Siasat pegawai terlibat pemerdagangan manusia di kem maut Wang Kelian!


Pendedahan eksklusif mengenai sindiket pemerdagangan manusia di ‘kem maut’ Wang Kelian Perlis oleh wartawan The News Straits Times baru-baru ini mencetuskan kegemparan seluruh negara.
Ia merupakan rentetan penemuan mengejutkan 139 mayat terdiri dari lelaki, wanita dan kanak-kanak ditemui di 28 kem maut tersebut dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia daripada negara Thai ke Malaysia pada 2015.
Apa yang lebih mengejutkan ialah mengenai penglibatan ‘orang dalam’ yang terdiri dari pegawai keselamatan sempadan individu berpangkat sindeket tidak berperikemanusiaan itu sebagaimana yang didedahkan media pada Jun lalu.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata beliau  tidak menolak andaian wujudnya  persekongkolan pasukan keselamatan sempadan dalam kes terbabit.
Kenyataan itu bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Laporan risikan Cawangan Khas selama 10 tahun yang didedahkan akhbar itu sebelum ini menyatakan 80 peratus pegawai penguatkuasa sempadan menerima rasuah dari sindiket dadah, senjata dan penyeludupan manusia.
“Lapan dari 10 pegawai penguatkuasa sempadan, disyaki rasuah. Berapa ramai yang didakwa? Adakah semakan dilakukan terhadap pegawai yang hidup mewah?
“Mengapa tiada agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan?” kata Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dalam kenyataannya sebelum ini.
Kasthuri berkata, perkara itu bukan sekadar berkaitan perlindungan sempadan negara tetapi ialah perkhianatan terhadap undang-undang oleh mereka yang sepatutnya memelihara keselamatan negara kita.
Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim berkata, isu utama yang perlu diberi perhatian dalam kes ini ialah penglibatan orang dalam berkaitan pemerdagangan manusia dan pelanggaran undang-undang imegresen di Malaysia.
“Kita bercakap tentang tindak-tanduk pegawai keselamatan negara kita yang berkompromi terhadap keselamatan keselamatan negara, ratusan telah mati dan ratusan malah ribuan telah menjadi mangsa pemerdagangan manusia melalui Malaysia.
“Walaupun polis dan pihak berkuasa terkejut dengan penemuan kem tersebut sebagaimana didedahkan NST, penduduk kampung serta NGO seperti Tenaganita telah lama mengetahui kewujudan tapak itu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Steven, perkara terbabit telah pun dilaporkan sejak tahun 2009 oleh US Senate Foreign Relations Committee yang mendedahkan wujudnya penglibatan pegawai kerajaan dalam aktiviti pemerdagangan manusia di Malaysia demi mengaut keuntungan peribadi.
“Ketika Timbalan Perdana Menteri berkata kes di Wang Kelian ini tidak akan ditutup dan siasatan akan diteruskan, tidak ada yang lebih baik melainkan dengan menubuhkan Suruhanya Siasatan di-Raja.
“Sekiranya Suruhanjaya Siasatan di-Raja ditubuhkan untuk menyiasat kerugian forex yang berlaku 25 tahun lalu, rasanya suruhanjaya itu lebih kritikal dan diperlukan untuk menyiasat perkara ini,” katanya lagi. 

No comments: