FELDA GLOBAL VENTURE RUGI



LA LUMPUR, 26 Mac: PAS hari ini mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa pelaburan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) di luar negara mengalami kerugian.

Bukti tersebut diperoleh daripada laporan audit FGVNA sehingga 31 Disember 2010.

Pakar ekonomi PAS, Dr Rosli Yaakop berkata, syarikat pegangan pelaburan, Felda Global Ventures North America Sdn. Bhd. (FGVNA) mencatat kerugian sebanyak RM27,576,023 pada 31 Disember 2010 berbanding keuntungan sebanyak RM44,832,558 pada 31 Disember 2009.

Katanya, kerugian itu akibat anak-anak syarikat miliknya di Amerika Utara gagal membayar balik pinjaman yang diberikan sebanyak RM48,173,488.

"Felda telah melabur dana melebihi RM1,000,000,000 di dalam Twin Rivers Technologies Holdings Inc (TRTH) dan anak-anak syarikatnya di Amerika dan Kanada sejak Oktober 2007.

"Berdasarkan dua pengukur prestasi iaitu syarikat rugi dan pinjaman yang diberikan kepada anak-anak syarikat gagal dibayar balik mengikut terma yang dipersetujui dan ini membayangkan prestasi syarikat bermasalah," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Rosli juga mempersoal tujuan FGVNA membeli saham TRTH pada harga RM1,567.50 sesaham.

"Kenapa Felda memilih untuk membeli 97 peratus milikan dalam TRTH walhal ia adalah pemain baru dalam bidang oleochemicals yang ditubuhkan pada 1994 dan TRTH bukannya market leader dalam bidang ini?" soalnya yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Selain itu katanya, pelaburan yang dibuat FGVNA di Amerika Utara iaitu Amerika syarikat dan Kanada amat besar iaitu berjumlah RM1,255,263,942.

"Apakah pulangan tahun yang diharapkan daripada pelaburan ini? Apakah manfaat kepada peneroka-peneroka Felda daripada pelaburan ini?" soalnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub terus meminta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberi penjelasan berhubung kemerosotan tunai Felda daripada 4.5 bilion pada 2001 kepada 1.2 bilion pada 2005.

"Felda telah ada ibu pejabat tapi beli lagi pejabat di KLCC berharga RM600 juta lebih.

"RM235 bilion dibayar sebelum pembinaanya. Adakah ia dirujuk kepada ahli lembaga pengarah Felda dan adakah pejabat ini yang diperlukan peneroka?

"Datuk Ahmad Maslan kata semuanya untung, tak ada rugi," katanya.

Lynas: Alam digadaikan untuk keuntungan yang tidak seberapa...

Lynas dan pihak pembuat dasar bermain dengan angka sebermulanya, untuk mengaburi isu dengan kenyataan palsu yang seolah-olah benar bunyinya. Lynas dan kerajaan mendakwa bahawa kilang pemprosesan nadir bumi yang terbesar di dunia ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan. Namun, angka menunjukkan bahawa jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh sesebuah kilang yang menghasilkan buangan radioaktif adalah sama dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan sesebuah hypermarket.

Menurut maklumat yang diberikan Lynas, bilangan pekerja yang diupah kilang nadir bumi di Kuantan adalah antara 350 hingga 400 orang (angka tepat adalah 236 orang sehingga Disember 2011)(2). Apakah angka ini cukup besar? Cuba bandingkan dengan hypermarket seperti TESCO. TESCO mempunyai rangkaian sebanyak 40 unit di Malaysia, dengan jumlah 15,000 orang pekerja, atau purata 375 orang per unit (3).

Mereka yang menyokong Lynas akan menyanggah dengan hujah, "Kita perlu lihat dalam kerangka yang lebih luas. Seandainya kita mempunyai kilang pemprosesan nadir bumi, maka kita mampu menarik kilang multinasional yang memerlukan nadir bumi ke Malaysia. Jadi, lebih banyaklah peluang pekerjaan diwujudkan." Hujah sedemikianlah antara penekanan Lynas dan kerajaan Malaysia ketika berdepan dengan rakyat.

Keadaan di China

Pasaran bekalan nadir bumi di dunia hampir dimonopoli China sejak 10 atau 20 tahun kebelakangan. Kerajaan China mulai menyekat eksport nadir bumi dengan kuota sejak tahun 2003. Seterusnya kerajaan China mengenakan export tariff sebanyak 10% kepada semua nadir bumi, agar harga nadir bumi di China lebih rendah daripada nadir bumi di luar negara.

Pada tahun 2008, sekali lagi kerajaan China meningkatkan export tariff kepada 15-25% mengikut jenis nadir bumi. Langkah ini telah menyebabkan kekurangan nadir bumi di luar sempadan China, menjurus kepada lonjakan harga yang mendadak. Pada tahun 2010, hasil nadir bumi China mencakupi 97% (130 ribu ton) dari hasil dunia, dan kuota eksportnya hanya 30 ribu ton (1). Dengan kata lain, kira-kira 75% nadir bumi di dunia yang berharga rendah hanya boleh didapati di dalam sempadan China (melainkan penyeludupan haram).

Di bawah dasar ini, syarikat multinasional yang memerlukan nadir bumi terpaksa membina kilangnya di China. Cara ini lebih ekonomik (menjimatkan kos), nadir bumi ditambah proses untuk menghasilkan produk, dan kemudiannya dieksport dari China.

Mampukah Malaysia meniru China?

Namun, apakah kerajaan Malaysia juga boleh meniru langkah China, mengenakan kuota terhadap nadir bumi untuk menarik pelabur asing? Jawapannya mustahil. Ini kerana nadir bumi yang dihasilkan di Kuantan adalah milikan peribadi syarikat Lynas. Kerajaan Malaysia tidak mempunyai hak milikan ke atas nadir bumi itu. Kerajaan Malaysia tidak boleh memaksa Lynas untuk menjual nadir buminya di dalam sempadan Malaysia.

Menurut laporan pelabur Lynas pada Mei 2011 (4), Lynas telah menandatangani lapan kontrak bekalan nadir bumi dengan Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun untuk jangka panjang (10 tahun). Lihat sahaja kontrak "strategic alliance"-nya bersama Sojitz, pengedar nadir bumi terbesar Jepun telah menyatakan, lebih 38% nadir bumi (sekurang-kurangnya 8,500 ton setiap tahun) akan dieksport secara terus ke Jepun. Ditambah lagi kontrak lain yang selebihnya, Malaysia hanyalah sebagai "distribution hub" untuk Lynas.

Malah, walaupun projek joint-venture Lynas dengan Siemens yang sering ditekankan oleh kerajaan Malaysia, ia hanya sekadar pada peringkat letter of intent. Setakat ini tiada janji dalam hitam putih mahupun lisan bahawa pelaburan ini akan berpengkalan di Malaysia. Jadi, adalah terlalu awal untuk menyebut projek pelaburan Siemens ini sekarang.

Selain itu, laman sosial Facebool Lynas (5) menyatakan bahawa satu kontrak bernilai RM1.2 bilion akan diperuntukkan untuk Malaysia, apabila mereka membina kilangnya di Kuantan. Projek bernilai RM513 juta diberikan kepada kontraktor di Kuantan.

Perlu diingatkan, bahawa Kuantan telah menampung buangan nadir bumi oleh Lynas. Sebaliknya, Thailand telah mendapat "durian runtuh" yang lebih besar dari Kuantan. Dalam laporan kewangan tahunan Lynas pada 2011 (6), projek pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi fasa kedua di Kuantan telah diberikan kepada satu syarikat Thailand, Toya-Thai Corporation, dengan nilai antara USD 180 - 210 juta, atau kira-kira RM630 juta.

Industri yang tinggi tahap pencemarannya


Pada awal tahun 2007, ketika Lynas memberi kepastian untuk membina kilangnya di Kemaman, MIDA (Malaysia Industrial Development Authority) telah memberikan "strategic pioneer status" kepada Lynas. Dengan kata lain, Lynas dikecualikan daripada membayar cukai korporat untuk 10 tahun, malah dikecualikan juga duti import dan sales tax untuk semua bahan mentah, mesin, peralatan, aksesori dan sebagainya yang digunakan untuk pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi. (7)

Pada Ogos 2007, Lynas bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan Malaysia agar projek ini dipindah dari Terengganu ke kawasan industri Gebeng, Kuantan. Sebagai pampasan lantaran penangguhan yang disebabkan perpindahan tersebut, Menteri Kewangan Malaysia telah meluluskan package insentif yang baru. Pengecualian cukai korporat dilanjutkan dari 10 tahun kepada 12 tahun. Stamp duty untuk pembelian tanah di Gebeng turut dikecualikan. Malah, Lynas memperolehi dana yang tidak melebihi RM1.2 juta untuk tiga tahun, sebagai tabung latihan pekerja Malaysia (8).

Pelaburan Lynas adalah satu pelaburan berisiko tinggi kerana mengancam keselamatan alam sekitar. Bukan sahaja kerajaan kita tidak mengenakan cukai yang tinggi sebagai pampasan terhadap pencemaran alam yang diakibatkannya, malah diberi pula package insentif sebagai galakan.

Mengapa kerajaan kita sanggup berbuat demikian? Apakah sumbangan 1% GDP itu boleh membeli kesihatan ratusan ribu orang penduduk di Kuantan? Apakah kerajaan kita benar mahu menilai kesihatan rakyat dan keselamatan alam dengan wang ringgit?

Negeri Pahang pada asalnya sebuah negeri yang bersih, dengan hutan tropikal dan pantai yang indah. Kini, kerajaan kita sanggup menggadaikan segala-galanya demi keuntungan yang dinilai wang ringgit.

Anak cucu kita telah menanggung malapetaka lantaran kejadian Bukit Merah 20 tahun yang lalu. Mengapa tidak kita mengambil iktibar dari sejarah? Mengapa perlu kita mengulangi kesilapan yang lalu? Kini kerajaan kita membuka pintu untuk Lynas - apakah ini kejahilan, berpandangan pendek, atau langsung tidak mengendahkan kepentingan rakyat?

Rujukan

1.http://www.fas.org/sgp/crs/natsec/R41347.pdf
2.Q4_2011_Quarterly_Report_clean_copy_V4_1071982.pdf (m/s 6)
3 http://www.tesco.com.my
4 Investor_Presentation_May_2011.pdf
5 https://www.facebook.com/lynasmalaysia
6 financial_report_FY11_1023856.pdf (m/s11)
7 Q1 March 2007 Quarterly Activities Report 2007 - 449993.pdf
8 Q4_2007_Final_Version_Revised_1.2.08.pdf (m/s 4)

Baca: Mustahil sisa buangan Lynas dipulangkan ke Australia

*Tan Sek Choong memiliki Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia. Dsedut, diiterjemah dan disunting dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

Pelaburan Industri Selangor Tertinggi


SHAH ALAM, 26 MAC: Tuduhan pembangkang BN bahawa jumlah pelaburan perindustrian Negeri Selangor jatuh setelah Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 disanggah Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor hari ini.

“Sebagai rumusan saya ingin memberitahu ahli-ahli yang berhormat di dewan yang mulia ini bahawa Negeri Selangor mencapai jumlah projek, peluang pekerjaan dan pelaburan perindustrian paling tinggi di seluruh Malaysia.

“Tidak seperti apa yang dituduh ahli-ahli YB pembangkang bahawa pelaburan di Selangor telah pun jatuh selepas Pakatan menjadi kerajaan di Selangor,” ujar beliau.

Jumlah projek perkilangan yang diluluskan oleh Malaysia Investment Development Authority (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Selangor dari 2008 hingga 2011 sebanyak 1,168 projek dengan peluang pekerjaan sebanyak 100,348.

Negeri Selangor turut berjaya merekodkan jumlah pelaburan tempatan yang bernilai RM15.61 juta dan pelaburan antarabangsa sebanyak RM22.39 juta dalam tempoh yang sama.

Teresa turut memberitahu persidangan DUN bahawa Negeri Selangor telah menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan pada 2011.

“Daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan di Malaysia iaitu sebanyak RM56,806 bilion, sebanyak RM8,741 bilion iaitu 15.3 peratus daripada jumlah modal yang diluluskan oleh MIDA dan MITI di Malaysia adalah di negeri Selangor.

“Selangor mencatatkan jumlah pelaburan di tempat kedua tertinggi selepas Pulau Pinang yang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM9.106 bilion daripada 109 projek perkilangan yang diluluskan,” katanya lagi.

Halimah Ali: “Saya Merempat, Tumpang Pejabat Orang”

SHAH ALAM, 26 MAC: Tuduhan Adun Gombak Setia, Dato Dr Hassan Ali yang mendakwa Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali telah melakukan pengubahsuaian ke atas pejabatnya disangkal hari ini.

Menurut Dr Halimah, pejabat yang diduduki pada masa ini merupakan pejabat yang ditumpanginya semenjak beliau dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

“Pejabat sendiri pun tak ada. Saya cuma merempat, tumpang pejabat orang sahaja di sebelah Pejabat Kewangan,” kata beliau ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Halimah turut mempelawa wartawan melawat pejabatnya sebagai membuktikan bahawa dakwaan Hassan Ali adalah satu tuduhan liar semata-mata.

“Ini mesti tak pernah datang pejabat saya, esok boleh datang supaya boleh tengok sediri pejabat saya.

“Memang tiada ubahsuai apa pun di pejabat itu. Saya jemput semua datang ke pejabat saya dan jangan lupa bawa kamera sekali,” katanya lagi.

Sementara itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin, Dr Xavier Jayakumar turut menyangkal tuduhan Hassan yang mendakwa beliau menggunakan peruntukan yang tinggi untuk melakukan pengubahsuaian pejabat.

“Saya memang ada buat ubahsuai pejabat, tetapi cuma tukar karpet dan tambah ‘partion’, itu sahaja.

“Anda fikir dengan pengubahsuaian yang saya sebut tadi tu boleh cecah RM300,000 tak?

“Tentulah kos ubah suai yang saya sebut tadi jauh lebih rendah dari RM300,000.

“Esok saya akan berikan detail kos pengubahsuaian pejabat saya, cuma sekarang saya boleh jamin kos ubah suai pejabat saya cuma memakan kos yang rendah sahaja,” ujar beliau.

Adun Bulit Antarabangsa, Azmin Ali minggu lalu mendedahkan bekas pesuruhjaya PAS itu ketika menjadi Exco telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM300,000 untuk mengubahsuai pejabatnya ketika mula menjadi exco.