan, Anwar telah menubuhkan PKR dan menggembleng kerjasama yang mantap antara parti-parti pembangkang selepas dipecat sehingga berjaya buat pertama kalinya menafikan majoriti dua pertiga BN serta merampas lima negeri pada PRU 2008, Tun Mahathir sebaliknya sentiasa dibelanggu jiwa kacau dan tidak tenteram jiwa selepas bersara.

Di bawah Pak Lah beliau tidak tenang jiwanya dan semasa Najib jadi Perdana Menteri, jiwa kacaunya bertambah-tambah lagi, walhal tujuannya bersara pada 2003 adalah untuk berehat dan menghabiskan sisa-sisa usia dengan tenang.

Dengan keluar UMNO sebanyak dua kali, Tun Mahathir barangkali mencatat rekod sebagai satu-satunya ahli UMNO yang paling tidak setia kepada parti, walaupun ketika menjadi Presiden UMNO beliau berkali-kali memberi nasihat agar semua orang setia kepada parti dan pemimpin.

Dalam usaha untuk menyingkirkan Najib, Tun Mahathir jelas telah hilang upaya sehingga tidak nampak pilihan lain melainkan sanggup berbaik dan bertemu kembali dengan Anwar yang pernah dipecatnya dahulu.

Mujur ketika itu Anwar ada perbicaraan di mahkamah, maka berdamailah mereka berdua pada 2016 di mahkamah.

Jika tidak, tentu Tun Mahathir sanggup menapak ke penjara mencari Anwar, sedangkan tempat itulah beliau menghumbankan Anwar demi untuk mengekalkan kuasanya pada 1998 sebelum ini.

Pada PRU14, semua calon PH, termasuk Tun Mahathir telah bertanding dengan menggunakan logo PKR, parti yang ditubuh dan diasaskan oleh Anwar berikutan PH tidak diluluskan pendaftarannya.

Jika sebelum ini Tun Mahathir yang selalu memberi surat watikah kepada calon-calon yang bertanding dalam pilihanraya, tetapi pada PRU14 lalu, kelayakan beliau dan semua calon PH untuk bertanding adalah atas watikah isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Presiden PKR.

Selepas PH berjaya menumbangkan BN pada 2018, walaupun Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, namun beliau terpaksa akur dengan konsensus di mana Dr. Wan Azizah adalah timbalannya serta Anwar sebagai penggantinya.

Jika pada 1998, Tun Mahathir telah memecat Anwar yang ketika itu adalah Timbalan Perdana Menteri serta dilihat sebagai bakal penggantinya, 20 tahun kemudian iaitu pada 2018 beliau terpaksa menerima hakikat Anwar adalah bakal penggantinya sekali lagi di samping isteri Anwar sebagai timbalannya dalam menguruskan kerajaan semasa.

Jika pada 1998, Tun Mahathir yang menghantar Anwar ke penjara, pada 2018 beliau jugalah yang mengeluarkan Anwar daripada penjara dan memohon pengampunannya.

Bermakna, sejak Peristiwa 1998, di sebaliknya jalan yang panjang dan berliku-liku, Anwar sentiasa meraih kemenangan di penghujungnya.

Bagaimanapun, kemenangan mutlak buat Anwar akan tercatat tidak lama lagi apabila beliau sah menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Mahathir sebagaimana konsensus yang telah dipersetujui.

Sebaliknya, selama 20 tahun bermula daripada 1998, usaha Tun Mahathir “membunuh” karier politik Anwar tidak pernah berjaya sehingga akhirnya beliau akur untuk berbaik semula, mengguna tiket PKR serta menumpang kekuatan parti-parti pembangkang yang dimulakan oleh bekas musuhnya itu untuk menjatuhkan Najib.

Realitinya, tanpa nama Anwar dan segala usaha yang digerakhkannya sejak 1998, Tun Mahathir tidak mungkin mampu menumbangkan Najib dan barangkali akan mengakhiri hidupnya dengan penuh kegagalan, kesedihan serta kekecewaan.

Anwar dan segala usahanyalah yang menukar kegagalan Tun Mahathir kepada kejayaan bersama.

Maka, jika Khairuddin memberi amaran mungkin berulangnya sekali lagi Peristiwa 1998, sesuatu yang harus difikirkannya ialah bukan apa jadi kepada Anwar selepas itu, tetapi apa sudahnya kepada Tun Mahathir dan legasinya kemudian nanti.

Bagi Anwar, dipenjara, diaib, dipukul dan dimalukan seluruh keluarganya telah terbukti tidak mampu “mematikannya”, malah jika sekali lagi semua itu terpaksa dilaluinya, ia bukanlah masalah besar baginya.

Soalnya, sanggupkah Tun Mahathir, dalam usia 94 tahun sekarang ini sekali lagi “berkelahi” dengan Anwar? (Shahbudindotcom 03/10/2019)


No comments: