Jual Arak Pandu Lalu, Kita Akan Siasat - Ronnie Liu

SHAH ALAM 25 JULAI : Kerajaan negeri Selangor akan menyiasat terlebih dahulu dakwaan Utusan Malaysia bahawa wujudnya sebuah kedai di Petaling Jaya yang dikatakan menjual arak secara bebas melalui kaedah pandu lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata pihaknya tidak akan bertindak melulu hanya berdasarkan laporan akhbar milik UMNO itu sebaliknya akan menyiasat kebenarannya sebelum mengambil sebarang tindakan.

Utusan Malaysia hari ini dimuka surat depannya mendakwa sebuah kedai di Sunway Mentari, Petaling Jaya dengan bebas menjual minuman keras kepada orang awam termasuk Malayu dan remaja bawah umur dengan harga semurah RM10 untuk tiga tin arak berbanding harga biasa RM7 setin.

Utusan juga mendakwa aktiviti itu seolah- olah direstui pihak penguasa yang berkawal kira- kira 25 meter sahaja dari kedai tersebut.

“Kalau ada benda itu mengapa polis tak mahu tangkap, mengapa JAIS tak mahu pergi. Bagaimanapun kita akan siasat,” katanya.

Ronnie berkata pihaknya mengambil ketetapan untuk mengadakan siasatan terperinci terlebih dahulu sebelum mempercayai laporan Utusan ekoran akhbar itu sebelum ini pernah dibuktikan menyiarkan beberapa berita yang kurang tepat dan berbaur fitnah.

Antaranya, isu melibatkan cubaan pihak tertentu untuk menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara selain serangan- serangan peribadi terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.

“Semua cerita yang dikeluar oleh Utusan tidak boleh dipercayai .Utusan telah didapati berbohong banyak kali. Banyak kali berbohong atas isu-isu . Utusan dikenali sebagai paper yang pandai mencipta cerita yang palsu.
“Sebab dia ada rekodlah dia sentiasa berbohong. Bersihpun dia bohong, semua isulah, pasirpun dia bohong, isu kontraktor pun dia bohong, isu Alam Flora pun dia bohong,” katanya.
Ronnie menambah, jika laporan itu terbukti benar, pihaknya tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan terhadap pengusasa kedai terbabit.

Walaubagaimanapun, beliau tidak menolak laporan Utusan itu sengaja diadakan untuk memburukkan imej Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
“ Kalau ikut Utusan tak ada satu yang kita buat yang betul. Dan Utusan langsung tak mahu buat liputan terhadap program Selangor yang membawa banyak manfaat kepada rakyat. Utusan lebih rela mencipta khabar angin dan sebagainya,” tegas Ronnie.

Pakatan Rakyat Tetap Tolak SPR Guna Biometrik

SHAH ALAM 25 JULAI : Pakatan Rakyat tetap dengan pendiriannya mahu kerajaan menggunakan dakwat kekal sekali gus menolak sistem biometrik yang akan digunakan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sistem biometrik kerana ia tidak menjamin elemen satu orang satu undi pada waktu pilihan raya.

“Kita perlu menentang sistem ini. Sudah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan negara bersih dan adil,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran slogan Selangorku, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.

Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.

“Pelaksanaan sistem biometrik ini juga akan dapat mengatasi dakwaan-dakwaan bahawa wujudnya pengundi hantu pada pilihan raya di negara ini,” katanya.

Najib juga berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada suruhanjaya itu bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.

Penggunaan dakwat kekal merupakan salah satu tuntutan Bersih 2.0 baru-baru ini yang sepatutnya digunakan ketika pilihan raya umum 2008 tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.

Dalam pada itu, laporan Sinar Harian hari ini memetik Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya masih melakukan kajian secara terperinci mengenai sistem biometrik.

Kata beliau, segala aspek berkaitan mengenai keupayaan, aplikasi, teknikal, kesan dan kosnya masih di peringkat kajian.

“Kita bekerjasama dengan pakar yang terlibat bagi memastikan keupayaan sistem ini berkesan apabila dilaksanakan kelak.

“Sistem biometrik yang digunakan imigresen berlainan dengan SPR kerana penggunaan kami adalah untuk pilihan raya,” kata beliau lagi.

Wan Ahmad berkata, sistem tersebut telah dikaji sejak 2010 oleh pakar yang dilantik bagi memastikan keupayaan dan tempoh yang dapat digunakan.

Akhbar yang sama memetik Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, sistem biometrik mampu membuktikan pilihan raya negara ini telus dan adil.

Seiring dengan pendapat Dr Wan Azizah, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sistem biometrik lebih berisiko untuk dimanipulasi pihak berkepentingan walaupun ia boleh melakukan proses pengesahan pengundi secara elektronik.

Katanya, perkara ini lebih ketara memandangkan pemberian kerakyatan kepada warga asing semakin berleluasa kebelakangan ini.

Laporan Berita Harian memetik Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Jariah Mod Said berkata sistem biometrik jabatannya, yang akan digunakan oleh SPR, untuk pengesahan pengundi kebal daripada manipulasi dan tidak boleh ditembusi oleh pihak berkepentingan untuk menipu ketika pilihan raya.

Scopene : Hisham Dakwa Pengusiran Peguam Tiada Kaitan Politik

KUALA LUMPUR 25 JULAI : Kementerian Dalam Negeri mendakwa keputusan menghantar pulang peguam Perancis William Bourdon sehari selepas dia berucap berhubung kontroversi pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion bukan bermotif politik.

Menterinya Hishammuddin Hussein berkata kes Bourdon bukan istimewa kerana "ramai yang dihantar balik setiap hari."
Hishamuddin mendakwa Boudain telah melanggar syarat visanya namun mengaku tidak mempunyai butiran spesifik berhubung penghantaran pulang warga Perancis itu.

Pmimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan Imigresen menghantar balik Bourdon adalah untuk melindungi maklumat berhubung pembelian kapal selam Scopene yang berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu pada tahun 2006.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah berkata Bourdain dan pihak berkuasa Peranchis bersabit pembayaran komisyen dan sogokan berhubung Scopene.

Peguam itu ditahan ketika tiba di Sepang dalam perjalanan dari Pulau Pinang pagi Jumaat lalu.

Najib adalah Menteri Pertahanan yang meluluskan pembelian dua kapal selam dari syarikat Perancis DCNS pada 2002. Sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan beliau, dilaporkan menerima bayaran lebih RM500 juta atas urusan tersebut.

Altantuya dikatakan membantu Razak menguruskan transaksi berkenaan namun dijumpai mati dibom pada Oktober 2006 di Puncak Alam Selangor.

Pada Disember 2009, Suaram memfailkan aduan di mahkamah Perancis meminta diberikan maklumat berkaitan dengan kontrak yang ditandatangani oleh Perimekar Sdn Bhd yang dikawal oleh Razak dan maklumat-maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.

Mahkamah Perancis bersetuju menyiasat dakwaan DCNS membayar RM540 juta kepada Perimekar sebagai sogokan serta bayaran lain yang dibuat kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.

Scopene : Hisham Dakwa Pengusiran Peguam Tiada Kaitan Politik

KUALA LUMPUR 25 JULAI : Kementerian Dalam Negeri mendakwa keputusan menghantar pulang peguam Perancis William Bourdon sehari selepas dia berucap berhubung kontroversi pembelian kapal selam Scorpene bernilai RM7 bilion bukan bermotif politik.

Menterinya Hishammuddin Hussein berkata kes Bourdon bukan istimewa kerana "ramai yang dihantar balik setiap hari."
Hishamuddin mendakwa Boudain telah melanggar syarat visanya namun mengaku tidak mempunyai butiran spesifik berhubung penghantaran pulang warga Perancis itu.

Pmimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan Imigresen menghantar balik Bourdon adalah untuk melindungi maklumat berhubung pembelian kapal selam Scopene yang berhubung kait dengan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu pada tahun 2006.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah berkata Bourdain dan pihak berkuasa Peranchis bersabit pembayaran komisyen dan sogokan berhubung Scopene.

Peguam itu ditahan ketika tiba di Sepang dalam perjalanan dari Pulau Pinang pagi Jumaat lalu.

Najib adalah Menteri Pertahanan yang meluluskan pembelian dua kapal selam dari syarikat Perancis DCNS pada 2002. Sebuah syarikat milik Abdul Razak Baginda, yang rapat dengan beliau, dilaporkan menerima bayaran lebih RM500 juta atas urusan tersebut.

Altantuya dikatakan membantu Razak menguruskan transaksi berkenaan namun dijumpai mati dibom pada Oktober 2006 di Puncak Alam Selangor.

Pada Disember 2009, Suaram memfailkan aduan di mahkamah Perancis meminta diberikan maklumat berkaitan dengan kontrak yang ditandatangani oleh Perimekar Sdn Bhd yang dikawal oleh Razak dan maklumat-maklumat lain yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi di Malaysia.

Mahkamah Perancis bersetuju menyiasat dakwaan DCNS membayar RM540 juta kepada Perimekar sebagai sogokan serta bayaran lain yang dibuat kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.

IDEAS : Kenapa Hendak Membazir Kalau Boleh Guna Dakwat Kekal?






SHAH ALAM 24 JULAI : Jika ada yang lebih mudah dan murah mengapa perlu memperuntukkan kos yang tinggi walaupun kesannya boleh dipertikai.
Itu persoalan yang dibangkitkan oleh Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Urusan Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan ekoran tindakan kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tujuan mewujudkan sistem biometrik dalam pilihan raya di negara ini.

" Ada cara yang lebih mudah untuk menyelesaikan masalah tetapi kita pula mencari jalan yang rumit dan amat mahal.

" Saya pun tidak faham kenapa bila kita ada yang lebih murah dan lebuh mudah iaitu pakai dakwat kekal, yang jauh lebih murah daripada biometrik, kita hendak guna teknologi yang harganya berkali ganda dan kesannya masih boleh dipertikaikan,"katanya kepada Tv Selangor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan bahawa kerajaan akan memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai sistem biometrik yang mungkin dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13.

Namun seperti mahu menyindir tuntutan rakyat dan gagasan pembangkang yang mendokong perjuangan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bersih dilaksanakan di negara ini, Najib mendakwa Malaysia terpaksa mendahului negara maju dalam menyediakan sistem ini untuk kepuasan rakyat.

"Kalau nak buat penambahbaikan kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik(menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih)walaupun negara-negara maju pun tak buat," Najib dipetik sebagai berkata.

Malah Najib juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat sengaja membangkitkan isu pilihan raya yang bersih di negara ini ekoran kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini di tangan kerajaan.

"Di peringkat nasional, kita (Barisan Nasional-BN) ada masa dapat undi banyak ada masa undi sikit. Tetapi majoriti masih di tangan kita. Kalau kita boleh jamin kita boleh menang, takdelah menteri kalah (pilihan raya) dan ada negeri kalah," katanya lagi.

Hakikatnya menurut Wan Saiful, tuntutan untuk sebuah pilihan raya yang adil bukanlah satu perkara baru. Malah ia adalah tuntutan tidak berkesudahan rakyat yang terus dinafikan sehingga ke hari ini.

" Saya rasa ada manfaat jelas kepada kerajaan kalau mereka mendakwa isu ini baru ditimbulkan supaya kita terlupa bahawa isu ini telah lama ditimbulkan pada awal 90-an dan mungkin awal daripada itu. Malah ketika Umno dibubarkan dulu pun, ia berpunca daripada sistem pengundian,"tegas Wan Saiful.
" Tapi saya boleh faham sekiranya saya berada di dalam kasut ahli-ahli politik di sebelah pemerintah sekarang, pasti yang saya hendak buat ialah mendakwa ini perkara yang sengaja ditimbulkan oleh pembangkang. Saya akan kata pembangkang cuba mengeksploitasi perkara yang ditimbulkan,"katanya lagi.

Kenyataan Najib itu senada dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang selama ini bermati-matian mendakwa mereka sebagai badan bebas dan telus dalam menjalankan tanggungjawab walaupun terdapat bukti berlakunya masalah seperti pengundi hantu, rasuah berleluasa dan sebagainya.

Tambah menghairankan, apabila sebuah agensi yang mendakwa mereka menjalankan amanah dengan baik menolak apabila rakyat memberi cadangan penambahbaikan seperti yang diutarakan oleh gabungan 62 badan bukan kerajaan dalam Bersih.

Sebaliknya SPR melabelkan pembangkang dan Bersih 2.0 mempunyai agenda tertentu di sebalik tuntutan yang dibuat.



Beng Hock : SPRM Tidak Serius Tangani Pesalah, Kata DAP



SHAH ALAM 24 JULAI : Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahukan tindakan setimpal dikenakan ke atas semua pegawai yang terlibat dalam soal siasat ke atas mendiang Teoh Beng Hock.
Menurut Kit Siang, tindakan melucutkan dua daripada tiga pegawai terbabit daripada operasi siasatan sahaja tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh mereka.
Kit Siang berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jelas menamakan lebih daripada tiga pegawai yang menyoal siasat Beng Hock di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Plaza Massalam, dua tahun lalu.
SPRM semalam mengumumkan bahawa Pengarah SPRM Negeri Sembilan Hishamuddin Hashim digantung kerja manakala Mohd Ashraf Mohd Yunus dan Mohd Anuar Ismail masih bertugas tetapi tidak akan menyoal siasat saksi.
" Sebenarnya kalau kita baca laporan RCI, mereka dinamakan sebagai '"cakap bohong". Laporan Suruhanjaya juga menyebut (nama-nama lain), bukan tiga orang ini sahaja," kata Kit Siang.

" Jadi kenapa bukan semua digantung? Bukan sahaja daripada tugas penyiasatan, tetapi daripada jawatan dan mengapa mereka tidak didakwa dalam mahkamah oleh kerana kesalahan-kesalahan yang bukan ringan tetapi sangat serius sehingga menyebabkan kematian,"tegas Kit Siang kepada Tv Selangor.
Sebuah Suruhanjaya Diraja sebelum ini merumuskan Beng Hock membunuh diri kerana menghadapi sesi soal siasat agresif dan berlarutan oleh pegawai SPRM pada Julai 2009.
Walaupun beliau hanya saksi dalam sebuah kes membabitkan cuma RM2,400, pegawai SPRM cuba mendapatkan pengakuan daripada beliau sepanjang malam dengan membuat pelbagai ugutan dan memberikannya maklumat palsu.
Kit Siang berpendapat, tindakan tegas harus dikenakan ke atas pegawai yang terlibat sehingga menyebabkan kematian kepada seseorang apatah lagi kerana tidak memberikan fakta sebenar sebelum ini.

" Sangat tidak mencukupi (lucut tugas operasi siasatan). Kalau SPRM menerima keputusan Suruhanjaya Diraja, sangat jelas bahawa tiga individu yang dinamakan ini melakukan pelbagai perbuatan jenayah dan juga menyebabkan kematian Teoh Beng Hock,"kata beliau.

" Ini adalah satu kesalahan yang serius kerana memberikan keterangan yang palsu yang mengikut penal code boleh dikenakan penjara tujuh tahun,"tambahnya lagi.

Keluarga Beng Hock menyifatkan laporan RCI itu sebagai berjaya membongkar kezaliman prosedur siasatan SPRM namun menolak rumusan mendiang membunuh diri.
Peguam mereka, Karpal Singh berkata pihaknya akan memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Diraja itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan pihaknya tidak akan membentuk suruhanjaya baru atau badan lain bersabit kes Beng Hock.
Menurut beliau, pendedahan laporan Suruhanjaya Diraja itu kepada umum sudah memadai dan menutup kes kematian Beng Hock.

“Tidak akan ditubuhkan satu lagi suruhanjaya semata-mata untuk memuaskan hati mereka yang tidak puas hati. Itu memang tidak boleh dan tidak akan dilakukan,” kata beliau dalam temu bual disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.

Nazri berkata, melainkan ada ruang dibenarkan mengikut undang-undang, terpulang kepada keluarga Beng Hock untuk mengambil tindakan susulan bersabit laporan RCI itu.

"Teruskanlah,"kata beliau lagi.

Beng Hock : Jangkamasa Kematian, S'jaya Tidak Catat Keterangan Saksi

KUALA LUMPUR 25 JULAI: DAP hari ini mendakwa tiada keterangan saksi yang dicatat dalam laporan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bersabit jangkamasa kematian mendiang Teoh Beng Hock antara jam 7.15 hingga 11.15 pagi.

Malah, parti itu turut mempertikaikan percanggahan antara keterangan saksi IO Ahmad Shafik Abdul Rahman dengan laporan tersebut yang dipercayai tidak berdasarkan fakta dan bukti.

Bercakap pada sidang media, Exco Selangor Ean Yong Hian Wah menyifatkan keterangan yang diberikannya ketika pendengaran RCI menjelaskan tiada sebarang bayaran pendahuluan dibuat oleh Dap Serdang Aman untuk membiayai projek kecil di kawasan beliau.

Katanya, DAP Serdang Aman hanya bertindak sebagai pembantu pengurusan pada ketika itu.

Namun katanya, RCI tidak mengambilkira maklumat tersebut justeru mengeluarkan kenyataan berlainan dalam laporan tersebut.

"Kalau kita lihat testimoni bertulis oleh IO Shafiq ketika pendengaran RCI adalah senario yang bertentangan. IO Syafik memberitahu RCI bahawa siasatan menunjukkan resit adalah sama dan projek tersebut dijalankan.

"Laporan RCI sepatutnya mencari punca kematian namun ianya menimbulkan lebih banyak persoalan tentang kematiann"

Justeru, Ean Yong menyifatkan usaha RCI untuk memutarbelitkan kejadian bunuh diri akan menambahkan keyakinan rakyat Malaysia bahawa kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) tidak berminat untuk membuktikan keadilan sebaliknya melindungi kebenaran.

Suruhanjaya Diraja sebelum ini memutuskan Beng Hock membunuh diri kerana menghadapi sesi soal siasat agresif dan berlarutan oleh pegawai SPRM pada Julai 2009.
Walaupun beliau hanya saksi dalam sebuah kes membabitkan cuma RM2,400, pegawai SPRM cuba mendapatkan pengakuan daripada beliau sepanjang malam dengan membuat pelbagai ugutan dan memberikannya maklumat palsu.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berpendapat, tindakan tegas harus dikenakan ke atas pegawai yang terlibat sehingga menyebabkan kematian kepada seseorang apatah lagi kerana tidak memberikan fakta sebenar sebelum ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan pihaknya tidak akan membentuk suruhanjaya baru atau badan lain bersabit kes Beng Hock.
Menurut beliau, pendedahan laporan Suruhanjaya Diraja itu kepada umum sudah memadai dan menutup kes kematian Beng Hock.
Kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk Majlis Peguam mempertikaikan keputusan siasatan diraja yang disifatkan ada elemen campurtangan kerajaan Umno-BN.

Suruhanjaya siasatan terdiri daripada lima anggota diketuai oleh seorang hakim telah menjalankan prosiding siasatan selama 50 hari dan memanggil 70 saksi.

Beng Hock, 30, pembantu politik kepada Exco Selangor Ean Yong Hian Wah ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, plaza berkenaan.

Beliau merupakan saksi tunggal yang dipanggil memberi keterangan pada hari tersebut.

Laporan lanjut menyusul...

Malaysia Bebas Undang-Undang Zalim Hanya Selepas BN Terkubur





IPOH 24 JULAI: Isteri kepada salah seorang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO), Dr D Jeyakumar,R Mohana Rani menyifatkan hanya selepas pemerintahan negara bertukar, barulah akta zalim seperti EO dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh dihapuskan.

"Hanya itu sahajalah satu-satunya jalan untuk mengakhiri EO dan dan ISA. Tendang keluar kerajaan Barisan Nasional,"kata beliau dalam satu ceramah di Ipoh.

Dr D Jeyakumar yang merupakan ahli parlimen bagi kawasan Sungai Siput bersama lima yang lain ditahan semula mengikut EO selepas dibebaskan pada 2 Julai lalu.

Keenam-enam mereka adalah sebahagian daripada 30 orang yang ditangkap di plaza tol Sungai Dua pada 25 Jun lalu ketika menaiki bas menuju ke Pulau Pinang bagi menyertai siri kempen "Udah La Tu Bersaralah".

Kempen dilancarkan pada 24 Jun, menjelang perhimpunan Bersih 2.0 bagi menuntut pembaharuan sistem pilihan raya.

Berdasarkan barangan yang dirampas mereka dikatakan mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).

Oleh itu mereka disiasat di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong.

Namun selepas dibebaskan, mereka kemudiannya ditahan di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 kerana dikatakan terlibat dengan pihak luar dan telah diresapi anasir subversif.

Walau bagaimanapun, peguam kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Edmund Bon mencabar dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa enam anggota PSM itu ditahan di bawah EO berikutan dalam 37 afidavit yang diterima bagi tujuan permohonan habeas corpus menunjukkan, mereka ditahan hanya kerana mendalangi perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Dalam pada itu, bercakap di pentas yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, EO merupakan satu undang-udang zalim yang begitu senang disalahgunakan oleh pihak yang berkepentingan.

Justeru itu beliau mendesak akta tersebut dimansuhkan dan enam anggota PSM dibebaskan.

" Ini adalah kes politik. Dr Jeyakumar dan enam yang lain ditahan kononnya mengisytiharkan perang ke atas Agong. Adakah ia jenayah sebenar? Dr Jeyakumar dan enam yang lain mesti dibebaskan, angkat tangan anda (sebagai sokongan),"kata Kit Siang.

Saman Anwar : Hisham Mohon Batalkan Sebahagian Perenggan

KUALA LUMPUR 25 JULAI : Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memohon untuk membatalkan sebahagian perenggan dalam kenyataan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung video seks fitnah.

Permohonan tersebut berkaitan kes saman beliau selaku plaintif terhadap Anwar yang dinamakan sebagai defendan dalam saman berhubung penayangan video yang didakwa mirip seorang pemimpin pembangkang.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Sunnil Abraham yang mewakili Hishammuddin kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk V. Singham.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 26 Ogos depan bagi pengurusan kes tersebut.

Dalam saman yang difailkan pada 25 April lalu, perenggan itu antara lain membawa maksud, plaintif bertanggungjawab menayangkan dan mengatur penayangan video itu di Hotel Carcosa Seri Negara serta berkomplot dengan Perdana Menteri dan pihak atasan politik berhubung penayangan itu.

CRNI : Kartun 'Haram' Tepati Standard Antarabangsa

WASHINGTON 25 JULAI : Walaupun mahkamah mengekalkan pengharamannya, Jaringan Antarabangsa Hak Kartunis (CRNI) tetap beranggapan bahawa karya kartunis terkenal Zulkiflee Anwar Ulhaque atau Zunar menepati standard antarabangsa.

Pengarahnya Dr Robert Russell berkata, CRNI menyuarakan kebimbangan tehadap keputusan itu yang dianggap memberi lesen kepada kerajaan "bertindak lebih keras" terhadap Zunar dan kartunis editorial lain.

"Dalam jangka masa panjang, kekangan terhadap kebebasan bersuara adalah lebih mengancam ketenteraman awam berbanding karya seorang kartunis yang mendidik publik," kata Russell dalam kenyataanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga mendakwa, dengan penghakiman itu, mahkamah turut meminggirkan hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"CRNI menggesa Malaysia dan mahkamah Malaysia menghormati kebebasan bersuara kepada semua rakyat Malaysia dan mengkaji semula keputusan mahkamah pada 14 Julai lepas," katanya lagi.

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu mengekalkan keputusan pengharaman oleh menteri dalam negeri ke atas beberapa buku Zunar.

Hakim Rohaya Yusuf turut mengenepikan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh syarikat yang mewakili kartunis berkenaan, Sepakat Efektif Sdn Bhd serta penerbitnya Mkini Dotcom Sdn Bhd.

Katanya, beliau memutuskan bahawa langkah menteri berkenaan dalam mengharamkan buku tersebut adalah betul, dengan mengambil kira sensitiviti di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, Russell menegaskan bahawa "tidak ada yang lebih benar dari kebenaran" kerana kedua-dua buku itu - 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun - memfokuskan kepada isu penting yang menjadi perhatian orang ramai.

Jaringan antarabangsa yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu pada 7 Julai lalu menganugerahkan penghargaan dalam bidang kartun editorial kepada Zunar.

CRNI mewakili lebih 600 kartunis di seluruh dunia dengan 21 kerjasama dengan negara membangun di Eropah, Asia, Afrika dan Amerika Latin.