PKR juga dakwa BN ciplak Buku Jingga Pakatan raih undi Kerdau, Merlimau

PKR juga dakwa BN ciplak Buku Jingga Pakatan raih undi Kerdau, Merlimau

March 01, 2011

KUALA LUMPUR, 1 Mac — Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mendakwa pengumuman terbaru pimpinan Barisan Nasional (BN) tentang insentif Tawaran Baru untuk guru dan pembayaran “CESS” untuk peneroka Felda menunjukkan bahawa BN terus menciplak dasar-dasar daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat.

Awal tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Buku Jingga Pakatan adalah tindakan populis dan tidak bertanggungjawab.

Bagaimanapun menurut Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar), pihaknya dimaklumkan bahawa Najib telah mengarahkan Unit Perancang Ekonomi untuk meneliti secara halus cadangan Buku Jingga sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

“Justeru kita melihat bagaimana BN melaksanakan satu demi satu dasar-dasar yang menyerupai cadangan Buku Jingga. Ini termasuklah pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Tawaran Baru untuk guru yang diumumkan semalam oleh Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno dan Menteri Pelajaran di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta.

Menerusi Buku Jingga, Pakatan Rakyat telah mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru menjelang 100 hari pertama pentadbiran kerajaan persekutuan perikatan itu dalam usaha menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

“Di Kerdau pula Najib mengumumkan bayaran CESS yang selama ini disekat daripada dituntut oleh peneroka Felda boleh dituntut menerusi tiga pilihan,” kata Nik Nazmi.

Bayaran CESS adalah wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula dan telah disekat apabila peneroka bertukar ke kelapa sawit pada 2004.

Bayaran sebanyak RM5,000 dibuat pada pilihan raya umum 2008 tetapi Felda masih berhutang RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka terbabit.

Nik Nazmi yang Adun Serin Setia, Selangor berkata, Pakatan Rakyat telah mengumumkan bahawa Felda Plantations akan dibubarkan dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama penempatan itu.

“Malang sekali ketika Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap, beliau tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

“Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga,” katanya.

No comments: