Alhamdulillah pagi tadi bersama keluarga besar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta para pesawah, petani, peladang, nelayan dan pengusaha di MAHA 2026.
Sambutan luar biasa terhadap MAHA membuktikan bahawa pertanian kekal sebagai tonggak penting negara. Tatkala dunia berbicara tentang kecerdasan buatan, transformasi digital dan peralihan tenaga, kita mesti berani menggapai di langit, namun tetap mengakar ke bumi.
Peningkatan eksport nanas dan berkembangnya pengeluaran bawang tempatan membuktikan kejayaan penggunaan teknologi dalam memacu hasil pertanian negara. Justeru, Kerajaan MADANI akan terus memberi keutamaan kepada sektor pertanian, termasuk dalam Belanjawan Negara akan datang.
Dengan potensi yang begitu besar, saya tidak teragak-agak untuk menyokong penambahan peruntukan yang memberi manfaat langsung kepada warga tani. Namun, setiap ringgit wang rakyat mesti diurus dengan cermat dan penuh amanah.
Tatakelola tidak hanya melibatkan orang atasan. Apabila berlaku kebocoran, ketirisan atau salah guna kuasa, yang akhirnya terdera dan menanggung derita adalah petani, pesawah dan nelayan. Kerana itu saya tekad untuk meneruskan usaha membersihkan negara daripada segala kecurangan.
FELDA misalnya menjadi peringatan yang jelas. Institusi yang kita banggakan sebagai antara perusahaan perladangan terbesar dunia kini memerlukan hampir RM1 bilion setahun daripada Kerajaan untuk menanggung hutang akibat kelemahan pengurusan dan penyelewengan terdahulu. Saya tidak sanggup membebankan hutang ini di atas bahu para peneroka yang telah meredah belantara dan membanting tulang, sedangkan mereka bukan punca kerugian tersebut.
Amanah dan pertanggungjawaban inilah yang mesti diteruskan selepas MAHA 2026 melabuhkan tirai. Setiap pelaburan, urus niaga dan kesepakatan yang dicapai harus disusuli dengan tindakan agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
Terima kasih kepada semua yang menjayakan edisi membanggakan dalam sejarah penganjuran MAHA ini.
#MalaysiaMADANI
#YakinMADANI

















No comments:
Post a Comment