Ambiga kepada IGP: Tentukan laluan, kami jamin himpun dengan aman

TERKINI @ 06:35:06 PM 30-06-2011
June 30, 2011

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Bersih telah meminta pihak polis sendiri mencadangkan satu laluan yang pihak berkuasa rasa sesuai untuk mereka mengadakan perarakan tanpa gangguan kepada sesiapa pun — perkembangan terbaru selepas pasukan keselamatan menahan lebih 100 orang setakat ini.

Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) berkata pasukan pemantau pilihan raya ini telah mengemukakan cadangan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dengan harapan PDRM akan bersikap terbuka dan bekerjasama dengan gabungan tersebut.

“Kami telah memberitahu mereka, pihak polis, sekarang anda pilih satu lokasi di Kuala Lumpur ke Taman Jaya, atau ke mana-mana,” kata beliau di pekarangan ibu pejabat polis di Bukit Aman petang ini.

“Anda pilih laluan, kami akan ikut. Dan, kami akan jalankan dengan aman,” katanya lagi.

Kata Ambiga, berdasarkan peruntukan undang-undang polis dikehendaki memberi perlindungan kepada mana-mana pihak yang mahu mengadakan perhimpunan dan pada masa yang sama boleh menahan mereka yang enggan berhimpunan secara aman.

Ambiga berkata Ismail tidak memberikan sebarang respons ke atas permintaannya itu ketika pertemuan yang “sangat mesra” tetapi menekankan, beliau masih yakin Bersih akan mendapat jawapan positif daripada beliau minggu depan.

“Ini akan diadakan dengan bantuan polis. Ini yang dikatakan sebagai positif... dan, saya mahu kekal positif sebab itulah yang terbaik bagi semua,” katanya lagi.

Bagaimanapun bekas pengerusi Majlis Peguam ini enggan mengatakan tindakan susulan jika polis tetap enggan membenarkan perarakan diadakan.

Katanya beliau akan memberikan komen apabila tiba masa yang sepatutnya.

Himpunan Bersih 2.0 dijadual untuk diadakan pada 9 Julai ini.

MP Gopeng Dan ADUN Simpang Pulai Sasaran Terbaru Baju Kuning




IPOH 30 JUN : Selepas 14 aktivis Bersih 2.0 termasuk beberapa pemimpin Pakatan Rakyat ditahan di Pasar Sungai Siput, Perak ketika mengedar bendera Malaysia semalam, hari ini ahli parlimen Gopeng dari PKR Lee Boon Chye dan ADUN Simpang Pulai Chan Ming Kai serta dua orang ahlinya pula ditahan.

Kesemua mereka ditangkap di sebuah pasar di Gunung Rapat kerana berpakaian kuning.

Lee Boon Chye mendakwa beliau ditangkap sebaik sahaja tiba di kawasan berkenaan bagi melawati penjaja Pasar Gunung Rapat sebelum dibawa ke Balai Polis Ipoh kira-kira jam 9 pagi tadi.

Sementara beberapa ahli PKR yang menyimpan baju T Bersih 2.0 didalam poket seluarnya juga turut disiasat dan ditahan pihak berkuasa itu dengan gari.
Bagaimanapun ketika berada dalam trak polis Lee Boon Chye sempat bersorak dan mempersoalkan bahawa inikah caranya Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) melayankan seorang ahli parlimen kerana hanya memakai baju T kuning untuk melawat kawasan pentadbirannya?
Malah beliau turut mengatakan kepada polis bahawa tindakan pihak berkuasa itu merupakan satu perbutaajenayah terhadap seorang yang tidak bersalah semata-mata hanya berpakai warna kuning?
”Polis lakukan jenayah dengan menangkap orang dan rakyat yang tidak bersalah…malulah PDRM," ujarnya ketika ditahan didalam trak polis.
Insiden itu turut disaksikan lebih 100 anggota polis dan pegawai yang berkumpul di sekitar kawasan pasar Gunung Rapat, Ipoh, pagi tadi.
Dalam pada itu, ADUN Tronoh V Sivakumar yang turut serta dalam sesi lawatan itu menyifatkan perbuatan ini terlalu zalim dan tidak sepatutnya seorang ahli parlimen diperlakukan sedemikian rupa.
Ujarnya lagi, beliau hairan apakah yang ditakutkan oleh polis dan kerajaan Umno-BN sekarang?

Soalnya, adakah Umno-BN takut dengan bersih ataupun warna kuning?

Katanya, ini kerana ketika Dr Lee Boon Chye ditahan beliau hanya memakai baju T berwarna kuning tanpa slogan Bersih.
"Mereka ada hak untuk berjumpa dengan rakyat di kawasan mereka. Tetapi sekarang saya tak faham apa yang ditakutkan dia (polis), bersih atau kuning saya pun tak tahulah," ujarnya.

"Saya rasa ini satu perkara yang betul-betul zalim berlaku dalam Negara kita. Saya tanya ketua jenayah Ipoh Mr Glenn mengapa tahan mereka? Dibawah undang-undang apa mereka ditahan? Tapi dia jawab, kita tak perlu tahu. Tapi saya ada hak nak tahu," tegasnya.

Semalam, di Sungai Siput, Perak polis menangkap ADUN Jalong Leong Mei Ming dan ADUN Teja Chang Lih Kang kerana memakai kemeja BERSIH.

Ahad lalu, ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar dan 14 aktivis PSM ditahan polis di tol Sungai Dua ketika mereka dalam perjalanan ke Pulau Pinang bagi menghadiri majlis bertema "Udahlah...Bersaralah".

Tindakan Polis Cuba Rampas Baju T Bersih, Cetus Kekecohan




SHAH ALAM 30 JUN : Tindakan beberapa orang dipercayai polis merampas baju T BERSIH pada ceramah PAS mencetuskan kekecohan.

Pada kejadian di sebuah pintu masuk di Stadium Melawati malam tadi, beberapa orang polis berpakaian biasa bertindak merampas baju BERSIH yang dijual.

Tindakan itu menyebabkan kira-kira 100 penyokong Pakatan naik angin dan mengerumuni sambil menolak lelaki yang dipercayai polis itu sedikit demi sedikit ke jalan raya.

"Jangan bagi mereka masuk," kedengaran beberapa orang menjerit sesama mereka.


NAJIB TAK KERUAN CABAR RAKYAT


JIKA BAGAI DIKATA..BENARKAN PERHIMPUNAN INI DAN BENARKAN PIHAK BERKUASA MENJAGA KEAMANAN.BELUM ADA KEJADIAN RUSUHAN KETIKA DIADAKAN DEMONTRASI.KITA LIHAT SEJAUH MANA RAKYAT AKAN KELUAR DAN BERHIMPUN DIJALANRAYA.

JIKA 3 JUTA AHLI UMNO MAHU BERHIMPUN...KITA BENARKAN SAMA ADIL ..DAN BIARKAN RAKYAT KELUAR BERHIMPUN SECARA AMAN.....BERAPA JUTAKAH AGAKNYA RAKYAT AKAN KELUAR KE JALANRAYA????




SIPITANG, SABAH : Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meneruskan serangan terhadap Bersih dengan mendakwa beliau mampu menggembeling kesemu tiga juta ahli Umno untuk menentang “habis-habisan” perhimpunan aman itu pada 9 Julai depan.
"Kita (Umno) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional)...kita boleh kumpulkan tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyi, mereka juga akan berjuang habis-habisan... tetapi apakah itu satu cara yang bertanggungjawab," kata Najib.
Bagaimanapun dalam ucapannya di Sipitang Sabah petang tadi, Najib langsung tidak menyentuh perarakan yang dianjurkan oleh Pemuda Umno dan Perkasa untuk “menandingi” perhimpunan Bersih pada hari sama.
Perarakan bergelar “Patriot” oleh Pemuda Umno disusun oleh ketuanya Khairy Jamaluddin manakala tunjuk perasaan Perkasa di atur oleh Ibrahim Ali, Ahli Parlimen bebas yang berpihak kepada Umno.
Penganjur kedua-dua perarakan itu dikatakan mengugut untuk mengumpulkan ratusan ribu penyokong di Kuala Lumpur pada 9 Julai semata-mata untuk memaksa Bersih membatalkan perhimpunan aman bagi menuntut pilihanraya bersih dan adil.
Di Sipitang, Najib sekali lagi mengulangi tuduhan kononnya Bersih adalah didalangi oleh pembangkang untuk dijadikan modal politik.
"Mereka kata bersih... belum tahu dia bersih. Dia (pembangkang) pun ada banyak masalah," kata Najib.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia bukannya seperti negara tertentu di mana pemerintahnya menang 95 peratus undi semasa pilihan raya yang pastinya banyak pihak yang mencurigai keputusan pilihan raya.
Fakta Perdana Menteri itu tersasar. Pada pilihanraya umum 2004, BN dibawah pimpinan Tun Abdullah Badawi menang 198 daripada 220 kerusi parlimen – satu rekod untuk pilihanraya umum di Malaysia.
Najib mendakwa Malaysia kini berada di ambang transformasi ke arah menjadi negara yang lebih maju dan sejahtera dengan pelan pembangunan yang jelas dan “hanya menunggu masa” untuk melaksanakannya.
Beliau bagaimanapun tidak mengupas isu kenaikan harga barang yang mencengkam rakyat dan pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat gergasi yang menghauskan dana kerajaan.
Najib mendakwa perhimpunan Bersih pada 9 Julai ini dirancang oleh “kumpulan pengacau yang boleh membawa kecelakaan dengan sekelip mata.”
Penganjur Bersih, Ambiga Sreenevasan menegaskan Bersih adalah instiatif pertubuhan bukan kerajaan untuk menuntut pilihanraya yang adil dan telus.
Beliau menjemput semua pihak termasuk parti politik untuk menyokong gerakan aman itu bagi memastikan Suruhanjaya Pilihanraya menjalankan tanggungjawab secara berwibawa.
Bagaimanapun undangan Ambiga tidak disambut oleh parti-parti komponen Barisan Nasional termasuk Umno tetapi hanya oleh Pakatan Rakyat.
Polis seterusnya mengishtiarkan Bersih sebagai perhimpunan haram dan telah menangkap 100 orang kerana memakai baju dengan logo perhimpunan itu atau mengedarkan risalah mengenainya.
Ambiga dan pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Anwar Ibrahim pula disoal siasat di bawah Akta Polis berhubung perhimpunan itu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberi amaran kononnya Bersih akan mencetuskan ketegangan dan berkemungkinan melibatkan kehilangan nyawa jika ia diteruskan.

MP Pakatan Semarakkan 'Gelombang Kuning' Di Parlimen

KUALA LUMPUR 30 JUN : Sebagai tanda sokongan padunya terhadap Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini hadir dengan mengenakan pakaian berwarna kuning sempena warna rasmi Bersih 2.0.

Tindakan mengenakan pakaian kuning itu juga dibuat sebagai membantah segala usaha polis menjelang perhimpunan menuntut pembaharuan sistem pilihan raya yang adil dan bersih di negara ini.

Malah dalam merealisasikan sokongan mereka, hampir semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat memakai tali leher kuning manakala ahli parlimen wanita pula memakai pakaian kuning.

Ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa dan rakan sejawatnya dari Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin turut memakai baju T Bersih 2.0, yang mana pakaian terbabit merupakan penyumbang kepada peningkatan jumlah tahanan baju kuning itu sejak sabtu lalu kepada 108 tahanan.

Malah hari ini, Ahli Parlimen Gopeng Lee Boon Chye ditahan kerana memakai baju berwarna Kuning.

Sementara ADUN Pakatan Rakyat, Chan Ming Kai ditahan kerana memakai baju T Bersih di Gunung Rapat, Perak dengan dua lagi ahli parti itu pagi tadi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menegaskan bahawa tindakan polis itu merupakan intimidasi jelas dari pihak Kerajaan.

"Kami di sini untuk tunjukkan ketidakpuasan hati kami dan menyokong Himpunan Bersih yang aman. Tak dapat dibayangkan pemuda UMNO yang memakai baju Patriot kelmarin dan mereka yang mengeluarkan kenyataan 13 Mei tidak diambil tindakan.

“Bagaimanapun, penangkapan ini tidak mengurangkan bilangan kami, malah makin bertambah,” kata Tian merujuk pada himpunan 9 Julai ini.

Beliau mengulas 'kebebasan' Himpunan Patriot yang memprovokasi Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Petaling Jaya kelmarin.

Manakala Ahli Parlimen Lembah Pantai, menyatakan ugutan dan provokasi Kumpulan Pendesak Melayu seperti Perkasa dan Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia hanyalah memalingkan sokongan daripada pihak Kerajaan.

"Rakyat tidak buta dengan tindakan Polis terhadap Bersih dan kenyataan bersifat menghasut dari kumpulan seperti Perkasa dan PSSLM. Kenyataan ancaman kumpulan itu untuk melancarkan Perang terhadap penyokong bersih dan dengan Perkasa bangkitkan seolah-olah 13 Mei 1969 akan berulang langsung tidak diambil tindakan dan hanya menambah sokongan terhadap Bersih, kata beliau.

Turut mengulas isu yang sama Ahli Parlimen Kuala Krai Hata Ramli, dimana beliau mengutuk tindakan Polis yang memanggil personaliti seperti Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, dan Ahli Parlimen Sungai Siput Dr D. Jeyakumar yang berhadapan dengan Polis kerana menyokong Bersih.

"(Mereka turut) memanggil Sasterawan Negara Pak Samad Said ke Balai Polis. Apakah setiap penerima anugerah Sasterawan Negara hanya boleh mengeluarkan sajak yang membodek kerajaan? Kalau begitu malulah kita. Sepatutnya kita analisis sajak itu, bukan bawak ke balai untuk menakutkan.

"Untuk penahanan Ahli Parlimen Sungai Siput Jayakumar, saya cuba bawak usul 18 (1) kerana beliau terhalang tugas sebagai Ahli Parlimen," kata beliau

Shafee : Penjawat Awam Harus

KLANG 29 JUN: Tugas penjawat awam adalah "jihad" dalam menentukan keberkesanan kerajaan yang memerintah, menurut bekas Ketua Pengarah Badan Pencegahan Rasuah Datuk Shafee Yahya.

Malah beliau menyifatkan penjawat awam sebagai benteng utama kerajaan memperlihatkan imej profesional di samping memberi perkhidmatan kepada rakyat.

Justeru, jika kakitangan awam mengabaikan aspek integriti dalam melaksanakan tanggungjawab, maka seluruh negara akan menyaksikan “kehancuran tamadun yang dibina.”

"Memang peranan kita penting tapi kita perlu tegas kerana benar kerana pada akhirnya kalau menteri atau ADUN minta kita buat satu perkara yang tidak betul, kita perlu bertegas untuk kata tidak," ujar Shafee ketika berucap pada majlis Wacana Ekonomi Selangor: Integriti Penjawat Awam di sini, pagi tadi.

Shafee berkata meskipun kerajaan cuba menambahbaik mutu pentadbiran, dan urusan kewangan, namun masih banyak kelemahan yang wujud.

Kelemahan itu berpunca kepada kurangnya pegangan kepada prinsip integriti untuk memastikan sistem negara berada di landasan yang betul.

Shafee diakui sebagai tokoh utama memerangi rasuah di negara ini semasa memimpin BPR dan beliau kerap dipuji kerana sanggup bertindak terhadap pemimpin-pemimpin berpengaruh dalam kerajaan.

Di akhir kerjayanya beliau sebagai Ketua Pengarah BPR, Shafee terbabit dalam serbuan keatas pejabat Pengarah Besar EPU ketika itu, Tan Sri Abul Hassan dan dilaporkan menjumpai sejumlah besar wang.

Susulan serbuan itu, beliau kemudian dipecat oleh mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

Awal tahun ini Shafee menerbitkan buku berjudul 'Cerita Shafee Yahya: Budak Lelaki estet kepada Ketua BPR' menceritakan pengalaman beliau menentang amalan rasuah melibatkan kepimpinan tertinggi kerajaan.

Berucap di hadapan kira-kira 500 kakitangan awam Majlis Perbandaran Klang (MPK), Shafee berkata tugas yang dipikul oleh penjawat awam adalah ujian ke atas jati diri mereka.

Memikul tugas penjawat awam bukan sahaja bertujuan mencari nafkah semata-mata tetapi sebagai satu amanah yang harus digalas sebaik mungkin.

Beliau kemudian mengariskan faktor-faktor yang mengakibatkan integriti individu atau syarikat terjejas termasuk disiplin diri yang lemah serta etika kerja yang tersasar.

Dalam ucapannya beliau turut memetik kenyataan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menjulang sifat tegas demi mempertahankan tata kelola baik.

"Kita perlu taat setia tapi tidak boleh taat membuta tuli yang akan membawa kerosakan," katanya.

Justeru beliau menasihatkan kepada penjawat-penjawat awam untuk memastikan setiap arahan diterima dalam bentuk hitam putih.

Katanya amalan ini bertujuan mempersiapkan diri sekiranya ada pihak yang cuba untuk menjatuhkan mana-mana individu melalui tuduhan atau fitnah.

"Apa sahaja yang anda mahu buat, mesti ada hitam putih, failkan seperti dokumen rasmi. Jadi kalau lepas bersara pun boleh tidur lena," ujar Shafee.
Turut hadir di program anjuran kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama MPK ialah Penasihat Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli parlimen Gombak Azmin Ali dan exco-exco negeri.

Satu Lagi Usaha Licik Halang Bersih 2.0

KUALA LUMPUR 29 JUN : Pelekat palsu Bersih 2.0, sedang giat dicetak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk diedarkan ke seluruh negara, dakwa Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata lewat petang tadi, beliau menerima kiriman khidmat pesanan media (MMS) daripada sebuah syarikat percetakan di Johor yang mendedahkan tindakan jahat cuba memburukkan imej himpunan Bersih 2.0.

"Pelekat ini berlatar belakangkan warna kuning, perkataan Bersih 2.0 yang ditulis secara jelas tetapi terdapat perkataan 'bersama kita tumbangkan kerajaan sekarang' dan 'adakah kita mampu seperti Libya?'," kata Salahuddin.

Pelekat palsu ini ditempah dalam jumlah yang banyak untuk diedarkan kepada orang ramai sebelum himpunan aman itu.

Ujarnya tindakan ini secara jelas mahu mensabotaj himpunan aman tersebut sekaligus menakut- nakutkan rakyat apabila mengajak rakyat untuk bersama-sama menumbangkan kerajaan, walhal matlamat himpunan itu adalah untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Ini satu perancangan yang begitu teliti dan tujuannya sangat jelas untuk mereka sabotaj perhimpunan Bersih, dan ini merupakan usaha pihak-pihak tertentu untuk menimbulkan satu keadaan yang tegang."

Beliau tidak menolak usaha terbaru ini dirancang untuk menghalang rakyat daripada menyertai himpunan aman yang cuba dikaitkan dengan himpunan menggulingkan kerajaan di Barat.

"Kemungkinan esok melalui peguam kami, akan memikirkan satu laporan polis jika saya mendapat salinan asal tapi kami nak beritahu ini bukan kerja kita, bukan daripada Bersih. Walaupun menggunakan warna kuning dan perkataan Bersih," katanya.

Pak Samad Kutuk Pengharaman Pakaian "Kuning"

SHAH ALAM 30 JUN : Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said mengutuk keras tindakan pengharaman pakaian kuning yang diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) semata-mata mahu menggagalkan Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai depan.

Malah, beliau menyifatkan tindakan itu merupakan ketakutan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) untuk berdepan dengan kebangkitan rakyat pada perhimpunan itu nanti.

“Itulah, saya fikir ini ketakutan (kerajaan) yang amat menakutkan (mereka),” katanya pada sidang media khas anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) di Pesta Buku Selangor di sini, lewat petang semalam.

Pada sidang media itu, Paksi menggunakan kertas kuning sebagai kenyataan medianya.

Selain itu, A Samad Said yang juga dikenali sebagai Pak Samad mengulangi komitmen untuk turun menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini di ibu negara.

“Saya akan turun. Saya tidak hanya bersuara tapi bertindak. Suara tanpa tindak, itu bukan suara,” tegasnya.

Pak Samad yang terkenal dengan karya berjudul Salina, Hujan Pagi, Lantai T Pinkie, Al-Amin, juga mempertahan tindakannya yang berpihak dengan menunjukkan sokongan terhadap penganjuran Himpunan Bersih 2.0.

“Seseorang seniman mesti dan ada hak untuk berpihak. (Jika tidak) Itu bukan sasterawan, itu kuasawan. Kalau kuasawan itu bobrok, seniman tidak jadi seniman jika tidak menegur. Tidak ada salah menegur untuk sesuatu yang baik,” katanya.

Katanya lagi dengan nada sinis, beliau tidak menolak kemungkinan sasterawan lain enggan ‘tampil ke depan’ kerana mahu menjaga periuk nasi.

Dalam pada itu, Setiausaha Paksi, Hasni Abas turut mengecam tindakan polis yang sebegitu hina dan biadap apabila bertanyakan soalan tentang bayaran yang diterima Pak Samad untuk bersajak pada majlis pelancaran Bersih.

“Mereka tanya berapa Pak samad dibayar untuk baca sajak. Mereka ini, ingat semua orang ini ayam daging? Tunggu diberi dedak,” soalnya.

Tambahnya lagi, beliau turut menyifatkan sasterawan yang tidak berani menegur kemungkaran yang dilakukan penguasa sebagai ‘bukan sasterawan sebalinya cendawan’

Bersih 2.0: Tembelang Najib Pecah

KOMENTAR



"Saya menekankan supaya rakyat didahulukan kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, suara rakyat adalah suara keramat,” Itu intipati ucapan Perdana Menteri Najib Razak beberapa bulan selepas dinobatkan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009.

Dalam sekelip mata di bawah teraju beliau, Malaysia kembali ke era negara polis yang mewarnai pemerintahan Tun Mahathir Mohamad.

Hanya kerana berlainan pendapat dengan pemerintah, maka suara 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) cuba dibisukan, manakala ruang bersuara untuk parti pembangkang disempitkan lagi.

Rakyat yang memakai T-shirt membawa logo Bersih ditangkap, malah bendera Malaysia yang dibawa mereka untuk diedarkan kepada orang ramai juga dirampas.

Ratusan ribu rakyat yang mahu turun menzahirkan keperluan untuk sistem pilihanraya diperbaiki supaya lebih adil dan telus, akan menghadapi serangan polis bersenjatakan belantan dan pancutan air berkimia pada 9 Julai.

Segala aktiviti penganjur Bersih dan pemimpin- pemimpin politik yang menyokong gerakan itu diibaratkan oleh polis dan media arus perdana sebagai memudaratkan keselamatan negara.

Malah Bersih, menurut Umno-Barisan Nasional, akan memberi kesan teruk kepada ekonomi Malaysia jika tidak dibendung.

Polis di seluruh negara digerakkan untuk menahan sesiapa sahaja yang memakai Baju T dengan logo Bersih dan merampas apa sahaja yang mengandungi logo itu.

Akhirnya tembelang Perdana Menteri Najib Razak “pecah”.

Janji-janji untuk mengamalkan keterbukaan dan menjadikan rakyat sebagai paksi kepada segala tindakan beliau hanya kenyataan politik yang kosong.

Sebaliknya beliau menunjukkan kecederungan menggunakan insitusi polis untuk meluntur malah memadamkan sebarang bantahan rakyat secara terbuka. Dasar ini kerap dilakukan di zaman Mahathir dan kini berulang di era Najib.

Justeru polis mula bertindak keras untuk membatalkan Bersih 2.0.

Tidak ada negara yang mendokong demokrasi mempunyai pasukan polis yang menangkap orang hanya kerana pakaian mereka tidak seiring dengan pemikiran kerajaan.

Apakah undang-undang rimba berdaulat kembali apabila polis boleh menyerbu dan menyita sekatariat Bersih tanpa waran semata-mata untuk merampas baju T dan risalah Bersih?

Di sebalik semua tindakan polis terhadap penganjur dan penyokong Bersih, apakah salah dengan tuntutan perhimpunan itu?

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sendiri tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap perhimpunan aman Bersih, namun dukacita kerana pendapat badan ini tidak mendapat perhatian kerajaan.

Ini kerana tuntutan asas Bersih adalah supaya sistem pilihanraya diperbaiki khususnya ketelusan undi pos di samping pembersihan daftar pengundi.

Sebuah pilihanraya yang adil dan telus akan memberi kelebihan kepada mana-mana parti yang menang pada PRU akan datang untuk mendabik dada kerana meraih kejayaan yang “bersih” dan tidak mencurigakan.

Tidak ada sesiapa boleh menafikan bahawa pada setiap pilihanraya, BN akan bermula dengan kelebihan yang begitu besar berasaskan kawalan penuh terhadap media arus perdana negara ini dan sumber kewangan negara serta kemudahan awam.

Contohnya Utusan Malaysia, TV3, NTV7, TV9, New Straits Times dan Berita Harian dikawal oleh Umno manakala The Star dikuasai MCA.
Ini tidak termasuk RTM dan Bernama yang diletak terus di bawah Kementerian Penerangan, Komunikkasi dan Kebudayaan.

Kelebihan ini umumnya diterima oleh Pembangkang dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai realiti politik negara, contohnya tidak mungkin Umno menyerahkan haknya untuk menentukan siapa Ketua Pengarang Utusan Malaysia mahupun Berita Harian.

Justeru tuntutan utama NGO berkenaan menerusi Bersih ialah supaya SPR mengatasi masalah-masalah ketelusan undi pos, penghapusan pengundi hantu dan pembersihan daftar pengundi.

Justeru inisiatif 63 Pertubuhan Bukan Kerajaan ini harus disokong, bukan sahaja oleh Pembangkang tetapi juga oleh BN, yakni Najib sendiri.

Najib ingin mencanang Malaysia sebagai sebuah negara dinamis di bawah dasar-dasar beliau yang pro-aktif dan berpaksi rakyat.

Beliau seorang yang amat berpengetahuan luas, menjelajah di seluruh dunia dan tentunya peka bahawa hak berkumpul secara aman adalah prinsip asas demokrasi.

Jika benar beliau mendokong prinsip itu, kenapa bertindak begitu zalim terhadap penganjur Bersih?

Jika Najib menyokong prinsip asas demokrasi, beliau sepatutnya turun bersama rakyat, tak kira sama ada mereka penyokongnya mahupun pembangkang, demi menzahirkan komitmennya kepada sebuah pilihan raya yang telus dan adil.

Kehadiran beliau bersama rakyat, wakil masyarakat madani dan pemimpin pembangkang pada perhimpunan Bersih sudah tentu menjadi pemangkin untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan penambahbaikan kepada sistem pemilihan yang sedia ada.
"Kalau kita sebagai pemimpin turun bersama rakyat tanpa protokol, tanpa hamparan permaidani merah, tanpa bunga manggar, tanpa sambutan, duduk dengan rakyat, minum dan ambil kira serta ambil berat masalah rakyat, rakyat akan tetap bersama kita dan rakyat akan tetap memberi kuasa"

Itu ucapan Najib pada satu majlis di Sabah tidak lama dahulu. Jika beliau mendokong kenyataannya itu, sudah tentu Perdana Menteri tidak bermasalah menyokong Bersih.

Sebaliknya Najib memilih untuk merestui tindakan polis menangkap dan memenjarakan mereka yang menuntut pilihanraya bersih dan adil.

Beliau juga menutup sebelah mata dengan provokasi Perkasa dan Pemuda Umno menganjurkan siri demostrasi pada hari yang sama, semata-mata untuk mencetuskan keadaan tegang dan member alasan kepada polis untuk bertindak liar.

Sayang – peluang Malaysia melangkah ke depan untuk menyubur dan mematangkan proses demokrasi negara disambut dengan tindakan pemerintah yang begitu keras dan jauh daripada bersih.