Umno terdesak, ganggu ceramah PAS

Umno terdesak, ganggu ceramah PAS

TEMERLOH: Umno disifatkan makin terdesak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau apabila bertindak mengganggu ceramah PAS setelah ceramah dianjurkan parti itu tidak mendapat sambutan.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad, berkata sudah dua malam berturut-turut ceramah anjuran PAS di Jengka 23 telah diganggu oleh pihak parti tersebut.

“Malam kelmarin semasa ceramah Mohd Sabu, markas Umno yang berada tidak berapa jauh dari kawasan PAS telah memasang lagu dan berkaraoke sekuat-kuatnya sehingga mengganggu kira-kira seribu pendengar yang hadir.

“Malam tadi ceramah Bob Lokman yang dihadiri kira-kira seribu orang pula diganggu oleh tidak kurang 10 orang pemuda yang bermotosikal dengan membuat bising di kawasan ceramah yang mendapat permit polis.

“Saya difahamkan di markas mereka juga ada satu ceramah oleh pemimpin Umno, tapi oleh kerana kurang mendapat sambutan berbanding program PAS, mereka arahkan anak muda datang mengganggu,” ujarnya.

Menurut Suhaimi, selepas beberapa pemuda PAS menghampiri penonggang motosikal berkenaan, mereka pun lari dan kemudian datang lagi mengganggu.

Dun Kerdau mempunyai 13 pusat mengundi termasuk tiga kawasan Felda. Pemuda PAS Pahang menjadikan Jengka 23 sebagai pusat operasinya.

Tambah Suhaimi, selama ini tema kempen oleh calon PAS ialah berkasih sayang dan menolak provokasi dengan demikian diambil kesempatan oleh kem Umno untuk menimbulkan provokasi dan suasana yang tidak selesa kepada penyokong PAS.

“Kita masih punya beberapa hari lagi untuk berkempen dan saya harap pihak berkuasa tidak berdiam diri kerana kita tidak mahu berlaku suasana yang tidak harmoni atau ekkecohan dalam kempen pilihan raya ini,” katanya kepada Harakahdaily.

PKR Dedah Kemasukan Undi Pos Besar-Besaran Di DUN Perak

PKR Dedah Kemasukan Undi Pos Besar-Besaran Di DUN Perak
Ditulis oleh Ezli
01/03/2011


PETALING JAYA 1 MAC : Parti Keadilan Rakyat mendedahkan kemasukan pengundi pos besar-besaran di kawasan-kawasan DUN di Perak pada tahun 2010, kata Timbalan Pengarah Pilihanrayanya Chan Ming Kai di sidang media mingguan parti itu hari ini di sini.

Menurut Chan Ming di DUN Pangkor yang diwakili Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menerima kemasukan 5,669 pengundi pos berbanding hanya 368 yang keluar pada 2010. Bilangan pengundi pos kini mencapai hampir separuh daripada jumlah 26,000 pengundi di DUN Pangkor.

"DUN Pangkor adalah sebahagian daripada Parlimen Lumut. Keadilan tewas hanya 298 undi di Parlimen Lumut kepada calon MCA-BN pada Pilihan Raya Umum 2008," katanya.

Ming Kai juga menjangkakan Umno akan memberikan tumpuan untuk menambah pengundi pos di DUN Sungai Rapat yang diwakili oleh Exco Kanan Hamidah Osman yang hanya menang tipis 636 undi dengan calon PAS. Pada 2010 sebanyak 248 pengundi pos masuk ke DUN Sungai Rapat.

"Usaha ini jelas untuk memberi manfaat kepada UMNO. Kawasan-kawasan majoriti Cina seperti Canning Garden yang juga mempunyai kem tentera tidak pula melihat pertambahan undi pos," katanya.

Ming Kai khuatir wujud penyalahgunaan undi pos dan meminta SPR serta pihak Kementerian Pertahanan menjelaskan perkembangan ini.

Fitnah 2 : Bahan Bukti Diperolehi Secara Tidak Adil, Kata Peguam

Fitnah 2 : Bahan Bukti Diperolehi Secara Tidak Adil, Kata Peguam
Ditulis oleh Hadri Yaziz
01/03/2011 Share


KUALA LUMPUR 1 MAC: Peguam Karpal Singh meminta mahkamah menangguhkan prosiding kes fitnah 2, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini untuk memberi ruang permohonan menggugurkan bahan bukti yang diperoleh secara tidak adil.

Bahan terbabit iaitu, tuala muka 'Good Morning', berus gigi, sehelai rambut dan botol air mineral.

"Kaedah tidak adil dalam memperolehi bahan bukti. Kami mahu masa untuk membuat permohonan esok pagi," ujar beliau.

Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah membenarkan perbicaraan ditangguh esok.

PKR juga dakwa BN ciplak Buku Jingga Pakatan raih undi Kerdau, Merlimau

PKR juga dakwa BN ciplak Buku Jingga Pakatan raih undi Kerdau, Merlimau

March 01, 2011

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mendakwa pengumuman terbaru pimpinan Barisan Nasional (BN) tentang insentif Tawaran Baru untuk guru dan pembayaran “CESS” untuk peneroka Felda menunjukkan bahawa BN terus menciplak dasar-dasar daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Awal tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Buku Jingga Pakatan adalah tindakan populis dan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun menurut Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar), pihaknya dimaklumkan bahawa Najib telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi untuk meneliti secara halus cadangan Buku Jingga sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

“Justeru kita melihat bagaimana BN melaksanakan satu demi satu dasar-dasar yang menyerupai cadangan Buku Jingga. Ini termasuklah pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tawaran Baru untuk guru yang diumumkan semalam oleh Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno dan Menteri Pelajaran di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta.

Menerusi Buku Jingga, Pakatan Rakyat telah mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru menjelang 100 hari pertama pentadbiran kerajaan persekutuan perikatan itu dalam usaha menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

“Di Kerdau pula Najib mengumumkan bayaran CESS yang selama ini disekat daripada dituntut oleh peneroka Felda boleh dituntut menerusi tiga pilihan,” kata Nik Nazmi.

Bayaran CESS adalah wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula dan telah disekat apabila peneroka bertukar ke kelapa sawit pada 2004.

Bayaran sebanyak RM5,000 dibuat pada pilihan raya umum 2008 tetapi Felda masih berhutang RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka terbabit.

Nik Nazmi yang Adun Serin Setia, Selangor berkata, Pakatan Rakyat telah mengumumkan bahawa Felda Plantations akan dibubarkan dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama penempatan itu.

“Malang sekali ketika Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap, beliau tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

“Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga,” katanya.