Beng Hock : SPRM Tidak Serius Tangani Pesalah, Kata DAP



SHAH ALAM 24 JULAI : Penasihat DAP, Lim Kit Siang mahukan tindakan setimpal dikenakan ke atas semua pegawai yang terlibat dalam soal siasat ke atas mendiang Teoh Beng Hock.
Menurut Kit Siang, tindakan melucutkan dua daripada tiga pegawai terbabit daripada operasi siasatan sahaja tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh mereka.
Kit Siang berkata laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jelas menamakan lebih daripada tiga pegawai yang menyoal siasat Beng Hock di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor di Plaza Massalam, dua tahun lalu.
SPRM semalam mengumumkan bahawa Pengarah SPRM Negeri Sembilan Hishamuddin Hashim digantung kerja manakala Mohd Ashraf Mohd Yunus dan Mohd Anuar Ismail masih bertugas tetapi tidak akan menyoal siasat saksi.
" Sebenarnya kalau kita baca laporan RCI, mereka dinamakan sebagai '"cakap bohong". Laporan Suruhanjaya juga menyebut (nama-nama lain), bukan tiga orang ini sahaja," kata Kit Siang.

" Jadi kenapa bukan semua digantung? Bukan sahaja daripada tugas penyiasatan, tetapi daripada jawatan dan mengapa mereka tidak didakwa dalam mahkamah oleh kerana kesalahan-kesalahan yang bukan ringan tetapi sangat serius sehingga menyebabkan kematian,"tegas Kit Siang kepada Tv Selangor.
Sebuah Suruhanjaya Diraja sebelum ini merumuskan Beng Hock membunuh diri kerana menghadapi sesi soal siasat agresif dan berlarutan oleh pegawai SPRM pada Julai 2009.
Walaupun beliau hanya saksi dalam sebuah kes membabitkan cuma RM2,400, pegawai SPRM cuba mendapatkan pengakuan daripada beliau sepanjang malam dengan membuat pelbagai ugutan dan memberikannya maklumat palsu.
Kit Siang berpendapat, tindakan tegas harus dikenakan ke atas pegawai yang terlibat sehingga menyebabkan kematian kepada seseorang apatah lagi kerana tidak memberikan fakta sebenar sebelum ini.

" Sangat tidak mencukupi (lucut tugas operasi siasatan). Kalau SPRM menerima keputusan Suruhanjaya Diraja, sangat jelas bahawa tiga individu yang dinamakan ini melakukan pelbagai perbuatan jenayah dan juga menyebabkan kematian Teoh Beng Hock,"kata beliau.

" Ini adalah satu kesalahan yang serius kerana memberikan keterangan yang palsu yang mengikut penal code boleh dikenakan penjara tujuh tahun,"tambahnya lagi.

Keluarga Beng Hock menyifatkan laporan RCI itu sebagai berjaya membongkar kezaliman prosedur siasatan SPRM namun menolak rumusan mendiang membunuh diri.
Peguam mereka, Karpal Singh berkata pihaknya akan memohon semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Diraja itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menegaskan pihaknya tidak akan membentuk suruhanjaya baru atau badan lain bersabit kes Beng Hock.
Menurut beliau, pendedahan laporan Suruhanjaya Diraja itu kepada umum sudah memadai dan menutup kes kematian Beng Hock.

“Tidak akan ditubuhkan satu lagi suruhanjaya semata-mata untuk memuaskan hati mereka yang tidak puas hati. Itu memang tidak boleh dan tidak akan dilakukan,” kata beliau dalam temu bual disiarkan Mingguan Malaysia hari ini.

Nazri berkata, melainkan ada ruang dibenarkan mengikut undang-undang, terpulang kepada keluarga Beng Hock untuk mengambil tindakan susulan bersabit laporan RCI itu.

"Teruskanlah,"kata beliau lagi.

No comments: