Sempadan baharu SPR diwarta sesi Parlimen Mac?
Kesan terburuk akibat gerimander dan pembahagian pengundi tidak saksama (malapportionment) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mungkin juga tidak berlaku, kata Felo Penang Institute Wong Chin Huat.
Beliau berkata, manipulasi seumpama itu adalah ‘senjata bermata dua’ dan tidak semestinya akan dimasukkan dalam cadangan akhir SPR.
“Manipulasi persempadanan adalah senjata bermata dua. Ia tidak menjamin kemenangan tetapi meningkatkan kelebihan atau kerugian.
“BN akan menang majoriti dua pertiga dengan lebih mudah jika mampu mengekalkan sebahagian besar asas sokongan mereka. Namun, jika lebih banyak pengundinya beralih sokongan, kesan yang bakal dihadapi BN adalah lebih teruk,” katanya (gambar) kepada Malaysiakini semalam.
Isnin lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan SPR mengetepikan arahan penangguhan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menghalang mereka mengadakan sesi siasatan setempat berhubung bantahan persempadanan semula di Selangor.
Menurut laporan Sin Chew Daily Selasa lalu yang memetik sumber, sidang parlimen khas mungkin diadakan pada Januari ini bagi meluluskan cadangan SPR untuk membolehkan Parlimen dibubar hujung Februari.
Bagaimanapun Wong berkata SPR mungkin memerlukan masa lebih dua bulan bagi proses persempadanan semula di Selangor, sekaligus menolak kemungkinan sidang parlimen khas tersebut.
Beliau berkata, jika SPR mengubah cadangan sempadan kawasan pilihan rayanya yang pertama, ia perlu mempamerkan pindaan sempadan itu kepada awam, tempoh 30 hari untuk bantahan, dan jika ada bantahan, pusingan sesi siasatan setempat yang seterusnya.
“Ini bermakna ada kemungkinan peta baru dibentang dan diluluskan Parlimen pada Mac untuk digunakan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14,” katanya lagi.
Persempadanan semula yang sedang dijalankan SPR dicemari dakwaan garimander dan pembahagian pengundi yang tak saksama dan bantahan rasmi sudah pun dibuat.
Pembahagian pengundi tak saksama merujuk kepada perbezaan besar bilangan pengundi antara kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) – yang sepatutnya lebih kurang sama – dan dilihat sebagai tidak adil kerana ia mengurangkan nilai undi di kawasan yang lebih besar.
Gerimander pula melibatkan penumpuan penyokong parti tertentu di beberapa kawasan, dan memecahkannya di beberapa kawsan lain. Ia membolehkan sesebuah parti menang walaupun dengan undi yang kurang.