Zuhel Zulkifli
Cucu kepada mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tok Guru Tan Sri Dato' Bentara Setia Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, mendakwa ditampar oleh seorang senator ketika menghadiri program rasmi sebuah universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Nik Alif Aiman bin Abdul Ariffahmi yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebuah universiti berkata, kejadian didakwa berlaku sekitar jam 6 petang selepas selesai sesi ceramah sempena Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU).
Menurutnya, insiden berlaku selepas seorang pegawai universiti memperkenalkannya kepada senator berkenaan sebagai cucu kepada Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Beliau mendakwa perbualan kemudian beralih kepada isu politik sebelum senator terbabit secara tiba-tiba menampar pipi kirinya.
"Tamparan itu tidak menyebabkan kecederaan fizikal, namun cukup kuat sehingga kepala dan muka saya teralih ke sebelah kanan akibat impaknya," katanya.
Nik Alif Aiman berkata, kejadian itu berlaku di hadapan kira-kira 10 hingga 15 individu termasuk pegawai kanan universiti dan rakan-rakan MPP.
Beliau memaklumkan tidak membalas tindakan tersebut kerana menghormati senator berkenaan yang lebih berusia, namun mengakui berasa terhina, malu dan terkesan dari segi emosi kerana insiden itu berlaku di hadapan orang ramai.
Menurutnya, tindakan berkenaan turut dianggap sebagai penghinaan terhadap keluarganya yang mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, tokoh agama dan pemimpin yang dihormati ramai.
Selepas kejadian itu, senator terbabit didakwa mengajaknya makan bersama, namun pelawaan tersebut ditolak sebagai tanda protes.
Susulan insiden berkenaan, Nik Alif Aiman telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, termasuk mendapatkan keterangan saksi yang berada di lokasi kejadian.
Sementara itu, bapanya, Abdul Ariffahmi Abd Rahman, mengesahkan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu sebelum anaknya dipanggil untuk memberi keterangan.
Beliau berkata, pihak keluarga turut hadir ke Bentong, Pahang pada Ahad bagi membantu siasatan dan menunjukkan lokasi kejadian kepada pihak polis.
Katanya, Nik Alif Aiman masih berasa sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi sebagai seorang pemimpin pelajar yang diperlakukan sedemikian di khalayak ramai.
#info #infoterkini #infosemasa #infoterbaru #isusemasa #isuterkini #foryoupage #foryou #viral #fyp


















