Satu hantaran seorang anak Kelantan menjadi perhatian selepas menyenaraikan lapan realiti yang didakwa masih dihadapi rakyat negeri itu selepas berdekad-dekad di bawah pentadbiran sama.
Pengguna Threads dikenali sebagai Al Amiriy berkata perkongsian itu dibuat secara jujur tanpa dipengaruhi mana-mana unsur politik, dengan harapan supaya perubahan dapat dilakukan.
Antara perkara yang disenaraikan ialah:
1. Bekalan air yang berkarat.
2. Pihak berkuasa tempatan didakwa tidak berfungsi dengan baik, termasuk isu rumput dan longkang.
3. Taman awam yang sangat terhad.
4. Jalan kampung yang sempit dan jarang disenggara.
5. Hampir semua urusan di bawah kerajaan negeri masih dilakukan secara manual.
6. Bantuan kepada mahasiswa sangat terhad dan didakwa hanya sekali diberikan oleh kerajaan Persekutuan.
7. Kekurangan tempat rekreasi.
8. Banyak kedai dan rumah dibina dalam rizab jalan.
Perkara kelima antara yang paling menyedihkan kerana ketika negeri lain berlumba-lumba mendigitalkan perkhidmatan kerajaan, rakyat Kelantan masih perlu berdepan urusan manual bagi banyak perkhidmatan asas.
Hantaran itu menerima ratusan reaksi dan dipenuhi komen pengguna yang mengakui berdepan pengalaman sama.
Ada yang menambah isu sampah bertimbun, ketiadaan lampu jalan, jalan terlalu sempit serta kekurangan peluang pekerjaan bergaji tinggi.
Seorang pengguna turut mempersoalkan mengapa rakyat yang mahukan perubahan masih terus memilih pentadbiran sama dalam setiap pilihan raya.
Pemilik hantaran menjawab bahawa jalan pendidikan perlu diperkukuh kerana masyarakat memerlukan pengetahuan mengenai asas politik, kenegaraan dan kewangan untuk membuat pilihan secara lebih matang.
Lebih menyedihkan, apabila ditanya mengenai kompleks sukan, pemilik hantaran menjawab bahawa taman awam biasa juga sukar ditemukan.
Perkongsian itu menunjukkan kritikan terhadap pentadbiran Kelantan bukan semata-mata datang daripada orang luar. Rakyat yang tinggal dan mengalami sendiri masalah di negeri itu juga semakin berani bersuara serta menuntut perubahan.







