SHAH ALAM 25 JULAI : Kerajaan negeri Selangor akan menyiasat terlebih dahulu dakwaan Utusan Malaysia bahawa wujudnya sebuah kedai di Petaling Jaya yang dikatakan menjual arak secara bebas melalui kaedah pandu lalu.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata pihaknya tidak akan bertindak melulu hanya berdasarkan laporan akhbar milik UMNO itu sebaliknya akan menyiasat kebenarannya sebelum mengambil sebarang tindakan.
Utusan Malaysia hari ini dimuka surat depannya mendakwa sebuah kedai di Sunway Mentari, Petaling Jaya dengan bebas menjual minuman keras kepada orang awam termasuk Malayu dan remaja bawah umur dengan harga semurah RM10 untuk tiga tin arak berbanding harga biasa RM7 setin.
Utusan juga mendakwa aktiviti itu seolah- olah direstui pihak penguasa yang berkawal kira- kira 25 meter sahaja dari kedai tersebut.
“Kalau ada benda itu mengapa polis tak mahu tangkap, mengapa JAIS tak mahu pergi. Bagaimanapun kita akan siasat,” katanya.
Ronnie berkata pihaknya mengambil ketetapan untuk mengadakan siasatan terperinci terlebih dahulu sebelum mempercayai laporan Utusan ekoran akhbar itu sebelum ini pernah dibuktikan menyiarkan beberapa berita yang kurang tepat dan berbaur fitnah.
Antaranya, isu melibatkan cubaan pihak tertentu untuk menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara selain serangan- serangan peribadi terhadap pemimpin Pakatan Rakyat.
“Semua cerita yang dikeluar oleh Utusan tidak boleh dipercayai .Utusan telah didapati berbohong banyak kali. Banyak kali berbohong atas isu-isu . Utusan dikenali sebagai paper yang pandai mencipta cerita yang palsu.
“Sebab dia ada rekodlah dia sentiasa berbohong. Bersihpun dia bohong, semua isulah, pasirpun dia bohong, isu kontraktor pun dia bohong, isu Alam Flora pun dia bohong,” katanya.
Ronnie menambah, jika laporan itu terbukti benar, pihaknya tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan terhadap pengusasa kedai terbabit.
Walaubagaimanapun, beliau tidak menolak laporan Utusan itu sengaja diadakan untuk memburukkan imej Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat.
“ Kalau ikut Utusan tak ada satu yang kita buat yang betul. Dan Utusan langsung tak mahu buat liputan terhadap program Selangor yang membawa banyak manfaat kepada rakyat. Utusan lebih rela mencipta khabar angin dan sebagainya,” tegas Ronnie.