Hadi ni nak tunjuk dia paling hebat, pasal tu tax dan taxi pun tak boleh beza

FITO BERITA: Majlis Perasmian Konvensyen MAHA 2026 yang disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz Haji Omar di Dewan Mesmera, Hotel Everly, Putrajaya. 5hb September 2026 (Sabtu)

Pemodenan sektor agromakanan negara tidak boleh bergantung kepada penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Kebendaan (IoT) semata-mata, sebaliknya perlu disertai perubahan mentaliti dalam kalangan pengusaha pertanian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perubahan pemikiran penting bagi memastikan sektor berkenaan mampu berkembang lebih kukuh serta menjamin bekalan makanan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
“Kita kalau ada alat-alat moden, IoT, AI, tapi kalau mental tidak berubah, tidak berani menceburkan diri dan tidak berani berusaha untuk meningkatkan keupayaan kita, maka AI dan IoT tidak dapat mengubah keadaan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen MAHA 2026 di Dewan Mesmera, Hotel Everly, Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Dato’ Wira Haji Mahfuz Haji Omar serta kepimpinan tertinggi jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Menurut Mohamad, penyertaan kira-kira 200 peserta yang mewakili pengusaha agromakanan dari seluruh negara menunjukkan komitmen bersama untuk memodenkan sektor tersebut demi masa depan keterjaminan makanan negara.

Dalam pada itu, beliau mengakui tahap sara diri (SSR) beras negara yang masih berada di bawah 60 peratus perlu diberi perhatian serius, dengan usaha perlu dipertingkatkan bagi mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus.

Katanya, beras merupakan makanan ruji utama rakyat dan tahap kebergantungan yang terlalu tinggi kepada sumber luar boleh mendedahkan negara kepada tekanan sekiranya berlaku gangguan bekalan.

Mohamad berkata, perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik global serta peningkatan kos input pertanian turut menuntut sektor agromakanan beralih daripada kaedah berintensifkan buruh kepada pendekatan dipacu teknologi.

Sehubungan itu, Konvensyen MAHA 2026 mengangkat tema “Pemodenan Pertanian Demi Keterjaminan Makanan” bagi memperkukuh usaha membawa sektor pertanian negara ke tahap lebih moden, produktif dan berdaya tahan.

Turut hadir Pengerusi LKIM Ybhg Muhamad Faiz Fadzil, Pengerusi KADA Tuan Haj. Khalid Samad, Muhammad Faris Pengurus Besar NAFAS, Ketua Sekretariat MAHA, Datuk Wira Dr Mohd Hanif Hassan; Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin; ketua jabatan dan agensi serta pegawai kanan peringkat Persekutuan dan negeri.



