Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memulihkan keyakinan awam dan menilai semula cara siasatan terhadap James Chai Jin Shern.
=========================
Saya berasa bimbang terhadap cara James Chai Jin Shern, bekas pegawai dasar di Kementerian Ekonomi Malaysia, digambarkan secara terbuka berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Izinkan saya menegaskan dengan jelas bahawa rasuah mesti disiasat. Tiada sesiapa pun yang seharusnya berada di atas undang-undang, dan agensi penguatkuasaan mesti dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional dan bebas.
Pada masa yang sama, cara sesuatu siasatan berlangsung dalam ruang awam juga amat penting. Apabila seseorang individu yang secara terbuka menafikan sebarang salah laku kelihatan diletakkan di bawah penelitian awam yang begitu kuat sebelum fakta penuh ditentukan, keadaan ini boleh menimbulkan persepsi bahawa proses tersebut mungkin tidak seimbang atau berlebihan.
James Chai Jin Shern telah menjelaskan bahawa penglibatannya berkaitan dengan tugasnya sebagai pegawai dasar yang mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai aspirasi Malaysia dalam industri semikonduktor. Jika benar itulah konteks peranannya, maka situasi semasa ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat sama ada seorang individu yang relatifnya masih junior kini sedang menanggung tekanan awam pada tahap yang mungkin tidak sepadan dengan kedudukannya.
Tanpa mengira hasil siasatan tersebut, adalah penting supaya proses ini tidak menimbulkan tanggapan bahawa seorang individu yang tidak mempunyai kuasa politik atau sokongan institusi dibiarkan berdepan penghakiman awam yang begitu besar secara bersendirian, khususnya pada ketika wacana awam semakin memuncak susulan pertukaran kenyataan baru-baru ini antara Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli.
Laporan terkini menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mengeluarkan notis awam bagi mengesan James Chai Jin Shern untuk membantu siasatan, yang menurut Suruhanjaya merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan biasa selepas usaha menghubungi individu tersebut tidak berjaya. Walaupun agensi penguatkuasaan perlu diberi ruang untuk melaksanakan tugas mereka, cara perkara sebegini dimaklumkan kepada umum secara tidak langsung akan membentuk persepsi masyarakat.
Perkara ini mungkin boleh diuruskan dengan lebih berhati-hati dan penuh kepekaan supaya keyakinan awam kekal kukuh dan sentimen rakyat terhadap kerajaan kekal positif. Apabila siasatan yang melibatkan individu yang bukan pemegang jawatan awam dikendalikan secara sangat terbuka, ia boleh secara tidak sengaja menimbulkan tanggapan bahawa seorang individu sedang dikenakan tekanan awam yang tidak seimbang.
Ramai rakyat Malaysia masih ingat bagaimana tokoh-tokoh gerakan reformasi, termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pernah bersuara lantang mengenai ketidakadilan, penyalahgunaan kuasa serta bahaya apabila institusi dilihat sebagai alat tekanan, bukannya pelindung keadilan.
Kerajaan MADANI secara konsisten menekankan integriti, reformasi institusi dan kedaulatan undang-undang. Bagi memastikan prinsip-prinsip ini kekal diyakini. Jadi ia adalah amat penting bagi proses penguatkuasaan dilihat oleh masyarakat sebagai adil, seimbang dan konsisten.
Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan; ia juga mesti dilihat telah terlaksana. Keyakinan rakyat terhadap institusi negara bergantung kepada siasatan yang dijalankan dengan teliti, secara seimbang dan tanpa mewujudkan tanggapan bahawa seseorang individu telah dihakimi lebih awal dalam mahkamah persepsi awam.
Malaysia memerlukan institusi yang tegas dalam memerangi rasuah, tetapi pada masa yang sama adil kepada setiap individu yang terlibat dalam proses tersebut.
Teresa Kok

