Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menggesa kerajaan supaya mendedahkan jumlah sebenar pakej stimulus negara dan status Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang diumumkan Putrajaya baru-baru ini.
Ini kerana katanya, skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar adalah sumber daripada wang simpanan rakyat.
Ia sama sekali tiada kena mengena dengan peruntukan dikeluarkan oleh kerajaan.
“Apa yang menjadi persoalan, jumlah pakej-pakej yang diberikan adalah pakej keseluruhan nilai peruntukan yang dikira bersekali sama ada bantuan secara fiskal dan bukan fiskal.
“Sedangkan umum tahu bahawa skim pengeluaran KWSP seperti i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar bersumberkan duit simpanan rakyat sendiri dan tidak ada kena mengena dengan peruntukan dikeluarkan oleh kerajaan.
“Begitu juga dengan moratorium pinjaman, termasuk pinjaman peribadi, pinjaman kenderaan dan diskaun sewa premis atau rumah juga tidak bersumberkan peruntukan kewangan dikeluarkan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Salahuddin berkata dia merujuk pertanyaan lisan yang diajukan di Sidang Parlimen hari ini kepada menteri kewangan berkaitan pakej stimulus negara dan status bantuan prihatin yang diumumkan kerajaan.
Katanya, berdasarkan jawapan bertulis oleh Menteri Kewangan, sehingga 31 Ogos 2021 sejumlah RM249.98 bilion telah disalurkan melalui 8 pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan sekarang.
Oleh itu Salahuddin berharap menteri kewangan dan kerajaan tampil dengan memberi penjelasan mengenai perkara ini.
“Kita berharap, menteri kewangan dan kerajaan tampil dengan berani memberi penjelasan berapakah jumlah keseluruhan sebenar peruntukan dana yang telah dibelanjakan untuk pakej bantuan stimulus kepada rakyat.
“Berdasarkan bantuan tunai secara terus dengan dana-dana yang telah dikeluarkan sejak kerajaan PN lagi,” katanya.