DAP Johor cabar Hishammuddin nafi guna kem tentera untuk menang PRU



DAP Johor hari ini mendakwa terdapat kem tentera yang akan dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang terletak dalam Parlimen Sembrong, disandang Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien.
Berdasarkan maklumat yang diterima, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mendakwa, sekurang-kuranya 1,000 anggota tentera bersama pasangan mereka akan ditempatkan di kem tersebut.
Dakwa beliau, pembinaan kem tersebut bertujuan memberi kemenangan selesa kepada Barisan Nasional (BN) yang menang tipis menentang DAP dengan 103 undi di DUN Paloh dalam pilihan raya umum (PRU) yang lepas.
Pendedahan ini dibuat DAP Johor sebagai membalas penafian Hishammuddin mengenai pembinaan kem berkenaan.
“Hishammudin memang sedang membina kem di kawasannya, saya mencabar beliau untuk menafikan bahawa beliau tidak menipu,” tegas Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir pada sidang media tersebut, Adun Mengkibol, Tan Hong Pin; Adun Jementah, Tan Chen Choon; dan Setiausaha Biro Undang-undang DAP, Michelle Ng.
Selasa lalu, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-tugas Khas, menafikan dakwaan bahawa kem-kem berkenaan dibina untuk tujuan politik.
Beliau turut bergurau bahawa jika benar BN ingin menggunakan kem tentera untuk meraih undi, ia akan dibina di kawasan Parlimennya, Sembrong.
“Nak dekat PRU ini macam-macam isu yang dibangkitkan mereka (pembangkang) kalau betul (bina kem), saya sebagai Menteri Pertahanan, (adalah) lebih baik saya pergi (buat kem) di Sembrong,” katanya seperti dipetik Bernama.
Jenaka hambar itu tenyata benar apabila semakan dibuat di laman Facebook Kementerian Pertahanan pada 27 September lepas memaklumkan bahawa kem baru akan dibina di Paloh selain di Segamat, Hutan Melintang, Bera, Kota Belud dan Lahad Datu.
Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP menggesa agar pemerhati antarabangsa ditempatkan dalam PRU akan datang.
Pemerhati antarabangsa itu juga katanya perlu meninjau keadaan sebelum PRU bagi memantau penipuan sistematik yang dilakukan parti pemerintah untuk terus kekal berkuasa.

Mengapa Nik Amar kata Kelantan tak patut contohi Selangor?





Merujuk kepada satu laporan di Malaysiakini, Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata bahawa pembangunan fizikal Kelantan sengaja dilambatkan. Nik Amar dipetik berkata:
“Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.”
Kenyataan sebegini sekali imbas mungkin melucukan dan menggambarkan betapa pincangnya dasar Kerajaan PAS di Kelantan dalam tadbir urus negeri. Kegagalan kerajaan PAS Kelantan mengaitkan pembangunan pesat dengan nikmat kebaikan yang dirasai rakyat memberikan gambaran sebuah kerajaan yang lebih kuat beri alasan berbanding betul-betul melakukan yang terbaik buat rakyat.
Seiring dengan pembangunan pesat Selangor, rakyat Selangor menikmati pelbagai manfaat melalui skim-skim dan inisiatif-inisiatif. Yang kini dipanggil Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).
Terbaru, kerajaan negeri Selangor melancarkan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang membantu kaum ibu berpendapatan rendah, yang mana penerima akan memperoleh bantuan kewangan bagi pembelian keperluan asas. Manfaat yang dinikmati rakyat Selangor bermula dari baru lahir sehinggalah mencapai usia emas.
Jelas hujah Nik Amar mengenepikan kepentingan pembangunan, kononnya atas alasan supaya rakyat menikmati kebaikan lebih kurang seperti peribahasa ‘besar bungkus tak berisi’.
Tanpa segan silu Nik Amar juga memberikan satu contoh yang pada hemat saya sangat ironi. Nik Amar memberikan contoh bagaimana di Langkawi, “membangun pesat tetapi rakyatnya terpaksa pindah dan lari.”
Kerajaan PAS Kelantan lupa pada hakikat disebabkan pembangunan yang perlahan, mereka turut gagal menyediakan peluang pekerjaan. Akhirnya ramai rakyat Kelantan, termasuk saya sendiri terpaksa berhijrah keluar daripada Kelantan untuk mencari rezeki.
Meskipun Nik Amar mengatakan Kelantan tidak boleh mencontohi Selangor kerana nanti rakyatnya ada yang ketinggalan, Nik Amar lupa bahawa ramai dari kalangan anak Kelantan berhijrah ke Selangor untuk mencari rezeki dan kini menikmati pelbagai manfaat.
Kenyataan yang dibuat oleh Nik Amar dilihat bertujuan untuk menutup ketidakupayaan dan kelemahan tadbir urus kerajaan negeri. Hutan semakin botak, duit habis diratah, pembangunan tetap tak nampak. Sebagai anak Kelantan yang turut terpaksa berhijrah keluar dari Kelantan, kenyataan Nik Amar itu cukup menyakitkan hati.
Nik Amar perlu ingat, pilihan raya umum (PRU) yang lepas mereka kekal pun atas faktor pengundi yang tinggal di luar Kelantan. Rakyat Kelantan yang masih berada di Kelantan sendiri tentu sudah lelah dengan kerajaan yang langsung tidak ambil peduli tentang kebajikan mereka. PRU-14 akan datang, saya menjangkakan rakyat Kelantan akan bangkit dan melontarkan mesej kepada PAS bahawa jika mereka merancang pembangunan perlahan, maka semua pemimpin yang di atas akan diturunkan dengan pantas.
*Ahmad Irfan Hani adalah Ahli Majlis Perbandaran Selayang. Beliau berasal dari Kelantan.

Siasat pegawai terlibat pemerdagangan manusia di kem maut Wang Kelian!


Pendedahan eksklusif mengenai sindiket pemerdagangan manusia di ‘kem maut’ Wang Kelian Perlis oleh wartawan The News Straits Times baru-baru ini mencetuskan kegemparan seluruh negara.
Ia merupakan rentetan penemuan mengejutkan 139 mayat terdiri dari lelaki, wanita dan kanak-kanak ditemui di 28 kem maut tersebut dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia daripada negara Thai ke Malaysia pada 2015.
Apa yang lebih mengejutkan ialah mengenai penglibatan ‘orang dalam’ yang terdiri dari pegawai keselamatan sempadan individu berpangkat sindeket tidak berperikemanusiaan itu sebagaimana yang didedahkan media pada Jun lalu.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata beliau  tidak menolak andaian wujudnya  persekongkolan pasukan keselamatan sempadan dalam kes terbabit.
Kenyataan itu bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Laporan risikan Cawangan Khas selama 10 tahun yang didedahkan akhbar itu sebelum ini menyatakan 80 peratus pegawai penguatkuasa sempadan menerima rasuah dari sindiket dadah, senjata dan penyeludupan manusia.
“Lapan dari 10 pegawai penguatkuasa sempadan, disyaki rasuah. Berapa ramai yang didakwa? Adakah semakan dilakukan terhadap pegawai yang hidup mewah?
“Mengapa tiada agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan?” kata Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dalam kenyataannya sebelum ini.
Kasthuri berkata, perkara itu bukan sekadar berkaitan perlindungan sempadan negara tetapi ialah perkhianatan terhadap undang-undang oleh mereka yang sepatutnya memelihara keselamatan negara kita.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, isu utama yang perlu diberi perhatian dalam kes ini ialah penglibatan orang dalam berkaitan pemerdagangan manusia dan pelanggaran undang-undang imegresen di Malaysia.
“Kita bercakap tentang tindak-tanduk pegawai keselamatan negara kita yang berkompromi terhadap keselamatan keselamatan negara, ratusan telah mati dan ratusan malah ribuan telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia melalui Malaysia.
“Walaupun polis dan pihak berkuasa terkejut dengan penemuan kem tersebut sebagaimana didedahkan NST, penduduk kampung serta NGO seperti Tenaganita telah lama mengetahui kewujudan tapak itu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Steven, perkara terbabit telah pun dilaporkan sejak tahun 2009 oleh US Senate Foreign Relations Committee yang mendedahkan wujudnya penglibatan pegawai kerajaan dalam aktiviti pemerdagangan manusia di Malaysia demi mengaut keuntungan peribadi.
“Ketika Timbalan Perdana Menteri berkata kes di Wang Kelian ini tidak akan ditutup dan siasatan akan diteruskan, tidak ada yang lebih baik melainkan dengan menubuhkan Suruhanya Siasatan di-Raja.
“Sekiranya Suruhanjaya Siasatan di-Raja ditubuhkan untuk menyiasat kerugian forex yang berlaku 25 tahun lalu, rasanya suruhanjaya itu lebih kritikal dan diperlukan untuk menyiasat perkara ini,” katanya lagi. 

Komisyen balak diguna untuk beli Wisma Tok Guru, dedah Husam






Kelulusan kawasan balak seluas 5,500 ekar kepada tiga buah syarikat yang dimiliki orang yang sama didedahkan sebagai modus operandi untuk membiayai pembelian tapak Wisma Tok Guru. 

Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, beliau dimaklumkan secara jauh bahawa salah seorang ADUN Kelantan telah mengutip sejumlah wang daripada pengarah syarikat yang terlibat. 


Sebahagian wang inilah telah digunakan untuk membayar tapak tanah Wisma Tok Guru, katanya di majlis dialog di Lakloh Kuala Krai malam kelmarin. 

Beliau mempersoalkan apakah asas 5,500 ekar hutan Kuala Pahi diluluskan kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama. 

“Khazanah hutan dan tanah untuk perladangan baharu negeri Kelantan semakin pupus. 

“Kelulusan baharu sepatutnya dibuat secara tender terbuka yang telus demi meningkatkan hasil negeri untuk faedah rakyat Kelantan. 

“Juga dengan cara memilih syarikat yang layak dengan kemampuan kewangan yang tidak diragui bagi mengelakkan kroni dan Ali Baba mengambil kesempatan mengaut kekayaan dengan mudah atas harta rakyat,” katanya. 

Lebih penting lagi menurutnya, hutan dan tanah yang semakin berkurangan di negeri itu patut diutamakan kepada rakyat jelata untuk dibangunkan demi meningkatkan ekonomi. 

“Isu yang saya akan bangkitkan kali ini ialah kelulusan hutan tanah kerajaan untuk perladangan sawit seluas 5,566 ekar di Mukim Kuala Pahi, Daerah Batu Mengkebang, Jajahan Kuala Krai kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama. 

“Ia diluluskan oleh kerajaan melalui Akademi Yakin yang belum diketahui terma-termanya, kecuali satu iaitu ‘Sayugia juga dimaklumkan kelulusan ini khusus kepada BE sahaja dan tidak boleh ditawarkan kepada pihak ketiga sebelum perjanjian ditandatangani dengan pihak Akademi Yakin’. 

“Akademi Yakin dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Haji Mohd Amar Bin Abdullah. 

Menurutnya, syarat ini terkandung dalam surat Pengurus Operasi Akademi Yakin bertarikh 3 Oktober 2016. 

“Berdasarkan syarat ini, boleh difahami, selepas perjanjian ditandatangani, syarikat-syarikat ini bebas menjual kawasan yang diluluskan kepada pihak ketiga,” katanya. 

Kata Husam, adalah agak pelik, satu daripada syarikat ini hanya ditubuhkan pada 5 Ogos 2016 dan sembilan hari kemudian iaitu pada 14 Ogos, syarikat terus memohon untuk berusaha sama dengan Akademi Yakin. 

“Pada 25 September 2016 iaitu 42 hari selepas permohonan itu dibuat, Jawatankuasa Teknikal Pelaburan Akademi Yakin Bil 3/206 telah secara dasar meluluskan permohonan ini. 

“Semakan data-data di Suruhanjaya Syarikat menunjukkan syarikat ini tidak mempunyai apa-apa kenyataan kewangan bagi membuktikan mereka mempunyai kemampuan kewangan memajukan ladang berkenaan. 

“Bahkan tercatit, bentuk perniagaan sebagai ‘dormant’ atau syarikat yang tidak aktif sahaja. 

“Satu syarikat lagi, penyata kewangannya menunjukkan kerugian selepas cukai bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM 3.7 juta. Syarikat ketiga yang dimiliki oleh orang yang sama ini pula hanya ditubuhkan pada 16 Mei 2016. 

“Juga tidak mencatatkan apa-apa mengenai kewangan termasuk kemampuan kewangan,” katanya. 

Beliau yakin kelulusan ini telah dirancang oleh orang politik sebelum permohonan dibuat. 

“Adalah meragukan bagaimana syarikat yang baru ditubuhkan sehari dua sebelum permohonan dibuat, dengan mudah mendapat kelulusan sebegini besar jika ia tidak diatur dengan persetujuan pihak berkuasa terlebih dahulu. 

“Dengan latar belakang syarikat yang tidak mempunyai pengalaman perladangan mahupun kedudukan kewangan yang kuat mampu mendapat kelulusan yang besar sebegini, ia menimbulkan tanda tanya mengenai niat sebenar kelulusan ini dibuat,” katanya. 

Beliau menimbulkan persoalan kenapa kelulusan 5,566 ekar ini dipecahkan kepada tiga syarikat walaupun pemiliknya adalah orang yang sama. 

“Syarikat A : 1,478 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017. 

“Syarikat B : 2,000 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017. 

” Syarikat C : 2,088 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017,” katanya. 

Tambah beliau, semakan peta Google yang dibuat menunjukkan kawasan 5,500 ekar Mukim Kuala Pahi, Daerah Batu Mengkebang, Jajahan Kuala Krai ini mempunyai kepadatan hutan yang tinggi. 

“Berapa nilai balak-balak yang ada di sini? 

“Bolehkah Kerajaan Pas Kelantan berlaku telus? 

“Amalan biasa, syarikat yang berjaya mendapat kelulusan ladang akan diberi izin untuk menebang dan menjual balak-balak yang ada dalam kawasan mereka. 

“Jadi, orang ini akan mendapat dua kali durian runtuh. 

“Kali pertama, mereka menjadi kaya raya dengan balak-balak yang ada dalam kawasan mereka dan mereka mungkin terus menjual balak dan tanah ladang yang mereka perolehi,” katanya. 

Husam juga berkata kawasan hutan yang diluluskan ini adalah termasuk dan berdekatan dengan kawasan perkelahan dengan jeram atau air terjun yang cantik. 

“Air Terjun Lata Berangin termasuk dalam kawasan yang diluluskan dan berdekatan pula dengan Hutan Lipur Lata Tembakah. 

“Adakah kesan ekologi kepada tarikan semula jadi ini diambil kira?” soal Husam. -MD 

Projek Landasan Keretapi Pantai Timur sebenarnya hutang bukan pelaburan



Projek mega Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang dibanggakan pentadbiran Najib pada hakikatnya suatu bentuk hutang dan bukannya pelaburan.

Perkara ini dibangkitkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin apabila beliau mempersoalkan projek kontroversi bernilai RM55 bilion itu.
“Kalau betul dia bawa duit, ok lah, berapa banyak pelaburan dia bawa masuk? Keretapi dia bawa duit?
“Kalau ‘loan’ makna kata dia bayar balik? Kalau bayar duit itu makna pelaburan? kalau kamu pelabur kamu kata apa? Tidak, itu pinjaman,” katanya dilapor media.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, persoalan dibangkitkan Daim mampu memperbetulkan persepsi umum bahawa projek itu satu pelaburan dan membawa keuntungan seperti digembar-gemburkan kerajaan.
Katanya, kerajaan bermati-matian bertegas bahawa projek yang diserahkan kepada syarikat dari China itu sebuah “pelaburan domestik dengan pembiayaan asing”.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kabinetnya sering menjaja projek berkenaan sebagai kejayaan kerajaan BN meraih pelaburan asing yang besar.
Tony turut mempersoalkan mengapa projek sebesar itu tidak diberikan secara tender terbuka.
“Oleh itu, timbul persoalan, siapa yang benar-benar mendapat keuntungan dari kontrak ini?” soalnya.
Syarikat milik China, China Communications Construction Company (CCCC) dianugerahkan projek berkenaan dan dibiayai Export-Import Bank of China (EXIM) yang juga dimiliki tanah besar itu pada tahun lalu.
Projek yang memakan kos RM91.7 juta per km itu dianggap pengkritik sebagai mahal dan tidak berpatutan.
Dalam pada itu, Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata kerajaan sehingga kini masih tidak menjawab mengapa kontrak pembinaan ECRL diberikan secara terus kepada CCCC dengan nilai RM55 bilion jika projek berkenaan sebenarnya berharga RM30 billion.
“Di manakah lebihan RM25 bilion pergi? Adakah ia akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB sebagai spekulasi untuk menutup skandal kewangan antarabangsa terbesar pentadbiran Najib?” soalnya.

Pelik jadi pemerintah tapi tidak mahu segerakan pembangunan, kata Presiden AMANAH


Agak pelik apabila seorang pemimpin negeri mendakwa pembangunan di Kelantan sengaja dilambatkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat sedangkan rakyat amat memerlukan pembangunan apatah lagi setelah 27 tahun ditadbir oleh parti yang sama.
Malah pembangunan juga mampu membuka peluang pekerjaan yang luas kepada golongan muda mahupun lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi.
Pembangunan yang pesat juga, kata presiden AMANAH Mohamad Sabu  berupaya meningkatkan keyakinan para pelabur sekaligus mampu menjana ekonomi negeri.
Mohamad ditemui selepas majlis mesra bersama penduduk di Kampung Keladi, Kulim, Kedah semalam.
Menurut beliau lagi, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bahawa kerajaan negeri mengakui pembangunan di negeri itu agak terkebelakang kerana disengajakan adalah sesuatu yang menghairankan kerana pemerintah yang baik akan menyegerakan pembangunan demi kebaikan rakyat apatah lagi setelah sekian lama memerintah negeri.
“Rakyat negeri Kelantan termasuklah negeri-negeri lain pun mahukan pembangunan dengan segera, apa lagi kalau sudah jadi kerajaan sejak 27 tahun lalu.
“Dengan rancaknya pembangunan peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan dengan lebih banyak dan ini akan mengurangkan kadar pengangguran terutamanya bagi lepasan sekolah dan IPT, ” jelasnya.
Beliau juga berkata, melalui pembangunan yang diwujudkan juga akan membawa hasil kepada sesebuah negeri apabila pelaburan juga bertambah.
“Melalui pembangunan jugalah rakyat sesebuah negeri dapat menikmati pelbagai kemudahan yang mampu dilaksanakan.
“Saya yakin rakyat memberi mandat kepada mana-mana parti politik kerana mengharapkan nasib mereka dibela dan keluar dari kepompong kemiskinan.
“Sudah tentu rakyat Kelantan juga mahu merasai apa yang negeri lain dapat kecapi termasuklah pelbagai kemudahan infrastruktur, kemudahan asas dan seumpamanya, ” tegasnya.

Mohamad Sabu ketika berucap di majlis ceramah Pakatan Harapan di Kampung Keladi, Kulim.
Ujarnya lagi, sekiranya Kelantan membangun dengan pesat tidak dapat dinafikan ramai anak Kelantan yang berada di luar negeri ingin pulang memberikan khidmat dan kepakaran.
“Sepatutnya kerajaan negeri yang memerintah mempercepatkan pembangunan supaya ia dapat dikongsi bersama dengan rakyat yang tidak perlu berhijrah keluar.
“Rakyat Kelantan sudah pasti dahagakan pembangunan dengan harapan mereka agar kerajaan negeri yang memerintah begitu lama dapat membawa pembangunan yang lebih pesat.
“Ia juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada usahawan kecil dan besar untuk sama-sama menikmati pembangunan yang dilaksanakan, ” katanya.

Sehubungan itu beliau yakin AMANAH dan Pakatan Harapan mampu melakukan perubahan sekiranya diberi mandat untuk menerajui kepimpinan bukan saja di negeri Kelantan malah diperingkat nasional.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua AMANAH Padang Serai, Abdul Razak Salleh.
Mohd Amar baru-baru ini dilaporkan berkata, Kerajaan Pas Kelantan mengakui pembangunan negeri itu agak terkebelakang berbanding negeri lain dan “ia sesuatu yang disengajakan”.
Menurut naib presiden Pas itu, kerajaan Pas negeri mempunyai pendekatan tersendiri dalam menggerakkan pembangunan berbeza daripada negeri lain.
“Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.
“Kalau kita cepatkan pembangunan, ambil dasar yang bebas kita boleh setanding dengan negeri seperti Selangor, tapi bahayanya kita risau rakyat akan ketinggalan.
“Orang kampung tak mampu turut dengan pembangunan,” katanya dalam ceramah isu-isu semasa Pas Kawasan Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, lapor Malaysiakini.
Mohd Amar yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Panchor berkata, dengan konsep pentadbiran Membangun Bersama Islam yang diamalkan sejak 27 tahun sudah banyak perubahan besar yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri mengambil pendekatan melakukan pembangunan yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat setempat.
“Kita mahu rakyat tempat dapat menikmati pembangunan, berbanding tempat lain yang membangun pesat tetapi rakyatnya terpaksa pindah dan lari,” katanya yang mengambil contoh kemajuan di Langkawi, Kedah.


FELDA BAKAL HILANG TANAH RM200JUTA DI KUALA LUMPUR?

SEMPADAN BAHARU SPR DIWARTA SESI PARLIMEN MAC?