PETALING JAYA: Umno hari ini sudah bersifat seperti “perusahaan komersial”, berperangai tamak, selain prinsip akhlak hancur berkecai, kata pemimpin veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau berkata, Umno yang dirujuknya bukan parti diasaskan pada 1946, tetapi “Umno Baru” yang ditubuhkan susulan pembatalan pendaftaran parti itu pada 1988.
“Umno Baru menjadi parti kepada suatu golongan politik baru yang menyalahgunakannya untuk memperkaya diri. Ia mula bersifat seolah-olah seperti perusahaan komersial. Sekaligus ini merosakkan jiwa keMelayuan. Perangai tamak haloba mengatasi segala-galanya.
“Di samping itu prinsip akhlak hancur berkecai, begitu juga halnya dengan mutu kelakuan mereka yang cuba meraih jawatan awam dan kuasa politik,” kata Ahli Parlimen Gua Musang lebih dikenali sebagai Ku Li itu di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, politik dalam Umno baru menjurus kepada amalan tidak sihat yang memberi kesan kepada negara keseluruhannya.
“Amat menyedihkan apabila amalan politik kita berbaur menjadi rasuah politik di mana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti. Ini dilaksanakan dengan pengwujudan sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan berperingkat.
Katanya, negara kini berdepan masalah kepimpinan dan rakyat semakin resah mengenai nasib mereka.
“Masalah yang kita hadapi sekarang ialah sistem politik kita merosot dan mutu biasa-biasa sahaja dan tidak begitu baik semakin menonjol. Mereka yang terbaik kini kehilangan harapan dan yang paling teruk dan tidak berguna amat ghairah dengan lagak mereka untuk mendapat kuasa.
“Keadaan ini menyebabkan terdapatnya, sedikit-sebanyak, krisis kepimpinan. Dengan secara tidak langsung keadaan ini telah menimbulkan kecemasan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Ku Li berkata, “politik bertanggungjawab” adalah prasyarat dalam menegakkan pemerintahan dan demokrasi berperlembagaan.
Justeru, katanya “sistem politik berparti kita memerlukan transformasi dengan segera, tetapi kita kesuntukan masa.
Beliau menegaskan, Umno masih berpeluang menyatukan negara dalam pelbagai isu kerana mempunyai kekuatan tersendiri.
“Dengan kekuatan Umno di serata pelusuk termasuk luar bandar, pekan dan bandar raya, kita mungkin dapat mengamali politik baru sekiranya kita mampu mengatur kepimpinan di semua peringkat untuk menyatukan negara tersayang ini.
“Barang diingat Umno yang dimaksudkan itu ialah Umno yang hilang, tetapi kita berkemampuan mengembalikannya. Ini bukanlah persoalan undang-undang. Ia tidak pernah merupakan persoalan tersebut. Sebenarnya ia adalah persoalan politik walaupun ada yang cuba menyifatkannya sebagai persoalan undang-undang,” kata Ku Li.
Beliau turut menyatakan jiwanya masih setia bersama Umno yang ditubuhkan pada 1946.
“Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan Umno asal. Saya pernah bertanding jawatan presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau ‘agent of necessity’ untuk Umno yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat.
“Saya ini sebahagian asal daripada parti Umno di Parlimen dengan tujuan mengembalikan hak undang-undang dan keperlembagaan Umno dan membuat apa jua yang patut bagi mengembalikan kedudukannya di bidang politik nasional dan di dalam kepentingan nasional,” katanya.