19 Jun 2023 11:04
Dari kanan: Nur Jazlan, Wan Junaidi dan Mujahid angkat sumpah Ahli Dewan Negara pada Isnin. - Foto Bernama
Dari kanan: Nur Jazlan, Wan Junaidi dan Mujahid angkat sumpah Ahli Dewan Negara pada Isnin. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Dua bekas menteri dan seorang bekas timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara pada Isnin.

Mereka ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan pengerusi sementara Senator Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara.

Wan Junaidi dan Nur Jazlan mendapat lantikan Yang di-Pertuan Agong manakala Mujahid adalah pilihan Dewan Undangan Negeri Perak pada 25 Mei lepas.

Ketika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, Wan Junaidi berkhidmat dalam portfolio undang-undang bermula 2021 hingga 2022.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat pada 2008 hingga 2013.