DOKTOR DAN BEKAS PENGETUA DISENARAI BAKAL CALON PAS MERLIMAU

Pas Melaka dijangka tidak ketandusan tokoh berwibawa untuk diletakkan sebagai calon dalam Pilihanraya Kecil Dun Merlimau. Antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon Pas di Merlimau ialah seorang doktor yang mempunyai klinik sendiri di Dun Merlimau.

Beliau seorang yang cukup dikenali dan disenangi oleh penduduk tempatan serta sering terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Bekas calon Pas sebelum ini ialah Mejar (B) Jasmee Tompang yang merupakan pimpinan Pas Kawasan Jasin.

Selain itu, seorang bekas pengetua perempuan yang pernah berkhidmat di beberapa buah sekolah di Dun Merlimau sebelum ini turut dicanang dan bakal dipertimbangkan sebagai calon.

Kedua -dua calon ini dijangka bakal memberikan saingan sengit serta imej positif kepada pengundi untuk merealisasikan impian Pas untuk menghantar wakil ke DUN Melaka.

sumber : Angkasanuri

MENGAPA POLIS MENGGANAS?

RIDWAN SHAMSUDIN-PAKATANDAILY.COM

Tunjuk perasaan menyokong rakyat Mesir menentang pemerintahan diktator Hosni Mubarak di hadapan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur, berakhir dengan penangkapan lebih 20 orang aktivis. Tunjuk perasaan yang asalnya aman dari masjid Asy-Syakirin berhampiran KLCC berakhir dengan keganasan polis memukul dan menahan penunjuk perasaan sebaik sahaja mereka mula bersurai.

Tunjuk perasaan yang dipimpin oleh beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dan NGO itu tiba di hadapan kedutaan Amerika Syarikat pada pukul 2.30 petang setelah berarak sejauh 2 kilometer dari KLCC

Polis cuba menghalang perarakan di jalan masuk masjid. Namun kekentalan semangat Unit Amal PAS menyebabkan para penunjuk perasaan berjaya bergerak ke hadapan Kedutaan Amerika.

Kira-kira 3,000 orang berhimpun di hadapan bangunan kedutaan mendengar ucapan dari beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat dan beberapa orang yang mewakili rakyat Mesir.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam ucapannya membidas rejim kuku besi Mubarak yang tidak mengindahkan desakan rakyat agar berundur hingga menyebabkan lebih 140 orang rakyat Mesir telah terbunuh.

“Kami berkumpul hari ini untuk menunjukkan soladiriti rakyat Malaysia kepada kawan-kawan kami di Mesir. Mereka telah tertindas sejak sekian lama. Mereka tiada pilihanraya yang bebas dan kini mereka bangkit melawan.

“Kita salut dengan kawan-kawan di Mesir kerana mereka berani menghadapi rejim yang zalim untuk mendapatkan kebebasan,” ucapnya.

Wakil pelajar Malaysia di Mesir, Ustaz Farhan yang juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Di Mesir turut mengecam kerajaan Mesir dan kerajaan Malaysia yang tidak bertanggungjawab dalam melakukan pemindahan penuntut Malaysia di negara bergolak itu.

Polis cuba menahan seorang peserta tunjuk perasaan


“Kita rasa sama-sama keperitan kawan-kawan di Mesir . Semalam Mubarak telah berbohong di media mengatakan keganasan menyebabkan 16 orang terbunuh yang disebabkan militia adalah perancangan Ikhwal Muslimin ( parti pembangkang).

“Mubarak bacul, di sini juga sama. Ada 11 ribu rakyat Malaysia yang kerajaan kata akan bawa pulang dengan bantuan kerajaan. Tetapi bantuan yang diberi hanyalah pengangkutan dari Mesir ke Jeddah, Arab Saudi. Sedangkan dari Jeddah ke Malaysia mereka kena guna duit sendiri,” bidasnya disambut laungan ‘Down Mubarak’.

Manakala wakil dari PKR Badrul Hisham Shaharin meminta kerajaan Malaysia mengambil iktibar apa yang berlaku di Mesir dan jangan terus menekan rakyat.

“Di Tunisia diktatornya lari menyelamatkan diri. Wahai pihak berkuasa di Malaysia, kamu boleh jaga kerajaan . Tetapi apabila sampai kuasa rakyat, rakyat akan bangkit.

“Di Mesir tentera dan polis sebahagiannya di belakang rakyat. Di Malaysia pun perkara ini boleh terjadi,” katanya.

Sementara Naib Presiden PAS Sallehudin Ayub mengecam Mesir yang menjadi talibarut Amerika Syarikat dan Israel. Juga mengecam Amerika yang memberi dana sehingga 1 bilion dollar membantu rejim Mubarak.

Tunjuk perasaan berakhir jam 2.45 petang. Bagaimanapun ketika kumpulan terakhir berarak untuk bersurai berhampiran bangunan Tabung Haji mereka terhalang oleh barisan FRU yang berkawal. Apabila semakin ramai penunjuk perasaan melepasi FRU, terjadi provokasi dari kedua-dua belah pihak. Lantas pasukan polis bertindak memukul dan menahan seorang pemuda.

Pergelutan antara penunjuk perasaan dan FRU itu mengakibatkan seorang peserta demonstrasi cedera di kepala. Beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat yang cuba meleraikan keadaan juga turut dikasari polis. Seorang anggota Unit Amal PAS cuba ditahan polis dan berlaku lebih banyak pergelutan serta semburan gas serbuk lada.

Penunjuk perasaan akhirnya berundur ke Bangunan Tabung Haji. Mereka bersurai secara beransur-ansur namun polis masih menghadang jalan dan mengepung bangunan berkenaan. Penunjuk perasaan berjumpul di hadapan bangunan dan membeli minuman serta makanan ringan.

Bagaimanapun pihak polis masih menuntut mereka bersurai biarpun tidak lagi menunjuk perasaan. Pada jam 3.10 petang,tiba-tiba trak meriam air FRU menyembur air kimia ke arah orang ramai yang berkumpul di Bangunan Tabung Haji termasuk ke arah beberapa orang penjaja dan orang ramai yang sedang makan.

Tindakan itu menyebabkan saki-baki penunjuk perasaan marah dan melakukan provokasi terhadap polis. Kira-kira 40 orang polis kemudiannya mengejar penunjuk perasaan hingga ke dalam bangunan tabung haji.

Mengulas kejadian itu, ADUN Batu Buruk Dr Syed Azman Ahmad Nawawi yang berada di bangunan Tabung Haji mempertikaikan kekerasan melampau yang ditunjukkan pihak polis dalam tunjuk perasaan aman.

“Ini satu tindakan yang biadap. Kita berhimpun secara aman. Polis bertindak ganas menggempur para peserta perhimpunan. Ini sesuatu yang malang dalam negara demokrasi. Rakyat melihat semua (kekasaran) ini,” katanya.

VIDEO DEMONTRASI