Hormatilah ulama, benar. Tetapi jangan sampai seruan “hormatilah ulama” dijadikan perisai untuk menghalalkan segala kata-kata dan tindakan seorang agamawan, termasuk apabila agama sudah dicampur-adukkan dengan kepentingan politik.
Ulama dihormati kerana ilmu dan adabnya, bukan kerana jubahnya, gelaran agamawannya atau parti yang didukungnya.
Kalau seorang ulama sibuk menghasut, melabel, memecah-belahkan umat, menghukum orang yang berbeza pandangan dan menggunakan agama untuk memenangkan kelompok politiknya, apakah setiap teguran terhadapnya mesti dianggap menghina ulama?
Tidak.
Mengkritik pandangan seorang ulama bukan bermaksud menghina ulama. Membongkar hujah yang lemah bukan bermaksud memusuhi Islam. Menolak politik yang memecah-belahkan umat bukan bermaksud menolak agama.
Malah, kadang-kadang mengkritik seorang agamawan yang tersilap adalah sebahagian daripada menjaga maruah ilmu itu sendiri.
Aneh juga apabila kita disuruh menjaga lidah apabila mengkritik ulama politik, tetapi lidah ulama politik pula seolah-olah diberikan lesen untuk menghentam, melabel dan merendahkan ulama lain yang tidak sehaluan.
Kalau benar mahu bercakap tentang adab, adab itu mesti dua hala. Ulama bukan manusia maksum. Gelaran ulama bukan sijil kekebalan daripada kritik. Dan mimbar agama bukan pentas untuk mengeluarkan lesen politik.
Jangan pula kerana seseorang memakai serban, mengajar kitab dan membaca ayat al-Quran, maka semua pendapat politiknya automatik menjadi benar.
Ilmu agama tidak menjadikan seseorang pakar dalam semua perkara.
Dalam soal politik, ekonomi, pentadbiran dan dasar negara, ukuran tetap ilmu, fakta, hujah dan kemampuan memahami realiti bukan semata-mata panjang jubah atau banyaknya gelaran agama.
Jadi, ya hormatilah ulama. Tetapi hormatilah ulama yang mengajar manusia berilmu, beradab dan bersatu.
Dan apabila ada agamawan yang menjadikan agama sebagai alat untuk memecah-belahkan umat, jangan suruh rakyat diam hanya kerana dia dipanggil ulama.
Kerana menghormati ulama tidak bermaksud menyerahkan akal kepada ulama. Dan mempertahankan agama tidak bermaksud mempertahankan setiap orang yang bercakap atas nama agama.
IBNU ALI


No comments:
Post a Comment