PRK Tanjung Piai tiada kena mengena niat susahkan Umno
Tiada niat tidak baik pada penetapan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, yang dikatakan bertembung dengan Perhimpunan Agung Umno kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kenyataan itu dibuat SPR susulan tuduhan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa kononnya tarikh itu sengaja ditetapkan ketika Umno sedang mengadakan Perhimpunan Agung Umno dari 13 hingga 16 November ini.
Pengerusinya, Azhar Azizan Harun menegaskan SPR mempunyai masa 60 hari dari tarikh kekosongan untuk menjalankan pilihan raya iaitu antara 24 September hingga 30 November.
“Cuti mingguan Johor ialah Jumaat dan Sabtu. PRK tidak patut diadakan pada Jumaat kerana umat Islam wajib sembahyang Jumaat.
“Hari Ahad pula ialah hari bekerja di Johor. Jadi, cuma hari Sabtu yang boleh digunakan untuk PRK ini,” katanya.
Sementara itu, Azhar turut memberi sebab mengapa 8 tarikh lain yang jatuh pada hari Sabtu tidak dipilih sebagai tarikh mengundi.
“(Hari) pencalonan pada 5 Oktober dan hari mengundi pada 19 Oktober. Ini tidak sesuai kerana 5 Oktober adalah Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar.
“(Hari) pencalonan pada 12 Oktober dan hari mengundi pada 26 Oktober . Ini juga tidak sesuai kerana sambutan Deepavali adalah pada 27 Oktober. Tempoh berkempen juga akan berada sepanjang tempoh cuti Deepavali,” katanya.
Tambahnya lagi, hari pencalonan pada 19 Oktober dan hari mengundi pada 2 November juga tidak sesuai, menurut Azhar, tempoh berkempen turut berada di dalam masa cuti Deepavali.
“Jika hari mengundi adalah pada 2 November, maka undi awal terpaksa dijalankan pada 28 Oktober, iaitu sehari selepas cuti Deepavali.
“Jadi yang tinggal hanyalah penamaan calon pada 2 November dan hari mengundi pada 16 November,” tegasnya.
Susulan itu jelas Azhar lagi, SPR sememangnya tidak berniat untuk menyusahkan pembangkang, khususnya, Umno dan MCA yang akan mengadakan perhimpunan agung parti masing-masing pada tarikh berkenaan..