PESAN PRU 14 - JANGAN BERIMAN DENGAN PARTI POLITIK



Dalam persaingan politik kepartian yang sedang kita saksikan sekarang di negara kita, sebenarnya bukanlah percaturan pemilihan antara yang terbaik dalam kalangan yang baik. 

Sebaliknya, ruang pemilihan yang paling kurang mudarat antara yang mudarat. Itulah realiti yang ada. 

Jika kita cuba 'beriman' dengan segala dakwaan dan janji mereka, maka itu sebenarnya satu kesilapan yang besar. Cumanya, kita sedang mencari antara yang kurang temberang dalam kalangan yang temberang. 

Sesiapa yang bersemangat mempercayai sepenuhnya apa yang dibawa mana-mana parti, maka dia akan kecewa. Apa yang kita sedang kita saksikan dari ahli politik yang berserban sehingga yang ke kelab malam, berbohong itu seakan rukun mereka dalam berpolitik. 

Tuntutan agama ialah kita hendaklah berpegang dan berdiri atas prinsip. Sementara orang politik bicara mereka berubah berdasarkan musim undian dan kuasa yang ingin diperolehi. 

Semalam mereka halalkan, hari ini mereka mengharamkan. Semalam mereka nerakakan , hari ini mereka beri lebel syurga. Semalam mereka bantah, hari ini mereka sokong. Bukan sahaja berita media mereka putar,  nas-nas agama juga mereka pusing mengikut kehendak semasa mereka. 

Justeru, apa yang kita perlu lakukan ialah memilih yang paling kurang bahaya iaitu yang lebih dekat untuk mencapai urustadbir negara yang lebih cekap dan telus. 

Memang, sepatutnya kita mencari yang paling cemerlang dalam kalangan yang terbilang untuk diberikan tanggungjawab pentadbiran negara. 

Namun, malangnya yang tinggal kini kita mencari siapakah yang dijangka kurang merosakkan urustadbir negara jika diberikan kuasa. 

Parti-parti yang kita lihat bergegar dengan pelbagai slogan dan manifesto itu, jika kita selami dalaman mereka, kesemuanya sarat dengan pelbagai ketidaktelusan dan kerakusan terhadap kuasa. 

Individu-individu yang memimpin setiap parti itu mempunyai pelbagai kehendak dan kepentingan diri. Di samping, kita tidak menafikan di sana ramai juga yang ikhlas dalam pelbagai parti yang ada. Namun, mereka itu 'ghuraba' (orang asing) dalam lautan cita-cita politik yang sering kali mempunyai 'kehendak peribadi' yang dihiasi dengan ungkapan 'demi kepentingan rakyat'. 

Kepada Allah kita mengadu. Semoga Allah pelihara kita dari ketaksuban yang bodoh. Semoga Allah mengurniakannya kita mata nurani yang dapat membuat pemilihan yang betul. 

Kita kena memilih yang paling cekap dan amanah. Jika tiada, yang mendekati kecekapan dan yang lebih dekat kepada amanah. Jika tiada, yang paling kurang korupsi dan paling kurang dangkal dalam urustadbir. 

Namun, dalam masa yang sama, kita tidak akan mempercayai segala slogan mereka dengan sepenuh hati. 

Kita tahu di musim ini, bukan sahaja harta dunia mereka janjikan, syurga dan neraka pun mereka beri jaminan seperti mana mereka menjamin geran tanah di dunia!! 

Pohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Jadilah insan yang berprinsip dan dapat membezakan apa yang kita lihat di pentas kehidupan ini.

Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA)
Mufti Perlis.
Anda mungkin juga meminati:

‘Benar kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia’ – Kit Siang


Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Pakatan Harapan akan membuktikan ia lebih cekap dan mampu membela nasib orang Melayu, lebih baik daripada UMNO-BN.
“Benar kata Hang Tuah, takkan Melayu hilang di dunia.
“Melayu takkan hilang di dunia di mana Pakatan Harapan menjadi Kerajaan Persekutuan dan membuktikan ia lebih berjaya, cekap dan mampu membela nasib dan kepentingan orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban berbanding kerajaan UMNO-BN.”
Demikian ucapan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam ceramahnya di Bukit Baru, Melaka, malam semalam.
Kit Siang menegaskan bahawa di bawah kepimpinan Pakatan Harapan, orang Melayu tidak perlu bimbang kehilangan kuasa politiknya.
“Mana mungkin ini berlaku. Ada tiga faktor demografik besar yang telah sebati dalam sistem di Malaysia.
“Peratus masyarakat Melayu semakin bertambah dalam populasi rakyat Malaysia, majoriti pengundi adalah pengundi Melayu, dan kawasan Parlimen dan DUN juga majoriti pengundi Melayu,” jelas beliau yang menyandang kerusi Parlimen Gelang Patah.
Persoalan yang sama juga pernah ditangani Sasterawan Negara A. Samad Said dengan memperingatkan tentang kuasa orang Melayu yang tidak pernah tergugat biar apa pun terjadi.
Pak Samad yang kini menganggotai DAP berulang kali menyebut bagaimana tidak mungkin orang Melayu boleh tergugat dalam politik Malaysia sekiranya UMNO tewas.
“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya.
“Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan Perdana Menteri semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu.
“Ini tidak termasuk Raja-raja Melayu, tentera dan polis yang majoritinya orang Melayu,” ujar Pak Samad dalam sebuah forum anjuran Roketkini beberapa tahun lalu.
Menurut Kit Siang, sebenarnya UMNO di zaman Najib Razak tidak membela nasib dan kepentingan orang Melayu, bahkan hanya kroni-kroni UMNO sahaja.