Siapa Penyamun Politik Curi Wang Negara RM51 Bilion Setahun

Siapa Penyamun Politik Curi Wang Negara RM51 Bilion Setahun

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, hanya dengan melaksanakan tender terbuka yang berdaya saing dan menentang rasuah negara akan dapat menjimatkan wang sebanyak RM51 bilion setiap tahun.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga boleh meyakinkan orang ramai akan keikhlasan beliau dan keperluan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter untuk menjimatkan kos subsidi tahunan sebanyak RM3.3 bilion.

Beliau berkata, tanpa langkah yang menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap rasuah, orang ramai akan dengan mudah mempertikaikan keikhlasan kerajaan dan melihat tuntutan untuk mengurangkan kos sebagai palsu.

“Mengapa rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, perlu menanggung penderitaan membayar RM3.3 bilion setahun kerana peningkatan harga petrol jika tiada tindakan diambil terhadap penyamun politik yang mencuri RM51 bilion setiap tahun daripada wang negara,” katanya ketika berucap kepada Diaspora Pulau Pinang di Hong Kong, yang diterbitkan di Komtar, semalam.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, berdasarkan pengalaman tanggungjawab fiskal dan memerangi rasuah oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang dan Selangor, sekurang-kurangnya penjimatan 25% setahun boleh dicapai daripada kontrak perolehan kerajaan.

“Lebihan bajet tahunan di Pulau Pinang, peningkatan rizab aset sebanyak 50% dan pengurangan hutang kerajaan negeri Pulau Pinang dengan rekod 95% membuktikan keberkesanan langkah integriti daripada tender terbuka yang berdaya saing kepada pengisytiharan aset awam.

“Dengan anggaran RM201 billion kontrak perolehan Kerajaan Persekutuan setiap tahun, penjimatan minimum 25% akan berjumlah RM51 bilion.

“Mengapa kerajaan Persekutuan BN bersikap berkira pada satu sisi tetapi membenarkan pembaziran yang besar pada sisi lain dengan tidak memberi tumpuan kepada potensi penjimatan RM51 bilion yang memberi manfaat kepada hanya beberapa kroni kaya dan bukannya memaksa 28 juta rakyat Malaysia menanggung RM3.3 bilion daripada kenaikan harga petrol,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, bukan sahaja Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan logik mudah ini, sebaliknya mereka cuba mengalihkan perhatian daripada kesimpulan yang tidak dapat dielakkan dengan memainkan isu perkauman, sentimen agama dan pelampau.

Menurutnya, taktik perkauman dan pelampau digunakan dengan jayanya oleh BN untuk mengelak daripada mendepani empat masalah sebenar Malaysia, iaitu jenayah, rasuah, peningkatan hutang kerajaan dan setiap isi rumah serta penurunan taraf pendidikan, produktiviti dan kemahiran tenaga buruh Malaysia.

“Di Hong Kong, ramai pelabur dan penganalisis mengenal pasti empat isu utama ini yang menjadikan Malaysia kurang menarik atau kurang berdaya saing.

“Mengurangkan jenayah tidak begitu sukar jika kerajaan Persekutuan BN bersedia membenarkan polis memerangi jenayah dan bukannya memantau pemimpin pembangkang.

“Pada masa ini hanya 10% daripada pasukan polis yang terbabit dalam penyiasatan jenayah. Jika jumlah ini meningkat kepada 50% daripada pasukan polis keseluruhannya, saya pasti polis akan dapat menumpaskan penjenayah di Malaysia dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Guan Eng berkata, BN mendakwa hutang Kerajaan Persekutuan kini 54% daripada KDNK, bagaimanapun ini tidak termasuk hutang dijamin kerajaan yang akan meningkatkan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan kepada 70%.

Katanya, jika hutang 70% kepada nisbah KDNK adalah tinggi, hutang isi rumah adalah lebih tinggi pada 83.5% daripada KDNK.

“Kebergantungan sedemikian kepada hutang adalah kesan pinjaman fiskal melulu sebagai jalan keluar mudah daripada masalah negara kita. Kerajaan Persekutuan perlu menunjukkan kepimpinan melalui teladan kepada setiap isi rumah dengan mengurangkan pergantungan hutang.

“Kerajaan Persekutuan juga gagal melabur untuk masa depan tanpa melabur dalam pendidikan yang berkualiti. Banyak pelabur asing dalam bidang teknologi tinggi berintensifkan pengetahuan merungut tentang kemerosotan kualiti dan penurunan tenaga kerja negara ini di semua peringkat, terutamanya penguasaan lemah Bahasa Inggeris.

“Dengan penetapan piawaian BN pada tahap cukup makan semata-mata dan bukannya budaya kecemerlangan, kepada kuota politik dan bukannya prestasi dan retorik kosong dan bukannya tindakan konkrit, Malaysia berisiko ditinggalkan bukan sahaja oleh pelabur asing berteknologi tinggi tetapi juga bakat terbaik kita yang berhijrah ke negara lain seperti Hong Kong,” tambahnya.

Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berani menawarkan model di mana prestasi adalah lebih penting berbanding latar belakang politik, di mana usaha dibuat untuk menarik institusi pendidikan yang berkualiti di semua peringkat, di mana sebuah kerajaan yang jujur dan cekap melalui perkongsian dengan sektor swasta dan sektor awam serta sebuah bandar yang selamat, bersih, hijau dan sihat boleh memberikan penyelesaian kepada empat masalah yang disebut di atas. -Roketkin