Pelaburan Industri Selangor Tertinggi


SHAH ALAM, 26 MAC: Tuduhan pembangkang BN bahawa jumlah pelaburan perindustrian Negeri Selangor jatuh setelah Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 disanggah Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor hari ini.

“Sebagai rumusan saya ingin memberitahu ahli-ahli yang berhormat di dewan yang mulia ini bahawa Negeri Selangor mencapai jumlah projek, peluang pekerjaan dan pelaburan perindustrian paling tinggi di seluruh Malaysia.

“Tidak seperti apa yang dituduh ahli-ahli YB pembangkang bahawa pelaburan di Selangor telah pun jatuh selepas Pakatan menjadi kerajaan di Selangor,” ujar beliau.

Jumlah projek perkilangan yang diluluskan oleh Malaysia Investment Development Authority (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Selangor dari 2008 hingga 2011 sebanyak 1,168 projek dengan peluang pekerjaan sebanyak 100,348.

Negeri Selangor turut berjaya merekodkan jumlah pelaburan tempatan yang bernilai RM15.61 juta dan pelaburan antarabangsa sebanyak RM22.39 juta dalam tempoh yang sama.

Teresa turut memberitahu persidangan DUN bahawa Negeri Selangor telah menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan pada 2011.

“Daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan di Malaysia iaitu sebanyak RM56,806 bilion, sebanyak RM8,741 bilion iaitu 15.3 peratus daripada jumlah modal yang diluluskan oleh MIDA dan MITI di Malaysia adalah di negeri Selangor.

“Selangor mencatatkan jumlah pelaburan di tempat kedua tertinggi selepas Pulau Pinang yang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM9.106 bilion daripada 109 projek perkilangan yang diluluskan,” katanya lagi.

No comments: