Najib bimbang, siasatan Scorpène semakin meluas

Najib bimbang, siasatan Scorpène semakin meluas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sepatutnya mula bimbang sekarang ekoran siasatan yang lebih meluaskan terhadap skandal rasuah dalam pembelian kapal selam buatan Perancis, Scorpène.

Selain Najib, turut mula bimbang adalah pemimpin dari India, China dan Brazil serta pemimpin Perancis termasuklah bekas Presiden, Jacques Chirac, bekas Menteri, Dominique de Villipin dan Edouard Balladur di samping Presiden Perancis sekarang, Nicholas Sarkozy.

Demikian menurut laporan Asian Sentinel semalam dalam laporan yang ditulis oleh Gavin M. Greenwood, seorang konsultan keselamatan yang berpejabat di Hong Kong John Berthelsen, editor Asia Sentinel.

Mungkin persiapan ke arah itulah, pejabat kedutaan Malaysia di Perancis penuh dengan bekas pegawai tentera termasuk dutanya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Zainal, 58, yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera. Dr Abdul Aziz menerima watikah perlantikan itu awal Mei 2010 lalu.

Menurut seorang rakyat Malaysia yang berkunjung ke pejabat kedutaan Malaysia di Perancis baru-baru ini dalam urusan kerjanya, apa yang mengejutkan beliau adalah ramainya bekas tentera yang menjadi kakitangan di pejabat kedutaan itu termasuk dutanya.

Beliau tertanya-tanya, kenapa ramai sangat bekas tentera di situ, lalu dia teringat kes kapal selam yang tidak boleh menyelam kat Malaysia dan wanita Monggolia yang mati kerana dibom dengan C4.

Menurut Asian Sentinel, para peguam kepada keluarga 11 jurutera Perancis yang mati dalam serangan bom di Karazchi tahun 2002 lalu, akan memfailkan dakwaan pembunuhan terhadap Chirac dengan mendakwa kejadian itu berpunca dari pembatalan rasuah kepada tentera Pakistan dalam pembelian tiga kapal selam Agosta 90-class untuk tentera laut negara itu.

Sarkozy adalah Menteri Bajet Perancis ketika kerajaan negara itu menjual kapal selam yang dibina oleh gergasi pertahanan Perancis, DCN ( yang kemudiannya dikenali sebagai DCNS) kepada Pakistan dengan nilai USD950 juta.

Pendakwaraya mendakwa, ahli poltik, pegawai tentera dan orang tengah Pakistan menerima jumlah komisyen sehingga Euro2 juta yang kembali semula ke Paris untuk membantu kempen Balladur yang tidak berjaya mengalahkan Chirac itu.

Menteri Bajet, Sarkozy didakwa meluluskan elemen kewangan dalam penjualan kapal selam itu. Ketika itu, beliau adalah jurucakap pasukan kempen presiden Balladur dan menurut media Perancis, mereka telah membuka dua syarikat di Luxembrg untuk menguruskan wang rasuah itu, lapor Sentinel.

Adalah didakwa, apabila Chirac dipilih semula, beliau telah membatalkan pembayaran rasuah itu kepada Pakistan, menyebabkan tindakan serangan membalas dendam ke atas kenderaan yang dinaiki oleh para jurutera Perancis dan tiga rakyat Pakistan itu. Beberapa tahun lamanya, Pakistan menyalahkan serangan itu kepada militan Islam termasuk Al Qaeda.

Salah seorang peguam itu berkata, pihaknya akan menyiasat bagaimana keputusan memghentikan komisyen itu dicapai. Beliau juga mahu memanggil Sarkozy untuk memberikan keterangan namun Presiden Perancis itu dengan marahnya menafikan dakwaan itu.

Sebagai Presiden beliau mempunyai umuniti dan berhak untuk menolak dari dipanggil memberikan keterangan.

DCNS telah menjual Scorpènes kepada Pakistan pada tahun 1994. Malaysia melalui usaha Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak membayar USD1 bilion kepada DCNS untuk memesan kapal selam itu dan pada tahun yang sama, iaitu 2002, ketika para jurutera Perancis itu dibunuh, lapor Sentinel.

Sebagai timbal balas, syarikat yang dimiliki rakan Najib, Abdul Razak Baginda telah dibayar Euro114 juta sebagai 'komisyen'. Ia disahkan dalam satu jawapan di Parlimen Malaysia.

Isu ini menjadi semakin panas apabila Altantuya Shaariibuu, wanita Monggolia yang mendakwa teman wanita Abdul Razak dibunuh dan diletupkan badannya sehingga berkecai dengan C4, peledak yang selalu digunakan oleh tentera.

Altantunya datang ke Malaysia untuk menuntut hak yang dijanjikan kepadanya iaitu USD500,000 dari komisyen yang mereka perolehi ekoran peranannya dalam urusan jual beli kapal selam ini.

Abdul Razak bersama dua pengawal peribadi Najib telah didakwa ekoran kejadian itu namun Abdul Razak telah dibebaskan manakala dua lagi pegawai polis yang menjadi pengawal peribadi itu dijatuhkan hukuman bunuh.


Anwar dibenar perolehi laporan protokol perubatan

Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan borang laporan protokol perubatan Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Borang yang dikenali sebagai 'pro-forma' adalah dokumen standard yang digunakan semasa menangani kes penganiayaan seks. Ia dikatakan mempunyai butiran pemeriksaan perubatan yang dijalankan ke atas pengadu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata beliau membenarkan permohonan itu kerana dokumen berkenaan sudah dirujuk saksi ketiga pendakwaan - Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur ketika mahkamah berhenti rehat.

Beliau bagaimanapun, menolak permohonan pembelaan supaya saksi itu dikenakan perintah menghina mahkamah atas tindakannya itu.

[Berita penuh menyusul]

Mata lebam Anwar: Kabinet arah dua menteri soal Peguam Negara

Mata lebam Anwar: Kabinet arah dua menteri soal Peguam Negara

November 24, 2010
Gani akan disoal oleh Nazri dan Rais selepas beliau pulang dari Mekah. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 24 Nov — Pentadbiran Najib telah mengarahkan dua menteri Kabinet agar menyoal Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berhubung dakwaan peranan beliau dalam insiden mata lebam melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengejutkan negara 12 tahun lalu.

The Malaysian Insider difahamkan Kabinet memutuskan langkah itu selepas seorang bekas pegawai polis Datuk Mat Zain Ibrahim mendakwa mempunyai maklumat terbaru berkaitan insiden itu, yang menurutnya turut melibatkan peranan Gani.

“Sekarang saya telah diarahkan (oleh Kabinet), Datuk Rais dan saya sendiri agar bercakap dengan Peguam Negara. Kami menunggu beliau pulang dari Mekah,” kata Nazri kepada The Malaysian Insider.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memberitahu The Malaysian Insider, Kabinet mahu mendengar sendiri daripada Gani sendiri mengenai dakwaan terbaru Mat Zain dalam satu lagi surat terbukanya kelmarin sebelum mengambil tindakan susulan.

“Kami mahu mendengar daripada Peguam Negara sendiri (mengenai surat terbuka).

“Ini perkara yang serius. Jika beliau (Mat Zain) bercakap benar, kita kena mendapatkan maklumat lanjut... tetapi sehingga itu, tiada apa-apa keputusan,” kata Nazri.

Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kelmarin, Mat Zain, yang merujuk kepada usul memotong gaji Peguam Negara RM10 yang dibawa Lim Kit Siang di Parlimen pada 9 November lalu, mengesahkan telah menghantar e-mel kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur itu pada 14 April lalu.

“Sebagai membalas komen beliau terhadap PDRM berkaitan siasatan kes mata lebam, yang sedikit tersasar. Saya turut megesahkan bahawa kenyataan-kenyataan yang beliau petik daripada surat saya bertarikh 15 April 2009 kepada Lembaga Penasihat SPRM dan surat terbuka kepada YBhg Datin Kalsom Taib bertarikh 8 Oktober 2010 (surat terbuka pertama), yang salinannya saya e-mel kepada Tan Sri, adalah betul setakat yang terkandung dalam salinan-salinan asal surat-surat berkenaan.

“Saya akan merujuk kepada kandungan surat-surat tersebut apabila, atau jika berkenaan,” kata Mat Zain.

Ekoran isu dibangkitkan oleh Lim di Parlimen, Nazri telah memaklumkan bahawa akan membawa isu itu ke Kabinet yang bermesyuarat 12 November lalu.

Beliau turut mengumumkan penjelasan akan diminta daripada Gani bagi memberinya peluang untuk menjelaskan diri beliau yang merupakan hak beliau kepada pendengaran yang adil.

“Saya menyokong sepenuhnya Tan Sri Gani diberikan hak sedemikian oleh kerana hak kesamarataan dari sudut undang-undang dan hak pendengaran yang adil adalah merupakan hak asasi individu yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia dan wajar dihormati oleh semua pihak.

“Bagaimanapun apa yang menjadi kemusykilan saya kini ialah apabila penjelasan diberi oleh Tan Sri Gani, seorang Peguam Negara, dalam bentuk apa sekalipun, sama ada secara lisan atau kenyataan akhbar atau representasi dan lain-lainnya, pihak berkuasa manakah yang layak dan berhak serta mempunyai kuasa untuk memberikan pendengaran adil kepada semua pihak terlibat dalam persoalan ini.

“Dan, tidak hanya adil kepada Tan Sri Gani seorang sahaja. Sesuai untuk saya nyatakan di sini bahawa pihak-pihak yang terlibat, bukan setakat empat individu yang dinamakan dalam laporan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Tan Sri Gani, Tan Sri Musa Hassan (bekas Ketua Polis Negara), Dr Abdul Rahman Yusof dan saya sendiri,” katanya,

Mat Zain juga berkata, Jabatan Peguam Negara, polis dan Kementerian Kesihatan juga merupakan pihak yang mempunyai kepentingan dalam perkara ini.

Malah dalam surat terbuka itu, Mat Zain menggesa kerajaan mendedahkan secara terperinci insiden itu bagi mempertahankan imej dan kredibiliti pasukan polis.

Dalam kenyatannya semalam, Lim yang juga Penasihat DAP berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Nazri berhubung isu yang dibangkitkan oleh bekas pegawai kanan polis itu.

Pada Julai 2008, Anwar membuat laporan polis mendakwa Gani, Mat Zain, Musa yang ketika itu pegawai penyiasat dan Dr Abdul Rahman telah memalsukan satu laporan perubatan mengenai kejadian mata lebam itu.

Tan Sri Rahim Nor, ketika kejadian merupakan Ketua Polis Negara, telah mengaku kepada suruhanjaya diraja siasatan bahawa telah memukul Anwar ketika ditahan di Bukit Aman.

Kejadian itu berlaku selepas Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno.