Apa yang dibuat Arul Kanda sampai dibayar sehingga RM5 juta?


Beberapa hari lepas , Dewan Rakyat sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tentang bayaran berjumlah RM5 juta untuk mantan presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy untuk ‘perkhidmatan’ beliau sepanjang Januari hingga Jun lalu.
Untuk tempoh ‘perkhidmatan’ enam bulan terbabit, RM2.5 juta sudah pun dibayar, manakala bakinya ditahan apabila kontraknya dibatalkan pada 28 Jun 2018.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, turut mendedahkan bagaimana kontrak terbabit diluluskan sendiri oleh mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ditandatangani oleh mantan ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar.
Lanjutan kepada pendedahan terbabit yang menyebabkan bekas-bekas menteri Barisan Nasional terduduk dan bungkam di Dewan Rakyat; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua hari ini mempersoal apa sebenarnya pencapaian si Arul Kanda ini sehingga dibayar begitu mahal untuk tempoh bekerja sekadar enam bulan?
Ketika masih digaji di bawah kontrak ini, Arul Kanda turut diusung jentera Barisan Nasional ke sana ke mari untuk berceramah memberi penerangan tentang skandal 1MDB, mengikut naratif beliau sendiri; termasuk ketika tempoh kempen Pilihanraya Umum ke-14.
Arul malah memberanikan diri berceramah di Lucky Garden, Bangsar; di hadapan khalayak yang melontarkan pelbagai persoalan tanpa memberikan sebarang jawapan bagi memuaskan hati penduduk Bangsar yang rata-rata sangat bermaklumat dan mempunyai latar ekonomi serta sosial yang bertaraf tinggi.
Mantan perdana menteri sebelum ini, setelah mengakui bahawa 1MDB telah mengumpul keterhutangan sebanyak RM50 bilion menyatakan bahawa Arul berjaya mengurangkan hutang tersebut sehingga RM30 bilion.
Namun Tony kemudiannya mempersoalkan bagaimana sebenarnya hutang terbabit berjaya dikurangkan sehingga Arul layak menerima bayaran sehingga RM5 juta untuk enam bulan kerja?
“Perkara pertama yang dibuat Arul Kanda ialah melupuskan satu-satunya aset 1MDB yang membawa keuntungan, loji janakuasanya untuk RM9.83 bilion. Pun begitu, seperti yang berkali-kali dinyatakan, perniagaan janakuasa 1MDB itu diperolehi pada harga RM12.2 bilion.
“Ini bererti penjualan aset tersebut menghasilkan kerugian sebanyak RM2.27 bilion untuk 1MDB,” ujar Tony dalam kenyataan hari ini.
Itu katanya belum lagi mengambil kira idea hebat Arul Kanda memindah hakmilik aset hartanah 1MDB kepada Kementerian Kewangan.
“Namun apa yang tidak diakui oleh Arul ialah, beliau bukan sahaja memindahkan hartanah Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia kepada Kementerian, tetapi bersekali dengan sukuk bernulai RM2.4 bilion serta pinjaman berjumlah RM800 juta daripada Perkeso.
“Cerdiknya Arul Kanda mengurangkan hutang 1MDB sebanyak RM3.2 bilion lagi,” ujarnya sinis.
Arul juga katanya telah mengelirukan orang ramai apabila mengumumkan bahawa 1MDB telah berjaya melangsaikan hutang-hutang sebanyak RM7 bilion, padahal hakikatnya Kementerian Kewangan lah yang melunaskan bayaran-bayaran tersebut secara terpaksa.
Ketika mantan anggota kabinet ditanya oleh Menteri Kewangan di Parlimen tentang pembayaran RM7 bilion itu, rata-rata mereka terdiam membisu. 

PEMILIHAN PKR: AZMIN HADAPI UJIAN GETIR DITENTANG KEM RAFIZI

BARUA: ‘BUKAN BAHASA SAYA. JANGAN BIKIN MALU’ – ANWAR

DR WAN AZIZAH NAFI AUDIO RAKAMAN SUARA ANWAR