MAZA TOLAK ANWAR: NETIZEN TANYA APA HUKUM MUNGKIR JANJI?

KEMPEN BOIKOT PRODUK BUKAN MELAYU TIDAK ISLAMIK – WAN JI

UNTUK KEFAHAMAN MUFTI PERLIS - PH TAK SAMA SEPERTI BN, TUN M TIADA KUASA TUKAR PENGGANTI



Ramai orang, termasuk Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin barangkali masih keliru dan tidak dapat membezakan antara sistem yang diamalkan oleh BN dan PH.

Dalam BN, penentuan siapa menjadi Perdana adalah berdasarkan siapa yang menjadi Presiden UMNO.

Presiden UMNO yang dipilih oleh perwakilan parti itu secara automatik adalah merupakan Perdana Menteri kerana UMNO merupakan parti paling dominan dan memiliki kerusi Parlimen terbanyak dalam BN.

Presiden UMNO, selain menjadi Perdana Menteri, adalah juga Pengerusi BN.

Dengan yang demikian, Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri berhak menentukan pengganti Perdana Menteri seterusnya kerana semua prosesnya ditentukan melalui UMNO saja.

Dalam menentukan pengganti Perdana Menteri, BN tiada kuasa apa-apa dan ia hanya menurut saja apa yang berlaku dan siapa yang dipilih oleh UMNO.

Apa yang berlaku dalam UMNO pula selalunya hanyalah mengikut selera dan kehendak siapa yang menjadi Perdana Menteri kerana segala kuasa berpusat padanya.

Tetapi, ia berbeza dengan PH. Dalam PH, yang berkuasa bukan Pengerusi PH, tetapi Majlis Presidennya yang dianggotai pemimpin-pemimpin utama daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Tun Mahathir Mohamad daripada Bersatu dipersetujui sebagai Pengerusi Majlis Presiden PH kerana beliau disepakati sebagai calon Perdana Menteri sebelum PRU14 lalu, selain tentunya disebabkan pengalaman dan ketokohan sebagai seorang pemimpin.

Selepas PH menjadi kerajaan, atas keduudukannya sebagai Perdana Menteri, beliau terus dikekalkan sebagai Pengerusi Majlis Presiden PH, meskipun Bersatu bukan parti dominan dan hanya menang 13 kerusi Parlimen saja dalam PRU14 lalu.

Bagaimanapun, tidak ada ketetapan pemimpin daripada Bersatu akan selama-lamanya menjadi Pengerusi Majlis Presiden PH sebagaimana Presiden UMNO sentiasa merupakan Pengerusi BN.

Apabila Anwar Ibrahim daripada PKR menjadi Perdana Menteri selepas Tun Mahathir nanti, maka beliaulah pula yang akan menjadi Pengerusi Majlis Presiden PH.

Siapa juga yang menjadi Perdana Menteri mewakili PH mesti dipersetujui, disepakati dan dikonsensuskan oleh Majlis Presiden PH.

Sebelum PRU14 lalu, Majlis Presiden PH telah bersetuju, bersepakat dan berkonsensus menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Anwar sebagai pengganti kepada Tun Mahathir.

Tun Mahathir tiada kuasa untuk memlih pengganti pilihannya sendiri, sebagaimana amalan dalam BN, melainkan perlu mendapat persetujuan dan konsensus daripada Majlis Presiden PH.

Dalam hal ini, oleh kerana persetujuan dan konsensus menamakan Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir sudah pun ada dan setakat ini ia tidak diubah oleh Majlis Presiden, bermakna kedudukan Presiden PKR itu sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 adalah kekal dan tidak berubah.

Sebab itu, jika sistem PH ini difahami, sesiapa juga, termasuk Dr Asri tentunya tidak akan semberono bercakap, mengulas atau menulis surat terbuka meminta Tun Mahathir agar memilih pengganti yang lain selain daripada Anwar.

Tun Mahathir tiada kuasa apa-apa untuk mengubah keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden PH itu, kecuali mesti membawanya dalam mesyuarat dan meminta konsensus Majis Presiden PH mengenainya.

Kalau mahu permintaan seperti itu dilakukan juga, ja sepatutnya ditujukan kepada Majlis Presiden PH, bukannya kepada Pengerusi Majlis Presiden PH seorang diri.

Begitu juga dengan permintaan Dr Asri agar Tun Mahathir melakukan solat istikharah dengan tujuan meminta petunjuk daripada Tuhan berkenaan penggantinya turut tidak relevan sebenarnya.

Solat istikharah dilakukan sebelum sesuatu keputusan dibuat dan dipersetujui, bukan selepas adanya keputusan.

Kenapa baru sekarang Dr Asri terfikir meminta Tun Mahathir melakukan solat istikharah iaitu setelah PH ada ketetapan serta hanya selepas 16 bulan Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri?

Kenapa gesaan yang sama tidak dibuat sebelum 6 Januari 2018 di mana pada tarikh tersebut Kongres PH telah bersepakat untuk menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Timbalan Perdana Menteri dan Anwar sebagai pengganti Perdana Menteri seterusnya? (Shahbudindotcom 27/09/2019)