MAI DAH ....

 




Darah mangsa Memali masih belum kering akibat Amanat Haji Hadi, kini dia cuba membuka ruang istilah Harbi diguna dalam politik.


Fikrah ekstrem mula dinormalisasi oleh PAS. Dr Al-Qaradawi pernah beri amaran fenomena seperti ini.


Tulisan terbaru Presiden PAS, Haji Hadi dilihat cuba menempelak pandangan agamawan yang mengingatkan bahaya sewenang-wenangnya melabel bukan Islam sebagai kafir harbi hanya kerana berbeza pandangan politik atau ideologi.


Mufti berpendapat, hukum Harbi bahaya kerana menghalalkan darah, rampas harta dan membatalkan perjanjian sesama warganegara.


Dalam tulisannya, Hadi mempertikaikan pandangan bahawa “tiada istilah kafir harbi di Malaysia”. Malah beliau turut menyatakan bahawa “perlawanan” bukan sahaja melibatkan senjata, tetapi juga boleh berlaku melalui ideologi, pemikiran dan kefahaman.


Di sinilah bahayanya.


Apabila istilah fiqh peperangan seperti kafir harbi mula dibawa masuk ke gelanggang politik, sempadan antara lawan politik dengan musuh yang boleh diperangi boleh menjadi semakin kabur.


Malaysia sebenarnya pernah melalui pengalaman pahit apabila bahasa agama, jihad dan syahid bercampur dengan pertembungan politik.


Dalam Amanat Hadi pada 1981, perjuangan menentang UMNO digambarkan sebagai jihad dan disebut bahawa jika mati melawan “puak-puak ini”, kematian itu adalah syahid. Empat tahun kemudian berlaku tragedi Memali pada 19 November 1985 yang mengorbankan 14 penduduk kampung dan empat anggota polis. Hubungan langsung antara Amanat Hadi dengan tragedi Memali terus diperdebatkan; Tun Dr Mahathir pernah menyalahkan amanat tersebut, manakala PAS menolak dakwaan itu.


Namun Memali sepatutnya cukup menjadi amaran sejarah tentang bahayanya apabila persaingan politik mula dibingkai dengan bahasa jihad, syahid, kafir dan peperangan.


Dr Yusuf al-Qaradawi sendiri memberi amaran bahawa ekstremisme pada asalnya bermula dalam pemikiran, tetapi boleh berkembang kepada keganasan. Beliau membawa contoh Khawarij yang akhirnya menghalalkan darah dan harta orang Islam yang tidak sependapat dengan mereka.


Malah ketika membincangkan hubungan dengan bukan Islam, Qaradawi mengingatkan bahawa sikap ghuluw boleh sampai kepada tahap seseorang menghalalkan harta atau darah pihak yang berbeza agama dengannya.


Sebab itu tulisan Hadi hari ini tidak boleh dipandang ringan.


Hadi mungkin tidak menyeru secara langsung supaya darah sesiapa ditumpahkan. Tetapi apabila beliau cuba membuka semula ruang penggunaan istilah kafir harbi di Malaysia sambil memperluaskan maksud “perlawanan” kepada pertentangan ideologi, beliau sedang membuka ruang kepada pengikut yang lebih ekstrem untuk membawa hujah itu lebih jauh.


Hari ini mungkin sekadar label.


Esok akan muncul persoalan: kalau seseorang sudah dianggap harbi, apakah pula hukum terhadap darah dan hartanya?


Kita sudah pernah melihat betapa berbahayanya apabila politik dibakar dengan bahasa agama yang melampau.


Jangan tunggu berlaku pertumpahan darah sekali lagi baru kita mahu mengakui bahawa fikrah ekstrem telah lama mula bercambah.





No comments: