Kerajaan Negeri Diminta Siasat 'Lapangan Terbang Haram' di Hulu Bernam

SHAH ALAM, 18 Nov : Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan Anak-Anak Syarikat Kerajaan Negeri Selangor (ABAS) menggesa agar Kerajaan Selangor menyiasat dan mengambil tindakan tegas berhubung kewujudan sebuah lapangan terbang ditanah milik Yayasan Selangor yang sebelumnya berstatus tanah dusun seluas 217 ekar di Hulu Bernam.

Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz semasa sidang DUN Selangor berkata ABAS telah membuat lawatan ke Hulu Bernam pada Oktober lepas ekoran dakwaan wujudnya sebuah landasan kapal terbang haram iaitu Bernam River Airfield .

Menurut ABAS lapangan terbang tersebut berada dalam tanah milik Yayasan Selangor di Geran hakmilik bernombor HSD 45128, No Pt 2924 yang keluasan asal 225 ekar.

"Jawatankuasa Pilihan ABAS mendapati perkara tersebut tidak patut berlaku , tanah tersebut telah diberi kepada Syarikat Aviation Development Sdn Bhd (ADC) pada tahun 2006 seluas 217 ekar, dan sepatutnya digunakan dengan cara yang betul, tetapi yang menjadi masalah kepada kita ialah anak-anak syarikat tidak mempergunakan tanah tersebut dengan betul dan keuntungannya dikaut oleh pihak yang lain," katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pilihan ABAS menyararankan supaya kerajaan mewujudkan satu pasukan untuk menyemak dan meneliti perjanjian usahasama yang ditandatangani pada 15 Ogos 2007 antara Yayasan Selangor dan Syarikat ADC.

Ini bagi memastikan sebarang amalan yang menyalahi peraturan dan etika dapat diperbetulkan dan individu-individu terlibat bagi pihak anak syarikat kepada kerajaan negeri dapat dipertanggungjawabkan .

"Kerajaan negeri perlu mewujudkan satu pasukan khas bagi mengkaji secara mendalam kesesuaian tanah seluar 217 ekar pada dasar penggunaan nilai semasa, serta unjuran penggunaan tanah pada masa hadapan, berbanding syarat kelulusan asal bagi menjana hasil dan pulangan yang optimum kepada kerajaan negeri dan manafaat sebaiknya kepada kerajaan Selangor," katanya.

Sementara itu, Adun Subang Jaya Hannah Yeoh yang menyokong usul itu berkata Yayasan Selangor telah membuat laporan terdapat aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral dan menyalahi undang-undang di kawasan lokasi tersebut dan menggesa agar syarikat tersebut juga disiasat.

 "Syarat nyata di kawasan ini ialah untuk tanaman dusun tetapi digunakan untuk membina kawasan lapangan terbang dan aktiviti ini telah bermula sejak 2007 namun jawatankuasa mendapati tidak ada tindakan langsung daripada Majlis Daerah Hulu Selangor ataupun Pejabat Tanah.

"Saya menyeru agar disiasat siapa yang di belakang syarikat ADC ini, dan diminta kerajaan negeri cepat menyiasat bagi menjamin keselamatan pendudukdi sekitar kawasan tersebut," katanya.

Menteri Besar , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika memberi respon berhubung perkara ini menyatakan perjanjian yang ditandatangani pada 2007 tersebut didapati banyak terma-terma perjanjian yang berat sebelah dan merugikan Yayasan Selangor.

"Saya diberitahu Yayasan Selangor telah membuat inisiatif untuk membawa kes ini ke mahkamah, supaya dapat menghentikan syarikat tersebut daripada menjalankan penyalahgunaan status tanah tersebut." katanya.

Seleweng Tanah : ADUN BN Minta Satim Bertanggungjawab

SHAH ALAM, 18 NOV : Isu penyelewengan berhubung penjualan tanah kerajaan di Science Park 2 membabit Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Satin Diman turut mendapat kecaman dari pemimpin Barisan nasional.

Adun Sungai Burung dari Barisan Nasional(BN), Shamsudin Lias mengesa Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman tampil kehadapan bagi membuktikan dirinya tidak bersalah atas dakwaan penyelewengan tanah ketika era pemerintahan BN dahulu.

"Sekiranya terbukti beliau (Satim) lakukannya, beliau perlu bertanggungjawab, prinsip kita jelas, saya sendiri jelas sekiranya kita langgar undang-undang, kita perlu bertanggungjawab.

"Kalau benar wujud salahguna kuasa, perkara ini boleh dilaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis, itu sahaja,"katanya.

Di dalam sesi DUN 15 November lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan bahawa Satim menjual tanah milik kerajaan Selangor pada tahun 2006 dengan harga yang murah kepada Nikmat Inai Sdn Bhd.

Menurut Khalid transaksi penjualan yang dilakukan oleh Satin amat licik sehingga tidak dapat dikesan berlaku sebarang penyelewengan.

"Ada juga beberapa isu mengenai Bekas Menteri Besar, saya sedang kumpulkan dan jika perlu saya akan dedahkan.

"Apa yang ingin saya pamerkan ialah beza antara pentadbiran Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, yang mana kita melaksanakannya pentadbiran untuk kepentingan semua rakyat tetapi sebaliknya bagi mereka (BN) yang hanya memberi kepada kroni,"jelas khalid

Pendedahan tersebut menyaksikan seorang lagi pemimpin tertinggi BN Selangor terpalit dengan pelbagai penyelewengan.

Satim ketika itu adalah ahli lembaga pengarah dan pemegang saham utama di dalam Nikmat Inai.

Tanah dilokasi Science Park-2 seluas 80 ekar di Cyberjaya itu dianugerahkan oleh kerajaan negeri kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Satim bagaimana pun menjual tanah tersebut kepada syarikatnya sendiri pada harga RM1.80 sekaki persegi atau RM 6.5 juta.

Susulan itu, syarikatnya menjual semula kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada harga RM5.30 sekaki persegi atau RM19.2 juta.

 Ditanya mengenai urus niaga untung atas angin ini, Shamsudin (gambar) menjelaskan ia bukan isu kerana tanah tersebut diberikan kepada Satim dan terpulang kepada beliau untuk menguruskannya.

"Itu terpulang kepada tuan empunya tanah, asalkan urusan itu tidak menyeleweng dan melanggar undang-undang," jelas Shamsudin.

Turut disebut dalam pendedahan Khalid itu ialah pemberian tanah melibatkan seorang bekas Menteri Besar Selangor dan isteri kepada seorang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Sementara itu, Adun Sungai Pelek, Yap Ee Wah dari BN ketika ditemui TVSelangor di Lobi DUN semalam enggan memberi apa-apa reaksi berhubung perkara ini dengan memberi alasan bahawa beliau tidak hadir pada sesi DUN 15 November lalu.

"Saya tidak boleh memberi apa-apa reaksi kerana saya tidak hadir pada hari itu, Saya keluar kawasan untuk memberi sumbangan, ia tidak adil bagi saya untuk mengulas benda ini.

"Minta penjelasan dari mana-mana adun pembangkang yang lain," katanya.